Peminat Setia

Khamis, 13 Mac 2008

Cara Cegah GBS

SOALAN:
Saya berusia 27 tahun dan mempunyai dua anak. Pada September 2007, saya melahirkan anak pramatang iaitu 33 minggu disebabkan air ketuban sudah keluar selama tiga hari dan melahirkannya secara normal. Doktor mengesahkan saya dijangkiti penyakit GBS.

Saya ingin tahu bagaimana saya boleh dijangkiti penyakit GBS? Adakah penyakit terbabit merbahaya kepada saya dan anak?

Bagaimana pula saya ingin mencegah penyakit terbabit sekiranya saya hamil dan jika saya hamil anak ketiga, adakah janin akan terjejas?

Ida,
Melaka


JAWAPAN:
Saya harap jangkitan GBS yang anda maksudkan jangkitan bakteria Group B Streptococcus. Ini kerana dalam bidang perubatan, GBS juga merupakan singkatan kepada penyakit lain seperti Guillain Barre Syndrome.

Untuk pengetahuan umum, bakteria Group B streptococcus antara bakteria yang lazimnya mendiami tubuh orang dewasa termasuk di dalam faraj dan dubur tanpa mengakibatkan kesan buruk atau penyakit.

Ini bermakna sesiapa saja orang dewasa berkemungkinan mempunyai GBS pada bahagian tubuh mereka.

Kajian ke atas wanita hamil pula mendapati kira-kira seorang dalam empat wanita hamil (25 peratus) sebenarnya mempunyai koloni kuman ini di dalam faraj mereka. Golongan ini dinamakan pembawa GBS dan masih tidak mengakibatkan masalah kepada wanita berkenaan.

Punca sebahagian wanita hamil cenderung mempunyai koloni kuman GBS di dalam faraj mereka manakala sebahagian lain pula bebas, tidaklah diketahui.

Selain itu, GBS juga ada ditemui di dalam dubur (melalui ujian kultur pengesat dubur), juga tanpa petanda atau masalah kepada wanita ini. Ada kalanya GBS boleh menyebabkan jangkitan air kencing (disahkan melalui ujian kultur air kencing).

Walaupun GBS tidak memberi kesan kepada wanita hamil, ia berupaya memberi kesan serius kepada bayi baru lahir sekiranya dijangkiti melalui ibunya. Mujurlah tidak semua ibu pembawa GBS memberi risiko jangkitan GBS kepada bayinya.

Hanya seorang dalam 300 bayi dijangkiti oleh bakteria GBS ini namun kematian boleh berlaku dalam 10 peratus bayi berkenaan.

Risiko jangkitan ini sebenarnya paling tinggi berlaku sewaktu kelahiran bayi itu sendiri apabila bayi terdedah kepada GBS sewaktu sakit bersalin terutama jika air ketuban pecah untuk tempoh yang lama, bukannya sewaktu kehamilan.

Sewaktu kehamilan, janin terlindung di dalam rahim oleh dua lapisan selaput ketuban (membran amnion).

Memandangkan anda pernah dijangkiti GBS, tidak mustahil sekiranya anda kini masih menjadi pembawa GBS yang mungkin sudah membentuk koloni di dalam faraj anda. Ini boleh disahkan melalui ujian kultur sampel lelehan faraj yang mengambil masa beberapa hari saja.

Sungguhpun begitu, saya tidak pasti sama ada bayi kedua anda disahkan dijangkiti kuman GBS terbabit, ini lazimnya diketahui melalui ujian darah tali pusat, ujian pengesat permukaan uri dan seumpamanya.

Jika bayi kedua disahkan turut mengalami jangkitan GBS, risiko bayi ketiga turut mengalami jangkitan GBS meningkat kepada satu dalam 100.

Sekiranya kultur pengesat faraj, vagina atau air kencing positif terhadap kehadiran GBS, doktor lazimnya akan menasihatkan anda untuk mendapatkan rawatan antibiotik terutama sewaktu sakit bersalin kelak bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan kuman GBS kepada bayi sewaktu bayi melalui faraj untuk dilahirkan.

Sekiranya kultur pengesat kini sudah negatif terhadap kehadiran GBS, ada juga kemungkinan doktor tidak memberikan rawatan antibiotik terbabit memandangkan bayi kedua tidak dijangkiti GBS.

Rawatan antibiotik juga tidak diberikan sekiranya anda dikehendaki menjalani pembedahan Caesarean sewaktu kehamilan ketiga kecuali jika pada waktu itu, selaput ketuban sudah pecah.

Berbincanglah kembali dengan doktor anda mengenai pilihan rawatan yang ada. Secara amnya, rawatan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan GBS kepada bayi diberikan sewaktu proses bersalin bagi ibu-ibu dalam keadaan berikut:

- Kultur GBS didapati positif hadir dalam air kencing, pengesat vagina atau pengesat dubur.

- Pernah mempunyai bayi yang dijangkiti GBS (risiko meningkat 10 kali ganda).

- Mengalami kelahiran pramatang (sebelum cukup 37 minggu kehamilan).

- Mengalami demam sewaktu sakit bersalin (mungkin tanda jangkitan GBS).

- Mengalami sakit bersalin selepas tempoh 18 jam air ketuban bocor (lebih lama bayi terdedah kepada GBS).

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 6 Mac 2008

Jahitan Terbuka Selepas 2 Minggu Dalam Pantang

SOALAN:
Saya mempunyai dua anak di mana anak kedua dilahirkan normal seberat 3.9 kilogram lalu saya menerima banyak jahitan kerana anak saya besar. Semasa dua minggu berpantang, jahitan itu terbuka. Saya terpaksa ke hospital untuk mencantum kembali jahitan yang terbuka itu.

Dalam masa tiga hari berikutnya, ia terbuka sedikit dan saya membiarkan saja tanpa jahitan. Adakah saya akan menghadapi masalah jika saya hamil anak ketiga nanti? Ini kerana, pintu rahim saya terbuka dan tidak sama seperti dulu.

Siti,
Sungai Yan, Kedah


JAWAPAN:
Saya berpendapat jahitan yang terbuka terbabit adalah di kawasan bukaan faraj dan bukannya pintu rahim. Pintu rahim (serviks) terletak jauh di penghujung faraj dan tidak boleh dilihat sendiri.

Pintu rahim hanya boleh dilihat menggunakan alat bantuan spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj untuk membuka faraj sehingga nampak pintu rahim di penghujungnya.

Sewaktu kelahiran, doktor mungkin sudah melakukan potongan pada penghujung faraj secara bersudut ke tepi bagi mengelakkan terkena dubur. Potongan ini mungkin kemudiannya dilebarkan secara guntingan apabila menyedari bayi besar atau ia terkoyak sendiri.

Luka koyak yang anda alami mungkin panjang dan bercabang sehingga ke kawasan bukaan dubur. Tidak mustahil berlaku kemasukan kuman dari kawasan dubur ini menjangkiti luka jahitan terbabit dan mengganggu proses penyembuhan sehingga menyebabkan jahitan terbuka.

Keadaan lembap akibat pendarahan nifas pada tuala wanita pula tambah menggalakkan perpindahan kuman yang berasal dari kawasan dubur ini. Ini bukannya kesalahan anda kerana sukar untuk memastikan keadaan tuala wanita kering sepanjang masa memandangkan pendarahan nifas berlaku berterusan.

Namun, wanita masih dinasihati lebih kerap menukar tuala wanita terutama dalam seminggu pertama selepas bersalin agar keadaan kemaluan tidak terlalu basah sehingga menggalakkan jangkitan.

Maka, kandungan berikutnya lazimnya tidak dipengaruhi oleh koyakan kelahiran kedua terbabit. Namun, memandangkan berat bayi anda besar, doktor mungkin mencadangkan anda menjalani ujian darah untuk mengesan penyakit kencing manis.

Selain itu, secara amnya, bayi ketiga lazimnya dijangka mempunyai berat lahir yang melebihi berat bayi pertama dan kedua, terutama jika ia dilahirkan pada tarikh lebih lewat daripada usia kandungan bayi sebelumnya dilahirkan.

Begitu juga dengan kelahiran seterusnya dijangka mempunyai berat lahir bayi yang lebih. Jadi, tidak mustahil jika bayi ketiga ini lebih berat, anda juga boleh mendapat luka faraj yang lebih lebar, malah luka pada pintu rahim.

Kebanyakan doktor akan mencadangkan kelahiran secara pembedahan Caesarean jika bayi ketiga ini lebih besar. Ini penting bagi mengelakkan trauma kelahiran bukan saja kepada anda, malah kepada bayi seperti badan tersekat (dystocia bahu), kerosakan saraf brakial tangan dan seumpamanya.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 4 Mac 2008

Hubungan Intim Pada Usia Emas

SOALAN:
Saya berusia awal 60-an dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik seperti diabetes atau tekanan darah tinggi. Saya masih aktif dalam hubungan intim dengan isteri. Saya ada terbaca mengenai pentingnya peredaran yang sihat dengan kualiti ereksi alat kelamin seseorang lelaki, selain faktor kecergasan fizikal. Apakah makanan tambahan bersesuaian yang boleh membantu?

JAWAPAN:
Peredaran darah yang sihat sememangnya perlu untuk membantu kebolehan mencapai ereksi apabila adanya rangsangan seksual. Bekalan darah yang mencukupi juga penting untuk memastikan kualiti ereksi yang lebih baik.

Herba mempunyai sejarah penggunaan sejak sekian lama dalam menangani masalah kesihatan.

Ginko merupakan antara herba tertua yang digunakan dalam sejarah perubatan China dan kini ia semakin popular di Barat kerana kesannya membantu dalam melancarkan lagi peredaran darah dalam tubuh. Ini tentunya sangat berguna dalam memperbaiki masalah yang berkaitan dengan aliran darah yang lemah.

Dalam usaha untuk menceriakan kehidupan berumah tangga, pengambilan gabungan beberapa jenis herba tradisional seperti Horny goat weed, ginseng, Damiana, Withania, Muira puama dan Puncture vine tentunya akan memberi manfaat kesihatan yang lebih baik.

Herba-herba ini juga bersifat adaptogen dan kebanyakannya dianggap sebagai afrodisia di kalangan masyarakat terdahulu. Keberkesanannya menjadikan ia masih kekal sebagai herba yang bagus untuk meningkatkan prestasi seksual.

Berdasarkan ujian yang dijalankan sebelum ini, gabungan herba-herba ini bukan sahaja bermanfaat untuk meningkatkan tenaga dan melegakan kelesuan yang semakin banyak dialami oleh golongan muda kini, tetapi juga membantu menyemarakkan kehidupan berumah tangga bersama pasangan anda.

Rasa Pedih Bersama Suami Selepas Keguguran

SOALAN:
Saya berusia 24 tahun dan sudah berkahwin. Pada Disember 2006, saya mengalami keguguran.

Walaupun sudah lebih setahun, saya masih berasa pedih apabila bersama suami. Doktor menyatakan rahim saya bengkak dan akan pulih dengan sendiri.

Kitaran haid saya berjalan seperti biasa dan tiada masalah. Apakah keguguran itu menyebabkan saya rasa pedih bila bersama suami? Apakah yang harus saya lakukan?

Nor,
Taman Imigresen, Johor Bahru

JAWAPAN:
Seseorang yang keguguran lebih setahun jarang mengalami masalah seperti anda. Pedih apabila bersama mungkin disebabkan luka pada pintu rahim akibat kesan prosedur dilation & curettage (D&C), jika ada dilakukan, namun ia tidaklah kekal untuk tempoh lama.

Anda dinasihati menjalani pemeriksaan dalaman untuk memeriksa keadaan faraj dan pintu rahim. Pada masa sama, ujian pap smear boleh dilakukan.

Bengkak rahim juga mempunyai beberapa punca, anda mungkin ingin bertanya doktor anda lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan dengan bengkak rahim.

Soal-Jawab Bersama :
Dr. Adilah Ahmat

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Wanita Kahwin Lewat Ingin Hamil

SOALAN:
Saya berusia lingkungan 40-an dan agak lewat bertemu jodoh. Kini sudah lima bulan saya berumah tangga. Bolehkah saya mendapat zuriat pada usia sebegini?

Haid saya datang setiap bulan cuma ada kalanya awal dan ada kalanya lewat. Setiap kali didatangi haid, saya mengalami sakit perut di sebelah kiri dan keluar semacam ketulan tetapi kesakitan hilang selepas dua hari.

Saya juga mual dan asyik muntah air yang dialami setiap bulan. Adakah keadaan ini juga menjejaskan peluang saya untuk hamil?

Su,
Linggi, Negeri Sembilan

JAWAPAN:
Seeloknya, anda dan suami berjumpa pakar sakit puan untuk membincangkan beberapa perkara dengan lanjut seperti risiko mengalami keguguran serta risiko ketidaknormalan kromosom anak mengakibatkan keguguran, kematian dalam kandungan, atau kelahiran anak dengan sindrom tertentu.

Selain itu, perkara lain termasuk risiko masalah sewaktu hamil seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, uri bawah dan seumpamanya serta kemungkinan kaitan senggugut dan ketulan yang dirasai dengan kesukaran hamil.

Setelah betul-betul memahami risiko dan jika masih berhasrat untuk hamil serta bersedia menghadapinya, terpulanglah pada anda dan suami untuk meneruskan hasrat.

Lebih elok ia dimulakan sekarang daripada menunggu lebih lewat lagi. Namun, sebelum itu, untuk memulakan kehamilan bukanlah mudah. Ini kerana kesuburan wanita sangat dipengaruhi oleh usianya.

Anda mungkin memerlukan teknik bantuan kehamilan tertentu yang lazimnya dimulakan dengan ubat hormon kesuburan sama ada semudah menggunakan pil atau secara suntikan yang jauh lebih mahal. Kaedah permanian berhadas dan persenyawaan tabung uji juga tambah membantu.

Mual dan muntah air yang dialami juga perlu diperiksa, ia tidak sepatutnya berlaku. Selain itu, mulakanlah pengambilan pil asid folik sebanyak 5 miligram setiap hari untuk mengurangkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi.

Suami juga dinasihatkan menjalani ujian air mani. Walaupun peluang kehamilan rendah berbanding wanita yang berusia kurang 40 tahun, siapa tahu anda mungkin termasuk dalam lima peratus kumpulan yang berjaya hamil. Selamat mencuba.

Soal-Jawab Bersama :
Dr. Adilah Ahmat

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Payu Dara Kiri Kena Bisul

SOALAN:
Saya ibu muda kepada dua anak lelaki mempunyai masalah menyusukan anak sulung saya pada payu dara sebelah kiri kerana puting agak pendek. Bagaimanapun, saya dapat mengatasinya selepas kelahiran anak kedua.

Masalahnya kini, saya sering terkena bisul di bahagian payu dara sebelah kiri saja. Kesakitan yang amat sangat menghalang saya untuk meneruskan penyusuan sehingga menyebabkan payu dara saya terus membengkak. Apakah masalah yang saya hadapi kini?

Liza,
Damansara


JAWAPAN:
Mungkin bisul yang anda alami belum pernah dirawat sepenuhnya. Bisul boleh menyebabkan pengumpulan nanah (abses) yang perlu dibuang dan dibersihkan melalui prosedur kecil (incision & drainage atau I&D) selain mengambil ubat antibiotik.

Jika benar ia berulang, anda juga perlu menjalani ujian darah untuk mengesan penyakit kencing manis. Berjumpalah doktor untuk kepastian dan rawatan.

Sementara itu, payu dara kiri ini perlu diperah susunya bagi mengelakkan ia membengkak. Ini kerana pengumpulan susu di dalam kelenjar payu dara masih berlaku berterusan, jika ia tidak dikeluarkan payu dara akan terus membengkak dan ini akan lebih menambah kesakitan.

Soal-Jawab Bersama :
Dr. Adilah Ahmat

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/