Peminat Setia

Isnin, 29 Mac 2010

Jerawat Tumbuh di Kemaluan Wanita Hamil 7 Bulan

SOALAN:
Saya berusia 29 tahun dan sudah berkahwin. Kini saya hamil tujuh bulan anak sulung.

Masalahnya, saya mengalami ketumbuhan jerawat yang banyak di kemaluan saya. Jerawat ini membengkak dan menghasilkan nanah. Kadangkala ia menimbulkan kesakitan pada saya.

Apakah punca ketumbuhan jerawat dan cara untuk merawatinya?

Saya bimbang jerawat ini mendatangkan mudarat kepada saya sebab ia tumbuh agak banyak. Apakah saranan doktor untuk saya menangani masalah ini?

Fuza,
Kuala Lumpur



JAWAPAN:
Jerawat bernanah lazimnya disebabkan oleh jangkitan kuman pada liang yang tersumbat oleh kotoran.

Eloklah doktor memeriksa anda terlebih dulu dan memastikan ia benar-benar jerawat ataupun masalah lain. Lebih penting, mendapatkan rawatan bersesuaian dan pada masa sama, mencari punca ia kerap terjadi dan banyak.

Jika ia (jerawat ataupun kuman saja) berada berhampiran bukaan faraj ataupun berada di dalam faraj, tidak mustahil ia boleh menjangkiti bayi anda sewaktu dilahirkan kelak.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 24 Mac 2010

Ketulan Putih Di Puting Payudara

SOALAN:
Saya berumur 24 tahun dan baru mendirikan rumah tangga pada April 2009.

Saya agak risau dengan keadaan payudara kiri saya yang putingnya tidak timbul, sama ada ketika bersama suami atau tidak.

Puting kanan payudara saya tiada masalah. Baru-baru ini, puting payudara kiri saya ada semacam ketulan putih kecil sebesar jerawat nasi tapi bukan nanah. Ada kalanya, ia berbau.

Apakah masalah pada puting payudara itu? Mungkinkah ia petunjuk masalah kesihatan lain?

Ina,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Keadaan ini dinamakan inverted nipple. Ini tidak bermakna anda tidak mempunyai puting payudara tetapi ia tidak timbul, malah boleh termasuk ke dalam.

Kawasan kulit berhampirannya pula boleh menyebabkan pengumpulan kotoran atau peluh sehingga mengeluarkan bintil putih seperti yang anda alami.

Puting payudara yang termasuk ke dalam mungkin boleh dibetulkan, namun ia memerlukan kesungguhan dan kesabaran kerana ia memakan masa yang lama.

Anda boleh memulakannya dari sekarang secara meletakkan jari telunjuk dan ibu jari pada dasar kawasan perang sekitarnya (areolar), kemudian menekannya ke dalam dan ke luar seolah-olah mengembangkan kawasan terbabit.

Pada masa sama, jari telunjuk dan ibu jari tangan sebelah lagi bolehlah cuba menarik keluar puting terbabit.

Lakukan sekerap mungkin, mana tahu, ia mungkin berjaya keluar kelak.

Anda juga harus faham bahawa setelah keluar kelak, ia mungkin boleh termasuk kembali dan anda boleh memulakan kembali teknik di atas.

Pada masa sama, anda mungkin perlu meluangkan masa untuk meneliti kawasan tengah areolar itu supaya ia dibiarkan kering.

Inverted nipple tidak bermakna seseorang tidak boleh menyusukan bayinya kelak, penyusuan badan cuma memerlukan teknik yang betul.

Inverted nipple juga lazimnya tidak berkaitan masalah serius jika ia sudah dialami sejak kanakkanak lagi seperti anda.

Jika ia baru saja dialami, kemungkinan penyakit bahaya perlu diteliti.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Isnin, 22 Mac 2010

Isteri Hamil Gian Onani

SOALAN:
Saya berumur 23 tahun dan berkahwin akhir tahun lalu. Kini saya hamil tiga bulan.

Saya dan suami sebenarnya sibuk dengan tugas masing-masing manakala suami selalu ke luar daerah. Hubungan kelamin kami jarang sekali justeru, saya ada melakukan onani. Adakah perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kepada kandungan?

Risau,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Ia bergantung kepada alat yang digunakan ketika onani dan kawasan kemaluan yang terbabit.

Setiap sentuhan (apatah lagi jika berulang-ulang) boleh mendatangkan risiko jangkitan kuman sama ada pada permukaan kawasan kemaluan atau ke dalam ruang faraj. Malah, jika ia memasuki bukaan saluran kencing, jangkitan kuman boleh menjangkau sehingga ke dalam pundi kencing dan seterusnya ke buah pinggang. Eloklah juga anda mendapatkan pandangan ulama mengenai amalan ini.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Sabtu, 20 Mac 2010

Puas Hanya Beberapa Minit???

Salam sejahtera...

Isu ini mungkin menjadi taboo bagi kebanyakan pasangan yang telah berumahtangga. Namun ada baiknya kita didedahkan dengan fakta yang tepat bagi menggelakkan masalah lain yang berkemungkinan tercetus dari salah faham mengenai tempoh waktu yang ideal bagi hubungan kelamin.

Memetik sumber dari Journal of Sexual Medicine, tempoh hubungan seks yang memuaskan sebenarnya hanya berlangsung sekitar tiga hingga 13 minit. Ini jauh berbeza daripada mitos popular yang mendakwa keperluan aktiviti seks melibatkan berjam-jam lamanya.

Satu kaji selidik ke atas 50 ahli Persatuan Penyelidikan dan Terapi Seks dari Kanada dan Amerika Syarikat juga mengambil kira maklumbalas daripada ribuan pesakit dalam tempoh puluhan tahun.

Secara puratanya,pakar-pakar terapi mendedahkan tempoh aktiviti hubungan seks terbaik adalah dari tiga hingga tujuh minit. Tempoh tujuh hingga 13 minit dianggap tempoh idaman, manakala satu hingga dua minit (terlalu singkat) dan 10 hingga 30 minit adalah terlalu lama.

Diharap data ini boleh membantu mereka yang dianggap pasangan bermasalah bebas dari kebimbangan atau keperluan menerima rawatan mahupun kaunseling.

Khamis, 18 Mac 2010

Dingin Selepas Ikat Peranakan

SOALAN:
Saya dan suami sudah berkahwin selama hampir 10 tahun. Kami bersetuju untuk tidak mempunyai anak lagi dan saya sudah mengikat peranakan saya awal tahun ini.

Masalahnya, hubungan antara kami semakin renggang dan kami tidak bersama seperti dulu (hubungan kelamin kami kini hanya dua atau tiga kali sebulan).

Saya agak buntu, adakah tindakan mengikat peranakan memberikan kesan sedemikian?

Sejak saya melalui proses mengikat peranakan (April hingga kini, Disember), saya tidak lagi didatangi haid. Apakah punca keadaan itu?

Isteri Risau
Melaka


JAWAPAN:
Mengikat tiub falopio hanya menutup laluan tiub falopio. Memandangkan tiub falopio tidak mengeluarkan hormon terutama hormon keperempuanan (estrogen dan progesteron), maka mengikat tiub falopio sepatutnya tidak mengganggu paras hormon anda.

Masalah hubungan seks adalah sesuatu yang lebih kompleks dan lazimnya mempunyai beberapa punca sekal igus. Anda dan suami dinasihatkan berbincang dengan doktor anda secara lebih mendalam.

Setelah doktor anda menerangkan secara visual mengenai prosedur pembedahan mengikat tiub falopio, anda mungkin akan lebih memahami dan tidak menyalahkan pembedahan itu saja.

Lazimnya, setelah wanita mengetahui tidak perlu lagi bimbang akan kemungkinan hamil, ia bukan saja melancarkan haid, malah mengeratkan keintiman hubungan seks.

Kebimbangan atau masalah anda yang mungkin tidak disedari juga mungkin memberi kesan kepada ovulasi anda sehingga menyebabkan gangguan haid.

Namun, eloklah anda juga memeriksa ujian air kencing bagi memastikan ia bukan disebabkan kehamilan. Ada juga laporan mengenai kehamilan setelah mengkat tiub falopio.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Wanita Buang Cyst Khuatir Tiada Zuriat

SOALAN:
Saya seorang isteri berumur 27 tahun dan belum lagi dikurniakan zuriat. Usia perkahwinan saya masuk tahun ketiga.

Saya pernah menjalani pembedahan membuang cyst enam bulan lalu di ovari kiri.

Selepas pembedahan, doktor mengesahkan tiub falopio kiri saya tersumbat manakala di sebelah kanan adalah normal.

Saya risau kerana sehingga kini saya masih belum hamil. Suami ada membuat pemeriksaan kesuburan dan suami tiada masalah.

Doktor ada memberikan saya ubat kesuburan (Clomid), namun setiap bulan saya tetap didatangi haid.

Saya pernah terdengar mengenai rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) dan permanian berhadas (IUI).

Adakah sebarang had umur untuk menjalani rawatan ini?

Berdasarkan masalah saya hadapi, adakah IVF atau IUI lebih berkesan untuk saya?

Apakah perbezaan ketara antara dua rawatan terbabit?

Ita
Shah Alam, Selangor


JAWAPAN:
Anda boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada doktor anda mengenai beberapa perkara berkaitan penyakit anda sebelum mengetahui peluang kehamilan anda tanpa bantuan berbanding dengan bantuan rawatan kesuburan.

Sekiranya pembedahan terbabit dilakukan secara laparoskopi, lazimnya doktor akan memberikan anda cakera padat rakaman pembedahan itu untuk rekod simpanan atau rujukan anda:

1. Jenis cyst terbabit misalnya endometrioma (sejenis endometriosis), cyst korpus luteal, cyst dermoid, cyst epitilial dan seumpamanya.

Lazimnya, dinding cyst ini akan diuji secara histopatologi di makmal dan keputusannya dapat diketahui dalam masa satu hingga beberapa minggu.

2. Punca tiub falopio tersumbat contohnya penyakit radang pelvis (PID).

3. Keadaan tiub falopio lagi satu secara keseluruhannya (misalnya tersumbat, berbonggol-bonggol, jejari fimbriae melekat dan kontot)

4. Keadaan ruang pelvis secara keseluruhannya

Usia anda masih muda, peluang kehamilan anda (lebih-lebih lagi dengan rawatan kesuburan) lazimnya berada pada paras tinggi sebelum seseorang wanita mencapai usia 28 tahun di mana tahap kesuburannya mula menurun.

Secara am, berikut adalah beberapa fakta yang boleh dijadikan panduan:

# Anda dinasihatkan mengambil ubat kesuburan dalam jenis dan dos yang bersesuaian bagi memastikan pada setiap kitaran haid anda, ada saja telur 'cantik' iaitu folikel telur yang besar pada ovari kanan anda.

Ini kerana jika tidak, anda hanya berpeluang hamil (sekitar 15 peratus) jika pada kitaran terbabit telur keluar dari ovari kanan. Tiada ketetapan atau giliran bagi seseorang wanita untuk ovulasi berlaku dari ovari kanan atau ovari kiri. Seseorang boleh mengalami ovulasi dari ovari kiri berturut-turut sebelum diselangi dari sebelah kanan pula.

# Pada masa sama, status tiub falopio kanan juga penting diketahui. Jika tiub falopio kanan tidak tersumbat dan berfungsi elok serta ovulasi berlaku dari ovari kanan, anda boleh memilih untuk melakukan hubungan seks atau menjalani rawatan IUI.

# Rawatan IVF memberi peluang kehamilan yang paling tinggi untuk mana-mana wanita, lebih-lebih lagi pada golongan usia anda. Cuma, kosnya juga jauh lebih tinggi iaitu antara RM8,000 hingga RM15,000. IVF memintas kegunaan tiub falopio, semua telur anda dari sebelah kiri dan kanan boleh disedut keluar dan digunakan melalui satu prosedur pembedahan khas.

Kemudian telur ini akan disatukan bersama-sama sperma suami anda untuk persenyawaan membantu embrio sebelum dimasukkan semula ke dalam rahim anda.

Bagaimanapun, peluangnya juga bukanlah 100 peratus. Sekiranya anda sudah bersedia, IVF memberi peluang yang paling tinggi. Namun, jika belum, anda boleh mengambil ubat kesuburan disusuli pemantauan menggunakan ultrabunyi trans-vaginal bagi memantau perkembangan telur di sebelah ovari kanan.

Kemudian, apabila sudah sampai waktu subur, anda bolehlah mengambil suntikan pencetus ovulasi sebelum menjalani IUI. Jika tidak berkemampuan untuk menjalani IUI, hubungan seks boleh dilakukan, tetapi memberi peluang kehamilan yang paling rendah antara ketiga-tiga ini.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Perit Ketika Buang Air Kecil

SOALAN:
Saya berusia 19 tahun dan sudah berkahwin. Masalahnya, sejak akhir-akhir ini bahagian faraj saya sering berasa pedih dan perit apatah lagi selepas membuang air kecil.

Ini membuatkan saya rasa tidak selesa untuk melakukan sebarang pekerjaan.

Baru-baru ini, saya ada terbaca di satu artikel yang menyatakan peranakan seseorang itu turun dan menyebabkan rasa sakit setelah membuang air kecil.

Untuk pengetahuan doktor, saya juga kerap melakukan hubungan intim bersama suami.

Adakah kekerapan mengadakan hubungan intim itu boleh mengakibatkan faraj berasa pedih selepas membuang air kecil?

Ann
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Perit setelah membuang air kecil mungkin berpunca daripada luka, sama ada luka melecet akibat hubungan seks atau luka melecet akibat jangkitan kuman.

Bukan mudah untuk rahim jatuh, lebih-lebih lagi pada usia anda serta belum pula melahirkan anak. Rahim juga tidak berulang kali turun naik (setelah mengurut). Pemeriksaan doktor dapat mengesan lokasi luka terbabit. Rawatan yang bersesuaian juga boleh diberikan.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 17 Mac 2010

'Biji Angin' Pada Alat Sulit

SOALAN:
Saya mengalami masalah di bahagian alat sulit saya iaitu timbul biji yang sakit apabila disentuh. Ia juga pedih setiap masa kerana biji itu betul-betul timbul di kemaluan saya secara tiba-tiba.

Ibu saya berkata itu adalah biji angin. Katanya, ia akan hilang sendiri. Saya bimbang sama ada ia boleh mengganggu kesihatan. Apakah saranan doktor?

Iza,
Johor Bahru, Johor


JAWAPAN:
Anda tidak menyatakan lokasi terperinci biji terbabit. Seeloknya, anda menjalani pemeriksaan doktor kerana biji pada kawasan kemaluan boleh disebabkan oleh beberapa perkara, sama ada akibat laluan kelenjar tersumbat, ketumbuhan (yang lazimnya benign), jangkitan kuman dan seumpamanya.


Saya belum pernah mendengar istilah biji angin. Lazimnya biji mengandungi cecair, darah, nanah, ketulan lemak atau daging.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my