Peminat Setia

Jumaat, 29 Jun 2007

Ingin Hamil Selepas Dua Kali Gugur

SOALAN:
SAYA berusia 27 tahun dan belum mempunyai anak. Saya pernah keguguran dua kali sebelum ini. Selepas gugur kali kedua doktor sahkan saya menghidap endometriosis.

S
aya menjalani pembedahan dan doktor menyarankan saya pantang selama enam bulan sambil mengambil ubat dimetriose dua biji seminggu.

Adakah saya boleh hamil semula tanpa mengalami keguguran? Bagaimana cara untuk mengelak berlaku endometriosis ini?

Saya harap doktor dapat membantu saya kerana tempoh enam bulan itu berakhir Mei ini. Saya bercadang untuk hamil lagi buat masa terdekat ini kerana takut cyst berkenaan berulang.

Isteri Risau,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KEBANYAKAN keguguran berpunca daripada masalah pembentukan janin dan ia tidak berulang. Endometriosis adalah sejenis penyakit kronik khusus kepada wanita saja, perkembangannya bergantung kepada hormon estrogen wanita.

Ia hanya menjadi berkurangan selepas wanita mengalami menopaus atau selepas menjalani pembedahan membuang kedua belah ovari. Rawatan endometriosis kebiasaannya bersifat sementara saja.

Pembedahan membuang cyst endometriosis (juga disebut endometrioma atau chocolate cyst) dan tisu endometriosis pada permukaan rahim, dinding pelvis dan seumpamanya dilakukan untuk membuang endometriosis semaksimum mungkin.

Pada peringkat ketiga dan keempat, kebiasaannya pembedahan akan disusuli dengan rawatan ubat-ubatan suntikan ataupun pil selama tiga hingga sembilan bulan mengikut keperluan. Rawatan ubat-ubatan ini menjadikan tubuh kekurangan hormon estrogen, lantas tisu lebihan endometriosis yang tertinggal terus menjadi tidak aktif.

Endometriosis peringkat ketiga dan keempat mempunyai kaitan dengan masalah kesuburan. Proses rawatan kesuburan lazimnya dimulakan sejurus selepas rawatan endometriosis tamat, jika tidak perubahan hormon pada setiap kitaran haid akan datang mendedahkan anda kepada serangan endometriosis kembali. Kehamilan juga satu bentuk rawatan endometriosis. Berjumpalah doktor anda untuk rawatan seterusnya.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 28 Jun 2007

Kandungan Molar Berpotensi Jadi Kanser

SOALAN:
SAYA berusia 26 tahun dan mempunyai dua anak berusia enam dan empat tahun. Pada Julai 2003, saya disahkan hamil dan dijangka bersalin pada April 2004 tetapi pada Februari 2004, saya mengalami keguguran anggur (molar pregnancy) walaupun pada masa itu, kandungan saya sudah berusia lingkungan tujuh bulan.

Saya dinasihatkan membuat pemeriksaan susulan dan tidak boleh hamil sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh itu. Disebabkan jadual kerja padat, saya tidak membuat pemeriksaan susulan.

Apakah kesannya mengabaikan pemeriksaan itu? Untuk pengetahuan doktor, saya kini tidak mengamalkan sebarang kaedah merancang kehamilan namun hingga kini masih tidak hamil. Adakah tahap kesuburan boleh menurun disebabkan perkara berkenaan?

Fidza,
Taman Johor Jaya, Johor

JAWAPAN:
KANDUNGAN anggur (molar pregnancy) kebiasaannya dikesan pada tiga bulan pertama kehamilan. Ia boleh memberikan tanda loya, muntah pening kepala yang terlampau disebabkan kandungan hormon kehamilan (ß-hCG) yang berlebihan.

Pemeriksaan ultrabunyi juga dapat mengesan kandungan molar sebelum ia menyebabkan tanda yang lebih teruk seperti pendarahan banyak. Sebaik saja dikesan, kandungan molar perlu dikeluarkan melalui proses “suction&curettage” dan disahkan melalui ujian makmal.

Sangat jarang kandungan molar tidak dapat dikesan sehingga tujuh bulan melainkan jika ia bersifat separa molar. Ini dapat disahkan melalui pemeriksaan makmal (ujian histopatologi) ke atas uri terbabit. Di dalam kandungan molar lengkap pula, tiada bayi wujud melainkan hanya tisu molar saja (menyerupai gugusan anggur kecil).

Wanita yang mengalami kandungan molar dinasihatkan tidak hamil dalam masa dua tahun pertama atas sebab berikut:

- Kandungan molar berpotensi menjadi sejenis kanser (choriocarcinoma).

- Pemeriksaan susulan bertujuan mengesan kanser terbabit dan memberi rawatan (kemoterapi). Peluang sembuh dengan rawatan dilaporkan tinggi sehingga 100 peratus.

- Ujian darah (ß-hCG) dilakukan bagi mengesan kemungkinan kandungan molar aktif semula atau menjadi kanser.

- Kehamilan juga menyebabkan kehadiran hormon yang sama (ß-hCG), ini menyebabkan sukar membezakan sama ada seseorang turut mengalami pengaktifan semula molar ataupun kanser. Dalam hal ini, rawatan kemoterapi terpaksa diberi (walaupun sebenarnya ia mungkin tidak perlu).

Kandungan molar tidak menyebabkan wanita sukar hamil berikutnya. Malah, golongan ini dinasihatkan mengamalkan kaedah pencegah kehamilan untuk mengelakkan mereka hamil buat tempoh seperti di atas. Untuk memastikan anda tidak mempunyai keadaan lanjutan kesan kehamilan molar terdahulu anda perlu menjalani pemeriksaan doktor serta pemeriksaan kesuburan.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Isteri Risau Kerap Gugur

SOALAN:
SAYA berusia 30 tahun dan berkahwin selama empat tahun. Saya sering mengalami keguguran namun, selepas pemeriksaan, doktor mengatakan tiada masalah pada darah dan air kencing, begitu juga selepas pemeriksaan sinaran-x pada rahim. Apakah saranan doktor terhadap masalah saya ini?

Ingin Tahu,
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN:
BERJUMPALAH dengan pakar sakit puan dalam hal ini. Jika benar anda pernah sering keguguran (terutama tiga kali berturut-turut atau lebih), satu siri ujian darah dilakukan bagi mengesan puncanya.

Sebahagian punca jika dirawat dapat menyelamatkan kandungan berikutnya dengan berkesan. Jika tidak, risiko keguguran semakin tinggi iaitu sehingga 60 peratus.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Rabu, 27 Jun 2007

Wanita Resah Uri Ke Bawah

SOALAN:
SAYA berusia 34 tahun dan kini hamil anak kedua. Kandungan saya kini memasuki bulan ketiga. Selepas menjalani ujian ultrabunyi doktor memberitahu keadaan uri saya berada di bawah.

Bagaimanakah ia boleh berlaku sedangkan kandungan pertama tidak bermasalah sebegini? Apakah yang perlu saya lakukan? Apakah rawatan untuk menaikkan kembali uri? Bolehkah saya berurut untuk menaikkan uri?

Fina,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KEADAAN uri di bawah lebih bergantung kepada lokasi perlekatan embrio pada dinding rahim. Bagi embrio yang melekat di bahagian atas, ia tidak mempunyai masalah ini.

Sebaliknya, jika ia melekat di bahagian bawah rahim, uri yang kemudian terbentuk juga berada di bawah. Namun, tidak semua keadaan uri bawah akan kekal di bawah.

Uri mungkin ‘beralih kedudukan’ ke atas disebabkan pengembangan atau kenaikan dinding rahim terutama selepas berlaku pembentukan segmen bawah yang mampu menjarakkan kedudukan uri dari pintu rahim.

Jika uri sudah ‘naik’ ke atas, ia tidak akan turun semula. Namun, dalam 10 peratus kes, ia kekal di bahagian bawah dinding rahim apabila anda memasuki bulan ketujuh dan anda dikatakan mengalami keadaan plasenta previa (yang bermaksud uri di bawah).

Plasenta previa lebih ditemui dalam keadaan berikut:

- Grandmultipara iaitu sudah melahirkan lima anak atau lebih sebelumnya

- Usia

- Pernah mengalami plasenta previa dalam kehamilan terdahulu

- Pernah menjalani pembedahan Caesarean

- Kehamilan kembar

- Merokok

- Pernah menjalani D&C

- Kedudukan bayi tidak normal

Beberapa panduan boleh diguna pakai:

-Memilih untuk bersalin di hospital yang dilengkapi kemudahan bersalin pembedahan Caesarean dan pembedahan histerektomi (jika perlu), bekalan darah dan unit rawatan rapi (termasuk bayi).

-Mengikut lawatan antenatal secara berjadual.

-Pemakanan mencukupi dan mengambil tambahan pil zat besi bagi memastikan paras hemoglobin darah yang optimum (ujian darah antenatal bagi paras hemoglobin dan kumpulan serta jenis rhesus darah lazimnya sudah dilakukan pada masa ini).

-Bersedia untuk kemasukan wad bagi tempoh yang lama (lebih bergantung kepada jenis plasenta previa, episod pendarahan dan jarak masa dari rumah ke hospital). Ini termasuk membuat persiapan persalinan serta mengaturkan hal ehwal penjagaan anak dan suami.

-Segera ke hospital sekiranya mengalami pendarahan walaupun sedikit.

Corak pendarahan lazimnya tidak menentu, ia boleh menjadi banyak secara tiba-tiba dan berterusan atau sebaliknya berhenti dengan sendirinya.

-Bersedia untuk menjalani pembedahan Caesarean (kecuali plasenta previa kecil yang tidak disertai masalah pendarahan).

Lazimnya, pembedahan ini dijalankan sekitar dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan bersalin berikutan ketika itu janin sudah cukup matang. Jika menunggu lebih lama, ia mendedahkan risiko pendarahan atau didatangi sakit bersalin.

-Faham kemungkinan tumpah darah serta keperluan pemindahan darah.

Tiada rawatan untuk ‘menaikkan’ uri. Kepercayaan berurut dapat menaikkan atau sengkak anggota peranakan wanita (termasuk uri) tidak tepat.

Uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim kecuali hanya selepas bayi dilahirkan. Uri juga tidak dapat dialihkan kedudukannya.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 26 Jun 2007

Kenal Pasti Selaput Dara

SOALAN:
SAYA inginkan penjelasan mengenai selaput dara. Bagaimana kita mengetahui selaput dara sudah terkoyak atau sebaliknya?

Naz,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
UNTUK mengenalpasti selaput dara (hymen), ia memerlukan pengamatan kerana ia tidak mudah dilihat begitu saja. Dalam posisi berbaring dengan kedua-dua lutut dibengkokkan dan dijarakkan di antaranya. Anda perlu mengenalpasti bukaan faraj terlebih dahulu, ia terletak di antara kedua belah bibir kemaluan kecil pada sempadan belakangnya.

Pada kawasan ini kelihatan seperti tisu lembut berwarna kemerahan yang berkedut-kedut dan mempunyai lubang di tengahnya. Inilah selaput dara. Jika ditegangkan ia berbentuk seperti rim atau cincin tisu lembut sebesar beberapa milimeter saja dan nipis mengelilingi suatu bukaan faraj. Bagi memudahkan pengamatan, bibir kemaluan bolehlah dibuka atau dijarakkan.

Selaput dara boleh koyak pada mana-mana bahagian rim terbabit. Kebiasaannya belahan berada pada bahagian arah jam pukul tiga, enam, sembilan dan 12. Jika tusukan berlaku secara paksaan, belahan biasanya berlaku pada bahagian pukul enam (iaitu berhampiran bukaan lubang dubur). Setelah wanita melalui proses bersalin secara normal (melalui faraj), selaput dara hanyalah berbentuk carikan saja.

Tidak semua selaput dara asal berbentuk begini. Ada kalanya ia mempunyai sekatan dinding di tengah lubangnya. Ada kalanya ia seperti permukaan licin yang mempunyai lubang halus seperti alat tapis. Ada kalanya pula, ia langsung tidak mempunyai lubang dan membenjol apabila seseorang pertama kali didatangi haid, ini dinamakan “imperforate hymen“ dan memerlukan prosedur kecil untuk membuat lubang bukaan bagi membolehkan haid keluar.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Dua Kali Haid Sebulan

SOALAN:
SAYA seorang ibu tunggal berusia 46 tahun. Pada April lalu, saya datang haid dua kali. Selepas habis haid dalam masa lima hari, saya datang haid lagi dua hari tetapi sedikit saja.

Adakah ia petanda menopaus atau masalah lain?

Nur,
Johor Bahru, Johor

JAWAPAN:
MUNGKIN ia petanda menopaus, mungkin juga ia petanda masalah lain. Anda dinasihatkan berjumpa doktor. Gangguan haid seperti ini boleh disebabkan oleh masalah berkaitan ketidaknormalan pada rahim, ovari dan organ lain.

Pemeriksaan dalaman termasuk ujian pap smear, pemeriksaan ultrabunyi dan ujian darah mungkin akan dilakukan. Ujian lanjutan (pengambilan sampel tisu lapisan dalam rahim) juga mungkin perlu. Di samping itu, doktor juga akan memeriksa tekanan darah serta ujian kencing manis.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Isnin, 25 Jun 2007

Haid Tidak Menentu

SOALAN:
SAYA berusia 21 tahun dan belum berkahwin. Saya mempunyai masalah haid tidak teratur sejak di bangku sekolah menengah. Kali pertama saya didatangi haid pada usia 12 tahun. Biasanya haid saya sekitar enam hingga 10 hari.

Adakalanya, jarak di antara haid saya sehingga 130 hari atau lebih. Saya sangat runsing dengan keadaan ini. Saya bertambah risau bila memikirkan risikonya apabila saya mendirikan rumah tangga kelak. Saya pernah diberitahu masalah ini akan selesai apabila sudah berumah tangga. Adakah ia benar?

Liza,
Temerloh, Pahang

JAWAPAN:
KERISAUAN yang makin berterusan juga boleh menyumbang kepada masalah anovulasi (pengeluaran telur) sehingga mengganggu perjalanan haid. Ada yang beranggapan masalah haid sebegini akan pulih selepas berkahwin.

Andaian ini dibuat berdasarkan anggapan bahawa hubungan seks akan membuka saluran yang tersumbat, maka haid akan datang dengan teratur. Ini tidak benar.

Aliran darah haid hanya berlaku dari tempat asalnya (lapisan endometrium pada permukaan dalam dinding rahim) dan terus keluar melalui pintu rahim (serviks) serta ke luar melalui faraj. Lambat atau banyak atau sedikit haid datang bergantung kepada ketebalan lapisan endometrium (melalui rangsangan hormon estrogen) dan pematangannya (melalui rangsangan hormon progesteron).

Hormon estrogen dihasilkan oleh kantung folikel telur yang membesar pada setiap pusingan haid manakala hormon progesteron pula dihasilkan setelah berlakunya ovulasi. Ini bermakna gangguan kepada pembesaran telur serta ovulasi juga akan mengganggu penebalan dan pematangan lapisan haid maka perjalanan haid juga terganggu.

Berjumpalah doktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian berkaitan. Ada pelbagai faktor penyebab ovulasi yang mengakibatkan pusingan haid yang panjang (jarang-jarang). Jika tiada punca dikenal pasti dan ia berkemungkinan akibat tekanan, maka penyelesaian terhadap tekanan terbabit boleh mengembalikan perjalanan haid anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Pasangan Mahu Anak Kembar

SOALAN:
SAYA pernah mengalami keguguran (kali pertama mengandung) dan menjalani proses D&C. Selepas tiga bulan menjalani proses itu, saya tidak datang haid dan dirujuk ke hospital sakit puan.

Saya disahkan tidak mengandung tetapi doktor mengatakan saya mengalami kemurungan dan keadaan itu menyebabkan kitaran haid saya tidak menentu. Saya diberikan ubat dhupaston dan mula memakannya pada 24 Mac 2006 dan akan berakhir tiga bulan lagi iaitu pada Jun ini.

Saya ingin tahu, apakah kemungkinan saya mengandung selepas selesai mengambil duphaston? Saya dan suami inginkan anak kembar, adakah saya boleh hamil anak kembar?

Zura,
Melaka

JAWAPAN:
KEMURUNGAN boleh mengganggu ovulasi (pengeluaran telur) yang sepatutnya berlaku sekali dalam setiap putaran haid wanita. Ketiadaan ovulasi pada bulan tertentu ini boleh mengganggu keseimbangan hormon yang mengawal perjalanan haid. Lazimnya ketiadaan ovulasi menyebabkan ketiadaan pembentukan corpus luteum di dalam ovari yang sepatutnya mengeluarkan hormon progesterone.

Pada wanita yang tidak subur akibat ketiadaan ovulasi, paras hormon progesteronnya tidak meningkat. Pemberian ubat duphaston (dan ubat-ubatan lain yang mengandungi hormon menyamai progesteron) mengembalikan paras hormon progesteron di dalam badan seseorang, ini menjadikan kitaran haidnya teratur semula.

Selepas kemurungan diatasi dan ovulasi berlaku dengan sendirinya, seseorang tidak perlu bergantung lagi kepada ubatan terbabit. Duphaston bukanlah ubat kesuburan mahupun ubat perangsang kesuburan.

Kehamilan kembar lebih berlaku dengan sendirinya pada wanita yang lebih berusia. Keturunan juga memainkan peranan dalam kejadian kembar. Kebanyakan doktor tidak menggalakkan rawatan untuk mendapatkan kembar, ia mempunyai risiko kepada ibu dan janinnya, bilangan janin juga kadangkala melebihi daripada yang diharapkan dan ini menambahkan risiko.

Berbincanglah kembali dengan doktor anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Rabu, 20 Jun 2007

Isteri Takut Hamil

SOALAN:
ISTERI saya menghidap barah perut dan kami baru saja berkahwin. Kami merancang mempunyai anak dalam masa terdekat.

Masalahnya isteri saya takut untuk hamil kerana penyakitnya itu. Apakah yang harus kami lakukan?

Azman,
Putrajaya

JAWAPAN:
PENYAKIT barah perut jarang menyerang wanita. Lazimnya pesakit mana-mana barah perlu menjalani pemeriksaan doktor, seeloknya doktor pakar sakit puan dan pakar bedah am membuat penilaian tahap kesihatan isteri anda.

Beliau juga dinasihatkan mendapatkan maklumat tambahan mengenai penyakitnya (tahap penyakit, rawatan yang dilakukan, rawatan tambahan serta keputusan ujian makmal) untuk dikongsi bersama dengan doktor ini.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tidak Perlu Guna Kaedah Cegah Kehamilan Apabila Menopaus

SOALAN:
SAYA berusia 50 tahun dan haid sudah berhenti dua tahun lalu. Dalam tempoh dua tahun ini, saya masih melakukan hubungan seks dengan suami.

Sebelum ini, suami saya menggunakan kondom tetapi baru-baru ini, dia enggan menggunakan kondom lagi.

Katanya, ia tidak akan menyebabkan saya hamil jika dia tidak memakai kondom kerana haid saya sudah berhenti. Adakah ini benar?

Ping,
Ipoh, Perak

JAWAPAN:
PADA usia puan tidak lagi didatangi haid selama tempoh itu sudah pun dikategorikan sebagai menopaus (putus haid). Ini bermakna kedua-dua kilang telur (ovari) puan sudah berhenti berfungsi mengeluarkan telur, puan juga sudah tidak subur.

Untuk kepastian, puan boleh menjalani ujian darah hormon perangsang folikel telur (follicular stimulating hormon atau FSH), jika melebihi 40 IU/ml puan sudah dikatakan mengalami menopaus. Tidak perlu lagi menggunakan sebarang kaedah mencegah kehamilan termasuk kondom.

Puan juga dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan malah banyak hospital kini menawarkan pakej saringan kesihatan termasuk:

- Pemeriksaan tekanan darah

- Pemeriksaan fizikal termasuk jantung, payu dara dan bahagian peranakan

- Ujian air kencing dan ujian darah (seperti paras gula dan kolesterol)

- Ujian pap smear

- Pemeriksaan ultrabunyi pelvis

- Ujian mamogram

- Sinaran-x dada

Selain itu, berbincanglah dengan doktor mengenai amalan penjagaan pemakanan sihat, senaman (termasuk senaman penjagaan tulang atau osteoporosis dan senaman kegel otot dalaman faraj) serta pengawalan perubahan akibat menopaus.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 19 Jun 2007

Mas Cotek

Mas Cotek merupakan pusaka asli wanita dalam warisan perubatan Melayu. Ia diamalkan bagi mengecutkan saluran peranakan dan merapatkan pintu rahim serta mengembalikan rahim pada kedudukan asal serta mengukuhkannya. Disamping itu, dipercayai rebusan daun Mas Cotek juga mampu memecah lemak serta membuang kolestrol berlebihan dalam saluran darah dan menghindari pengamal dari sakit kepala (migraine) dan angin ahmar.

Air rebusan daun, batang, akar, dan buah Mas Cotek terbukti dapat menyembuhkan penyakit paru-paru berair, sakit pinggang, mengurangkan keletihan, dan yang paling utama ialah ia mampu meningkatkan keinginan seks bagi pasangan suami isteri. Ia juga dipercayai dapat bertindak balas terhadap rangsangan hormon lelaki untuk meningkatkan daya ketegangan alat kelamin. Daun Mas Cotek boleh dipetik dan dikunyah semasa segar.

Ia juga boleh dikeringkan agar lebih tahan lama. Apabila diperlukan, rebus daun kering tadi dan minum airnya bagi memulihkan tenaga.

Antaranya penyakit yang dapat dibantu:

  1. Mengeluarkan toksin dalam badan
  2. Melancarkan perjalanan darah
  3. Sakit urat saraf
  4. Gout
  5. Kencing manis
  6. Darah tinggi
  7. Membuang kolestrol dan lemak
  8. Buasir
  9. Migraine
  10. Paru-paru berair
  11. Pemulih tenaga batin
  12. Sakit puan
  13. Senggugut
  14. Sakit pinggang
  15. Keletihan
  16. Masalah tidur
  17. Rangsangan hormon lelaki
  18. Mengecutkan rahim peranakan
  19. Merapatkan pintu rahim
  20. Sakit lutut
  21. Mencantikkan dan melicinkan kulit
  22. Demam/ Selesema
  23. Awet muda

Keluar Lelehan Hijau Sejak Keguguran

SOALAN:
SAYA sering sakit pada bahagian ari-ari. Semua berlaku selepas saya keguguran kira-kira tujuh bulan lalu. Ada juga keluar lelehan berwarna kehijauan.

Adakan masalah ini yang menyebabkan saya tidak hamil lagi sehingga sekarang?

Nur Alia,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
LELEHAN kehijauan lazimnya dikaitkan dengan jangkitan kuman penyebab tricomonas iaitu Tricomonas vaginalis, sejenis parasit yang boleh menjangkiti bukan sahaja faraj tetapi juga sehingga ke bahagian dalam organ pelvis (rahim, saluran falopio, ovari dan ruang pelvis).

Ini dinamakan pelvic inflammatory disease (PID). Seseorang yang mengalami jangkitan ini perlu mendapatkan rawatan berupa antibiotik, malah pasangannya juga dinasihatkan mengambil rawatan pada masa sama. Ini bertujuan mengelakkan jangkitan semula daripada pasangannya.

Wanita kebiasaannya mengalami lelehan faraj berwarna kehijauan, banyak, berbuih serta berbau busuk. Manakala lelaki pula kebiasaannya dijangkiti bahagian saluran kencingnya (uretra) tetapi tidak mengalami sebarang gejala.

Untuk kepastian mengenai jenis kuman yang menjangkiti anda sama ada trichomoniasis atau sebaliknya, jalanilah pemeriksaan doktor. Pemeriksaan menggunakan alat spekulum ke dalam faraj membolehkan doktor melihat corak perubahan pada permukaan faraj dan pintu rahim serta jenis lelehan.

Sedikit sampel lelehan juga kebiasaannya diambil untuk pengesahan makmal. Melalui kultur kuman ini, jenis kuman serta rawatan bersesuaian dengannya boleh diketahui.

Jangkitan trichomoniasis adalah sejenis jangkitan yang merebak melalui hubungan seks. Seeloknya seseorang yang mengalami jangkitan ini juga menjalani ujian jangkitan penyakit lain seperti hepatitis, HIV dan seumpamanya.

Ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada organ peranakan dan mengurangkan kesuburan seseorang. Untuk kepastian, jalanilah pemeriksaan doktor.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Elak Hamil Tiga (3) Bulan Pertama Selepas Keguguran

SOALAN:
SELEPAS keguguran, berapa lama tempoh yang disarankan dalam perubatan untuk hamil semula?

Adakah saya mempunyai risiko untuk mengalami keguguran selepas ini? Apakah punca keguguran dan bagaimana untuk mengelakkannya daripada berlaku?

Zana,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
PEMBENTUKAN embrio memerlukan satu telur (ovum) dan satu sperma yang sihat. Satu kajian melaporkan dalam setiap empat telur, hanya satu saja yang mempunyai struktur kromosom yang normal maka tidak menghairankan apabila diketahui peluang pasangan untuk hamil dalam mana-mana satu kitaran haid wanita hanya sekitar 25 peratus saja.

Malah dinyatakan juga keguguran ini berlaku sangat awal sebelum wanita ini sedar dia hamil dan menyangka ia haid saja.

Kejayaan kehamilan juga memerlukan embrio yang sihat di samping faktor lain seperti kesesuaian lapisan endometrium rahim yang merupakan kawasan perlekatan janin dan pembesaran seterusnya.

Lazimnya keguguran yang berlaku dalam masa tiga bulan pertama kehamilan (trimester pertama) berpunca daripada sifat janin yang tidak sihat iaitu mempunyai ketidaknormalan kromosom yang menyebabkan gangguan pembentukan organ penting.

Namun, ujian pengesahan (ujian kromosom) ke atas janin yang keguguran ini jarang dilakukan atas sebab kos dan praktikal (ini kerana ia tidak semestinya berulang atau berkaitan dengan kehamilan seterusnya).

Hanya dalam kes keguguran tiga kali berturut-turut (juga disebut recurrent atau habitual miscarriage) sahaja, satu siri ujian dilakukan termasuk:

- Ujian darah (jangkitan kuman toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes simples).

- Ujian darah lain (profil arthritis, profil tiroid dan kencing manis)

- Sampel lelehan faraj.

- Ujian sinaran-x histerosalpingogram

- Ujian kromosom.

Ada beberapa penyakit yang menyebabkan keguguran berulang, ada penyakit yang boleh dirawat malah perlu dirawat, jika tidak risiko keguguran meningkat kepada 60 peratus.

Semua ujian di atas mungkin tidak dilakukan ke atas anda memandangkan ia baru keguguran pertama. Lazimnya selepas keguguran, wanita dinasihatkan supaya tidak hamil dalam masa dua atau tiga bulan atas beberapa sebab, antaranya untuk mengembalikan kesihatan fizikal dan ketenangan fikirannya (keguguran boleh memberi kesan tekanan) sebelum dia bersedia hamil kembali.

Setelah prosedur D&C pula, waktu terbabit perlu untuk lapisan dalam rahim kembali sihat. Seeloknya berjumpa kembali doktor anda sebelum memulakan kehamilan seterusnya.

Selain itu, mulakan pengambilan pil asid folik sebanyak 5 miligram setiap hari dari sekarang, ini banyak membantu mengurangkan risiko kecacatan otak dan sistem saraf tunjang bayi anda kelak.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Isnin, 18 Jun 2007

Lapan Tahun Kahwin Belum Hamil

SOALAN:
SAYA berusia 35 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin tetapi masih belum mempunyai anak. Saya mempunyai penyakit endometriosis dan sudah dua kali menjalani pembedahan laparotomi serta mengambil suntikan tidak datang haid selama enam bulan.

Empat kali menjalani rawatan kesuburan secara IUI tetapi masih belum hamil. Suami saya menjalani ujian air mani dan didapati normal. Doktor menasihatkan saya menjalani rawatan tabung uji (IVF). Adakah IVF lebih berkesan berbanding rawatan lain? Apakah peluang saya untuk hamil?


Ingin Tahu,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
PROSES kehamilan normal membabitkan perkara berikut:

1. Penghasilan telur matang dan pengeluarannya (ovulasi)

2. Pengambilan telur ke dalam saluran falopio

3. Persenyawaan telur oleh sperma yang sampai kepadanya di kawasan hujung saluran

4. Penghantaran janin melalui saluran ke dalam ruang rahim

5. Perlekatan janin pada dinding rahim

Rawatan permanian berhadas (IUI - Intra Uterine Insemination) bermaksud meletakkan sperma terus ke dalam ruang rahim. Peringkat pertama kebiasaannya dipertingkatkan dengan pemberian ubat kesuburan dan suntikan hormon untuk mengeluarkan telur (ovulasi) pada waktu yang ditetapkan.

Rawatan IVF (In Vitro Fertilization atau persenyawaan tabung uji) membabitkan prosedur menyedut keluar telur yang kemudiannya diletakkan bersama-sama sperma di dalam bekas dan dieram di dalam inkubator untuk persenyawaan dan perkembangan awal janin berlaku.

Ia mengambilalih perkara dua, tiga dan empat. Janin ini kemudiannya diletakkan kembali ke dalam rahim ibu untuk perlekatan dan pembesaran lanjut. Dalam ertikata lain, teknik IVF mengambilalih tugas saluran falopio. Tambahan pula, janin yang digunakan dipilih yang berkualiti (jika ada), maka peluangnya juga lebih tinggi.

Dalam kedua-dua IUI dan IVF, kebiasaannya rangsangan ovari dilakukan melalui pemberian ubat kesuburan dan kemudiannya disusuli dengan suntikan hormon pematangan dan pencetus ovulasi. Air mani juga diproses dan diambil sperma-sperma yang berkualiti sahaja.

Bagi wanita yang mengalami kerosakan saluran falopio (akibat penyakit endometriosis ataupun peradangan pelvis), IVF memberi peluang yang lebih. Malah dalam kebanyakan keadaan, IVF memberikan peluang kejayaan yang lebih, namun ia mungkin agak keterlaluan memandangkan ia memerlukan perbelanjaan yang sangat berbeza mahalnya.

Mungkin sudah tiba masa untuk anda bertukar kepada rawatan IVF. Pada usia ini, berkemungkinan dos ubat-ubatan yang diperlukan adalah lebih, maka kosnya juga lebih mahal. Berbincanglah kembali dengan doktor anda, selepas itu buatlah pilihan yang sesuai dengan keadaan anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Risiko Hamil Lewat Usia

SOALAN:
SAYA berusia awal 40-an dan mempunyai empat anak remaja. Adakah saya boleh mengandung pada usia begini? Adakah sebarang risiko kepada saya dan bayi jika mengandung lagi?

Untuk pengetahuan puan saya sekarang menggunakan kaedah IUCD untuk merancang keluarga.


Aisyah,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KEUPAYAAN wanita untuk hamil sendirinya berhenti selepas menopaus. Selepas didatangi baligh, kesuburan wanita bermula, ia sampai ke kemuncaknya pada usia lewat belasan tahun sehingga awal dua puluhan.

Pada usia 28 tahun, kesuburannya didapati menurun buat pertama kalinya. Pada usia anda, kesuburan sangat menurun, hanya 5 peratus sahaja wanita yang masih subur.

Masalah yang mungkin dihadapi termasuk:

- Sukar hamil (akibat kualiti telur wanita yang semakin menurun dengan pertambahan usia) walaupun dengan rawatan kesuburan. Peluang kejayaan rawatan adalah kurang 5 peratus.

- Memerlukan lebih ubat-ubatan kesuburan bagi merangsang pengeluaran telur (dalam kos berganda mahalnya) .

- Lebih mudah mengalami keguguran akibat pembentukan janin yang kurang sempurna.

- Lebih berisiko mengalami penyakit berkaitan kehamilan sewaktu hamil, semasa bersalin dan selepas bersalin.

- Lebih berisiko mengalami masalah ketidaknormalan kromosom pada janin. (contohnya bagi Sindrom Down : 1 dalam 50 kehamilan berbanding hanya 1 dalam 1000 kehamilan wanita berusia 30 tahun).

Sebahagian ibu menganggap satu dalam 50 hanyalah kecil (iaitu dua peratus sahaja kemungkinan, 98 peratus kemungkinan anda mempunyai bayi yang normal). Namun sebahagian yang lainnya tidak dapat menerima risiko “kecil” ini (yang sebenarnya 20 kali ganda berbanding wanita berusia 30 tahun).

Berbincang kembali bersama suami dan doktor anda. Jika masih meneruskan hasrat ini, mulakanlah pengambilan pil asid folik setiap hari.

Semoga anda cepat hamil dan selamat melahirkan bayi yang sihat sempurna.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 14 Jun 2007

Gamat

Gamat atau nama saintifiknya holothurian stichopuc sp1 adalah hidupan marin yang telah digunakan oleh orang melayu sejak zaman dahulu. Gamat antara kehidupan marin yang diketahui berupaya mengubati dan mempertahankan dirinya secara biologi.

Mengikut sejarah, gamat telah digunakan oleh wanita-wanita sebagai ubat selepas bersalin dan pembedahan, mengubati luka, ulser, sakit dada, kudis, radang paru-paru, serta lelah. Bagaimanapun kaji seledik yang dijalankan oleh pakar saintis menunjukkan gamat juga boleh digunakan sebagai ubat pelalian dan mempercepatkan proses penyembuhan luka. Penggunaan gamat sebagai ubat pelalian lebih berkesan berbanding ubat yang berasaskan kimia dan dadah.


Kini Gamat juga digunakan sebagai anti pembekuan darah untuk menyembuhkan penyakit kardiovaskular dan mempertingkatkan tenaga dalam badan. Gamat kaya dengan protein, kologen dan serabut elastin. Gamat juga mengandungi logam-logam yang diperlukan oleh badan untuk mempertingkatkan metabolisma seperti kuprum, kobalt, magnesium fosforus dan iodin.

Hasil Kajian

Ujian telah dijalankan oleh satu pasukan doktor dari sebuah pusat pengajian tinggi universiti tempatan. 3 ekor tikus putih yang telah dilukakan dan disapu dengan iodin manakala 3 ekor lagi juga dilukakan tetapi disapu dengan ekstrak Gamat .

Hasilnya mendapati 3 ekor yang disapukan dengan ekstrak Gamat sembuh dalam masa 5 hari manakala 3 ekor tikus yang disapukan dengan iodin sembuh dalam masa 11 hari. Hasil dari ujian ini membuktikan Gamat mempunyai antibiotik serta daya mengubat penyakit luka dengan lebih pantas.

Hidap Sawan Hamil

SOALAN:
ISTERI saya hamil anak kami yang kedua. Ketika pemeriksaan di klinik, jururawat mengatakan isteri saya ada tanda sawan mengandung.

Apakah yang dimaksudkan dengan sawan mengandung? Bagaimana cara untuk mengatasinya?

Mengenai isteri saya, dia mula hamil dengan berat badan 45 kilogram (kg). Selepas alahan tiga bulan, beratnya menurun kepada 39 kg. Kemudian, beratnya naik semula dua kilogram setiap bulan dan kini, kandungannya mencapai tujuh bulan dan berat isteri saya 51 kg.

Jururawat menyatakan berat isteri saya naik mendadak justeru dia menyarankan isteri saya mengurangkan berat badan. Jika tidak, kemungkinan isteri saya akan mengalami kekejangan ketika melahirkan anak.

Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

Suami Risau,
Ipoh, Perak

JAWAPAN:
SAWAN mengandung (eklampsia) sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi. Risiko ini lebih kepada ibu yang kali pertama hamil, ibu yang pernah mengalami penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan terdahulu atau ibu yang hamil kali pertama dengan suami baru.

Penyakit darah tinggi termasuk dalam kehamilan berisiko tinggi dan sawan mengandung adalah suatu yang serius.

Bagi wanita yang mempunyai berat badan 45 kg sebelum hamil, penambahan berat badan sebanyak 11 hingga 12 kg sepanjang kehamilan adalah sesuatu yang normal.

Sewaktu trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan), berat badan wanita hamil boleh menurun akibat kurang selera makan serta muntah-muntah. Memasuki trimester kedua (bulan keempat) dan seterusnya, berat badan wanita hamil semakin pulih dan dijangka bertambah sekitar setengah kg setiap minggu (iaitu dua kg setiap bulan).

Pemeriksaan antenatal seharusnya dilakukan mengikut jadual iaitu setiap empat minggu sehingga kandungan berusia 28 minggu (enam setengah bulan), kemudian setiap dua minggu sehingga kandungan berusia 36 minggu (lapan setengah bulan) dan seterusnya setiap minggu sehingga bersalin.

Sewaktu lawatan ini, kehadiran protein dalam air kencing serta pengambilan tekanan darah juga dilakukan, ia dikaitkan dengan penyakit darah tinggi. Pemeriksaan selanjutnya akan dilakukan jika kedua-duanya tidak normal.

Ini termasuk pemeriksaan tekanan darah secara lebih kerap, ujian darah, ujian air kencing terkumpul 24 jam dan seumpamanya. Bagi janin, ultrabunyi dilakukan bagi mengesan kadar pembesaran janin, kekurangan air ketuban serta gangguan aliran darah melalui tali pusat.

Wanita yang mengalami penyakit ini lazimnya turut mengalami penambahan berat badan berlebihan namun ia tidak semestinya. Sawan mengandung juga didapati pada wanita berbadan kurus. Berat badan tidak menyebabkan penyakit darah tinggi, menurunkan berat badan juga tidak mengurangkan tekanan darah.

Isteri anda dinasihati menjalani pemeriksaan antenatal secara dijadualkan bagi mengesan penyakit berkaitan.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Risau Tidak Boleh Hamil Akibat Prolaktin

SOALAN:
USIA saya lewat 20-an dan berkahwin kira-kira dua tahun. Saya mengalami masalah prolaktin yang serius.

Adakah masalah prolaktin itu menyukarkan peluang saya untuk hamil?

Ina,
Alor Setar, Kedah

JAWAPAN:
PROLAKTIN adalah sejenis hormon merangsang penghasilan susu. Hormon ini dihasilkan oleh suatu kelenjar di bahagian otak (kelenjar pituitari). Dalam keadaan biasa, hormon prolaktin ada di paras yang rendah sahaja dan sewaktu kehamilan ia meningkat sehingga sepuluh kali ganda untuk menghasilkan susu.

Ia juga boleh disebabkan oleh penyakit ketumbuhan pada kelenjar pituitari, seseorang turut mengalami petanda ketumbuhan pituitari (pening kepala, gangguan penglihatan, loya, muntah dan seumpamanya). Dalam keadaan ini, ia juga boleh mengeluarkan susu.

Hiperprolaktinemia boleh mengganggu kesuburan seseorang. Ia menyebabkan kekurangan penghasilan hormon progesteron (hormon wanita), gangguan pengeluaran telur (masalah ovulasi) dan gangguan haid (tidak teratur atau tiada langsung).

Penting untuk mengenal pasti punca peningkatan hormon prolaktin pada anda terlebih dahulu. Prolaktin juga boleh meningkat sedikit sewaktu dalam keadaan tidur, tekanan, hubungan seks, senaman, rangsangan puting payudara dan ubat-ubatan tertentu.

Mempunyai kekurangan hormon tiroid juga boleh menyebabkan peningkatan prolaktin. Dalam 30 peratus kes, tiada penyebab peningkatan hormon prolaktin yang dikenal pasti.

Rawatan berbentuk ubat pil lazimnya diberikan untuk mengurangkan hormon prolaktin, keperluannya bergantung kepada penilaian doktor.

Di samping itu, paras hormon lain (yang turut dihasilkan oleh kelenjar pituitari) juga diuji bersama ujian sinaran x dan selanjutnya (seperti MRI).

Tidak semestinya semua kes berlebihan hormon prolaktin memerlukan ubatan. Amnya, haid dan pengeluaran telur dijangka kembali pulih dalam masa enam minggu selepas paras hormon menjadi normal. Jika tidak, ubat kesuburan mungkin turut perlu digunakan.

Dalam penilaian masalah kesuburan, anda dan suami perlu menjalani pemeriksaan doktor. Anda mungkin mempunyai masalah lain, suami juga begitu.

Lelaki yang mempunyai kurang bilangan sperma juga mungkin mempunyai masalah prolaktin.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Rabu, 13 Jun 2007

Manjakani

Manjakani, dianggap sebagai buah `ajaib', dihasilkan melalui proses metamorfosis apabila sejenis serangga penyengat yang hinggap dan menetaskan telurnya di atas daun pokok oak. Telur yang menetas menghasilkan enzim-enzim yang merangsang bekalan makanan pada sel-sel daun sehingga terbentuknya satu bebola keras yang dipanggil Manjakani.

Manjakani telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sejak berkurun lamanya oleh orang-orang Arab , Iran , India , Cina dan Melayu. Malah ia dipercayai telah mula digunakan sejak 2725 Sebelum Masehi oleh orang-orang Mesir Purba. Kajian menunjukkan bahawa Manjakani kaya dengan tannin, asid tanik, anti-oksida, vitamin (terutama vitamin A dan C), kalsium, serat, protein, zat besi dan karbohidrat. Manjakani juga mengandungi unsur-unsur seperti astrigen, anti-mikrobial, anti-inflamasi, anti-oksida dan anti-radang.

Manjakani sering digunakan untuk tujuan-tujuan berikut dalam perubatan:

  • Awet muda: Anti-oksida dalam Manjakani boleh melambatkan proses penuaan sel;
  • Pencegahan kencing manis: Asid Galik boleh mencegah kencing manis dan lelah;
  • Pencegahan barah payudara dan rahim: Anti-oksida dalam Manjakani boleh mencegah barah buah dada dan barah rahim;
  • Pencegahan bau yang tidak diingini: Manjakani yang bersifat astrigen boleh membasmi kuman yang mengakibatkan bau yang tidak selesa pada faraj;
  • Merawat otot-otot dalam faraj: Tannin yang terdapat dalam Manjakani mempunyai sifat menegangkan semula otot-otot dalam faraj dan menyebabkan faraj menjadi sempit semula;
  • Mengawal lendir dan lelehan faraj: Astrigen juga mampu menyerap lebihan darah haid dan nifas;
  • Mengecutkan semula tisu-tisu: Astrigen membantu mengecutkan semula tisu-tisu di dalam faraj terutama selepas bersalin;
  • Menegang dan mencantikkan kulit: Astrigen boleh mencantikkan kulit dan mencegah masalah kulit muka seperti jerawat;
  • Mata yang sihat: Astrigen terbukti dapat memberikan penglihatan yang jelas kerana ia dapat mengecutkan tisu-tisu mata;
  • Merawat payudara: Oleh kerana Manjakani dapat menegangkan kembali otot-otot, maka amalan mengambil minuman Manjakani dapat memperbaiki payudara yang hilang sifat keanjalannya;
  • Gigi dan tulang: Kalsium dalam Manjakani dapat membantu menguatkan gigi dan tulang;
  • Mulut: Astrigen dalam Manjakani dapat mengekalkan kebersihan mulut;
  • Kulit kering dan berminyak: Astrigen dapat mengekal dan mengawal keseimbangan lembapan kulit;
  • Merawat ulser: Amalan meminum Manjakani juga dapat membantu merawat penyakit ulser;
  • Melawaskan pembuangan air kerana Manjakani mempunyai serat makanan yang tinggi.
  • Vitamin, zat galian serta karbohidrat dan protein boleh membantu memberi kesihatan yang baik.

Kemaluan Gatal Akibat Keputihan

SOALAN:
SAYA kini hamil lapan bulan. Masalahnya saya kerap mengalami keputihan sehingga menyebabkan kegatalan serta kepedihan pada kemaluan. Saya sudah berjumpa doktor dan diberi pil yang dimasukkan ke dalam faraj namun masalah keputihan masih berlaku lagi. Adakah ia membahayakan kandungan saya?

Alis,
Johor Bahru

JAWAPAN:
MASALAH keputihan lebih kerap berlaku dalam kehamilan akibat perubahan hormon di dalam faraj. Lazimnya ia disebabkan oleh kulat Candida spp. Lantas kebanyakan doktor memberikan pil antikulat yang dimasukkan ke dalam faraj.

Namun, kadangkala ia sebenarnya jangkitan kuman lain. Memandangkan ia berulang, anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan bahagian kemaluan.

Melalui pemeriksaan luaran, ciri-ciri seperti perubahan warna kulit kemaluan, ulser dan bintil berair seperti melecur juga mungkin menandakan jangkitan selain kulat terbabit.

Pemeriksaan dalaman juga dapat menunjukkan ciri-ciri lendir serta perubahan pada dinding faraj dan pintu rahim, ini dapat membantu doktor mengetahui jenis kuman yang terbabit serta memberikan rawatan bersesuaian. Sedikit lendir kebiasaannya diambil untuk mengesahkan jenis kuman dan rawatan bersesuaian dengannya.

Jangkitan kulat lazimnya tidak membahayakan kandungan. Jika ia masih ada sewaktu kelahiran normal, ia boleh menyebabkan jangkitan pada ruang mulut bayi “thrush oral”, ini bukanlah masalah serius dan ia mudah dirawat. Ada jangkitan lain yang boleh memberi kesan serius kepada bayi jika berterusan sewaktu kelahiran normal kelak seperti herpes. Berjumpalah doktor untuk kepastian.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Bimbang Sindrom Edward Berulang

SOALAN:
SAYA berusia 30 tahun dan ibu tiga orang anak. Dua anak pertama dilahirkan secara normal.

Anak ketiga dilahirkan secara pembedahan dan disahkan menghidap Sindrom Edward sejurus selepas dilahirkan (pada Disember 2006) tetapi bayi itu meninggal dunia selepas 31 hari dilahirkan.

Berapa lama tempoh sesuai untuk saya hamil kembali? Apakah jenis rawatan yang patut diikuti sebelum hamil untuk mengelak perkara sama berulang?

Apakah kemungkinan kandungan berikutnya mengalami sindrom yang sama?

Hanis,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
SINDROM Edward ialah sejenis ketidaknormalan kromosom. Ia adalah penghasilan satu lagi kromosom pada kromosom ke-18 (daripada dua sahaja menjadi tiga), maka ia juga disebut Trisomy 18. Sindrom Edward ialah trisomi kedua paling kerap ditemui selepas Trisomy 21 (juga dinamakan sindrom Down).

Selain itu ada juga Trisomy 13 (sindrom Patau), manakala ketidaknormalan kromosom yang lain kebanyakannya berakhir dengan keguguran awal. Sindrom Edward berlaku dalam 1:3000 kehamilan atau 1:6000 kelahiran hidup di mana 80 peratus kes membabitkan bayi perempuan (tiga kali ganda membabitkan bayi perempuan berbanding lelaki).

Setiap orang mempunyai 46 kromosom (23 pasang kromosom) dalam setiap sel tubuhnya. Mempunyai lebihan kromosom pada kromosom 18 (trisomi 18) bermakna seseorang bayi itu mempunyai lebihan maklumat pada setiap selnya (berjumlah 47 kromosom).

Ini memberi kesan kepada pertumbuhannya sehingga menyebabkan gangguan kepada pembentukan organ seperti:

- Ketidaknormalan jantung, sistem pernafasan dan buah pinggang

- Bentuk kepala seperti menonjol pada bahagian belakang, mulut dan dagu bersaiz kecil, kedudukan telinga lebih rendah, jarak antara mata yang luas dan kelopak mata atas yang menurun.

- Ketidaknormalan tulang n Susunan tulang jari tangan dan kaki

- Gangguan pembesaran tubuh dan gangguan perkembangan mental

Berbeza dengan sindrom Down, sindrom Edward lazimnya tidak bertahan lama. Separuh kes berakhir dengan keguguran atau kematian dalam kandungan.

Bayi yang lahir hidup pula tidak dapat bertahan lama, 50 peratus daripadanya meninggal dalam tempoh dua bulan kelahiran dan angka ini meningkat kepada 90 peratus sebelum bayi mencapai usia setahun, kebanyakannya disebabkan masalah pernafasan dan ketidaknormalan jantung.

Secara amnya, dalam setiap kandungan seterusnya, risiko untuk sindrom Edward kurang daripada satu peratus.

Maklumat kromosom bayi anda dahulunya amat penting diketahui untuk mengetahui risiko sindrom Edward berulang:

- Trisomi 18 sebenar (non-disjunction meiosis) berlaku dalam 90 peratus kes namun risiko berulang rendah (hanya kurang daripada satu peratus).

- Trisomi 18 mosaik (non-disjunction mitosis) berlaku dalam 10 peratus kes, risiko berulang lebih rendah.

- Kromosom 18 translokasi jarang berlaku namun risiko berulang paling tinggi kerana ia boleh bersifat keturunan. Anda dan suami seeloknya turut menjalani ujian kromosom jika bayi dahulu mempunyai translokasi Trisomi 18.

Selain itu, peningkatan usia wanita juga memberikan risiko ketidaknormalan kromosom yang lebih tinggi seperti sindrom Edward dan sindrom Down.

Setakat ini, sindrom Edward belum boleh dicegah atau dirawat. Tiada kaedah atau petua untuk mencegahnya daripada berlaku. Ujian yang ada hanyalah untuk mengesan kehadirannya pada embrio atau janin atau bayi.

Bergantung kepada jenis ujian, ia hanya boleh dikesan selepas pembentukan embrio sama ada pada peringkat embrio, janin atau selepas lahir.

Sekiranya bayi dahulu mempunyai translokasi kromosom 18, seeloknya anda menjalani mana-mana ujian di bawah.

- CVS (chorionic villous sampling) dilakukan pada sekitar 10 hingga 12 minggu kehamilan secara mengambil sampel daripada uri. Jarum panjang akan dimasukkan melalui kulit abdomen, menembusi rahim sehingga kepada uri.

Sel uri ini akan dilakukan ujian kromosom. Risiko keguguran akibat prosedur ini sekitar dua peratus.

- Amniocentesis dilakukan sekitar 14 hingga 18 minggu kehamilan secara mengambil sampel air ketuban menggunakan jarum panjang yang ditusuk melalui kulit abdomen menembusi rahim. Sel bayi yang menggelupas dan terapung di dalam air ketuban ini akan diuji ujian kromosom. Risiko keguguran sekitar satu peratus.

- Jika menggunakan teknik persenyawaan tabung uji, sel pada embrio yang terbentuk akan diambil untuk ujian kromosom melalui kaedah PGD (Pre-implantation genetic diagnosis). Harus diingat, tidak semua ujian ketidaknormalan janin dilakukan, ia lebih bergantung kepada bahan uji yang tersedia.

Lebih mudah lagi untuk menjalani ujian saringan (tidak tepat keputusannya) namun ia hanya membantu dan bukanlah bersifat diagnostik:

Memandangkan anda sudah bersalin secara pembedahan, lazimnya tempoh dua hingga tiga tahun digalakkan sebelum anda hamil lagi.

Keutuhan dinding rahim anda kini tidak seperti wanita yang tidak pernah menjalani pembedahan Caesarean, anda juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk keadaan yang dinamakan ‘parut merekah’ atau ‘rahim pecah’ (scar dehiscence atau uterine rupture) ketika kehamilan trimester ketiga atau ketika sakit bersalin kelak.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 12 Jun 2007

Suami Cari Waktu Terbaik

SOALAN:
SAYA sudah setahun berkahwin. Umur saya 30 tahun dan isteri 28 tahun. Kami sihat dan cuba mendapatkan anak sejak Disember 2005 tetapi hingga kini masih gagal. Kami kerap melakukan hubungan seks pada waktu malam dan tiga hari berturut-turut selepas isteri kedatangan haid 10 hari.

Ada kalanya selepas melakukan hubungan seks, isteri saya terus ke tandas. Kini kami mengambil suhu ovulasi iaitu mencatat suhu terendah, barulah melakukan hubungan.

Saya ingin tahu, adakah melakukan hubungan seks setiap hari boleh mengurangkan sperma? Bilakah waktu terbaik melakukannya, iaitu awal pagi atau lewat malam? Adakah kami harus menanti untuk hamil secara semula jadi atau mula mendapatkan rawatan doktor?

Tan Menanti Anak,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KAJIAN perubatan mendapati hubungan seks yang dihadkan atau ditumpukan kepada waktu ‘subur’ saja tidaklah berkesan. Malah melakukan hubungan seks dengan kerap tanpa mengira waktu ‘subur’ atau sebaliknya (berselang sehari atau berselang dua hari) adalah lebih berkesan dalam mendapat kehamilan.

Mungkin tertumpu kepada waktu subur lebih mendatangkan tekanan sehingga mengganggu kesuburan, mungkin juga waktu subur terbabit sebenarnya bukanlah waktu subur.

Mengeluarkan air mani setiap hari mungkin boleh mengurangkan jumlah bilangan sperma yang ada pada setiap ejakulasi. Sperma dihasilkan setiap hari oleh testis dan disimpan sementara waktu di dalam epididimis.

Mengeluarkan air mani berselang hari bermakna anda mengeluarkan stok sperma untuk sebanyak bilangan hari terbabit. Mengeluarkan air mani setiap hari bermakna anda mengeluarkan stok sperma yang baru dihasilkan pada hari itu (stok hari sebelumnya mungkin sudah banyak habis dikeluarkan).

Sperma boleh bertahan sehingga 72 jam di dalam badan wanita (ada sperma yang hayatnya hanya beberapa minit saja). Melakukan hubungan seks setiap berselang sehari atau 2 hari memastikan sperma sentiasa ada di dalam saluran falopian wanita. Jika tepat masanya berlaku ovulasi dan telur memasuki saluran falopian, maka ia berpeluang disenyawakan oleh sperma yang sudah sedia menunggu.

Waktu hubungan seks tiada kaitan dengan peluang kehamilan. Ikutlah keselesaan anda berdua. Secara teori, mungkin waktu malam lebih elok memandangkan isteri terus berbaring selepas itu, maka tidak banyak air mani akan keluar dari farajnya.

Menggunakan suhu badan isteri juga tidak begitu tepat. Jika kitaran isteri sangat tepat, anda boleh menjangkakan bila berlakunya ovulasi (pengeluaran telur) iaitu 14 hari sebelum tarikh haidnya yang akan datang. Jika tidak, gambaran ini boleh dibuat berdasarkan corak kitaran haid yang lalu.

Pada waktu suhu badannya menurun, ovulasi baru saja berlaku atau ia sudah berlaku dalam masa 48 jam yang lalu, anda mungkin sudah terlepas peluang itu. Ini boleh dibantu dengan ujian air kencing (mengesan kehadiran LH) setiap empat jam, ia boleh memberi tekanan kepada isteri, harganya juga mahal.

Tempoh mencuba bergantung kepada kehendak masing-masing. Sebagai panduan, bagi pasangan yang tidak mempunyai masalah kesihatan berkaitan kesuburan, tempoh setahun digunakan sebelum mendapatkan rawatan perubatan.

Mendapatkan rawatan lebih awal tidak salah, cuma besar kemungkinan isteri anda akan hamil dengan sendirinya dalam masa setahun terbabit, seperti kira-kira 90 peratus pasangan yang lain. Hanya 10 peratus pasangan saja yang masih gagal hamil setelah setahun mencuba


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Teknik Menyusu Bayi Perlu

SOALAN:
SAYA mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 bulan dan mulai tumbuh gigi. Dia masih lagi menyusu badan terutama pada waktu malam sampai ke pagi.

Sejak dua hingga tiga minggu ini, puting susu saya merekah dan melecet hingga mengeluarkan darah.

Apakah cara untuk menyembuhkannya dengan segera kerana kasihan dengan anak saya.

Lin,
Petaling Jaya

JAWAPAN:
PUTING merekah atau luka memerlukan masa untuk sembuh. Minyak, mentega atau bahan pelembap bolehlah disapukan buat sementara waktu.

Anda mungkin lebih sesuai tidak memakai baju dalam dan pakaian yang tidak kasar. Alat pelindung puting atau ‘nipple shield’ boleh didapati di kebanyakan farmasi bagi melindungi puting dan membolehkan bayi menyusu.

Jika tidak, perahlah susu ke dalam botol. Teknik bayi menghisap juga perlu dibetulkan, bukannya kepada puting tetapi kepada kawasan areolar di sekelilingnya.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Sakit Belakang Selepas Keguguran

SOALAN:
SAYA berusia 24 tahun dan berkahwin sembilan bulan. Sebelum ini saya pernah mengandung tetapi pada usia kandungan tujuh minggu, kandungan itu gugur.

Sebulan selepas gugur, saya sakit belakang dan berurut. Tukang urut mengatakan rahim saya jatuh. Adakah berurut boleh memulihkan keadaan rahim jatuh atau lemah, sekali gus mengandung seperti wanita biasa?

Jesnita,
Kuala Terengganu

JAWAPAN:
KEBANYAKAN keguguran berpunca daripada sifat janin yang kurang sempurna. Rahim jatuh juga tidak menyebabkan masalah kesuburan tetapi ia boleh menjadikannya lebih teruk terutama selepas kelahiran.

Ramai beranggapan salah mengenai rahim jatuh. Istilah perubatan baginya adalah prolaps uterus.

Ia membabitkan beberapa perkara:

- Trauma pada otot sokongan lantai pelvis akibat trauma bersalin, terutama jika bermasalah (meneran waktu yang lama, penggunaan alat forseps atau vakum, bayi besar dan seumpamanya)

- Masalah kongenital (gangguan saraf) yang menyebabkan otot pelvis sedia lemah. Ini jarang berlaku.

- Faktor usia apabila ia banyak berlaku pada wanita menopaus akibat kekurangan hormon estrogen menyebabkan otot pelvis menjadi lemah.

- Bilangan anak (bukannya bilangan kehamilan), misalnya kekerapan bersalin.

- Peningkatan tekanan dalam abdomen seperti kegemukan, batuk berpanjangan, sembelit dan kerap meneran, aktiviti mengangkat berat (baldi berisi air, barangan dapur, membeli-belah dan seumpamanya)

Agak mustahil untuk memegang rahim dari luar tubuh, kecuali jika rahim membesar seperti fibroid atau kehamilan tiga bulan ke atas. Ia terletak jauh di bahagian bawah dalam rangka tulang pelvis. Pemeriksaan dalaman boleh merasai pintu rahim pada hujung jari, inilah yang digunakan sebagai ukuran.

Sekiranya ia berada di bawah daripada paras tulang spina iskium, maka dikatakan seseorang mengalami rahim jatuh. Selain itu, otot lantai pelvis yang lemah tidak dikuatkan dengan berurut.

Senaman Kegel dapat membantu menegangkan otot pelvis dan boleh diamalkan seperti berikut:

- Cuba seolah-olah menahan kencing. Kemutan faraj dilakukan selama mungkin dan sekerap mungkin setiap hari (ada yang mengatakan sekerap 50 kali dan selama 10 saat setiap kali). Jika kurang pasti, masukkan dua jari anda ke dalam faraj dan cuba kemutkan faraj pada jari itu.

- Hanya kemutan otot dalaman sahaja dilakukan, bukannya otot punggung (gluteus) anda.

Di samping itu, seseorang hendaklah menggunakan teknik mengangkat barang yang betul (misalnya membengkokkan lutut sewaktu mengambil barang dari lantai dan bukannya membongkokkan badan, ia juga dapat menggalakkan sakit belakang), mengekalkan berat badan ideal, banyak minum air serta mengambil makanan berserat untuk mengelakkan sembelit.

Tidak salah berurut, ia sepatutnya membantu menenangkan fikiran serta menyegarkan tubuh anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Jumaat, 8 Jun 2007

Bahaya Seks Melalui Dubur

SOALAN:
ADAKAH sebarang jangkitan jika pasangan sudah berkahwin melakukan hubungan kelamin melalui dubur?

Ingin Tahu,
Alor Setar, Kedah

JAWAPAN:
DUBUR mengandungi banyak kuman (daripada najis) yang berpotensi memasuki aliran darah dan menyebabkan jangkitan teruk. Pada bukaan dubur, ada struktur seperti injap (sfinkter) yang mengawal pembukaan dan penutupannya sewaktu membuang air besar.

Sfinkter ini tidak seperti faraj, ia tidak bersedia mengembang dan mudah koyak serta kekal rosak. Koyakan (fisur) ini boleh mengundang jangkitan kuman daripada lubang usus ke dalam aliran darah seseorang.

Pasangan lelakinya juga berpotensi dijangkiti kuman ke kemaluannya atau ke dalam pundi kencingnya. Ini bukanlah amalan yang sihat. Ia juga haram dalam Islam.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Isteri Lambat Terangsang

SOALAN:
ISTERI saya berusia 25 tahun. Kami berkahwin sejak dua tahun lalu dan dikurniakan seorang anak. Tetapi selepas bersalin, isteri saya kurang mengeluarkan cecair pelincir ketika bersama.

Ini menyebabkan rangsangan memakan masa lama dan biasanya terpaksa menggunakan gel. Sebelum berkahwin, dengan sedikit sentuhan sahaja cecair sudah banyak keluar.

Bagaimanakah cara mengatasinya dan adakah ubat-ubatan yang boleh diambil?


Heman,
Johor Bahru, Johor

JAWAPAN:
RANGSANGAN seksual bagi wanita adalah suatu yang kompleks. Ia tidak berlaku secara stereotaip setiap masa. Ada kalanya ia mengambil masa sekejap sahaja melalui perbualan mesra manakala pada masa lain, ia sukar dikecapi meskipun foreplay sudah berlangsung dengan lama.

Kesediaan wanita untuk hubungan seksual dapat dikesan melalui cecair pelincir yang keluar sewaktu wanita mengalami rangsangan seksual. Cecair ini dihasilkan sepasang kelenjar (kelenjar Bartholin) yang ada pada kanan dan kiri kawasan bibir kemaluan berhampiran bukaan faraj. Tanpa rangsangan seksual, wanita lazimnya berasa kering menyebabkan rasa tidak selesa, sakit, pedih dan tidak mengalami kepuasan seks. Mengatasi masalah ini lebih memerlukan teknik psikologi, kesabaran atau mungkin kelainan dalam teknik dapat menimbulkan minat isteri anda semula.

Amat penting agar nikmat ini turut dirasai isteri. Anda lebih memahami keadaan isteri anda. Kepenatan, kebimbangan akan kemungkinan hamil lagi, merajuk, apa sahaja yang mungkin menyebabkan isteri secara tidak langsung kurang berminat sehingga mengadakan hubungan seks hanya atas kehendak sebelah pihak sahaja.

Berbincanglah bersama untuk mencari punca dan penyelesaiannya. Ubat-ubatan tidak membantu isteri mengeluarkan cecair pelincir ini dengan sendirinya.

Perbincangan bersama doktor anda juga mungkin dapat mengesan punca. Selain pengambilan ubat-ubatan tertentu yang menyebabkan kurang nafsu, dia mungkin boleh bertukar kepada ubat-ubatan lain atau terus menghentikannya.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Ada Benjolan Pada Vagina

SOALAN:
SAYA berusia 37 tahun dan belum berkahwin. Beberapa bulan lalu saya dapati ada benjolan kecil di dinding faraj saya.

B
enjolan terbabit seperti bengkak yang berbentuk bulat. Ia akan semakin membesar terutama seminggu sebelum datang haid dan akan tersembul keluar daripada pintu faraj.

Saya juga dapati lelehan saya berbau busuk ketika itu. Keadaan ini membuatkan saya rasa tidak selesa dan bimbang. Saya malu untuk bertemu

pakar sakit puan dan kini, benjolan itu menjadi semakin besar serta berbentuk leper sedikit berbanding di awal kemunculannya kira-kira empat bulan lalu.

Senah,
Keramat, Kuala Lumpur

JAWAPAN:
BERDASARKAN lokasi benjolan terbabit, mungkin anda mengalami bengkak kelenjar Bartholin (Bartholin cyst) yang dapat dipastikan melalui pemeriksaan doktor.

Jika benar, benjolan ini lazimnya akan semakin membesar dengan kekerapan anda mengalami rangsangan seksual. Bartholin cyst terbentuk akibat penyumbatan laluan keluar salurannya.

Rangsangan seksual yang berterusan akan menambahkan penghasilan cecair pelincir namun akibat salurannya tersumbat, cecair ini tidak dapat keluar. Sekiranya ia mengalami jangkitan kuman, cecair di dalamnya bertukar menjadi nanah yang boleh menyebabkan kesakitan, demam atau pecah dan mengeluarkan kandungan nanahnya.

Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan. Bartholin cyst memerlukan pembedahan kecil supaya laluan baru terbentuk bagi menggantikan saluran yang tersumbat itu. Jika ia bertukar kepada abses Bartholin, pembedahan ini perlu dilakukan segera. Prosedur pembedahan ini dinamakan “marsupialization”.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 7 Jun 2007

Tiada Rangsangan Dari Suami

SOALAN:
SAYA mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lalu. Masalahnya hingga kini saya tidak mempunyai sebarang rasa ketika melakukan hubungan seksual dengan suami.

Untuk pengetahuan puan, selaput dara saya pecah hanya selepas kira-kira sebulan selepas kami berkahwin. Adakah ia normal?

Saya juga tidak pernah terangsang bila bersama suami walaupun saya mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim dengannya.

Ada masa ketika bersama, saya berasa sakit dan biasanya tidak berasa apa-apa. Adakah ini normal?

Hingga kini saya belum hamil. Adakah saya berpotensi untuk hamil?

Wanita Rungsing,
Terengganu

JAWAPAN:
Selaput dara mempunyai beberapa bentuk, lazimnya seperti gegelang nipis yang berlubang di tengahnya bagi membolehkan haid keluar. Lazimnya selaput dara koyak apabila berlaku tusukan/ kemasukan zakar ke dalam faraj. Koyakan boleh berlaku pada satu atau beberapa tempat.

Hubungan seks yang diingini kebiasaannya menyebabkan koyakan pada kawasan kanan atau kiri selaput, manakala seks paksaan (rogol) lazimnya menyebabkan koyakan pada kawasan bawah (pukul 6) selaput. Carikan-carikan selaput dara yang terkoyak ini pula akan kekal dan hilang atau tingal sedikit sahaja selepas bersalin normal.

Kurang pasti sama ada kemasukan/ penetrasi zakar hanya berlaku sebulan selepas anda berkahwin ataupun ia sebenarnya berlaku lebih awal cuma anda tidak menyedari selaput dara sudah koyak.

Koyakan selaput dara tidak semestinya menyebabkan pendarahan. Berkemungkinan, hubungan seks yang berlaku sebulan selepas berkahwin menyebabkan koyakan tambahan.

Mempunyai keinginan seks adalah petanda baik, ini sendirinya satu bentuk rangsangan yang anda tidak sedari.

Rangsangan seksual menyebabkan penghasilan cecair pelincir oleh kelenjar Bartholin yang terdapat berhampiran bukaan faraj.

Wanita lazimnya sukar atau lambat mengalami rangsangan seksual berbanding lelaki. Juga, kepuasan seks wanita berbeza-beza, ada yang memerlukan orgasm manakala yang lain merasa cukup puas dengan hubungan intim sahaja.

Suami memainkan peranan penting agar sabar melayani isteri agar isteri dapat mengalami rangsangan seksual dahulu sebelum kemasukan zakar. Jika tidak, kekeringan faraj boleh menyebabkan rasa sakit dan ini selanjutnya akan menyukarkan isteri untuk terangsang.

Anda sepatutnya berbincang secara terbuka dengan suami mengenai perkara ini agar beliau lebih memahami.

Perasaan kebimbangan terhadap perkara negatif berkait hubungan seks yang anda pernah dengari juga perlu diketepikan. Kelak, anda akan mula mengenali keseronokan hubungan intim suami isteri.

Kehamilan boleh berlaku dengan hubungan seks sama ada secara sukarela ataupun dipaksa. Walaupun wanita tidak merasai keseronokan hubungan seks, ia masih berpotensi untuk hamil. Namun, kemesraan dan kepuasan hubungan seks sewajarnya dinikmati kedua-dua belah pihak.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Khuatir Antibiotik Jejas Kandungan

SOALAN:
SAYA berusia 26 tahun dan kini hamil anak pertama. Baru-baru ini saya mengalami sakit bahagian ari-ari seperti peranakan saya hendak jatuh. Setelah berjumpa doktor, saya diberitahu mengalami jangkitan air kencing.

Doktor ada memberi saya antibiotik tetapi saya khuatir ia akan memberi kesan kepada bayi saya. Bolehkah saya mengambil antibiotik terbabit? Apakah kesannya jika saya tidak mengambilnya?

Milah,
Johor Bahru, Johor

JAWAPAN:
JANGKITAN air kencing lazimnya membabitkan pundi kencing. Ia lebih kerap berlaku pada wanita memandangkan organ uretra wanita (saluran kencing yang menghubungkan pundi kencing ke luar) lebih pendek iaitu sekitar 4 sentimeter (sm) berbanding lelaki (sekitar 10 sm).

Ini menyebabkan kuman dari bahagian luar kemaluan lebih mudah dan cepat untuk memasuki pundi kencing wanita. Pembiakan kuman di dalam pundi kencing juga lebih senang berlaku jika ia berada untuk jangka masa lebih lama (misalnya dalam keadaan seseorang yang gemar menahan kencing).

Tambahan pula, perubahan hormon kehamilan sendirinya menyebabkan berlakunya ‘stasis’ air kencing (aliran air kencing menjadi perlahan dan menggalakkan pembiakan kuman di dalamnya).

Jangkitan air kencing lazimnya tidak membahayakan bayi. Namun bagi wanita hamil, saluran kencing uretra yang mengembang menyebabkan kuman mudah menaiki lebih atas sehingga ke bahagian buah pinggang dan menyebabkan komplikasi teruk kepada wanita ini seperti pyelonephritis. Atas sebab inilah, jangkitan air kencing terutama sewaktu hamil perlu dirawat.

Ujian air kencing mudah (secara pemeriksaan menggunakan mikroskop) boleh diketahui pada hari yang sama manakala ujian kultur air kencing dapat mengesan jenis kuman dan antibiotik bersesuaian namun ia memerlukan masa beberapa hari. Lazimnya doktor memberikan ubat antibiotik yang sudah lama digunakan dalam wanita hamil.

Selain itu, beberapa amalan dapat mengelak atau mempercepatkan penyembuhan jangkitan air kencing seperti:

- Banyak meminum air. Ini menyebabkan seseorang lebih kerap membuang air kencing dan kuman yang berada di dalamnya keluar sebelum ia lebih membiak lagi

- Tidak menahan kencing.

- Mengelap kemaluan dari arah hadapan ke belakang. Ia mengurangkan kemungkinan kuman dari dubur untuk ke hadapan dan memasuki uretra.

- Mengambil rawatan jika mengalami keputihan. Kuman keputihan seperti kulat Candidiasis juga boleh menjangkiti pundi kencing.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Senaman Berlebihan Jejaskan Kesuburan

SOALAN:
SAYA baru mengalami keguguran. Oleh kerana ia gugur semula jadi, doktor tidak menyarankan saya membuat prosedur dilation and curettage (D&C) sebaliknya hanya memberi antibiotik dan menasihatkan saya berehat tiga bulan sebelum mencuba sekali lagi untuk hamil.

Persoalannya, bolehkah saya mengikuti kelas senaman di gimnasium kerana saya berusaha untuk mengurangkan berat badan terutama di bahagian perut yang buncit? Adakah selamat jika saya memberi tumpuan di bahagian perut kerana saya ingin mengandung lagi selepas tempoh tiga bulan tamat.

Buntu,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
ANDA boleh mengikuti kelas senaman asalkan tidak keterlaluan. Kesederhanaan perlu diamalkan dalam banyak perkara termasuk senaman. Senaman berlebihan juga boleh mengganggu kesuburan.

Keguguran tidak semestinya memerlukan prosedur D&C. Sekiranya kandungan sudah habis keluar, rahim tidak perlu dicuci, memadailah diberi antibiotik dan berehat.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Rabu, 6 Jun 2007

Isteri Tidak Puas Bersama Suami

SOALAN:
SAYA seorang ibu berusia 28 tahun mempunyai dua anak berusia empat tahun dan setahun. Saya mempunyai masalah kekeringan faraj apabila melakukan hubungan intim dengan suami walaupun keinginan untuk bersama meluap-luap.

Saya juga sering mengalami masalah keputihan agak teruk yang memerlukan saya mengambil antibiotik. Sejak berkahwin dengan suami lima tahun lalu, saya hampir tidak pernah mencapai kepuasan.

Saya pernah menyuarakan perkara ini kepada suami dan dia berusaha mempelbagaikan cara namun masih tidak mendatangkan hasil. Sehinggakan ada ketikanya saya perlu beronani untuk mendapatkan kepuasan.

Persoalannya:

1. Adakah keputihan boleh menyebabkan kekeringan kepada faraj saya ?

2. Adakah antibiotik yang diambil (contohnya setiap lima bulan) untuk mengurangkan keputihan itu boleh memberi kesan kepada organ dalam badan saya ?

3. Walaupun rangsangan yang diberikan suami agak lama, mengapa saya masih mengalami masalah kekeringan dan sukar mencapai kepuasan meskipun sudah menggunakan pelbagai teknik?

4. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah kekeringan ini selain menggunakan pelincir yang ada di pasaran?

5. Adakah onani juga boleh menyebabkan masalah ini?

Nur,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KEKERINGAN boleh menyebabkan keputihan lazimnya akibat perubahan pH persekitaran dalam faraj sehingga kuman lain berupaya menakluki kawasan faraj dan terus membiak.

Bagaimanapun, dalam keadaan anda, mungkin kekeringan yang dimaksudkan ialah kekeringan akibat ketiadaan rangsangan seksual. Dalam keadaan ini, kekeringan yang dimaksudkan biasanya tidak menyebabkan anda lebih berisiko mengalami jangkitan faraj. Apapun, jangkitan faraj itu perlu dirawat.

Lazimnya, keputihan disebabkan jangkitan kulat (candidiasis). Ia memerlukan rawatan antikulat, kebiasaannya diberikan melalui pil suppositori yang dimasukkan ke dalam faraj.

Seeloknya anda menjalani pemeriksaan dalaman di mana sedikit sampel keputihan itu akan dihantar untuk ujian makmal bagi mengetahui jenis kuman (kulat, bakteria dan seumpamanya) serta ubat bersesuaian. Ubat yang diambil pula perlu mengikut sukatan dinasihatkan. Jangkitan berulang juga memerlukan pemeriksaan lanjut misalnya ujian kencing manis.

Anda berdua mungkin memerlukan bantuan doktor, sama ada pakar perubatan dalaman ataupun pakar psikiatri. Teknik yang anda lakukan mungkin tidak sama dengan teknik disarankan doktor.

Lazimnya ia lebih berkait dengan kesediaan anda, faktor tekanan juga memainkan peranan penting. Semakin anda berasa tertekan untuk mengalami rangsangan, semakin sukar rangsangan itu diperoleh.

Masalah kekeringan lebih berkait dengan ketiadaan cecair pelincir akibat ketiadaan rangsangan seksual dialami. Pelincir yang ada di pasaran hanya menggantikan pelincir semula jadi, ia tidak merawat masalah anda.

Onani juga memainkan peranan dalam masalah ini kerana amalan onani boleh menyukarkan orgasma faraj.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Rahim Pecah Ketika Bersalin

SOALAN:
SAYA berusia 29 tahun dan mempunyai dua anak dengan kedua-duanya dilahirkan menerusi pembedahan. Ketika melahirkan anak kedua, saya mengalami komplikasi uterine rupture dan anak kedua meninggal dunia kerana lemas.

Masalahnya kini, saya hamil lagi kira-kira enam minggu manakala perbezaan anak kedua dengan kehamilan ini hanya lima bulan. Apakah pendapat doktor jika saya meneruskan kandungan ini?

Adakah saya mungkin akan mengalami komplikasi uterine rupture lagi?

Nadia,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
UTERINE rupture (kadangkala ia lebih mudah disebut rahim pecah) adalah suatu trauma serius bagi ibu hamil dan bayinya.

Tahap uterine rupture boleh pelbagai, sama ada hanya rekahan kecil menembusi dinding rahim dan selaputnya (peritoneum) serta menampakkan anggota bayi ataupun belahan lebar sehingga bayi atau uri sudah terkeluar ke dalam ruang abdomen.

Walaupun kebarangkaliannya kecil (kurang daripada satu peratus), jika berlaku, ia boleh mengakibatkan kesan teruk kepada ibu dan bayi, malah boleh meragut nyawa kedua-duanya.

Ibu boleh mengalami kehilangan darah yang banyak, memerlukan pembedahan segera mengeluarkan bayi, mengawal pendarahan (melalui jahitan membaiki rekahan terbabit dan ligasi saluran darah rahim), serta menghadapi kemungkinan kehilangan rahim jika pendarahan berterusan tanpa dikawal.

Bekalan oksigen yang terputus kepada bayi pula boleh menyebabkan keilatan kekal kepada organ badannya malah kematian akibat lemas.

Beberapa maklumat lanjut berkaitan kehamilan terdahulu (terutama kandungan kedua) perlu diketahui sebelum membuat perkiraan risiko anda, ini termasuk:

- Sama ada anda pernah menjalani pembedahan membabitkan ruang rahim contohnya membuang fibroid. Ini melemahkan struktur dinding rahim dan meningkatkan risiko ia merekah.

- Jenis belahan atau parut pembedahan pertama. Parut berbentuk ‘T’ atau ‘J’ meningkatkan risiko uterine rupture.

- Penyembuhan selepas pembedahan pertama dan kedua. Jangkitan seperti endometritis jika berlaku, boleh menyebabkan parut pembedahan pada dinding rahim menjadi tidak kuat dan mudah meregang atau koyak.

- Jarak antara kelahiran pertama dan kandungan kedua. Jarak yang dekat mungkin antara faktor punca anda mengalami uterine rupture tempoh hari.

- Usia kandungan kedua sewaktu bersalin dan sama ada sakit bersalin datang dahulu atau prosedur induksi bersalin dilakukan. Ini bagi merancang waktu selamat bagi pembedahan Caesarean. Sakit bersalin juga meningkatkan risiko melebihi tiga kali ganda (lima berbanding 1.6 dalam setiap 1,000 jika belum didatangi sakit bersalin).

- Ubat yang digunakan (jika induksi bersalin). Induksi menggunakan ubat prostaglandin meningkatkan risiko melebihi tiga kali ganda (24.5 berbanding 7.7 dalam setiap 1,000)

- Tempoh masa sakit bersalin, prosedur vakum atau forsep dan bayi bersaiz besar, semuanya meningkatkan risiko uterine rupture.

- Keseriusan koyak dinding rahim.

Anda kini mempunyai beberapa masalah atau risiko berkaitan kehamilan yang perlu diambil kira iaitu:

- Sudah dua kali menjalani pembedahan Caesarean. Ini tambah meningkatkan risiko uterine rupture kepada empat hingga lima kali ganda berbanding ibu yang hanya sekali pembedahan Caesarean.

- Pernah mengalami uterine rupture.

- Kini hamil lagi dalam jarak yang dekat.

- Hanya mempunyai seorang anak yang masih hidup dan usia anda masih muda.

Hamil dengan mengandaikan atau mengharapkan rawatan segera boleh dilakukan doktor jika uterine rupture berlaku adalah salah. Ini kerana sukar untuk mengenal dengan pasti tanda awal dan ini boleh melambatkan tindakan diambil, pembedahan pula perlu dilakukan segera sebelum ia memberi kesan kepada bayi.

Kajian melaporkan tempoh selamat jika bayi dikeluarkan seelok-eloknya di bawah 18 minit atau sekurang-kurangnya di bawah 30 minit saja. Waktu ini sebenarnya amat singkat kerana ia meliputi waktu persediaan pembedahan, pemindahan dari bilik bersalin ke bilik pembedahan, pembiusan, pembedahan awal serta membuka abdomen yang juga mencuri masa penting ini.

Berbincanglah lebih lanjut dengan doktor anda. Anda perlu memandang serius keperluan mengamalkan kaedah pencegahan kehamilan yang sangat berkesan seperti kaedah implan, suntikan hormon dan seumpamanya sejak awal.

Ini kerana tempoh yang singkat (kehamilan baru dengan kelahiran terdahulu) juga meningkat risiko seseorang untuk mengalami uterine rupture. Sebaliknya, pengguguran menggunakan prosedur dilation & curettage (D&C) juga berisiko. Memandangkan luka pembedahan masih baru, tusukan alat D&C menembusi dinding rahim boleh berlaku. Berbincanglah lebih lanjut dengan doktor anda.

Sekiranya penilaian doktor anda mendapati meneruskan kandungan membahayakan kesihatan atau nyawa anda, menamatkan kehamilan adalah pilihan lebih sesuai namun anda juga harus faham kemungkinan komplikasi prosedur pengguguran.

Lazimnya, di negara kita, ia memerlukan pengesahan dua doktor pakar. Jika anda membuat keputusan untuk meneruskan kehamilan ini, ia memerlukan rawatan pakar secara lebih kerap terutama setelah memasuki usia 28 minggu (enam bulan setengah ), berkemungkinan juga pembedahan dirancang lebih awal (sekitar 34 minggu atau lapan bulan) bagi mengelakkan anda didatangi sakit pengecutan otot waktu bersalin.

Pengukuran tebal dinding rahim juga boleh membantu mengenal pastinya iaitu ketebalan kurang daripada 2.5 milimeter. Pengambilan pil zat tambahan juga perlu dimulakan untuk mendapatkan paras hemoglobin darah yang optimum.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Kuman Pada Bulu Kucing Boleh Sebabkan Keguguran, Janin Cacat

SOALAN:
SAYA seorang peminat kucing dan ada memelihara seekor anak kucing di rumah. Setiap hari saya akan menguruskan perihal makan minum dan pembuangan najis kucing itu.

Saya juga gemar bermain dengan kucing saya. Memandangkan saya baru mendirikan rumah tangga, ada kenalan mengingatkan saya untuk tidak terlalu menyentuh kucing kerana kuman pada bulu dan najis kucing boleh menyebabkan kemandulan. Adakah kenyataan ini benar?

Tijah,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
TIDAK salah memelihara kucing kerana apa yang lebih penting adalah menjaga kebersihan anda. Amalan mencuci tangan dengan bersih amat penting, terutama sebelum makan ataupun setelah melakukan aktiviti luar.

Kucing boleh menjadi pembawa kuman toxoplasma yang berpotensi menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit toxoplasmosis. Ini juga boleh menyebabkan kecacatan pada janin yang dikandung. Ia boleh menyebabkan keguguran, bukannya kemandulan.

Kuman ini ada dalam najis kucing dan berpindah kepada manusia melalui sentuhan sebelum masuk ke dalam sistem penghadaman manusia serta menjangkitinya. Sama ada ia kucing anda atau kucing rakan anda, pemindahan kuman boleh berlaku terutama jika kebersihan tidak dijaga.

Dalam erti kata lain, mereka yang tidak memelihara kucing juga boleh dijangkiti kuman ini jika tidak menjaga kebersihan.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 5 Jun 2007

Khuatir Plasenta Rendah Jejas Kandungan

SOALAN:
SAYA sedang mengandung 21 minggu anak kedua. Semasa awal kehamilan, saya mengalami alahan yang teruk sehingga menyebabkan saya selalu sesak nafas dan pengsan tetapi kini alahan itu tidak lagi berlaku cuma sekarang saya mengalami keletihan.

Bagaimanapun, waktu menjalani imbasan baru-baru ini, doktor mengatakan kedudukan plasenta saya terlalu rendah.

Apakah kesannya apabila kandungan saya makin membesar nanti? Adakah kedudukannya akan berubah?

Ifah,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KEDUDUKAN plasenta (uri) dinyatakan berlandaskan jarak kedudukannya dengan servik (pintu rahim). Pada usia 21 minggu ia boleh dikatakan masih awal, kedudukan ini tidak semestinya kekal di bawah.

Menjelang usia kandungan 28 minggu (enam setengah bulan), bahagian bawah dinding rahim lebih menjarak akibat pembentukan kawasan ‘segmen bawah’. Kawasan ini menjadikan dinding rahim mengembang ke atas (bersama-sama uri yang melekat padanya) lebih jauh daripada pintu rahim.

Ini bermakna uri bukanlah benar-benar bergerak naik ke atas, ia hanya mengikuti dinding rahim yang menjarak ke atas.

Kemungkinan uri ini tidak lagi berada di bahagian bawah lebih bergantung kepada lokasinya. Uri yang berada pada bahagian hadapan dinding rahim lebih cenderung untuk ‘menaik’ ke atas berbanding jika ia berada pada dinding belakang rahim.

Begitu juga jika uri ini hanya berhampiran pintu rahim, ia lebih cenderung untuk lebih jauh ke atas berbanding jika uri ini terus melitupi pintu rahim atau menjangkaunya. Kebanyakan uri akan bergerak naik menjelang usia 28 minggu ini.

Jika kekal di bawah selepas 28 minggu, anda dikatakan mengalami plasenta previa. Tahap yang kecil masih membolehkan anda mencuba bersalin normal namun tahap yang lebih besar memerlukan pembedahan Caesarean memandangkan ia menutupi pintu rahim dan menghalang bayi dilahirkan dahulu.

Lebih penting lagi, ia boleh menyebabkan pendarahan yang banyak secara tiba-tiba walaupun belum didatangi sakit bersalin. Jika mempunyai tahap plasenta previa yang lebih besar, anda juga mungkin terpaksa berehat di hospital untuk jangka masa yang lama (mungkin sehingga bersalin) bagi membolehkan rawatan segera dimulakan sebaik saja anda mengalami episod pendarahan yang tidak dijangka ini.

Corak pendarahan sukar dijangka, ia boleh berhenti sendirinya atau menjadi terlalu banyak secara tiba-tiba sehingga membahayakan anda dan janin.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Loya, Muntah, Pening Petanda Kehamilan Kembar

SOALAN:
SAYA berusia 26 tahun dan kini hamil anak pertama dengan usia kandungan baru mencecah dua bulan. Apakah pil vitamin yang sesuai untuk saya ambil ketika ini selain pil asid folik untuk dimakan pada waktu pagi. Adakah pil berkenaan memadai kerana saya tidak berselera untuk makan dan sering rasa loya serta muntah.

Anida,
Bangsar, Kuala Lumpur

JAWAPAN:
JIKA anda mempunyai saiz badan sederhana mengikut ketinggian serta mengamalkan pemakanan seimbang selama ini, pengambilan pil vitamin mungkin tidak diperlukan pada masa ini.

Ramai wanita mengalami loya, muntah, pening kepala dan seumpamanya sewaktu dalam trimester pertama kehamilan akibat kehadiran hormon ß-hCG pada waktu terbabit.

Ini lebih ketara di dalam kehamilan kembar dan kehamilan molar (anggur). Kebanyakan pil vitamin dan ubat-ubatan mengeluarkan bau yang meloyakan misalnya sewaktu sendawa serta boleh menyebabkan pening kepala dan mual.

Ini akan membuatkan keadaan lebih teruk bagi seseorang yang sedia mengalami keadaan terbabit. Anda dinasihatkan meneruskan pengambilan makanan berkhasiat dan air yang mencukupi.

Pengambilan pil asid folik seharusnya ditukar kepada waktu malam. Ini meminimumkan kesan di atas yang kurang dialami sewaktu tidur. Apabila memasuki trimester kedua, semua pengalaman berkenaan mulai hilang.

Pengambilan pil vitamin lain boleh diambil mulai waktu itu (jika perlu). Jika loya, muntah dan pening kepala masih tidak reda selepas memasuki trimester kedua (bulan keempat hingga keenam), anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan lanjut.

Dipetik dari;
htpp://www.hmetro.com.my/

Cirit-Birit, Pitam Sebelum Datang Haid

SOALAN:
SAYA sering bermasalah apabila datang haid. Sebelum haid, saya akan muntah dan cirit-birit lalu pening, kemudian terus pitam. Keesokan hari, haid datang seperti biasa. Apakah masalah saya hadapi ini?

Jim,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
SEBAHAGIAN wanita mengalami perubahan emosi dan fizikal sebelum kedatangan haid. Istilah perubatan bagi keadaan ini adalah sindrom pramenstrual atau PMS.

Ada pelbagai petanda yang dikaitkan dengan PMS termasuk:

- Emosi seperti sedih, marah, murung dan cemas.

- Kurang menumpukan perhatian dan kurang bertenaga.

- Sakit kepala, sendi dan otot.

- Payu dara tegang serta puting menjadi sensitif atau sakit terhadap sentuhan.

- Gangguan usus seperti loya, muntah dan cirit-birit.

- Keseimbangan cecair dalam tubuh misalnya kembung, berat badan menaik dan kencing menjadi sedikit.

- Kulit berminyak, berjerawat dan rambut gugur

- Cemas dan berdebar-debar

- Pitam dan pening kepala seperti berpusing-pusing

- Gangguan tidur sama ada insomnia atau sebaliknya berlebihan tidur.

- Perubahan makan sama ada tiada selera (anoreksia) ataupun sebaliknya berlebihan makan (lazimnya terhadap sesuatu jenis makanan).

Perubahan nafsu seks.

Wanita mengalaminya dalam tahap dan jenis berbeza-beza mengikut individu. Sebahagian hanya mengalaminya sedikit sahaja manakala yang lain menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian, ada pula yang menderita teruk.

Kedatangan PMS berkaitan dengan kitaran haid. Setelah beberapa hari haid habis, kebiasaannya petanda itu akan hilang dan muncul kembali pada haid akan datang.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/