Peminat Setia

Isnin, 18 Jun 2007

Lapan Tahun Kahwin Belum Hamil

SOALAN:
SAYA berusia 35 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin tetapi masih belum mempunyai anak. Saya mempunyai penyakit endometriosis dan sudah dua kali menjalani pembedahan laparotomi serta mengambil suntikan tidak datang haid selama enam bulan.

Empat kali menjalani rawatan kesuburan secara IUI tetapi masih belum hamil. Suami saya menjalani ujian air mani dan didapati normal. Doktor menasihatkan saya menjalani rawatan tabung uji (IVF). Adakah IVF lebih berkesan berbanding rawatan lain? Apakah peluang saya untuk hamil?


Ingin Tahu,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
PROSES kehamilan normal membabitkan perkara berikut:

1. Penghasilan telur matang dan pengeluarannya (ovulasi)

2. Pengambilan telur ke dalam saluran falopio

3. Persenyawaan telur oleh sperma yang sampai kepadanya di kawasan hujung saluran

4. Penghantaran janin melalui saluran ke dalam ruang rahim

5. Perlekatan janin pada dinding rahim

Rawatan permanian berhadas (IUI - Intra Uterine Insemination) bermaksud meletakkan sperma terus ke dalam ruang rahim. Peringkat pertama kebiasaannya dipertingkatkan dengan pemberian ubat kesuburan dan suntikan hormon untuk mengeluarkan telur (ovulasi) pada waktu yang ditetapkan.

Rawatan IVF (In Vitro Fertilization atau persenyawaan tabung uji) membabitkan prosedur menyedut keluar telur yang kemudiannya diletakkan bersama-sama sperma di dalam bekas dan dieram di dalam inkubator untuk persenyawaan dan perkembangan awal janin berlaku.

Ia mengambilalih perkara dua, tiga dan empat. Janin ini kemudiannya diletakkan kembali ke dalam rahim ibu untuk perlekatan dan pembesaran lanjut. Dalam ertikata lain, teknik IVF mengambilalih tugas saluran falopio. Tambahan pula, janin yang digunakan dipilih yang berkualiti (jika ada), maka peluangnya juga lebih tinggi.

Dalam kedua-dua IUI dan IVF, kebiasaannya rangsangan ovari dilakukan melalui pemberian ubat kesuburan dan kemudiannya disusuli dengan suntikan hormon pematangan dan pencetus ovulasi. Air mani juga diproses dan diambil sperma-sperma yang berkualiti sahaja.

Bagi wanita yang mengalami kerosakan saluran falopio (akibat penyakit endometriosis ataupun peradangan pelvis), IVF memberi peluang yang lebih. Malah dalam kebanyakan keadaan, IVF memberikan peluang kejayaan yang lebih, namun ia mungkin agak keterlaluan memandangkan ia memerlukan perbelanjaan yang sangat berbeza mahalnya.

Mungkin sudah tiba masa untuk anda bertukar kepada rawatan IVF. Pada usia ini, berkemungkinan dos ubat-ubatan yang diperlukan adalah lebih, maka kosnya juga lebih mahal. Berbincanglah kembali dengan doktor anda, selepas itu buatlah pilihan yang sesuai dengan keadaan anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: