SOALAN:
Saya berusia 29 tahun dan pada 20 November 2007 saya baru melahirkan anak sulung selepas dua tahun keguguran.
Kini saya hamil anak kedua setelah umur anak lima bulan. Saya tidak bersedia untuk kehadiran anak kedua kerana ingin membesarkan anak sulung terlebih dulu.
Pada masa sama, saya terasa sakit di bahagian sulit. Saya rasa tidak bertenaga, tertekan dan letih. Saya sering mengalami loya di waktu pagi. Saya bimbang jika terlalu letih dan tertekan, saya tidak dapat menjaga anak saya.
Ibu saya pula tidak duduk bersama kami dan dia bekerja manakala suami sering bekerja luar daerah. Apakah yang harus saya lakukan?
Zila,
Petaling Jaya
JAWAPAN:
Semua permasalahan yang anda nyatakan dapat dijangka sewaktu anda hamil anak pertama. Semua wanita hamil digalakkan berbincang mengenai kaedah pencegah kehamilan yang sesuai dan selamat sewaktu lawatan antenatal kandungan lagi.
Persoalan menggugurkan kandungan di negara ini bukanlah mudah, ia juga masih salah di sisi undang-undang negara kita.
Selain itu, pengguguran kandungan juga mempunyai kemungkinan risiko sama ada menggunakan ubat-ubatan atau prosedur dilation & curettage (D&C).
Pada masa sama, ia juga perlu dipertimbangkan dengan kebajikan bayi dan keluarga anda kelak. Anda dinasihatkan mendapatkan pandangan ulama berkenaan perkara ini.
Selain itu, berbincanglah dengan doktor anda mengenai penjagaan kandungan ini seterusnya. Loya di waktu pagi lazimnya dialami sementara saja sewaktu tiga bulan pertama kehamilan akibat paras hormon ß-hCG yang meninggi.
Ini dapat dikurangkan dengan pengambilan ubat penahan muntah serta mengambil garam rehidrasi yang dicampurkan ke dalam minuman harian anda.
Ia dijangka berkurangan apabila anda memasuki bulan keempat kelak. Doktor juga dapat memeriksa kesakitan bahagian alat sulit yang dialami dan memberi rawatan bersesuaian.
Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan