Peminat Setia

Khamis, 27 Disember 2007

Ibu Hamil Bimbang Uri Melekat

SOALAN:
SAYA berusia 29 tahun dan waktu melahirkan anak sulung, didapati uri saya melekat pada dinding rahim. Saya mengalami pengalaman perit ketika doktor cuba mengeluarkan uri terbabit dan Alhamdulillah, saya serta anak selamat.

Kini saya hamil empat bulan anak kedua dan saya bimbang kejadian sama berulang.

Apakah risiko uri melekat pada ibu dan anak? Apakah punca keadaan berkenaan? Adakah sebarang langkah boleh diikuti bagi mencegah uri melekat? Mungkinkah kandungan anak kedua itu akan mengalami masalah uri melekat?

INGIN TAHU,
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN:
SETELAH kelahiran bayi, uri masih lagi melekat pada sebahagian permukaan dinding rahim dan bersambung dengan aliran darah ibu. Uri ini perlu terpisah keseluruhannya daripada permukaan rahim ini dan dikeluarkan untuk mempercepatkan pengecutan dinding rahim.

Ia dilakukan secara memberi suntikan ubat sintocinon dan ergometrine atau salah satu antaranya. Kemudian, ia menarik tali pusat perlahanlahan sehingga uri keluar lengkap bersama selaputnya.

Uri melekat (retained placenta) dikatakan berlaku apabila uri masih tidak keluar setelah langkah proaktif di atas diambil.

Dalam keadaan ini, tindakan lebih agresif dilakukan untuk mengeluarkannya bagi me ngelakkan tumpah darah yang berpanjangan dan berlebihan lagi.

Prosedur menyeluk keluar uri ini lazimnya dilakukan secara memisahkan uri daripada dinding rahim menggunakan teknik manual atau digital. Pada masa sama, ubat mengandungi oksitosin juga diberikan untuk membolehkan rahim mengecut secara berterusan.

Tiada risiko penyebab kejadian ini namun uri melekat dilaporkan lebih berlaku di kalangan wanita yang sudah melahirkan ramai anak serta wanita yang pernah mengalami keadaan uri melekat.

Ini adalah logik memandangkan lebih banyak kelahiran dialami seseorang, lebih tinggi risiko bagi wanita berkenaan terdedah kepada uri melekat. Selain itu, seseorang yang pernah mengalami uri melekat juga mungkin mempunyai faktor penyebab yang sama atau kekal.

Satu faktor yang boleh diambil kira adalah penyakit plasenta accreta di mana uri melekat sehingga mencapai kawasan otot dinding rahim.

Ia lebih berlaku akibat trauma ke atas dinding rahim seperti dilation & curettage, pembedahan Caesarean dan seumpamanya.

Plasenta increta adalah keadaan yang lebih kritikal di mana uri tertanam ke dalam otot dinding rahim manakala plasenta percreta pula adalah keadaan uri tertanam sehingga menembusi keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya.

Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia berlaku setelah anak dilahirkan. Namun, bagi ibu, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak (pendarahan melebihi 500 mililiter), rahim tidak atau lambat mengecut, penggunaan prosedur pemindahan plasenta secara manual, pemberian ubat oksitosik dan pembiusan, jangkitan rahim, pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim.

Seeloknya, elakkan prosedur berkaitan (seperti di atas) melainkan jika perlu.

Selain itu, amalkan pemakanan sihat dan pengambilan vitamin serta ubat zat besi bagi memastikan anda mempunyai tahap hemoglobin darah yang memuaskan bagi menampung sepanjang kemungkinan komplikasi berkaitan kelahiran. Anda juga dinasihatkan bersalin di hospital.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: