Peminat Setia

Isnin, 18 Jun 2007

Risiko Hamil Lewat Usia

SOALAN:
SAYA berusia awal 40-an dan mempunyai empat anak remaja. Adakah saya boleh mengandung pada usia begini? Adakah sebarang risiko kepada saya dan bayi jika mengandung lagi?

Untuk pengetahuan puan saya sekarang menggunakan kaedah IUCD untuk merancang keluarga.


Aisyah,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
KEUPAYAAN wanita untuk hamil sendirinya berhenti selepas menopaus. Selepas didatangi baligh, kesuburan wanita bermula, ia sampai ke kemuncaknya pada usia lewat belasan tahun sehingga awal dua puluhan.

Pada usia 28 tahun, kesuburannya didapati menurun buat pertama kalinya. Pada usia anda, kesuburan sangat menurun, hanya 5 peratus sahaja wanita yang masih subur.

Masalah yang mungkin dihadapi termasuk:

- Sukar hamil (akibat kualiti telur wanita yang semakin menurun dengan pertambahan usia) walaupun dengan rawatan kesuburan. Peluang kejayaan rawatan adalah kurang 5 peratus.

- Memerlukan lebih ubat-ubatan kesuburan bagi merangsang pengeluaran telur (dalam kos berganda mahalnya) .

- Lebih mudah mengalami keguguran akibat pembentukan janin yang kurang sempurna.

- Lebih berisiko mengalami penyakit berkaitan kehamilan sewaktu hamil, semasa bersalin dan selepas bersalin.

- Lebih berisiko mengalami masalah ketidaknormalan kromosom pada janin. (contohnya bagi Sindrom Down : 1 dalam 50 kehamilan berbanding hanya 1 dalam 1000 kehamilan wanita berusia 30 tahun).

Sebahagian ibu menganggap satu dalam 50 hanyalah kecil (iaitu dua peratus sahaja kemungkinan, 98 peratus kemungkinan anda mempunyai bayi yang normal). Namun sebahagian yang lainnya tidak dapat menerima risiko “kecil” ini (yang sebenarnya 20 kali ganda berbanding wanita berusia 30 tahun).

Berbincang kembali bersama suami dan doktor anda. Jika masih meneruskan hasrat ini, mulakanlah pengambilan pil asid folik setiap hari.

Semoga anda cepat hamil dan selamat melahirkan bayi yang sihat sempurna.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: