Peminat Setia

Ahad, 30 Disember 2007

Sinar-X Sedikit Tak Bahaya Kandungan

SOALAN:
Apakah kesan penggunaan sinaran-X kepada ibu mengandung?

Zakri,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
Sukar untuk menjawab soalan anda dengan pasti. Kajian yang dilaporkan hanyalah berdasarkan kes yang sudah berlaku saja (retrospektif) dan bukan prospektif. Hasilnya menunjukkan tiada peningkatan risiko dari segi kecacatan dan keguguran janin mahupun risiko kanser kepada ibu hamil itu.

Risiko kanser akibat sinaran-X dilaporkan sangat kecil (kurang daripada satu dalam sejuta). Kesan risiko kepada kandungan dan ibu lebih bergantung kepada dos sinaran-X yang diterimanya.

Boleh dikatakan sinaran-X yang digunakan dalam pemeriksaan diagnostik lazimnya tidak mendatangkan bahaya kepada kandungan memandangkan dos pancarannya sangat rendah (kurang daripada 5rad).

Kecacatan mental bayi dikaitkan dengan penerimaan pancaran sinaran-X melebihi 10rad (ataupun 10,000 milirad). Namun, kebanyakan ujian menggunakan sinaran-X dalam dos yang jauh lebih kecil.

Contohnya, sinaran-X dalam menganalisis pergigian hanyalah sebanyak 0.01 milirad, sinaran-X dada sebanyak 60 milirad, sinaran-X abdomen sebanyak 290 milirad dan ujian imbasan CT sebanyak 800 milirad.

Bagaimanapun, ibu hamil dinasihatkan agar memberitahu doktor mengenai kehamilannya bagi mengelakkan ujian sinaran-X yang tidak perlu.

Dalam keadaan yang memerlukan sinaran-X, lazimnya satu alat dipakai pada kawasan abdomen sebagai pelindung kepada kandungan.

Walaupun teknologi ultrabunyi kini semakin canggih dan paparan gambarannya semakin jelas, kesan keseluruhan kepada bayi hanya dapat dinilai sepenuhnya selepas kelahiran sehinggalah sepanjang tempoh pembesarannya.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Sabtu, 29 Disember 2007

Pelajar Alami Keputihan Teruk

SOALAN:
Saya berusia 20 tahun dan masih menuntut.

Saya mengalami keputihan yang teruk, ia sentiasa keluar seperti ketulan putih yang banyak.

Akibatnya, saya rasa sangat gatal pada bahagian kemaluan dan ia turut mengeluarkan bau. Adakah ia biasa dialami oleh gadis sebaya? Mungkinkah ia akan mendatangkan kesan yang lebih teruk lagi di masa depan? Bagaimana cara untuk mengatasinya?

MISS ELL,
Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN:
INI memerlukan rawatan ubatan. Lazimnya ia disebabkan jangkitan kulat namun ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Pemeriksaan doktor boleh dilakukan.

Dalam kebanyakan kes, pengecaman ke atas ciri keputihan terbabit boleh memberikan telahan awal terhadap jenis kuman. Ini boleh disahkan secara mengambil sampel yang ada pada bahagian berhampiran bukaan faraj.

Pengambilan sampel ini mudah serta selamat dan tidak menjejaskan selaput dara seseorang. Hasil kultur sampel terbabit bolehlah dibandingkan kemudiannya dengan rawatan yang diberi.

Jika masalah ini berulang, anda mungkin memerlukan ujian lanjut seperti paras gula dalam darah dan seumpamanya. Penekanan terhadap penjagaan kawasan kemaluan juga perlu diberi perhatian, terutama jika anda mudah atau kerap berpeluh dan sewaktu kedatangan haid.


Dipetik dari:

http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 27 Disember 2007

Ibu Hamil Bimbang Uri Melekat

SOALAN:
SAYA berusia 29 tahun dan waktu melahirkan anak sulung, didapati uri saya melekat pada dinding rahim. Saya mengalami pengalaman perit ketika doktor cuba mengeluarkan uri terbabit dan Alhamdulillah, saya serta anak selamat.

Kini saya hamil empat bulan anak kedua dan saya bimbang kejadian sama berulang.

Apakah risiko uri melekat pada ibu dan anak? Apakah punca keadaan berkenaan? Adakah sebarang langkah boleh diikuti bagi mencegah uri melekat? Mungkinkah kandungan anak kedua itu akan mengalami masalah uri melekat?

INGIN TAHU,
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN:
SETELAH kelahiran bayi, uri masih lagi melekat pada sebahagian permukaan dinding rahim dan bersambung dengan aliran darah ibu. Uri ini perlu terpisah keseluruhannya daripada permukaan rahim ini dan dikeluarkan untuk mempercepatkan pengecutan dinding rahim.

Ia dilakukan secara memberi suntikan ubat sintocinon dan ergometrine atau salah satu antaranya. Kemudian, ia menarik tali pusat perlahanlahan sehingga uri keluar lengkap bersama selaputnya.

Uri melekat (retained placenta) dikatakan berlaku apabila uri masih tidak keluar setelah langkah proaktif di atas diambil.

Dalam keadaan ini, tindakan lebih agresif dilakukan untuk mengeluarkannya bagi me ngelakkan tumpah darah yang berpanjangan dan berlebihan lagi.

Prosedur menyeluk keluar uri ini lazimnya dilakukan secara memisahkan uri daripada dinding rahim menggunakan teknik manual atau digital. Pada masa sama, ubat mengandungi oksitosin juga diberikan untuk membolehkan rahim mengecut secara berterusan.

Tiada risiko penyebab kejadian ini namun uri melekat dilaporkan lebih berlaku di kalangan wanita yang sudah melahirkan ramai anak serta wanita yang pernah mengalami keadaan uri melekat.

Ini adalah logik memandangkan lebih banyak kelahiran dialami seseorang, lebih tinggi risiko bagi wanita berkenaan terdedah kepada uri melekat. Selain itu, seseorang yang pernah mengalami uri melekat juga mungkin mempunyai faktor penyebab yang sama atau kekal.

Satu faktor yang boleh diambil kira adalah penyakit plasenta accreta di mana uri melekat sehingga mencapai kawasan otot dinding rahim.

Ia lebih berlaku akibat trauma ke atas dinding rahim seperti dilation & curettage, pembedahan Caesarean dan seumpamanya.

Plasenta increta adalah keadaan yang lebih kritikal di mana uri tertanam ke dalam otot dinding rahim manakala plasenta percreta pula adalah keadaan uri tertanam sehingga menembusi keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya.

Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia berlaku setelah anak dilahirkan. Namun, bagi ibu, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak (pendarahan melebihi 500 mililiter), rahim tidak atau lambat mengecut, penggunaan prosedur pemindahan plasenta secara manual, pemberian ubat oksitosik dan pembiusan, jangkitan rahim, pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim.

Seeloknya, elakkan prosedur berkaitan (seperti di atas) melainkan jika perlu.

Selain itu, amalkan pemakanan sihat dan pengambilan vitamin serta ubat zat besi bagi memastikan anda mempunyai tahap hemoglobin darah yang memuaskan bagi menampung sepanjang kemungkinan komplikasi berkaitan kelahiran. Anda juga dinasihatkan bersalin di hospital.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 18 Disember 2007

Buang Cyst Untuk Hamil

SOALAN :
SAYA berusia 27 tahun, sudah mendirikan rumah tangga selama setahun dan belum hamil. Saya diberitahu doktor mengalami endometriosis dan cyst itu sebesar lapan sentimeter.

Saya menjalani pembedahan laparoskopi untuk membuang cyst itu namun selepas dua bulan csyt terbabit membesar sebanyak dua sentimeter.

Saya dinasihati doktor untuk membuang cyst itu bagi membolehkan saya hamil namun saya runsing.

Adakah pembedahan kedua ini akan berjaya dan saya boleh hamil? Bolehkah saya tidak membuang cyst terbabit dan menjalani kaedah rawatan lain seperti permanian berhadas (IUI) atau persenyawaan tabung uji (IVF) bagi membolehkan saya dikurniakan cahaya mata?

Siti,
Petaling Jaya, Selangor

JAWAPAN :
PENYAKIT endometriosis mempunyai beberapa peringkat.

Peringkat pertama dan kedua tidak semestinya berkait dengan kesuburan manakala peringkat ketiga dan keempat pula berkait dengan kesukaran hamil.

Peringkat ini dapat diketahui selepas pembedahan menerusi sistem pemarkahan yang dibuat sewaktu penilaian terus pembedahan terbabit ke atas taburan tisu endometriosis pada rahim, tiub falopio, ovari, dinding pelvis dan seumpamanya.

Bagi peringkat ketiga atau keempat, pembedahan saja tidak mencukupi, lazimnya doktor akan memberikan rawatan tambahan secara suntikan hormon antagonis GnRH untuk menghentikan haid buat sementara waktu selama sehingga tiga hingga sembilan bulan bergantung kepada penilaian klinikal dan ujian darah Ca125.

Ini bagi memusnahkan baki sel endometriosis yang dijangka masih ada dan perlu ‘dibersihkan’ agar ia tidak berulang dengan cepat. Ada juga doktor yang berpendapat berlainan dalam merawat pesakit iaitu secara terus memulakan rawatan kesuburan sejurus selepas pembedahan untuk tidak melewatkan lebih masa atau usia.

Pembedahan pertama amat penting untuk menghilangkan sebanyak mungkin tisu endometriosis, bukan saja ia memberikan hasil atau peluang terbaik malah keadaan berkaitan rawatan kesuburan lazimnya turut dilakukan atau diperbetulkan walaupun tidak mungkin dapat mencapai keadaan sedia ada yang normal, seelokeloknya ia dilakukan doktor pakar kesuburan.

Memandangkan cyst endomeriosis lazimnya bukan satu tetapi banyak, pembedahan lazimnya dilakukan secara teliti untuk mencari dan membuang setiap satu cyst yang ada termasuk kelongsong cyst terbabit agar ia tidak berulang dengan lebih cepat.

Pembedahan kedua dijangka lebih rumit kerana terpaksa menangani parut kesan pembedahan pertama.

Anda dinasihatkan meneruskan rawatan dengan doktor anda yang lebih mengetahui keadaan dalaman sewaktu pembedahan itu. Pilihan sama ada untuk menjalani pembedahan semula atau meneruskan rawatan IUI atau IVF boleh dibuat setelah meneliti kelebihan dan kekurangan rawatan berkenaan.

Rawatan IUI atau IVF kini lebih lazim dimulakan secara rangsangan ovari melalui pemberian ubat kesuburan. Malangnya ubat kesuburan dijangka mungkin turut membesarkan cyst endometriosis. Anda harus faham kemungkinan risiko ini.

Selain itu, penyakit endometriosis yang masih aktif juga menurunkan peluang kehamilan seseorang, malah turut meninggikan risiko keguguran. Berbincanglah semula dengan doktor anda.

Penyakit endometriosis dikatakan berasal daripada tisu endometrium iaitu lapisan terdalam dinding rahim yang membentuk haid.

Tisu dan darah haid ini bukan saja keluar melalui faraj, malah sebahagiannya keluar melalui tiub falopio ke dalam ruang dalaman pelvis dan merebak ke ovari dan seumpamanya.

Memandangkan anda masih muda, ini bermakna penyakit ini tidak semestinya hilang terus malah berpotensi untuk berulang semula selepas setiap kedatangan haid. Ia hanya dijangka berkurangan dan pulih setelah wanita mencapai menopaus.

Ia juga dijangka berhenti sementara apabila wanita menerima rawatan hormon yang menyebabkan kesan menopaus seperti agonis GnRH.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Isnin, 17 Disember 2007

Endometriosis Tidak Bahayakan

SOALAN:
SAYA berusia 32 tahun dan mendirikan rumah tangga selama sembilan tahun. Kini saya hamil anak ketiga hampir dua bulan.

Pada Julai 2006, saya disahkan mengalami endometriosis peringkat pertama. Selepas pembedahan laproskopi, doktor memberikan suntikan hormon di perut selama enam bulan disusuli pil hormon selama tiga hingga empat bulan.

Haid saya diberhentikan lebih setahun. Saya tahu rawatan penyakit ini mengambil masa yang lama dan saya sendiri yang berhenti daripada menerima rawatan terbabit.

Selepas itu, saya disahkan hamil dan pada awal kandungan, ada titisan darah yang keluar tetapi tidak banyak. Saya diminta untuk tidak bekerja selama beberapa minggu untuk mengelakkan darah keluar lebih banyak.

Saya kini mengambil ubat manakala darah itu kian berkurangan dan saya pula tidak boleh membuat kerja berat atau melakukan banyak pergerakan.

Adakah pesakit endometriosis seperti saya akan membahayakan kandungan saya itu? Apakah yang harus saya lakukan?

Ibu Runsing,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
PUAN tidak perlu menyalahkan diri. Lazimnya rawatan seperti yang puan lalui sudah pun memadai, malah sebahagian doktor tidak meneruskan rawatan suntikan selepas pembedahan membuang tisu endometriosis peringkat pertama.

Suntikan hormon memberhentikan haid lazimnya diberikan dalam endometriosis peringkat ketiga atau keempat. Puan kini sudah pun hamil. Penyakit endometriosis peringkat pertama tidak berkait dengan masalah kesuburan.

Malah dalam kehamilan, penyakit ini dijangka ‘pulih’ sementara waktu, mungkin akibat tiada pendarahan haid ke dalam ruang dan organ pelvis.

Secara amnya, penyakit endometriosis peringkat ketiga dan keempat mungkin menyebabkan masalah kesuburan serta keguguran kandungan.

Masalah pendarahan awal kandungan dialami oleh 15 hingga 20 peratus wanita hamil. Dalam kebanyakan kes, pendarahan ini berhenti sendiri dengan rehat yang mencukupi dan tidak menjejaskan kandungan.

Pemeriksaan ke atas kandungan perlu untuk memastikan kedudukan kandungan (sama ada di dalam atau di luar rahim), jenis kandungan (kandungan berjanin, kosong atau molar), kehadiran bayangan janin di dalam kantung kandungan beserta degupan jantungnya (keguguran dijangka berlaku dalam keadaan degupan jantung kurang daripada 90 kali seminit), kedudukan uri serta masalah lain.

Ada keadaan di mana pendarahan berpunca daripada pintu rahim yang ‘luka’ akibat ektropion dan seumpamanya, ini tidak membahayakan. Anda perlu meneruskan susulan rawatan dengan doktor. Besar kemungkinan, masalah ini akan pulih sepenuhnya sebelum memasuki bulan keempat.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Ahad, 16 Disember 2007

Mengandung (Hamil) Pada Usia Lewat

SOALAN:
Saya kini berusia 42 tahun, saya berkahwin pada Jun 2006 dan selamat melahirkan se- orang bayi lelaki yang sihat pada Februari lalu. Kelahiran itu dilakukan melalui pembedahan kerana terdapat masalah dengan uri bayi.

Bolehkah saya mengandung lagi memandangkan usia saya dan pembedahan yang dilakukan sebelum ini? Benarkan tempoh untuk mengandung semula selepas pembedahan adalah dua tahun ke atas? Untuk pengetahuan doktor, saya sihat sepanjang mengandung, sebelum dan selepas berkahwin.

Ibu,
Petaling Jaya, Selangor

JAWPAN:
Tahniah dan alhamdulillah puan mendapat seorang cahaya mata yang normal pada usia 42 tahun walaupun secara pembedahan caesarean.

Sebelum saya menjawab sama ada puan boleh atau tidak mengandung lagi, ada beberapa risiko yang puan terpaksa hadapi bila mengandung di usia 40-an.

Pertama ialah risiko anak puan mendapat Sindrom Down. Nisbah yang kami selalu gunakan ialah 1 dalam 80 hingga 100 pada usia 40. Ini berpunca dari usia telur yang telah “berumur” maka berkemungkinan mengalami kecacatan genetik. Tiada cara pencegahannya kecuali melakukan keguguran. Kami menasihat isteri berumur 40-an yang hamil melakukan ujian Sindrom Down. Ujian ini melibatkan imbasan ultrasound dan ujian darah seawal usia janin antara 10 hingga 12 minggu. Ujian-ujian ini boleh mencapai ketepatan 80 hingga 85 peratus.

Keduanya ialah risiko masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi. Perkara ini tidaklah sukar kerana terdapat kaedah-kaedah rawatannya. Maka tentukan puan tidak mengalami masalah perubatan yang boleh membahayakan puan semasa mengandung dengan melakukan pemeriksaan doktor. Oleh kerana puan tidak mengalami apa-apa masalah perubatan pada kandungan pertama maka saya rasa tidak menjadi masalah dari segi kesihatan.

Ketiganya, kandungan di peringkat lewat usia, terdapat beberapa masalah dari segi obstetrik seperti risiko keguguran atau kelahiran pramatang. Masalah tumbesaran janin terbantut juga adalah lebih tinggi sedikit. Pembedahan caesarean dahulu juga boleh menyebabkan kenaikan risiko kejadian uri bawah atau placenta praevia.

Jadi kesimpulannya, puan boleh cuba mengandung semula tetapi puan dan suami perlu bersedia menghadapi sedikit risiko Sindrom Down dan sanggup melakukan ujian-ujian tersebut bagi menentukan janin itu tidak mengalami ‘kecacatan genetik’. Di samping itu kemungkinan kejadian uri bawah sekali lagi dengan kandungan kedua juga adalah tinggi. Walaupun pembedahan pernah dilakukan, puan masih boleh melahirkan anak secara normal jika tiada masalah lain. Memandangkan usia semakin meningkat tidak perlu dan tidak sesuai puan menunggu sehingga 2 tahun lagi untuk mengandung anak kedua.

Oleh:
Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Bolehkah Saya Mengandung?

SOALAN:
SAYA berumur 31 tahun dan ingin mengandung. Hampir setahun saya mencuba tetapi belum berhasil. Haid saya setiap bulan tiada masalah dan sentiasa tepat pada masa. Tidak pernah terlewat atau terawal.

Untuk pengetahuan doktor, saya pernah melakukan D&C 3 tahun lepas. Apakah yang patut saya lakukan untuk membolehkan saya hamil semula? Adakah kerana D&C menyebabkan saya sukar untuk hamil?

Ieda,
Sungai Petani, Kedah

JAWAPAN:
Masalah seseorang itu susah untuk hamil boleh berpunca daripada masalah wanita yang biasanya berkaitan dengan masalah ovulasi dan masalah saluran falopian/ peranakan. Bagi lelaki pula ialah masalah sperma. Mengikut cerita puan yang tidak mempunyai masalah haid maka saya beranggapan ovulasi berlaku setiap bulan.

Bagi seseorang yang mempunyai pusingan haid yang tetap setiap 28 hari, maka waktu ovulasi atau telur keluar adalah pada hari ke 14 haid. Saluran falopian boleh tersumbat bila jangkitan kuman terjadi akibat daripada D & C. Oleh itu saya syorkan elok dilakukan ujian menentukan sama ada saluran falopian puan tersumbat atau tidak.

Ujian ini memerlukan puan berjumpa doktor pakar. Lagipun sudah setahun puan berumah tangga dan umur sudah mencecah 30-an, maka puan tidak perlu membuang masa kerana kesuburan puan akan menurun setiap tahun. Saya berpendapat masih ada masa dan harapan untuk puan beroleh cahaya mata. Semoga berjaya.

Oleh:
Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my