Peminat Setia

Selasa, 15 Julai 2008

Tak Puas Suami Layan Hanya Seminggu Sekali

SOALAN:
Saya sudah berkahwin selama enam tahun dan mempunyai dua cahaya mata. Masalah saya kini, suami hanya melayani saya seminggu sekali. Ada kalanya saya tidak puas bersamanya. Adakah hubungan intim hanya seminggu sekali satu perkara biasa dalam kehidupan berumah tangga?

Apabila saya bertanya pada suami mengenai kepuasan dalam hubungan intim kami, jawapannya "biasa saja". Apakah yang harus saya lakukan untuk menangani masalah ini?

Risau,
Petaling Jaya, Selangor



JAWAPAN:
Kepuasan hubungan seks tidak semestinya dikira pada kuantiti atau kekerapannya tetapi lebih kepada apa yang dirasai oleh kedua-dua pihak.

Ada pasangan yang puas dengan seminggu sekali manakala ada pula yang masih belum puas dengan sehari sekali. Memandangkan anda merasakan kekerapan seminggu sekali sebagai kurang serta mempunyai masalah kepuasan, seeloknya berbincang dengan suami dengan lebih mendalam tanpa perlu rasa malu atau rendah diri.

Mungkin suami juga mempunyai persoalan yang sama iaitu mendapati anda tidak seghairah dulu untuk memberi tindak balas dalam hubungan seks. Mungkin suami mempunyai kemelut masalah (sama ada berkaitan atau tidak dengan anda) yang sedang diselesaikan sehingga mengganggu aktiviti hariannya dan sikapnya terhadap hubungan.

Berilah ruang kepada suami untuk merungkaikannya dan kembali seperti yang anda inginkan. Suami juga mungkin kini lebih selesa atau puas dengan aktiviti lain bersama anda sekeluarga dan tidak menjadikan hubungan seks sebagai ukuran utama saja.

Anda juga perlu memberi ruang kepada diri sendiri untuk melakukan pembaharuan penampilan, walaupun ini bukan bermakna selama ini anda kurang, mungkin juga anda sebenarnya perlu kembali kepada asalnya sewaktu mula dikahwini suami dulu, dalam hal ini anda berdua lebih mengetahui.

Kepelbagaian teknik dan suasana kamar tidur serta rumah juga boleh diubahsuai untuk mencipta mood baru. Mungkin kini anda pula yang perlu lebih banyak aktif dan menjadi penggerak dalam hubungan seks.

Banyak panduan keintiman rumah tangga yang boleh dipelajari daripada buku dan majalah oleh pakar seksologi serta pakar kaunseling.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Sukar Berbadan Dua Selepas Anak Kedua

SOALAN:
Saya dan suami berusia 33 tahun serta sudah berkahwin selama sembilan tahun. Saya tidak pernah mengamalkan apa-apa perancangan keluarga sama ada suntikan, pil mahupun kaedah 'buang luar'.

Saya kini mempunyai dua anak dan anak bongsu sudah mencecah lima tahun. Saya dan suami sudah hampir empat tahun mengimpikan anak lagi tetapi hampa.

Kitaran haid saya normal dan tiada sebarang masalah kesihatan, begitu juga suami. Saya cuma pernah diberitahu doktor sewaktu ingin melahirkan anak pertama, tulang pelvik saya jauh ke dalam oleh itu, doktor perlu memasukkan jarinya lebih dalam untuk memeriksa bukaan.

Sewaktu hendak melahirkan anak kedua, bidan yang memeriksa bukaan saya menyatakan yang saya belum masa untuk melahirkan walaupun saya sudah merasakannya. Akibatnya, saya melahirkan anak kedua di atas katil wad.

Adakah tulang pelvik yang jauh ke dalam salah satu sebab sukar hamil? Sejak setahun lalu saya pergi berurut dan mengamalkan pengambilan makanan kesihatan tambahan yang dikatakan mampu membantu untuk hamil tetapi masih hampa.

Apakah masalah yang saya hadapi?

Mama Moden,
Petaling Jaya



JAWAPAN:
Sembilan tahun lalu, anda berada pada usia 24 tahun dan masih berada pada kemuncak tahap kesuburan wanita. Setelah melahirkan anak pertama, anda sepatutnya masih mempunyai tahap kesuburan yang tinggi dan terus hamil memandangkan anda tidak mengamalkan kaedah pencegah kehamilan yang berkesan.

Anda mempunyai 15 hingga 25 peratus peluang hamil pada setiap kali kitaran haid selama lapan tahun berikutnya. Berkemungkinan sebenarnya anda mempunyai masalah atau penyakit berkaitan kesuburan yang kini mungkin menjadi semakin nyata.

Pemeriksaan doktor dapat membantu mengenalpasti masalah terbabit. Masalah yang anda alami sewaktu kelahiran anak pertama dan kedua lazimnya tiada kaitan dengan kesuburan.

Saiz pelvis yang dalam mungkin melambatkan proses kelahiran bayi memandangkan bayi perlu turun lebih jauh untuk dilahirkan. Ini tiada kaitan dengan kehamilan.

Namun, anda tidak semestinya mempunyai tulang pelvis yang jauh atau dalam kerana pemeriksaan dalaman sewaktu kelahiran adalah untuk mengukur tahap kepala bayi sudah turun serta saiz bukaan pintu rahim.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Wanita 44 Tahun Ingin Hamil Lagi

SOALAN:
Saya berusia 44 tahun dan bakal berkahwin kali kedua dengan seorang duda berusia 36 tahun Julai ini.

Kami merancang untuk mendapatkan seorang anak perempuan selepas bernikah. Untuk pengetahuan doktor, saya mempunyai dua anak lelaki yang berusia 21 dan 17 tahun manakala pasangan saya mempunyai tiga anak lelaki berusia tujuh, enam serta empat tahun.

Saya rasa boleh hamil lagi memandangkan saya tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius dan menjaga pemakanan serta sentiasa bersukan.

Apakah saya masih mempunyai risiko untuk mendapat anak sindrom Down memandangkan faktor usia walaupun saya mengamalkan cara hidup yang sihat?

Kami juga inginkan pandangan puan mengenai cara berkesan mendapatkan anak perempuan.

Melor,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Kesuburan wanita sangat berkait dengan usianya. Begitu juga dengan risiko ketidaknormalan kromosom pada janin kandungannya yang turut meningkat dengan pertambahan usia wanita.

Ini kerana wanita dilahirkan sudah sedia dengan bekalan telur sepanjang hayatnya. Telur ini digunakan pada setiap kitaran haid dan putus atau berhenti selepas menopaus.

Telur ini sudah terbentuk sejak usia wanita masih dalam tahap janin di dalam kandungan ibu mereka. Maka, semakin meningkat usia wanita, telur yang dikeluarkan pada bulan terbabit juga semakin berusia.

Pada usia anda, telur yang dikeluarkan sudah pun dihasilkan 44 tahun lalu. Berikut adalah perbandingan risiko sindrom Down dan penyakit ketidaknormalan kromosom yang secara umumnya berkait dengan usia wanita hamil:

25 tahun: Satu dalam setiap 1100 kehamilan

35 tahun: Satu dalam setiap 250 kehamilan

45 tahun: Satu dalam setiap 20 kehamilan

Secara amnya, risiko melebihi satu dalam 250 dikatakan sebagai berisiko tinggi. Pemakanan dan keaktifan bersukan tidak mengubah risiko berkaitan usia di atas.

Anda dinasihatkan berjumpa pakar sakit puan yang khusus dalam bidang kesuburan, bukan saja untuk berbincang mengenai risiko kehamilan pada usia ini (bukan saja kepada bayi tetapi penyakit lain yang boleh anda alami sewaktu hamil kelak) dan peluang kehamilan serta pilihan rawatan yang sesuai, malah dapat menawarkan semua pilihan rawatan terbabit (daripada tahap pemberian ubat kesuburan saja kepada peringkat persenyawaan tabung uji).

Sekiranya anda masih belum hamil selepas enam bulan mencuba, eloklah berjumpa doktor terbabit dan tidak perlu menunggu lebih lama.

Malah, pemeriksaan awal boleh dimulakan seawal sekarang. Pengambilan pil asid folik sebanyak lima miligram setiap hari bukan saja elok untuk kesihatan diri, malah dapat membantu menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi sehingga 80 peratus.

Anda mungkin sudah pun mendengar mengenai banyak teknik dan petua amalan masyarakat (pemakanan, posisi hubungan seks, kitaran haid sewaktu hubungan seks, menggunakan douche faraj dan seumpamanya) untuk mencuba mendapatkan anak mengikut jantina yang diidamkan.

Walaupun semuanya bukanlah 100 peratus tepat keberkesanannya, tidak salah mencuba asalkan ia tidak menyusahkan, membebankan atau mendatangkan kemudaratan kepada anda.

Yang tepat adalah menggunakan kaedah pre-implantation genetic diagnosis (PGD) di mana satu atau beberapa sel daripada embrio diambil sebelum dikultur untuk ujian tertentu termasuklah penentuan jantina.

Kaedah ini menggunakan teknik persenyawaan tabung uji. Bagaimanapun, anda harus faham bahawa ini tidak dibenarkan di dalam Islam atas dasar khuatir ke atas nasib embrio jantina lain yang tidak atau kurang diperlukan.

Ujian diagnostik lain adalah ujian chorionic villous sampling atau CVS dan amniocentesis yang hanya dapat dilakukan apabila anda sudah hamil.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Selasa, 8 Julai 2008

Bimbang Kemalangan Ganggu Kehamilan

SOALAN:
Saya berusia 21 tahun dan baru enam bulan berumah tangga. Sehingga kini saya masih belum hamil.

Masalahnya kini, ketika dua bulan berkahwin, saya ada mengurut perut dan pinggang kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan buah pinggang saya bengkak serta kencing berdarah.

Pada bulan berikutnya, haid saya hanya dua hari yang saya alami selama tiga bulan berturut-turut. Mengesyaki kemungkinan saya sakit atau hamil, doktor mengatakan ada ketulan di dalam rahim.

Doktor tidak dapat memastikan apa ketulan itu tetapi saya juga melihat ketulan itu waktu imbasan. Kemudian, saya merujuk ke klinik lain tetapi doktor yang memasukkan sejenis alat ke dalam rahim saya ketika itu menyatakan tiada apa yang kelihatan.

Doktor itu juga menyatakan saya sihat dan hanya berlaku pertukaran hormon kerana baru berkahwin. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini? Apakah yang harus saya lakukan?

Rita
Sungai Besi, Kuala Lumpur



JAWAPAN:
BERDASARKAN pemeriksaan doktor kedua, saya andaikan anda sebenarnya menjalani pemeriksaan imbasan ultrabunyi menggunakan alat yang dimasukkan ke dalam faraj (bukannya ke dalam rahim).

Secara perbandingan, teknik ini lebih jelas berbanding jika imbasan ultrabunyi itu dilakukan menggunakan alat yang diletakkan ke atas abdomen atau perut anda.

Bagaimanapun, tidak salah jika anda menjalani pemeriksaan kali ketiga, seelok-eloknya dengan pakar sakit puan untuk kepastian.

Lebih elok lagi sekiranya anda masih menyimpan gambar imbasan ultrabunyi kali pertama dahulu. Jika benar ada ketulan di dalam rahim, jenis ketulan itu bergantung kepada kedudukannya sama ada di dalam dinding rahim atau di dalam ruang rahim.

Stres kemalangan diketahui boleh mengganggu hormon sehingga mengakibatkan masalah ovulasi, lazimnya ia bersifat sementara saja.

Sama penting juga adalah untuk anda menjalani pemeriksaan buah pinggang. Kecederaan buah pinggang yang dialami sewaktu kemalangan dulu boleh menyebabkan gangguan kekal dan menjadi lebih teruk sewaktu kehamilan.

Ini kerana sewaktu kehamilan, berlaku stasis (perlambatan) aliran air kencing daripada buah pinggang menuruni saluran ureter ke dalam pundi kencing.


Dipetik dari:
htpp://www.hmetro.com.my

Risau Belum Hamil Lepas 9 Bulan Gugur

SOALAN:
Saya berumur 26 tahun dan perkahwinan saya genap setahun. Sebelum ini, saya keguguran ketika kandungan berusia tiga bulan.

Selepas sembilan bulan menjalani prosedur cuci dilation & curettage (D&C), saya masih tidak hamil lagi hingga kini. Saya dimaklumkan tidak subur lalu dibekalkan ubat kesuburan sebanyak lima biji untuk diambil selama lima hari.

Saya juga pernah menggunakan ubat homeopati selama dua bulan namun masih tidak mendatangkan hasil. Selepas D&C, berat badan saya naik mendadak iaitu daripada 52 kilogram (kg) kepada 60 kg manakala ketinggian saya adalah 155 sentimeter (sm).

Saya juga mengalami keputihan yang teruk. Adakah berat badan naik mendadak atau keputihan yang teruk itu me nyebabkan saya sukar hamil?

Mila,
Putrajaya.



JAWAPAN:

Dengan ketinggian 155 sm, berat badan yang sesuai bagi anda adalah di antara 46 hingga 60 kg. Walaupun ia masih dalam julat ideal, sekiranya pertambahan atau sebaliknya pengurangan berat badan berlaku secara mendadak, gang guan ovulasi (pengeluaran telur) boleh berlaku sehingga menjejaskan kesuburan seseorang.

Belum ada kajian melaporkan kaitan D&C menyebabkan pertambahan berat badan. Anda bolehlah berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan am berkenaan keputihan yang berulang serta pemeriksaan am kesuburan serta rawatan mudah seperti pemberian ubat kesuburan dan teknik per manian berhadas (IUI).

Penyakit keputihan lazimnya dirawat menggunakan ubat antikulat atau ubat antibiotik dengan mengandaikan anda dijangkiti kulat atau bakteria.

Ada masanya kuman tertentu hanya sesuai diubati dengan jenis ubat tertentu saja, serta sudah lali dengan ubat-ubatan lain. Pengamatan ke atas ciri keputihan serta pengambilan sampel keputihan terbabit dapat membantu mengesahkan jenis kuman yang menyebabkan keadaan itu.

Sekiranya anda masih belum hamil kelak, anda juga boleh bertukar rawatan dengan pakar sakit puan yang lebih ber pengalaman dalam bidang kesuburan.

Dengan ini pilihan rawatan yang lebih menyeluruh dapat diberikan sama ada menggunakan ubat kesuburan pil, sun tikan kesuburan, teknik IUI, teknik persenyawaan tabung uji (IVF/ICSI) serta rawatan berkaitan penyakit yang menye babkannya (jika ada) dan seumpamanya.

Usia anda yang masih muda memberi peluang yang op timum untuk kehamilan.


Dipetik dari:
htpp://www.hmetro.com.my