Peminat Setia

Jumaat, 29 Julai 2011

Tua Tetapi Cantik

Minggu lepas saya berpeluang bertemu sekumpulan wanita di suatu majlis anjuran sebuah kelab. Saya diminta memberi nasihat kecantikan dan kesihatan kepada kaum wanita berusia selepas 40-an. Saya berasa bertuah dapat bertemu wanita yang rata-ratanya berusia antara 40 dan 60 tahun. Mereka tetap aktif, cantik dan anggun.

Inilah generasi yang menjadi kebanggaan Malaysia. Di usia lewat 30-an malah melepasi 40-an, wanita masa kini mencapai kestabilan dalam kerjaya dan ekonomi. Mereka juga tidak mahu melepaskan peluang menimba ilmu bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan. Saya kagum melihat wanita yang bukan saja jelita malah bijaksana.

Kumpulan wanita yang saya temui meminta petua dan cadangan bagaimana mahu meningkatkan penampilan masing-masing. Di abad ini kemajuan perubatan esthetic dan anti penuaan mula mendapat tempat di hati mereka. Ramai yang mula menyedari bahawa kekal sihat dan cantik di usia melepasi 40-an dapat dicapai dengan kaedah saintifik dan bukannya sesuatu yang mustahil. Apabila darah kekal muda sudah pasti kita juga akan tampak muda dan tidak akan terkena penyakit penuaan seperti lupa, nyanyuk dan tulang rapuh.

Menjadi tua dan keletihan bukanlah satu takdir. Kemajuan dalam bidang sains dan perubatan menjadikan kita mampu mengubahnya demi mendapat sebuah kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera. Kita yang bakal menentukan masa depan serta nasib kita sendiri. Sekiranya kita membiarkan diri dimamah usia maka sudah pasti sukar untuk memperoleh sebuah kehidupan yang berkualiti.

Terdapat juga mereka yang masih musykil dan kurang pemahaman terhadap rawatan anti penuaan. Mereka menyangka perubatan anti aging sekadar mementingkan wajah yang kelihatan muda berbanding usia sahaja.
Saya pernah ditanya: ''Kenapa kita harus menjalani anti penuaan? Menjadi tua adalah ketentuan Tuhan. Kita tidak boleh menolak takdir itu.''

Di sini saya memperjelaskan lagi. Perubatan anti penuaan bukan bermaksud menolak takdir. Kita mengkaji masalah tubuh badan apabila usia meningkat dan menyukat kandungan hormon di dalam darah. Tujuan perubatan ini adalah meningkatkan paras hormon agar menepati skala yang dimiliki ketika usia muda. Dengan kata lain kita meningkatkan tahap hormon di dalam tubuh. Ini kerana hormon adalah zat dalam badan yang membolehkan fungsi tubuh berjalan dengan lancar. Apabila darah kembali muda maka akan terselamat daripada penyakit berkaitan kekurangan hormon seperti kemurungan, kegemukan, kanser, masalah tulang dan kulit yang kendur berkedut.

Di sini saya senaraikan jenis-jenis rawatan esthetic yang sesuai bagi usia 40 tahun ke atas.

1. Rawatan mencegah pigmentasi dan kedutan.
Kesan penuaan menyebabkan lapisan kolagen menjadi nipis menyebabkan kedut mudah timbul. Malangnya dengan menyapu atau memakan kolagen sebenarnya tidak boleh mengganti kolagen yang hilang.
Prosedur untuk menjaga kulit sentiasa muda, merangsang pembentukkan kolagen dan menghilangkan pigmentasi adalah:
* Chemical peeling
*Microdermabrasion
Kedua dua prosedur tersebut boleh dilakukan secara rutin sebulan sekali untuk mengekal atau melambatkan kulit muka daripada cepat tua. Microdermabrasion dan chemical peeling boleh merangsang kulit untuk menghasilkan lebih banyak kolagen dan boleh menghilangkan pigmentasi.

2. Rawatan laser bagi meningkatkan kolagen dan membuang pigmentasi.
*Laser Q switched Nd:Yag boleh memecahkan pigmen menjadi partikel lebih halus dan dibuang sebagai toksin daripada badan.
*Laser CO2 atau erbium (pixel/fotona) untuk membuang pigmentasi epidermal. Rawatan laser juga boleh merangsang kulit menghasilkan lebih banyak kolagen agar gebu dan tegang.

3. Rawatan menghilangkan parut muka.
CO2 laser atau Erbium Laser dapat meratakan parut di muka akibat kesan jerawat atau kecederaan kulit. Sangat berkesan untuk menghilangkan skin tag atau tahi lalat.

4. Rawatan menegangkan kulit muka.
*Frekuensi Radio - selamat dan berkesan. Namun memerlukan banyak sesi untuk memperoleh hasil yang memuaskan.
*Focal Ultrasound (Ulthera ). Teknologi terbaru menegangkan kulit dan menghilangkan kedut-kedut halus di muka dan kawasan sekitar mata
*Filler. Menghilangkan kedut akibat tua. Mengisi tempat atau menambah kandungan pada muka yang cengkung agar berisi dan gebu.

5. Scarless Facelift.
Suspension thread lift (Serdev). Mudah, tiada parut dan berkesan. Ia mampu mengangkat semula wajah yang kendur. Teknologi ini mudah dan tiada kesan sampingan. Hasilnya juga cantik dan bertahan sehingga sepuluh tahun.

6. Platelet Pich Plasma.
Untuk memudakan kulit wajah PRP dibuat setiap dua atau tiga bulan sekali. Kaedah ini menggunakan suntikan darah pesakit sendiri yang telah diproses bagi memudakan sel-sel pada kulit. Teknologi ini berasaskan stem sel yang mampu mengisi ruang kosong pada kulit. PRP juga boleh diproses sebagaimana filler bagi menggantikan kandungan matriks kulit yang sudah hilang.

7. Terapi hormon Bio- Identikal.
Kini pengetahuan dan pandangan terhadap hormon sudah berubah. Penuaan berlaku akibat kekurangan hormon yang kritikal. Apabila kelenjar hormon tidak berfungsi dengan baik maka kita mula mendapat gejala penuaan. Kekurangan hormon bukan sahaja membuatkan kulit kita berkedut dan kering malah mengalami pigmentasi dan keguguran rambut. Kekurangan hormon juga sering mencetuskan kemurungan dan membuatkan seseorang berasa resah tanpa sebab.

8. Rawatan mata
Apabila usia meningkat mata juga menjadi kecil dan mudah mendapat lemak pada kawasan kelopak mata. Pandangan juga menjadi kurang terang. Rawatan esthetic boleh meningkatkan kecantikan dan menjaga kesihatan mata kita.

Ilmu mengenai anti penuaan perlu dipertingkatkan kerana ia membolehkan kita menjalani kehidupan di usia melepasi 40-an dengan kesihatan yang baik dan rupa paras yang cantik berseri. Selamat mencuba.
 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Isnin, 25 Julai 2011

Payudara Gatal

SOALAN:
Saya berumur 21 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami masalah kegatalan pada kedua-dua payudara saya iaitu di tempat yang berwarna coklat gelap. Akibatnya ia luka kerana saya kerap menggaru.
Sehelai rambut juga tumbuh dengan aktif pada kawasan itu. Saya mula alami masalah ini sejak tiga tahun lalu, tetapi lepas itu, ia berhenti. Kini masalah itu datang semula dan sudah sebulan saya mengalaminya. Adakah ia petanda sebarang penyakit? Apa yang patut saya lakukan?

Dilema,
Balik Pulau


JAWAPAN:
Kawasan sekeliling puting payu dara yang berwarna coklat gelap itu dinamakan areolar. Kegatalan mungkin disebabkan oleh keadaan permukaan kulit yang kering, akibat trauma geselan dengan baju dalam, tindak balas lelehan atau peluh daripada kelenjar rerambut yang tumbuh itu atau mungkin penyakit lain. Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan fizikal. Sekiranya didapati tiada punca yang merisaukan, doktor mungkin akan menasihatkan anda untuk menyapu krim berunsur mentega untuk melembapkan kulit areolar serta agar anda bertukar kepada saiz baju dalam yang lebih longgar atau tidak memakai baju dalam apabila di rumah.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Cantik di Pertengahan Usia

SOALAN:
Cadangan pengambilan evening primrose di kalangan wanita terutamanya di pertengahan usia dan juga menopaus begitu popular untuk kesihatan kulit. Namun saya tidak begitu memahami manfaatnya. Penerangan mengenainya diharap boleh membantu saya. 

JAWAPAN:
Minyak Evening Primrose atau dikenali ramai sebagai EPO merujuk kepada minyak yang diperolehi daripada biji tumbuhan Evening Primrose yang tinggi kandungan asid gama linolenik (GLA) dan tergolong dalam asid lemak omega-6. Pengambilannya popular di kalangan wanita ekoran hasil penyelidikan yang menunjukkan ia banyak memberi kesan positif ke atas masalah berkaitan wanita.

Asid-asid lemak poli tak tepu merupakan komponen penting pada dinding setiap sel kulit seluruh tubuh. Memperolehi asid-asid lemak poli tak tepu yang mencukupi penting untuk menjadikan dinding-dinding sel lebih lembut dan mengurangkan kehilangan air. Kekurangan asid-asid lemak ini dalam diet akan menjurus kepada kulit kering, memandangkan dinding-dinding sel akan menjadi kurang berkesan dalam mengekalkan lembapan serta proses penyembuhan yang lemah.

Sebenarnya pengambilan minyak evening primrose tidak hanya terbatas kepada wanita, tetapi juga lelaki disarankan di atas masalah-masalah tertentu. Penghidap ekzema contohnya seringkali mengalami kulit yang merah, radang, kulit pecah serta merekah dan berdarah. Kawasan lazim yang terjejas termasuklah muka, jari, jari kaki, siku, lutut serta mana-mana bahagian tubuh bagi kes-kes yang ekstrem. Kawasan yang terjejas akan terasa lebih kasar dan kering serta gatal. Bagi kebanyakan penghidap ekzema, kegatalan merupakan simptom paling teruk.

Kajian klinikal ke atas penghidap ekzema atopi menunjukkan bahawa minyak evening primrose boleh memperbaiki kelicinan kulit pada kawasan terjejas serta kawasan yang tidak terjejas.

Asid-asid lemak perlu memainkan peranan penting dalam mengubah keadaan kulit seseorang melalui beberapa cara seperti:

"Ia mewujudkan lapisan berkesan kulit untuk mencegah kehilangan air. Dengan itu peningkatan paras asid-asid lemak politaktepu dalam kulit boleh mengurangkan kehilangan air dan memperbaiki masalah kulit termasuk kelembapan kulit.

"Pengambilan asid lemak politaktepu seperti GLA boleh meningkatkan paras Prostaglandin dan mengurangkan keradangan kulit (Prostglandin E1 adalah bahan anti radang yang poten yang dihasilkan oleh tubuh apabila asid lemak mencukupi).

Hasil tindakan antiradang akan mengurangkan tompok kemerahan yang gatal pada kulit di kalangan penghidap ekzema. Kajian telah membuktikan perubahan dalam kelicinan kulit di kalangan mereka yang normal dan juga di kalangan mereka yang mempunyai kulit bermasalah.

Untuk masalah berkait kitaran haid, pengambilanya dicadangkan memandangkan asid lemak ini membantu mengawal penghasilan prostaglandin. Ia membantu mengurangkan kesan hipersensitiviti tisu-tisu tubuh terhadap paras prolaktin yang normal (sejenis hormon dalam tubuh wanita). Selain itu, penghidap artritis reumatoid juga memperolehi manfaat dengan pengambilan asid lemak perlu, terutamanya yang menggabungkan omega-3 dan omega-6.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Khamis, 14 Julai 2011

18 Bulan Paling Sesuai

SOALAN:
Saya bersalin secara pembedahan pada April lalu dan bayi sulung saya itu kini berusia lapan bulan.
Bilakah waktu yang sesuai untuk saya hamil anak kedua? Saya ingin tahu tempoh paling minimum yang membolehkan saya untuk hamil semula.


Ju
Putrajaya


JAWAPAN:
Rawatan perubatan sepatutnya mengambil kira faktor individu terbabit walaupun secara lazimnya ia berpandukan kepada beberapa perkara asas.

Selain tempoh jarak kelahiran terdahulu dengan kehamilan akan datang, usia wanita, komplikasi kelahiran terdahulu yang memungkinkan parut pembedahan pada rahim kurang tegar, masalah sewaktu kehamilan terdahulu dan seumpamanya juga memainkan peranan penting.

Anda seeloknya mendapatkan maklumat mengenai beberapa perkara berkaitan pembedahan kelahiran terdahulu:




  • Jenis pembedahan sama ada ‘segmen bawah’ (LSCS) ataupun ‘segmen atas’ (klasik).







  • Komplikasi sewaktu mengeluarkan bayi sehingga terpaksa membuat belahan jenis ‘T terbalik’.







  • Komplikasi jangkitan kuman pada rahim (endometritis) yang menjadikan parut lemah dan mudah merekah atau koyak. Sekiranya ada mengalami pendarahan nifas berpanjangan, berbau atau mengalami demam sewaktu berpantang, anda mungkin mengalami komplikasi ini.

    Tujuan menjarakkan kelahiran selepas pembedahan adalah untuk mengurangkan risiko rahim koyak atau pecah sewaktu kelahiran akan datang, malah ia juga boleh berlaku sebelumnya iaitu sewaktu kehamilan lagi.

    Selain itu, tempoh yang dijarakkan ini membolehkan kesihatan ibu pulih semula dan paras hemoglobinnya menjadi optimum.

    Secara amnya, tempoh sekurang-kurangnya 18 bulan disarankan sebelum seseorang itu hamil semula.

    Malah, ada doktor yang menasihatkan tempoh dua hingga tiga tahun sebagai langkah keselamatan. Tempoh kurang daripada 12 bulan, lebih-lebih lagi kurang daripada enam bulan dikaitkan dengan peningkatan risiko dinding rahim merekah atau pecah sewaktu kehamilan atau proses bersalin kelak.






  • Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Rabu, 6 Julai 2011

    Suami Adu Bau Tidak Enak

    SOALAN:

    Saya ingin tahu adakah cecair yang keluar dari faraj dengan bau itu satu petanda penyakit?
    Saya tidak mengalami kegatalan, tetapi suami mengadu bau dari faraj saya ketika kami melakukan hubungan. Adakah sebarang ubat yang puan sarankan untuk saya beli bagi menghilangkan bau ini? Saya bimbang jika bau itu boleh menjejaskan hubungan kami suami isteri yang baru setahun berkahwin.

    Insan Runsing,
    Kuala Lumpur


    JAWAPAN:
    Bau yang kurang menyenangkan daripada lendir faraj kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan kuman, sama ada kuman dari permukaan kulit berhampiran kemaluan anda atau suami ataupun dari pundi kencing, ataupun dari saluran usus. Bau yang kurang menyenangkan juga kadangkala tidak disebabkan oleh jangkitan kuman, tetapi ia disebabkan faktor penjagaan kebersihan kawasan kemaluan yang boleh menyebabkan pengumpulan sisa peluh di celah bibir kemaluan. Sekiranya ia disebabkan oleh jangkitan, terdapat ubat-ubatan tertentu mengikut jenis kuman itu. Doktor anda boleh mengambil sampel lelehan dan menghantarnya untuk kultur kuman bagi mengetahui jenis ubat yang sesuai. Lazimnya ubat antibiotik berspektrum luas ataupun ubat antikulat diberikan terlebih dahulu sementara menunggu hasil keputusan ujian kultur yang mengambil masa beberapa hari.


    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

    Sabtu, 2 Julai 2011

    Bayi Tolak Susu Badan

    SOALAN:
    Saya ibu kepada seorang bayi lelaki berusia empat setengah bulan. Saya bersalin melalui kaedah Caesarean dan selepas melahirkan anak, hanya mampu menyusukan bayi selama sebulan. 

    Keadaan ini agak mengecewakan kerana saya berazam untuk menyusukan anak melalui susu badan.
    Masalahnya bayi saya menolak untuk diberikan susu badan kerana lebih selesa menyusu botol. Mungkin ketika itu air susu badan saya agak berkurangan.

    Adakah sebarang alternatif untuk mengaktifkan kembali air susu badan? Bagaimana memujuk bayi saya supaya dapat menerima susu badan walaupun dia sudah biasa menyusu susu botol?



    Ibu Resah,

    Kuching, Sarawak

    JAWAPAN:
    Membincangkan persoalan anda sama seperti wanita yang ingin menyusukan bayi angkat. Untuk menghasilkan susu badan, ia memerlukan semangat dan kerajinan kerana hasilnya tidak kelihatan dalam sekelip mata.

    Faktor utama adalah rangsangan manual terhadap puting payudara kerana ia membantu menghasilkan hormon oksitosin yang akan memancutkan susu dari payudara.

    Terdapat ubat yang dikatakan dapat membantu menghasilkan susu di dalam payudara walaupun sebenarnya ia hanyalah satu daripada kesan sampingan ubat terbabit iaitu ubat itu dihasilkan atau dipasarkan bukan untuk kegunaan menghasilkan susu badan.

    Anda boleh pergi mendapatkan nasihat daripada kumpulan penyusuan badan yang lazimnya terdiri daripada jururawat dan doktor sesuatu hospital yang ditauliahkan sebagai hospital rakan bayi.

    Bayi anda mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan semula dengan puting payudara berbanding puting tiruan yang lebih mudah. Kesabaran dan ketekunan sangat penting dalam perkara ini.

    Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my