SOALAN:
Saya berusia 36 tahun dan mempunyai dua anak iaitu anak pertama berusia sembilan tahun manakala anak kedua tujuh tahun.
Selepas melahirkan anak kedua, saya mengambil keputusan untuk mengambil ubat perancang keluarga iaitu Mercilon selama enam tahun.
Selepas menghentikan pengambilannya, saya kini disahkan hamil. Masalahnya, hari terakhir haid saya adalah pada 5 Mac lalu dan pada 19 Mac pula, saya membuat pemeriksaan perubatan (ujian air kencing dan sinaran-x) untuk pekerjaan baru yang saya pohon tetapi sebelum berbuat demikian, saya didapati tidak hamil.
Hanya selepas dua minggu baru saya disahkan hamil. Adakah kandungan saya kini selamat selepas menjalani ujian sinaran-x terbabit? Saya juga inginkan pandangan doktor mengenai kebaikan dan keburukannya jika saya mengambil keputusan untuk mengikat peranakan saya selepas melahirkan anak ketiga ini.
Ibu Risau,
Klang, Selangor
JAWAPAN:
Anda menjalani ujian sinaran-x terbabit pada hari ke-15 kitaran haid anda. Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid 28 hari (ini dikira dari hari pertama haid hingga hari pertama haid berikutnya), hari ke-15 merupakan hari pertama selepas persenyawaan benih lelaki (sperma) dan telur wanita (ovum) berlaku.
Secara amnya, wanita tidak selalunya mempunyai kitaran haid 28 hari, lebih ramai yang mempunyai kitaran haid 30 hari atau lebih, bermakna pada hari ke-15 masih belum berlaku ovulasi.
Faktor kedua adalah kekuatan pancaran sinaran-x yang digunakan. Sinaran-x ada dikaitkan dengan risiko kanser terutamanya leukemia bagi kanak-kanak, namun ia sangatlah kecil. Ia lazimnya berlaku jika pancarannya melebihi kekuatan 5 rad.
Namun, lazimnya sinaran-x yang dipancarkan dalam ujian saringan perubatan adalah jauh lebih rendah daripada kekuatan terbabit. Saya andaikan anda menjalani sinaran-x pada bahagian dada, ujian ini juga tidak memberi pancaran terus kepada bahagian peranakan atau rahim anda.
Sukar untuk menuding punca kelainan pada janin dalam keadaan seperti anda ini kerana, faktor usia wanita juga memainkan peranan penting. Faktor persekitaran dan nutrisi pemakanan juga boleh memainkan peranan.
Dalam kata lain, jika ia berlaku, ia boleh berlaku secara semula jadi, bukannya semestinya disebabkan oleh sinaran-x terbabit. Bagi faktor usia, risiko ketidaknormalan seperti ketidaknormalan kromosom janin bagi usia anda kini adalah lebih tinggi sebanyak kira-kira tiga kali ganda berbanding sewaktu melahirkan anak pertama (sembilan tahun dulu pada usia anda 27 tahun) dan anak kedua (tujuh tahun dulu pada usia anda 29 tahun).
Ini kerana telur yang dihasilkan sudah pun berusia lebih 36 tahun memandangkan ia sudah terbentuk sejak anda berada di dalam kandungan ibu lagi.
Jadual di bawah menerangkan perbandingan risiko ketidaknormalan kromosom secara amnya dan ketidaknormalan kromosom 21 (sindrom Down):
Usia wanita (ibu) Risiko ketidaknormalan mana-mana kromosom Risiko ketidaknormalan kromosom 21 (sindrom Down)
36 tahun
1 dalam 156 kelahiran
1 dalam 294 kelahiran
29 tahun
1 dalam 417 kelahiran
1 dalam 1000 kelahiran
27 tahun
1 dalam 455 kelahiran
1 dalam 1111 kelahiran
Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan antenatal seawalnya sekarang untuk berbincang dengan doktor anda mengenai langkah penjagaan seterusnya. Kebanyakan doktor akan merawat anda sama seperti wanita hamil lain yang seusia dengan anda, bermakna sinaran-x yang dijalani secara amnya adalah selamat dan tidak memerlukan pemerhatian khusus atau berlainan daripada wanita lain.
Bagaimanapun, usahlah dianggap ia boleh dijalani sesuka hati, ia seeloknya dielakkan kecuali jika perlu. Pengambilan pil asid folik dan pemakanan berkhasiat hendaklah diamalkan.
Beberapa ujian saringan (ujian darah, ultrabunyi) dan ujian pengesahan (persampelan tisu chorionic villi, amniocentesis) dan seumpamanya dapat membantu.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan