Peminat Setia

Selasa, 28 Februari 2012

'Terkucil' Tidak Kira Usia


Soalan umum untuk lelaki dan wanita dewasa. Adakah anda mengalami:

* rasa seperti selalu ingin membuang air kencing atau tiba-tiba terkencing (kebocoran)

* kesukaran membuang air kecil

* kencing tak lawas

* sakit di kawasan pelvik

* kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia)

* sukar mengawal air kencing atau

* hematuria (kehadiran sel darah merah pada air kencing)

Jika jawapannya ya, anda perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan dan rundingan segera kerana berkemungkinan mengalami gangguan kencing yang disebabkan beberapa perkara.

Terkencing atau juga disebut terkucil mungkin masalah biasa bagi mereka yang berusia. Bagaimana pula jika orang muda atau pertengahan umur yang mengalaminya?

Punca

Pakar Urologi, Dr. Cyril Natarajan berkata, satu kajian yang dibuat pada 2005 menunjukkan hampir 46 peratus lelaki dan wanita Asia berumur antara 40 hingga 50 tahun mempunyai simptom-simptom seperti di atas.

Di Malaysia katanya, keadaan ini merupakan masalah kesihatan yang sering dialami tidak kira jantina.

"Sebenarnya ia boleh menyerang tidak kira usia, namun peningkatan umur mempunyai kaitan dengan masalah ini," kata Dr. Natarajan dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Sanaxeen.

Menurut beliau, kesedaran mengenai gangguan buang air kecil masih rendah di kalangan rakyat Malaysia, walaupun data menunjukkan 30 peratus wanita negara ini menderita masalah ini.

Mereka yang mengalami masalah ini juga katanya jarang mendapatkan pandangan dan nasihat pakar yang berkaitan dan membiarkan sahaja ia sehingga terlewat.

Menurut beliau, fungsi urinari yang sihat bergantung kepada rangkaian neuro otot kompleks yang terdapat pada saluran urinari bawah.

Kelemahan di bahagian pundi kencing dan uretra akan menyumbang kepada LUTS (Simptom Gangguan Salur Bawah Perkumuhan).

Masalah kawalan air kencing

* sukar mengawal pengeluaran air kencing dan berlaku 'kebocoran' melibatkan masalah sosial dan kebersihan

* terpaksa bergegas membuang air kecil

* disebabkan batuk, bersin atau ketawa kuat.

Ia berlaku disebabkan aliran darah yang tidak betul di kawasan berkaitan, jangkitan kuman atau keradangan dan juga pengecutan otot secara umum.

* Ia juga disebabkan masalah pundi kencing terlalu aktif (OAB).

Bagaimana ia berlaku?

Bagi wanita, masalah di bahagian organ pelvik (pengecutan) atau juga disebut rahim jatuh menyumbang kepada gangguan kawalan kencing.

"Ia disebabkan salah satu simptom sama ada di bahagian dinding vagina dalam atau luar atau hujung vagina dan juga boleh berlaku selepas pembedahan membuang rahim (histerektomi)," kata beliau.

Namun di kalangan lelaki pula, 20 hingga 30 peratus daripada mereka yang mengalami masalah ini berkaitan dengan masalah prostat seperti hyperplasia prostatik benigna (BPH).

Kata Dr. Natarajan, pembesaran kelenjar prostat akan menekan salur kencing menyebabkan lelaki tersebut sukar untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

Ini menyebabkan saki-baki air kencing kekal di dalam pundi dan pesakit terpaksa berulang alik ke tandas dengan kerap.

Rawatan tanpa pembedahan

Selain pembedahan, masalah kawalan pundi kencing kata Dr. Natarajan boleh dirawat secara perlahan melalui gaya hidup yang sihat.

"Hentikan merokok atau mengambil minuman keras (bagi mereka yang berbuat demikian). Amalkan diet yang seimbang, elakkan atau kurangkan minuman berkafein dan bersenam mampu membantu mengatasi masalah ini," kata beliau.

Menurutnya, rawatan awal lebih baik kerana pesakit boleh mengawalnya dengan lebih mudah. Pesakit juga katanya boleh mengamalkan jadual membuang air kecil mengikut tempoh tertentu bagi melaraskan kembali keadaan tersebut.

Terdapat juga rawatan perubatan yang mampu membantu seperti ubat yang mengandungi antikolinergik, antikemurungan trisilik, serotonin, hormon antidiuritik dan terapi estrogen setempat. Selain itu perubatan alternatif seperti ekstrak debunga juga boleh membantu.

Mengenai Sanaxeen

Mengandungi komponen biologikal seperti mineral, unsur surih, asid amino, asid nukleik dan enzim yang membantu menyeimbang nutrien sel pertumbuhan semula. Ia membantu mengekalkan kesihatan prostat dan pundi kencing. Jenama ini diyakini secara klinikal melebihi 50 tahun dalam membantu mengurangkan simptom pesakit LUTS.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 17 Februari 2012

SLE dan Kehamilan


Jika pembaca masih ingat, genap sebulan lalu, ruangan Kesihatan telah menyiarkan artikel mengenai penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) serta rawatannya.

Berdasarkan maklum balas yang kami terima, kita sekali lagi akan membincangkan mengenai penyakit itu, tetapi dari perspektif yang berbeza - wanita dan kehamilan.

Kesihatan berbesar hati kerana pakar perubatan yang sama sudi berkongsi kepakarannya untuk menghasilkan artikel mengenai penyakit yang mendapat jolokan `seratus wajah' ini.

Semoga, dengan tersiarnya bahan ini akan memberikan lebih kefahaman kepada orang ramai khususnya pesakit SLE yang lebih banyak dideritai oleh wanita ketika peringkat subur.

Sama-sama kita ikuti. - Pengarang

Oleh DR. MOHD. SHAHRIR MOHAMED SAID

Pensyarah dan Pakar Perubatan

Unit Reumatologi Fakulti Perubatan,

Universiti Kebangsaan Malaysia

PROSES mengandung adalah suatu aspek fisiologi yang penting bagi manusia. Ia juga merupakan antara peristiwa yang dinanti-nantikan oleh setiap wanita.

SLE biasanya dihidapi oleh wanita-wanita di dalam usia 20 hingga 40 tahun. Oleh itu, ia boleh berlaku bersama proses kehamilan.

Prognosis ibu dan anak adalah baik jika aktiviti penyakit tersebut terkawal selama enam bulan hingga 18 bulan, bergantung kepada organ-organ yang terlibat oleh SLE serta tahap keseriusannya. Lebih lama penyakit SLE terkawal, lebih cerah prognosisnya. Oleh itu, kontrasepsi dan perancangan keluarga penting.

Isu-isu yang akan disentuh ialah keaktifan semula SLE, Pre Eklampsia (PE), kehilangan janin, lupus neonatal dan penyusuan bayi.

Keaktifan semula SLE

Keaktifan semula SLE boleh berlaku di dalam 30 hingga 50 peratus pesakit SLE semasa mengandung. Kebarangkalian keaktifan semula SLE adalah sama di dalam ketiga-tiga trimester tempoh mengandung.

Akan tetapi, kebarangkalian tersebut menjadi rendah jika pesakit tersebut mempunyai aktiviti SLE yang terkawal.

Jika pesakit tersebut mempunyai penyakit yang terkawal selama lebih 6 bulan, kebarangkalian tersebut adalah 10 hingga 30 peratus.

Sementara itu, sekiranya pesakit tersebut menghidapi penyakit yang tidak terkawal, maka kebarangkalian meningkat kepada 60 hingga 70 peratus.

Bagi pesakit SLE yang menjangkiti buah pinggang (lupus nefritis), proses mengandung boleh memburukkan status organ berkenaan.

Ini ditambah jika terdapat masalah darah tinggi dan fungsi buah pinggang di mana peratus kehilangan janin adalah lebih kurang 75 peratus.

Di samping itu, kebanyakan ubat-ubatan SLE tidak boleh diambil semasa mengandung kerana dikhuatiri mendatangkan kecacatan kepada bayi.

Oleh itu, seseorang pesakit SLE boleh terdedah kepada pengaktifan semula penyakit semasa mengandung.

Namun demikian, pesakit-pesakit SLE mesti berunding dan mendapatkan nasihat doktor mereka bagi merancangkan kehamilan agar kesan buruk tidak berlaku.

PE

Merupakan suatu masalah yang berkaitan dengan proses mengandung di mana pesakit tersebut mempunyai air kencing berprotein, darah tinggi dan bengkak bahagian kaki dan badan.

Ia boleh berlaku di dalam 13 peratus pesakit SLE yang mengandung. PE boleh menyebabkan sawan yang susah terkawal iaitu eklamsia yang boleh menyebabkan perdarahan di dalam otak ataupun strok.

Apabila tekanan darah menjadi tinggi disebabkan oleh PE, buah pinggang yang mungkin telah mengalami kerosakan oleh lupus nefritis akan bertambah rosak. Kadangkala pesakit ini memerlukan dialisis.

Kehilangan janin

Kira-kira 20 hingga 30 peratus pesakit SLE mungkin mengalami keguguran. Kehilangan janin boleh berlaku di dalam 30 hingga 50 peratus pesakit SLE.

Risiko akan bertambah di dalam pesakit-pesakit yang mempunyai darah tinggi, lupus nefritis dan penyakit SLE yang tidak terkawal.

Suatu keadaan yang diberi nama Sindrom Antifosfolipid Antibodi juga berkaitan dengan penyakit SLE. Sindrom ini boleh menyebabkan saluran darah vena dan arteri tersumbat disebabkan oleh darah beku.

Keguguran boleh berlaku selepas 10 minggu hamil.

Lupus neonatal

Lupus neonatal adalah suatu keadaan di mana anak yang lahir daripada ibu yang mempunyai antibodi anti-Ro dan anti-La.

Kehadiran antibodi ini berkaitan dengan penyakit SLE.

Komplikasi serius adalah pada anak yang bakal dilahirkan iaitu komplikasi sekatan jantung sepenuhnya, menyebabkan denyutan nadi bayi berkurangan sehingga jantung menjadi lemah.

Namun komplikasi ini hanya berlaku di dalam dua peratus kes-kes tersebut.

Penyusuan bayi

Penyusuan bayi dibolehkan bagi pesakit SLE. Akan tetapi, sebahagian rawatan SLE boleh larut di dalam susu ibu.

Ubat-ubat tersebut termasuk ubat mycophenolate mofetil (Cell-cept), azathioprine (Imuran), methotrexate dan sebahagian ubat penahan sakit.

Ubat-ubat seperti antimalaria (hydroxychloroquine), prednisolone, warfarin (tidak selamat pada awal kehamilan) dan suntikan heparin adalah selamat.

Rawatan pesakit SLE yang mengandung

Ia seharusnya melibatkan pakar-pakar perubatan yang tertentu terutamanya dalam bidang reumatologi dan nefrologi serta pakar sakit puan dan perbidanan.

Rawatan pesakit-pesakit tersebut sebenarnya bermula sebelum hamil. Perbincangan yang terperinci bersama keluarga pesakit, pakar perubatan dan pakar perbidanan perlu dilakukan jika pesakit ingin hamil.

Segala komplikasi yang mungkin dihadapi mesti diterangkan kepada pesakit.

Ubat-ubatan juga akan diubahsuai untuk memastikan proses mengandung selamat.

Jangka masa pemeriksaan pesakit-pesakit

Bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.

Pemeriksaan pertama melibatkan pemeriksaan fizikal yang lengkap, pengambilan darah bagi fungsi buah pinggang, fungsi darah, paras asid urik, analisis air kencing, ujian darah aktiviti SLE dan paras komplemen.

Lain-lain termasuk lupus antikoagulan, anticardiolipin antibodi, anti-Ro dan anti-La, analisis lengkap air kencing, urin FEME untuk protein, sel darah merah serta urine protein creatinine index.

Pemeriksaan ultrasound juga dilakukan bagi pemeriksaan fizikal janin. Biasanya, aspirin dimulakan pada peringkat ini dalam usaha mengelakkan PE berlaku.

Pemeriksaan seterusnya dilakukan sebulan kemudian kecuali jika pesakit mempunyai sejarah keguguran ataupun sejarah sindrom antifosfolipid antibodi.

Jika keadaan ini berlaku, pesakit tersebut perlu diperiksa dengan lebih kerap dan suntikan heparin dimulakan bersama aspirin, agar kebekuan darah tidak berlaku terutamanya dalam saluran darah plasenta.

Setiap pemeriksaan mesti melibatkan tekanan darah dan fizikal yang lengkap, ujian air kencing, darah dan ultrasound.

Bagi trimester terakhir, pemeriksaan yang melibatkan ibu dan janin perlu dilakukan pada setiap minggu.

Setelah selamat bersalin, ibu tersebut akan menjalani ujian seperti pemeriksaan pertama kerana kebarangkalian keaktifan semula adalah tinggi dalam tempoh tiga bulan pertama selepas melahirkan.

Sebarang ketidaknormalan pada pemeriksaan fizikal mahupun darah atau air kencing perlu dilihat dari aspek keseluruhan pesakit.

Aspek menamatkan sesuatu kehamilan itu adalah sesuatu yang sensitif dan kontroversi.

Ia banyak bergantung kepada keaktifan SLE pesakit, keaktifan semula SLE, fungsi buah pinggang, PE, eklampsia dan komplikasi PE/eklampsia.

Komplikasi-komplikasi tersebut boleh mendatangkan maut. Oleh itu, aspek kesihatan ibu lebih diutamakan.

Keputusan di atas, perlu dibincangkan bersama suami pesakit, pakar perbidanan dan pakar perubatan reumatologi nefrologi.

Bagaimanapun, kata putus masih terletak di tangan pesakit dan suaminya. Apa yang telah diterangkan tadi bukan bermakna seseorang wanita SLE itu tidak boleh mengandung. Yang penting adalah masa di mana mereka hamil.

Buat masa ini, SLE adalah suatu penyakit yang aktif dikaji di serata dunia. Mungkin suatu masa kelak, rawatan SLE yang baru akan ditemui dan proses mengandung bagi wanita yang menghidap SLE boleh berlaku dengan lebih selamat.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 2 Februari 2012

Payu Dara Perlu Penjagaan Rapi


Memiliki payu dara pejal dan anjal menjadi idaman setiap wanita. Justeru tidak hairan ramai yang sanggup mengeluarkan belanja sehingga mencecah ribuan ringgit. Ini termasuklah menjalani rawatan suntikan dan pemakaian coli yang didakwa mampu mengembalikan ketegangan payu dara.

Hakikat yang perlu diakui, tidak mungkin diri anda yang kini berusia 30 tahun masih memiliki payu dara seperti diri anda pada usia remaja.

Selain faktor peningkatan usia, gaya hidup serta proses kehamilan dan kelahiran banyak mempengaruhi bentuk serta keanjalan payu dara.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan Strapro Sdn. Bhd. Jessica Lim, yang juga perunding kecantikan, ``Payu dara adalah aset berharga bagi wanita. Penjagaannya amat penting bukan sahaja lebih menyempurnakan penampilan, bahkan baik untuk kesihatan.''

Berkongsi ilmu, katanya wanita yang memakai coli ketat melebihi 12 jam sehari bukan sahaja akan menyebabkan tisu dada mengalami tekanan dan edaran sistem limfa dada terjejas, bahkan saluran limfa ke bahagian ketiak turut terhimpit.

``Ini menyebabkan limfa tidak boleh menyahtoksik secara normal.

``Keadaan tidak normal ini boleh menyebabkan sistem imun bahagian dada merosot. Lebih membimbangkan lama kelamaan ia boleh menyebabkan kanser payu dara,'' ujarnya.

Salah satu alternatif terbaik mengekalkan keanjalan payu dara ialah dengan menjalani Rawatan Kesihatan Payu Dara.

Menggunakan produk Dermapro, Bust Firming Serum kaedah urutan yang digunakan ini juga dapat melancarkan perjalanan darah pada payu dara.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my