Peminat Setia

Rabu, 31 Ogos 2011

Asid Lemak Untuk Wanita

SOALAN: 
Saya telah mengamalkan pengambilan minyak evening primrose (EPO) sejak lebih daripada setahun yang lalu. Saya dapat rasai perubahan pada kelembapan kulit dan saya terfikir untuk diberikan kepada ibu. Apakah pengambilannya turut memberi kebaikan kepada ibu yang sudah berusia 52 tahun ? 

JAWAPAN:
Kegunaan minyak evening primrose bukanlah sesuatu yang baru, malah secara tradisionalnya ia telah digunakan oleh masyarakat asli Amerika untuk menangani masalah kulit dan keseluruhan pokoknya direbus untuk masalah batuk, sakit kerongkong, artritis, lebam dan beberapa lagi. Pada kurun ke-20 ahli saintis Jerman mengetahui bahawa minyak daripada biji evening primrose boleh diekstrak. Hasil analisis mendapati bahawa minyaknya kaya dengan asid lemak perlu (EFAs), iaitu linoleik (LA) dan asid gamma-linolenik (GLA).

Kandungannya yang kaya dengan GLA ini semakin mendapat perhatian dan kajian tidak terhenti begitu sahaja, malah kini ia dikenali dan digunakan di seluruh dunia.

Keajaiban dan kemujaraban kandungan minyak evening primrose ini mendapat pengiktirafan banyak pihak untuk menyokong kegunaannya ke atas beberapa masalah kesihatan termasuklah sindrom prahaid (PMS), artritis reumatoid, diabetik neuropati (masalah terjejasnya fungsi saraf akibat diabetes), ekzema, kesakitan payudara, alergi, menopos dan beberapa lagi. Ini menjadikan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah ini semakin berkembang dan lebih dikenali.

Asid-asid lemak perlu (EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.

Bagi mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes, pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada GLA.

Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras prostaglandin yang lebih rendah.

Prostaglandin adalah bahan yang menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh, termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.

Pengambilan asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang lebih mudah dan menyenangkan.

Dengan itu, jika diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose boleh memberi manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan secara umum.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Rabu, 24 Ogos 2011

Risau Bersama Suami Selepas Keguguran

SOALAN:
Saya baru keguguran untuk kehamilan pertama pada 17 Mac 2011. Sehingga kini saya tidak pasti punca keguguran itu.

Adakah tekanan di tempat kerja boleh menyebabkan keguguran? Selepas empat atau lima hari, darah berkurangan dan kini saya masih ragu-ragu untuk bersama suami.


Berapakah tempoh yang diperlukan untuk saya hamil semula? Adakah wanita yang mempunyai sejarah keguguran menandakan mereka sukar hamil?

Faezah,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:
Anda tidak menyatakan usia kandungan, juga jika anda terpaksa menjalani prosedur (cucian D & C) untuk mengeluarkan keseluruhan atau lebihan kandungan yang tertinggal di dalam rahim. Lazimnya, setelah satu kali keguguran, peluang kehamilan wanita untuk kehamilan berikutnya adalah sama dengan wanita lain yang pernah hamil.

Sekiranya darah masih ada (walaupun tinggal sedikit), ia masih dikira pendarahan dan hubungan seks adalah dilarang sama ada dari sudut agama mahupun sudut perubatan kerana ia meningkatkan risiko jangkitan kuman menerusi permukaan dalaman rahim yang masih belum pulih.

Tekanan ada disebut sebagai salah satu punca keguguran, gangguan haid, kesuburan dan seumpamanya.

Sekiranya anda juga kuat berpendapat begitu, eloklah anda berusaha mengurangkan tekanan berkenaan atau mendapatkan bantuan profesional sebelum menimbangkan untuk hamil sekali lagi. Kebanyakan doktor menasihatkan menunggu sehingga dua hingga tiga bulan untuk mengembalikan kesihatan fizikal dan meredakan gangguan emosi akibat keguguran.


Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Jumaat, 19 Ogos 2011

Tampil Menggoda di Mata Suami

Bimbang suami memandang wanita lain yang lebih cantik jelita, para isteri sanggup berbuat apa saja untuk menarik perhatian suami kepada diri mereka. Ada yang menghabiskan wang beribu ringgit untuk rawatan kecantikan dan juga pelangsingan badan.

Tak kurang juga yang sanggup mengamalkan ilmu-ilmu tertentu termasuklah yang bertentangan dengan agama untuk memastikan dirinya kelihatan cantik dan menggoda di mata suami.

Hakikat sebenarnya bagi memastikan diri tampil menarik dan berahi di pandangan suami, isteri hanya perlu bermodalkan apa yang ada pada tubuh badan mereka saja. Ini cara yang perlu anda lakukan.

Rambut Terurus
Bermulalah daripada bahagian paling atas tubuh. Rapikan rambut walaupun anda duduk di rumah. Jangan biarkan rambut yang panjang kusut dan menggerbang sebaliknya dandanlah rambut agar menawan.

Selain itu rawat rambut agar sihat, berkilat dan halus. Biarkan rambut yang panjang melurut ke bahu. Melihat rambut yang cantik halus dan berbau harum ada kalanya mampu mengundang nafsu suami.

Bibir Merah Menggoda
Bibir mungil sememangnya tarikan mata lelaki. Namun jika anda tidak memiliki bentuk bibir sebegini, ada cara untuk menjadikan bahagian ini sebagai tarikan suami. Oles gincu merah ketika anda mendampinginya, lebih berkesan jika anda mengenakan gincu di hadapannya kerana ia dilihat seksi oleh lelaki.

Pamerkan Kulit
Pamerkan kulit tubuh anda yang bersih dan putih pada suami. Jika anda tidak memilikinya maka belajarlah mengenakan losen. Dalam pada itu ambil kesempatan menyapu losen ini di hadapan suami. Gerakan anda membelai tangan, badan dan kaki sebenarnya cukup erotis buat suami malah lebih erotis dari menonton adegan cumbu-cumbuan dalam filem.

Bayangan Menggiurkan
Bangunkan suami di pagi hari dengan pandangan yang menggiurkan. Pakailah baju tidur yang jarang dari kain yang lembut halus seperti sutera. Biarkan rambut anda mengurai tapi bukannya menggerbang. Melihat tubuh anda sebegini akan membangkitkan nafsu suami.

Tukar Gaya
Jika selalu anda berbaju T dan berkain batik ketika di rumah, apa kata tukar gaya tersebut. Ketika di rumah bersama suami tak salah kalau anda mengenakan sesuatu yang lebih cantik dan seksi untuk tontonannya. Sekali sekala, kenakan skirt pendek atau baju tanpa lengan yang seksi untuk tatapan suami. Perubahan gaya selalunya akan menyemarakkan keinginan suami apatah lagi jika ia dikenakan di malam hari.

Pelihara Organ Intim
Dalam banyak-banyak bahagian tubuh wanita yang dianggap seksi oleh lelaki, organ kewanitaan adalah bahagian yang paling seksi. Oleh itu para isteri disarankan menjaganya dengan baik. Pastikan vagina bersih, tidak berbau dan terhindar dari sebarang penyakit kelamin. Jangan biar suami mengadu apa-apa perkara tentang organ intim ini.
Dipetik dari: http://www.mingguanwanita.com.my

Ahad, 14 Ogos 2011

Niat Mandi Serentak

SOALAN:
Bolehkah berniat secara serentak niat mandi wajib selepas haid dan melakukan hubungan kelamin?

Jieha,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Sebab yang mewajibkan mandi adalah disebabkan ber setubuh, keluar air mani, mati, keluar darah haid, beranak dan keluar darah nifas. Maka terdapat tiga jenis mandi dalam Islam iaitu mandi wajib, mandi sunat dan mandi harus.

Keluar haid, beranak dan keluar darah nifas hanya mem babitkan kaum wanita saja. Berkenaan niat mandi wajib bagi wanita, lebih baik mereka menentukan niat ketika mandi sama ada ia mandi disebabkan haid atau nifas.

Bagaimanapun, niat umum bagi mandi wajib adalah sama ialah "Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala" atau "Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala."

Dengan melakukan mandi wajib, seseorang itu menjadi suci daripada hadas besar. Sekiranya seseorang berada dalam hadas besar secara berulang seperti mengulangi persetubuhan dan sebagainya, mandi wajib sekali sudah memadai untuk bersuci daripada hadas besar.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Isnin, 8 Ogos 2011

Darah Keguguran Tak Henti

SOALAN:
Isteri saya keguguran pada 7 Februari lalu tetapi masih berlaku pendarahan (seperti penghujung haid) tanpa pernah berhenti sehingga sekarang.

Kami sudah merujuk pada klinik swasta dan doktor menyatakan isteri saya kedatangan haid serta tiada masalah. Cuma kami risau pendarahan yang tidak pernah berhenti itu mendatangkan masalah lain.


Hasrol,
Kuala Lumpur


JAWAPAN :
Sekiranya pendarahan yang dialami isteri anda itu bermula sejak ‘kegugurannya’, maka ia penting diperiksa.

Anda tidak menyatakan bagaimana ‘kehamilan’ isteri anda disahkan, sama ada melalui ujian air kencing sahaja atau termasuk pengesahan ultrabunyi yang menampakkan kantung kandungan dan lebih tepat lagi, kehadiran jasad janin serta degupan jantungnya sebelum ia mengalami keguguran.

Selain itu, ‘jasad’ yang keguguran juga boleh dilakukan ujian makmal bagi mengesahkannya. Setidak-tidaknya ia dapat memberitahu ‘kandungan’ itu berada di dalam rahim sebelum keguguran, bukannya disalah sangka sedangkan ia mungkin sebenarnya kandungan ektopik (yang juga keguguran).

Berjumpalah doktor untuk menjalani pemeriksaan serta beberapa ujian seperti darah dan ultra bunyi.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Selasa, 2 Ogos 2011

Kencing Kotor Bukan Tanda Sakit Buah Pinggang

SOALAN:
Salam Doktor,

Saya telah berkahwin selama enam bulan. Masalah saya disini, saya selalu dijangkiti kencing kotor secara kerap. 


Saya telah membuat check up di klinik berdekatan dan beliau memberi saya 3 jenis ubat iaitu painkiller (Diclofenac Sodium 50mg), antibiotik (Ceturoxime 250mg) dan pelawas kencing (Ural Effervescent Granules). Kekerapan jangkitan ini selalu terjadi ketika saya datang bulan. Kitaran datang bulan saya normal dan teratur iaitu 22 hingga 23 hari. Doktor mengdiagnosi melalui simptom loya, sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan pundi kencing. Saya tidak mengalami kesakitan ketika membuang air kencing atau air besar cuma kesakitan yang dirasai ketika saya sedang duduk berehat dan sedang aktif seperti berjalan atau berlari. Saya cuma mengalami kencing berdarah pada kali pertama dijangkiti kencing kotor.

Jangkitan berikutnya tidak diikuti dengan darah kecuali sakit seperti yang saya jelaskan tadi. 

Doktor yang merawat menasihatkan saya supaya minum air lebih, jangan menahan kencing dan cuci bahagian kemaluan selepas bersama suami. Persoalannya di sini, adakah saya berkemungkinan besar menghidapi masalah buah pinggang dan sekiranya saya mengandung, adakah ubat yang di beri oleh doktor yang merawat saya boleh menjejaskan kandungan saya?  

Lynn Kajang, Selangor.

JAWAPAN:

Kebiasaannya, orang ramai mempunyai tanggapan yang salah tentang kencing kotor. Kencing kotor biasanya terjadi akibat jangkitan kuman. Cara yang terbaik untuk mengesahkan anda mendapat jangkitan kotor atau tidak, lakukan pemeriksaan air kencing di makmal. Ia juga boleh mengesan sama ada masalah kencing kotor anda ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Jika ia hanya jangkitan air kencing biasa, ia tidak ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Begitu juga sekiranya anda mengandung, kencing kotor dan ubat-ubatannya tidak menjejaskan kandungan melainkan anda disahkan sakit buah pinggang.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/