Peminat Setia

Khamis, 2 Disember 2010

Menyusu Boleh Langsing Badan

SOALAN:
Saya melahirkan anak sulung pada Ogos lalu secara Caesarean. Saya menyusukan anak saya dengan susu badan sepenuhnya.

Saya mula mendapat haid pada usia anak saya dua bulan lebih. Haid berlaku selama enam hari dan saya mula solat pada hari ketujuh. Pada hari ke-11, saya didatangi haid semula selama tiga hari.

Adakah ini normal bagi ibu yang menyusukan anak dengan susu badan sepenuhnya? Saya juga ingin memulakan rawatan di pusat pelangsingan.

Bilakah waktu yang sesuai untuk mula melakukannya? Adakah rawatan ‘sauna infrared’ selamat diamalkan oleh ibu yang menyusukan bayinya?

Atie,
Johor


JAWAPAN:
Hormon prolaktin yang meningkat sewaktu penghasilan susu badan boleh menyebabkan gangguan ovulasi dan kesan terhadap haid.

Haid lazimnya menjadi sedikit sahaja, malah ia juga boleh tiada sama sekali terutama jika menyusu badan sepenuhnya.

Kadangkala ia boleh menyebabkan gangguan haid seperti yang anda alami.

Bagaimanapun, anda boleh menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai penyebab lain gangguan haid.

Sukar untuk menjawab sama ada kaedah infrared selamat untuk ibu mahupun ke atas susu yang dihasilkannya berbanding kaedah yang sudah berpuluh atau ratusan tahun digunakan.

Anda perlu mendapatkan laporan hasil kajian yang dikatakan oleh pusat rawatan terbabit dan mengkajinya dari sudut statistik.

Kajian saintifik perubatan moden lazimnya menggunakan analisis statistik untuk mengetahui perbandingan kesan sesuatu rawatan sama ada penting ataupun tidak dan bukannya membandingkan angka bulat atau peratus terbabit sahaja. Sebagai contoh, pancaran sinar matahari berlebihan atau berterusan dikenal pasti sebagai faktor risiko kanser kulit.

Penyusuan badan itu sendiri adalah salah satu kaedah rawatan pelangsingan badan semula jadi.

Di samping itu, pemakanan berkhasiat dalam kalori yang memadai untuk wanita yang menyusu badan serta senaman fizikal secara rutin sangat penting.

Mengambil jalan singkat tanpa disertai bukti kajian saintifik menyeluruh mungkin boleh mendatangkan mudarat terhadap dua organ penting dalam pemprosesan dan metabolisme bahan iaitu hati dan buah pinggang mahupun kesan terhadap mutasi atau sebaliknya, pembahagian sel tubuh.

Dalam perubatan moden, setiap rawatan atau ubat mempunyai kesan sampingan tersendiri dan ini bermakna ia bukanlah selamat atau sesuai 100 peratus.

Kita perlu berhati-hati dan lebih bersikap kritikal dengan istilah yang digunakan dalam pemasaran.

Sebagai contoh, istilah ‘membantu’ dan ‘mungkin’ sering dikaburi keghairahan kita atau diabaikan makna sebenarnya terhadap hasil kajian.

Ia satu penemuan penting atau bersejarah sekiranya terdapat kaedah atau pemakanan yang mempunyai kuasa terhadap detoksifikasi badan atau darah.

Ini kerana ia bermakna peluang mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang terus menjadi cerah dan tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis atau bergantung kepada penderma buah pinggang untuk pemindahan organ itu.

Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my