Peminat Setia

Khamis, 26 Jun 2008

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan sudah berkahwin selama tiga tahun. Tahun lalu saya hamil anak pertama tetapi ketika usia kandungan 29 minggu, anak saya disahkan meninggal dunia dalam kandungan ketika saya mengalami darah tinggi.

Adakah hubungan seks ketika saya mengalami darah tinggi itu menjadi punca kematian bayi? Adakah mungkin ia disebabkan faktor lain seperti kekurangan rehat? Untuk pengetahuan puan, saya tidak menggunakan sebarang pil perancang keluarga selama ini.

Nor,
Taman Alam Megah, Shah Alam

JAWAPAN:Penyakit darah tinggi kehamilan terutamanya praeklampsia (disertai kencing kotor mengandungi protin) dan eklampsia (sawan darah tinggi) adalah salah satu punca utama kematian ibu mengandung. Ia lebih berisiko untuk wanita yang mempunyai faktor berikut:

>> Kehamilan kali pertama

>> Kehamilan kali pertama dengan suami baru

>> Pernah mengalami darah tinggi sewaktu kehamilan terdahulu

>> Usia wanita sama ada muda atau sebaliknya lewat berusia

>> Mengalami penyakit darah tinggi sebelum hamil lagi

>> Mengalami penyakit buah pinggang, kencing manis, penyakit tisu perantara

>> Kehamilan kembar

>> Kehamilan molar (anggur)

>> Mempunyai sejarah ahli keluarga dengan penyakit darah tinggi

Penyakit ini berpunca daripada masalah dalam uri, lazimnya berlaku seawal empat bulan usia kehamilan. Ini menyebabkan pengurangan aliran darah melalui uri serta pengecutan salur darah sehingga mengganggu tumbesaran janin.

Selain itu, uri juga mudah lekang dari dinding rahim dan menyebabkan keadaan abruptio plasenta yang berakhir dengan kematian janin.

Komplikasi di atas lebih berlaku dalam penyakit praeklampsia (darah tinggi disertai kehadiran protin dalam air kencing) berbanding darah tinggi tanpa disertai protin dalam air kencing.

Anda bernasib baik kerana tidak mengalami komplikasi lain seperti pendarahan otak, sawan, kegagalan buah pinggang, sindrom HELLP, edema pulmonari dan kematian.

Tiada laporan mengaitkan hubungan seks dengan kematian janin dalam kandungan wanita yang berpenyakit darah tinggi.

Kematian janin sering dikaitkan dengan keadaan abruptio plasenta (mendadak) atau masalah pembesaran janin (yang disusuli oleh kematian selepas jangka waktu lama).

Sebelum memulakan kehamilan berikutnya, anda perlu berjumpa pakar perbidanan untuk menilai kembali status kesihatan anda. Anda juga seeloknya mendapatkan penjagaan pakar terbabit sewaktu hamil kelak.

Beberapa persediaan lazimnya dilakukan untuk mengesan kemunculan darah tinggi, simptom berkaitan (pening kepala, sakit ulu hati, pandangan kabur dan seumpamanya), banyaknya pembuangan air kencing, kehadiran protin dalam air kencing, ujian darah (termasuk paras platelet, fungsi buah pinggang, enzim hati) dan lain-lain.

Pada masa sama, kandungan anda juga dinilai terutamanya usia kandungan (iaitu tarikh jangkaan bersalin), pembesaran janin, banyaknya air ketuban, aliran darah tali pusat di samping penilaian am yang lain.

Anda juga harus bersedia atas kemungkinan kandungan terpaksa dilahirkan lebih awal sekiranya penyakit darah tinggi (jika dialami) didapati memberi kesan negatif kepada anda atau kandungan.

Lebih awal anda dikesan mengalami darah tinggi, lebih berisiko anda mengalami komplikasi yang dinyatakan di atas. Sekiranya anda tidak mengalami penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan kelak, penjagaan masih harus diteruskan sehingga anda melepasi tempoh enam minggu selepas kelahiran.

Tiada ulasan: