Peminat Setia

Khamis, 26 Jun 2008

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan sudah berkahwin selama tiga tahun. Tahun lalu saya hamil anak pertama tetapi ketika usia kandungan 29 minggu, anak saya disahkan meninggal dunia dalam kandungan ketika saya mengalami darah tinggi.

Adakah hubungan seks ketika saya mengalami darah tinggi itu menjadi punca kematian bayi? Adakah mungkin ia disebabkan faktor lain seperti kekurangan rehat? Untuk pengetahuan puan, saya tidak menggunakan sebarang pil perancang keluarga selama ini.

Nor,
Taman Alam Megah, Shah Alam

JAWAPAN:Penyakit darah tinggi kehamilan terutamanya praeklampsia (disertai kencing kotor mengandungi protin) dan eklampsia (sawan darah tinggi) adalah salah satu punca utama kematian ibu mengandung. Ia lebih berisiko untuk wanita yang mempunyai faktor berikut:

>> Kehamilan kali pertama

>> Kehamilan kali pertama dengan suami baru

>> Pernah mengalami darah tinggi sewaktu kehamilan terdahulu

>> Usia wanita sama ada muda atau sebaliknya lewat berusia

>> Mengalami penyakit darah tinggi sebelum hamil lagi

>> Mengalami penyakit buah pinggang, kencing manis, penyakit tisu perantara

>> Kehamilan kembar

>> Kehamilan molar (anggur)

>> Mempunyai sejarah ahli keluarga dengan penyakit darah tinggi

Penyakit ini berpunca daripada masalah dalam uri, lazimnya berlaku seawal empat bulan usia kehamilan. Ini menyebabkan pengurangan aliran darah melalui uri serta pengecutan salur darah sehingga mengganggu tumbesaran janin.

Selain itu, uri juga mudah lekang dari dinding rahim dan menyebabkan keadaan abruptio plasenta yang berakhir dengan kematian janin.

Komplikasi di atas lebih berlaku dalam penyakit praeklampsia (darah tinggi disertai kehadiran protin dalam air kencing) berbanding darah tinggi tanpa disertai protin dalam air kencing.

Anda bernasib baik kerana tidak mengalami komplikasi lain seperti pendarahan otak, sawan, kegagalan buah pinggang, sindrom HELLP, edema pulmonari dan kematian.

Tiada laporan mengaitkan hubungan seks dengan kematian janin dalam kandungan wanita yang berpenyakit darah tinggi.

Kematian janin sering dikaitkan dengan keadaan abruptio plasenta (mendadak) atau masalah pembesaran janin (yang disusuli oleh kematian selepas jangka waktu lama).

Sebelum memulakan kehamilan berikutnya, anda perlu berjumpa pakar perbidanan untuk menilai kembali status kesihatan anda. Anda juga seeloknya mendapatkan penjagaan pakar terbabit sewaktu hamil kelak.

Beberapa persediaan lazimnya dilakukan untuk mengesan kemunculan darah tinggi, simptom berkaitan (pening kepala, sakit ulu hati, pandangan kabur dan seumpamanya), banyaknya pembuangan air kencing, kehadiran protin dalam air kencing, ujian darah (termasuk paras platelet, fungsi buah pinggang, enzim hati) dan lain-lain.

Pada masa sama, kandungan anda juga dinilai terutamanya usia kandungan (iaitu tarikh jangkaan bersalin), pembesaran janin, banyaknya air ketuban, aliran darah tali pusat di samping penilaian am yang lain.

Anda juga harus bersedia atas kemungkinan kandungan terpaksa dilahirkan lebih awal sekiranya penyakit darah tinggi (jika dialami) didapati memberi kesan negatif kepada anda atau kandungan.

Lebih awal anda dikesan mengalami darah tinggi, lebih berisiko anda mengalami komplikasi yang dinyatakan di atas. Sekiranya anda tidak mengalami penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan kelak, penjagaan masih harus diteruskan sehingga anda melepasi tempoh enam minggu selepas kelahiran.

Selasa, 3 Jun 2008

Kitaran Haid Terganggu Selepas Suntikan Perancang

SOALAN:
Saya berusia 25 tahun dan mempunyai dua anak yang kedua-duanya dilahirkan secara Caesarean.

Saya merancang untuk menjarakkan anak dalam tempoh lima tahun dan kini mengambil suntikan perancang dan ia menyebabkan kitaran haid saya terganggu.

Saya juga ingin mencuba kaedah alat dalam rahim (IUD). Menurut pandangan doktor, kaedah mana yang lebih sesuai dan selamat untuk saya?

Lia,
Jalan Gambang, Kuantan



JAWAPAN:
Kedua-dua kaedah berkenaan adalah antara kaedah yang berkesan untuk mencegah kehamilan. Kedua-duanya mem punyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Suntikan terbabit sesuai untuk ibu yang menyusu badan kerana ia tidak mengandungi hormon estrogen seperti ke banyakan pil perancang.

Ia berkesan untuk lapan atau 12 minggu mengikut jenisnya, ini bermakna anda perlu berjumpa doktor setiap dua atau tiga bulan untuk meneruskannya.

Gangguan haid tidak dialami oleh semua wanita. Pada tempoh tiga hingga enam bulan pertama pengambilannya, haid boleh menjadi berpanjangan, kuantitinya lebih banyak serta kitarannya tidak teratur.

Setelah tempoh enam bulan terbabit, haid sebaliknya men jadi berkurangan serta bilangan harinya juga lebih pendek. Ada juga wanita yang langsung tidak didatangi haid setelah itu.

Maka, ia kurang sesuai untuk wanita yang sememangnya diketahui mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, wanita yang mempunyai penyakit tertentu seperti darah tinggi, penyakit pembekuan darah, pengambilan ubat pencair darah dan seumpamanya.

Selain mencegah kehamilan, suntikan ini juga mengu rangkan risiko penyakit-penyakit berikut:

- endometriosis

- kanser rahim

- kanser ovari,

- anemia yang disebabkan kekurangan zat besi

- penyakit radang pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID ) dan seumpamanya.

Bagi anda yang mementingkan keberkesanan, kaedah ini dapat mencegah kehamilan sehingga 99.7 peratus.

Sekiranya ia berterusan mengakibatkan kehilangan darah haid yang banyak sehingga menjadikan anda kekurangan darah (anemia), ia mungkin bukanlah kaedah yang sesuai.

Selain kaedah alat dalam rahim (IUD), ada beberapa kaedah lain yang sangat berkesan seperti implan dan pil perancang.

Kaedah implan adalah paling berkesan setakat ini, tidak memerlukan anda berjumpa doktor setiap lapan hingga 12 minggu, namun ia mahal dan mempunyai kekurangan ter sendiri termasuk gangguan haid.

Kaedah IUD juga berkesan hampir menyamai kaedah suntikan, ia juga boleh memberi kesan kepada kitaran haid. Anda dinasihatkan berjumpa kembali doktor anda dan berbincang mengenai kaedah yang ada di Malaysia sebelum bertukar kaedah.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Isteri Tertekan Mahu Anjak Waktu Haid

SOALAN:Saya berusia 27 tahun dan suami pula 31 tahun. Kami berkahwin hampir dua tahun dan masih tidak mempunyai anak.

Kitaran haid saya adalah antara 27 hingga 29 hari. Selepas lapan bulan berkahwin, saya menjalani pemeriksaan doktor dan diberitahu kualiti telur saya tidak berapa subur.

Kini kami mengamalkan ubat kesuburan yang diberikan doktor setiap bulan. Suami saya bekerja di pelantar minyak dan kami hanya bertemu dua minggu sebulan.

Masalahnya, sejak berkahwin hingga kini, hari pertama haid saya bermula waktu suami di darat, bermakna kami hanya dapat bersama pada hari kelapan hingga hari ke-10.

Saya ingin tahu, adakah sebarang ubat yang boleh meng anjakkan waktu haid saya lebih lewat lima atau enam hari supaya ketika waktu subur saya dapat bersama suami?

Adakah saya perlu mengambil ubat kesuburan setiap bulan? Apakah kesan pengambilannya setiap bulan? Saya agak tertekan dengan keadaan ini. Adakah keadaan kami yang tidak dapat bersama waktu saya subur menyukarkan saya untuk hamil?

Shima,
Pahang.



JAWAPAN:
Pengambilan pil kesuburan bertujuan merangsang pembesaran kantung telur. Lazimnya pil subur dapat me rangsang pembesaran lebih daripada satu telur.

Ada banyak lagi faktor yang mengawal peluang kehamilan pasangan, antaranya kehadiran sperma pada waktu ovulasi. Sperma lazimnya dapat bertahan paling lama selama tiga hari hayatnya (ada sperma yang sudah mati apabila keluar, ada pula yang dapat bertahan hanya satu hingga dua jam saja).

Telur wanita pula dapat bertahan selama 24 jam selepas ovulasi. Seeloknya anda bersama suami setiap hari atau selang satu hingga dua hari untuk memastikan sperma sentiasa ada untuk mensenyawakan telur anda apabila berlaku ovulasi, dengan syarat tiub falopio berfungsi normal menyambut telur ke dalamnya dan menyampaikan sperma kepada telur.

Memandangkan anda hanya dapat bersama suami selama dua minggu sebulan, anda mempunyai peluang dengan mempercepatkan kedatangan haid sebelum suami pulang agar anda bersih daripada haid pada waktu suami pulang untuk bersama selama dua minggu.

Ini dapat dibantu dengan penggunaan ubat hormon me ngandungi progestin.

Satu lagi cara yang lain adalah menggunakan suntikan hormon antagonis GnRH untuk menahan telur yang sedang membesar daripada berlakunya ovulasi.

Suntikan ini diambil setiap hari bermula sekitar hari kelapan kitaran haid anda dan bolehlah dihentikan satu hingga dua hari sebelum suami pulang untuk bersama anda.

Bagaimanapun, harganya adalah jauh lebih mahal daripada pilihan pertama di atas. Dalam kedua-dua cara, pil kesuburan boleh digunakan untuk merangsang lebih daripada satu telur bagi meningkatkan peluang kehamilan.

Setiap ubat mempunyai kesan sampingan tersendiri. Satu kajian lama melaporkan peningkatan kes kanser ovari dengan pengambilan pil kesuburan melebihi 12 bulan.

Walaupun hasil kajian ini ada dipertikaikan kesahihan kesannya, kebanyakan doktor tidak menggalakkan pengam bilan melebihi enam kitaran. Malah, pemantauan pembesaran dan bilangan telur pada dua hingga tiga kitaran pertama dapat memberi gambaran mengenai keberkesanan pil ini dalam merangsang telur seseorang wanita.

Lazimnya, usaha meneruskannya untuk kali keempat tidak banyak memberi perbezaan dengan peluang sebelumnya.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Kesihatan Terjejas Ketika Hamil

SOALAN:
Saya berusia 23 tahun dan kini hamil anak pertama (memasuki bulan kelima) yang dijangka dilahirkan pada Ogos ini.

Saya mengalami masalah kesihatan yang agak teruk seperti batuk, selesema, bersin, hidung tersumbat dan susah bernafas. Ia berlaku sejak mula kehamilan sehingga kini tanpa mengira siang atau malam. Saya sudah berjumpa doktor tetapi masalah kesihatan itu masih berterusan.

Apakah kesannya kepada kandungan saya? Adakah ia sekadar gangguan yang saya hadapi sewaktu hamil kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini?

Naruemon,
Kuala Teriang, Langkawi, Kedah



JAWAPAN:
Seeloknya anda berjumpa pakar perubatan untuk pe meriksaan lanjut. Anda mungkin mengalami penyakit yang baru muncul, atau hanya alahan kehamilan.

Batuk dan sukar bernafas mungkin memberi kesan kepada keadaan anda ketika hamil dan menjadi lebih teruk sewaktu bersalin kelak. Begitu juga dengan bersin.

Memandangkan salur darah mengembang dan berada ham pir dengan permukaan kulit sewaktu kehamilan, bersin boleh menyebabkan keadaan hidung berdarah menjadi lebih kerap dan berterusan.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Ingin Hamil Tapi Takut Bersalin

SOALAN:
Saya berusia 31 tahun dan berkahwin kira-kira tiga tahun lalu. Anak lelaki saya kini berusia dua tahun dan kami bercadang menambah zuriat.

Waktu hamil dulu, berat badan saya meningkat daripada 49 kilogram (kg) kepada 65.5kg dengan ketinggian 156 sen timeter. Saya sebenarnya terlalu takut dengan kelahiran pertama disebabkan komplikasi ketika bersalin.

Saya mengalami koyakan perinium tahap ketiga dan tumpah darah sebanyak 700ml. Sewaktu dalam pantang, saya hanya makan bubur kerana saya mengalami sembelit.

Untuk kelahiran kedua, pakar sakit puan di hospital mem berikan saya pilihan sama ada kelahiran normal atau pem bedahan.

Jika kelahiran normal, risiko koyakan perinium tahap ketiga besar kemungkinan akan berlaku lagi. Katanya, koyakan itu boleh dijahit tetapi bimbang tidak menjadi seperti asal (hilang saraf) dan boleh membawa masalah seperti tiada rasa untuk membuang najis.

Saya ingin hamil tetapi takut untuk bersalin. Harap puan dapat memberi pandangan mengenai masalah saya ini.

Sunita,
Seberang Takir, Kuala Terengganu.



JAWAPAN:
Untuk makluman, koyakan bersalin boleh terbahagi kepada empat tahap seperti berikut:

>> Tahap pertama - membabitkan kulit perinium saja

>> Tahap kedua - membabitkan otot perinium tetapi tidak terkena sfinkter dubur

>> Tahap ketiga - membabitkan sebahagian atau semua sfinkter dubur

>> Tahap keempat - membabitkan sfinkter dubur dan mengenai selaput epitilium dubur

Koyakan perinium tahap ketiga boleh berlaku atas beberapa sebab, antaranya saiz bayi yang dilahirkan besar, penggunaan alatan bantuan seperti forsep, kedudukan kepala bayi dalam keadaan mendongak (occipito-posterior), kelemahan semula jadi (kongenital) otot perinium dan seumpamanya.

Seseorang boleh mengalami tumpah darah akibat koyakan sebesar ini sehingga memerlukan pendermaan darah. Se kiranya anda sudah pun mempunyai paras hemoglobin darah yang mencukupi sebelum bersalin, pendarahan sebanyak 700ml lazimnya tidak memerlukan pendermaan darah.

Namun kebiasaannya, doktor akan membekalkan pil zat besi untuk meningkatkan semula paras hemoglobin darah anda. Pil zat besi ini (sama seperti pil zat besi yang diambil oleh wanita hamil) boleh menyebabkan kesan sembelit di samping najis berwarna kehitaman, kedua-dua ini adalah perubahan yang dijangkakan dan tidaklah membimbangkan.

Sekiranya koyakan terbabit membabitkan trauma kepada otot pengawal bukaan dubur (sfinkter dubur) dan tidak dapat dicantum sepenuhnya, anda mungkin mengalami masalah mengawal pembuangan air besar seperti bayi dan bukannya sembelit seperti yang anda alami dulu.

Maka, besar kemungkinan anda tidak mengalami kom plikasi inkontinens najis. Komplikasi lain berkait koyakan ini adalah tidak dapat mengawal kentut, sakit ketika hubungan seks, jangkitan perinium dan kebocoran air kencing atau najis ke dalam faraj akibat pembentukan fistula di antaranya.

Koyakan perinium tahap ketiga lazimnya tidak semestinya berulang melainkan dalam keadaan kelemahan kongenital otot perinium.

Pemeriksaan kandungan kedua dapat menjangkakan saiz bayi, kedudukan kepala bayi dan seumpamanya yang dapat menjangkakan risiko koyakan tahap ketiga atau lebih teruk lagi koyakan tahap keempat berlaku.

Secara amnya, risiko koyakan tahap ketiga berlaku dalam satu peratus wanita yang bersalin melalui faraj. Berikut adalah perbandingan tambahan risiko sekiranya anda mempunyai faktor di bawah:

>> Induksi bersalin (risiko dua peratus)

>> Tempoh fasa kedua atau fasa meneran melebihi satu jam (risiko empat peratus)

>> Berat bayi melebihi empat kilogram (risiko bertambah menjadi dua peratus)

>> Kedudukan bayi mendongak atau occipito-posterior (ri siko bertambah kepada tiga peratus)

>> Bahu bayi tersekat (shoulder dystocia) (risiko empat peratus)

>> Penggunaan forsep (risiko tujuh peratus)

>> Episiotomi jenis midline (risiko tiga peratus)

Wanita bersalin kali pertama juga mempunyai peningkatan risiko sebanyak empat peratus. Ini bermakna anda mungkin mempunyai kurang risiko memandangkan ini adalah kali kedua anda akan bersalin.

Di samping itu, doktor anda mungkin tidak akan melakukan episiotomi jenis median dan tidak menggalakkan anda ber salin normal sekiranya bayi dijangka besar atau berada dalam keadaan mendongak.

Selain itu, anda mungkin tidak digalakkan melalui tempoh sakit bersalin yang lama, doktor akan memilih melakukan episiotomi jenis medio-lateral dan penggunaan forsep mung kin akan dielakkan.

Bagaimanapun, anda dinasihati berbincang lebih lanjut dengan doktor anda dan membuat pilihan mengikut pandangan dan nasihatnya.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my