Peminat Setia

Khamis, 31 Mac 2011

Piramid Jadi Panduan

Pemakanan yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.

Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.

Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.

Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.

Karbohidrat 

Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.

Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.
Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.

Protein 

Asas binaan tulang, darah dan otot.

Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.

Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).

Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).

Lemak 

Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.

Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.

Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.

Vitamin dan mineral 

Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.

Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.

Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.

Air 

Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.

Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).

Amalkan asas pemakanan sihat 

Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah - bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.

Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari. Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.

Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:

>> Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.

>> Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.

>> Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.

>> Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.

>> Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.

Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.

PENULIS ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 25 Mac 2011

Haid Datang Semula Pada Usia 64 Tahun

SOALAN:
Ibu saya kini berusia 64 tahun dan baru-baru ini ada memberitahu dia didatangi haid semula.
Sebenarnya haid ibu saya sudah berhenti semasa usianya 43 tahun. 
 
Saya tidak pasti sama ada darah yang keluar itu adalah darah haid atau sebaliknya.

Adakah saya perlu membawa ibu untuk mendapatkan rawatan doktor pakar?


Ingin Tahu,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Saya nasihatkan anda segera membawa ibu anda berjumpa pakar sakit puan.


Sekiranya terdapat pakar sakit puan gine-onkologi (dengan kepakaran tambahan dalam bidang kanser sakit puan), pilihan ini lebih baik.

Secara semula jadi, putus haid (menopaus) dialami oleh wanita berusia di antara 45 hingga 55 tahun, kebanyakannya mengalaminya pada usia 50 hingga 51 tahun.
Doktor pakar akan memastikan tiada masalah pada faraj, pintu rahim (serviks) dan rahim ibu anda.

Di samping itu, kedua-dua ovarinya juga akan diperiksa walaupun pada usia begini, saiz ovari menjadi kecil dan menyebabkan ia mungkin sukar dikesan menggunakan pemeriksaan fizikal mahupun
ultrabunyi.

Kesempatan ini juga boleh digunakan untuk ibu anda menjalani pemeriksaan kesihatan am.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Jumaat, 18 Mac 2011

Kumango Kecutkan Fibroid

Koordinatorklinikal dan pensyarah kejururawatan di Kolej Lincoln, Petaling Jaya, Selangor, Noor Shakinah Hassan Basri, 43, pernah disangka hamil kerana perutnya yang buncit.

Malah, gaya beliau berjalan juga sering menimbulkan tanda tanya mereka yang memerhati.

“Saya disahkan mempunyai ketumbuhan fibroid berdiameter empat sentimeter pada kedua-dua belah ovari pada tahun 2000.

“Setiap kali datang haid, saya akan mengalami pendarahan yang teruk. Darah yang keluar berketul-ketul dan saya perlu menukar tuala wanita hampir setiap lima minit.

“Insiden darah terkena pakaian juga terlalu lazim, biarpun sudah masuk hari ketiga haid. Malah, setiap kali datang haid, saya tidak akan duduk kerana risau akan ‘kebocoran’.

“Sakit akibat senggugut juga mengganda menyebabkan saya kerap ambil cuti sakit, hilang mood ketika mengajar dan perlu makan ubat penahan sakit.

“Hendak berjalan pun dirasakan sukar,” dedahnya yang pada waktu itu akan mengalami haid sehingga sembilan hari.

Tatkala didatangi haid juga Shakinah akan tidur berasingan daripada suami di atas tikar getah di lantai bilik tidur.

Biarpun sering memakai baju dan seluar yang besar serta longgar bagi mengelakkan perut buncit itu kelihatan terlalu jelas, Shakinah tidak dapat berbuat apa-apa dengan caranya berjalan.

“Ketumbuhan itu menyebabkan pembengkakan pada bahagian bawah perut. Jadi setiap kali berjalan, saya merasakan geselan pada bahagian itu. Ia bukan saja tidak selesa, tetapi juga menyakitkan,” kongsi Shakinah.

Keguguran

Sebelum itu, pada tahun 1996, Shakinah disahkan menghidap endometriosis, iaitu keadaan yang berlaku apabila tisu endometrium tumbuh di luar rahim. Akibatnya, Shakinah mengalami keguguran sehingga dua kali.

Rentetan daripada itu, Shakinah menjalani pembedahan untuk mengikis dinding rahim, membuang fibroid dan mengambil suntikan untuk menghentikan haid sehingga enam bulan.

“Ubat herba Cina yang paling pahit pun saya makan tetapi fibroid tumbuh lagi di tempat yang sama selepas itu,” katanya yang berkahwin pada tahun 2006.

Secara kebetulan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Lincoln, Prof. Datuk Dr. Ir. Badaruddin Nordin sedang membuat kajian tentang khasiat buah kumango atau Star Apple.

NOOR SHAKINAH disahkan menghidap fibroid pada tahun 2000.


Kajian yang dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu mendapati buah tersebut mengandungi elemen terapi yang baik untuk mengekalkan kesihatan tubuh.

“Saya orang pertama mencuba air buah itu. Disebabkan ia dihasilkan daripada buah dan tidak dicampur sebarang bahan kimia, saya berani mencubanya.

“Hanya selepas seminggu mengambil air buah itu, saya tidak lagi mengalami pendarahan haid yang melampau.

“Untuk mengesahkan keadaan fibroid dan endometriosis di dalam rahim saya itu, saya berjumpa dengan doktor pakar untuk melakukan imbasan bunyi.

“Doktor itu mengatakan saiz fibroid saya yang asalnya ialah tiga sentimeter sudah mengecut kepada satu sentimeter,” kenang Shakinah.

“Perut saya juga semakin kempis dan sekarang saya boleh menyarungkan baju kebaya dan berkasut tumit tinggi. Saya juga semakin yakin dengan diri sendiri,” tambahnya.

Malah, tiga bulan selepas mencuba air buah kumango yang dipopularkan sebagai Bio-99 itu, Shakinah disahkan hamil.

Malangnya Shakinah keguguran sekali lagi semasa kandungan mencecah usia empat bulan akibat terjatuh dari tangga kapal terbang.

“Sekurang-kurangnya usia kandungan sudah mencecah empat bulan. Itu tempoh paling lama saya hamil berbanding sebelum ini di mana saya gugur belum pun usia kandungan mencecah tiga bulan,” ujarnya positif.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Rabu, 16 Mac 2011

Bahaya Seks Usia Muda

Sedarkah anda dalam tempoh sesingkat empat minit nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 500,00 nyawa di seluruh dunia setiap tahun. Dalam konteks Asia , sekurang-kurangnya 266,000 disahkan menghidap kanser ini setiap tahun dengan 143, 000 kematian. Di negara-negara membangun, hanya 41 peratus daripada wanita berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup. Realitinya pakar-pakar perubatan juga tidak seratus-peratusnya pasti terhadap punca sesuatu penyakit. Keadaan itu merupakan kenyataan yang memeritkan.

Di Malaysia, 10.5 peratus wanita meninggal dunia akibat kanser ini dan 80 peratus pesakit dikesan pada tahap akhir.

Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya.

HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri daripada lebih 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki.

Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan).

Sekiranya dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.

Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim.

Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pakar Runding Obstetrisian dan Ginekologi Pusat Perubatan Pakar Pantai Klang, Selangor, Dr. S. Jeevaretanam berkata, mereka yang sering bertukar pasangan seks berisiko dijangkiti HPV.

Selain itu, mereka yang melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun turut berisiko.

"Wanita yang mempunyai tabiat merokok, melakukan hubungan seks dengan lelaki yang sering bertukar pasangan, penggunaan kontraseptif oral dalam jangka masa yang lama dan obesiti antara berisiko dijangkiti HPV. Bagaimanapun, terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah serangan kanser pangkal rahim.

Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu," tambahnya.

Dalam pada itu, timbul juga isu sama ada pemberian vaksin HPV secara percuma untuk pelajar berumur 13 tahun menggalakkan seks usia muda.

Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kanser ini.

Vaksin HPV sebenarnya mampu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun sebagai pencegahan awal.

Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Dr. S. Jeevaretanam menjelaskan, pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel yang dalam pangkal rahim.

"Semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun.

Ujian seperti itu merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang," tambahnya.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 12 Mac 2011

Risau Darah Keluar Berketul-Ketul

SOALAN:
Saya berusia 23 tahun dan sudah berkahwin. Saya datang haid ketika berumur 10 tahun lagi.
Masalah saya kini haid berpanjangan, kadang-kadang sampai sebulan. Saya memang risau kerana haid saya juga berketul-ketul.


Sudah banyak kali saya berjumpa doktor, tetapi tidak tahu masalah saya. Saya berharap doktor dapat memberi pandangan.


Eja,
Kuantan, Pahang.


JAWAPAN:
Saya cadangkan anda berjumpa pakar sakit puan berhampiran untuk:

- Menjalani pemeriksaan fizikal, pemeriksaan menggunakan spekulum ke dalam faraj, ultrabunyi pelvis ke atas rahim dan ovari serta ujian darah hormon.

- Menilai lebih lanjut ke atas kemungkinan masalah di dalam rahim atau endometrium misalnya polip, hyperplasia dan seumpamanya. Ia lebih mudah dikesan menggunakan teknik ultrabunyi trans-vaginal

- Mengetahui tahap pendarahan ke atas paras hemoglobin darah anda serta kesan (jika sudah berlaku anemia atau kekurangan darah)

- Diberikan rawatan ubat-ubatan bagi menghentikan pendarahan sementara menunggu hasil ujian dan rawatan sebenar. Jika perlu, anda mungkin diminta menjalani persampelan tisu endometrium secara biopsi ataupun DD&C.

- Mengetahui kesan lain yang berkait dengan penyakit anda misalnya pembesaran dan pengeluaran telur.

- Ujian Pap smear juga akan dilakukan (memandangkan anda sudah memulakan hubungan seks) walaupun ia mungkin tiada kaitan dengan masalah pendarahan anda.

Sewaktu ujian ini, doktor juga akan melihat permukaan faraj sehingga penghujung atasnya dan permukaan pintu rahim.


Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Khamis, 10 Mac 2011

Pulihkan Nafsu Seks Secara Semulajadi

NAFSU SEKS BAIK SUAMI MAHU PUN ISTERI ADA PASANG SURUTNYA. ADA MASANYA GHAIRAH BERGELORA HINGGA TIDAK DAPAT DITAHAN-TAHAN LAGI DAN ADA KETIKANYA LANGSUNG TIDAK BERNAFSU WALAU PUN SUDAH DIGODA BERIA-IA OLEH PASANGAN.

Namun sekiranya nafsu seks berpanjangan merudum maka sudah masanya untuk bertemu doktor untuk mengetahui sebab dan cara rawatannya. Pun begitu untuk mengakui punya masalah seks bukan sesuatu yang mudah.

Ramai yang sanggup memendamkannya daripada bertemu doktor kerana masih gusar dan dibayangi perasaan malu. Bagi anda yang termasuk golongan ini sebagai langkah permulaan anda mungkin boleh mencuba dulu cara semula jadi di bawah ini untuk mengatasi masalah nafsu yang semakin menghilang entah ke mana.

1. Kembalikan keyakinan diri
Tidak ada yang dapat menurunkan hasrat seksual seseorang selain rasa rendah diri. Oleh itu cubalah untuk mendapatkan kembali keyakinan diri. Manjakan diri ketika anda berasa tidak yakin ataupun sisihkan waktu untuk bersantai atau melakukan aktiviti yang dapat membuatkan anda berasa lebih baik.

2. Urutan
Teknik urutan dapat dilakukan untuk meningkatkan rangsangan seksual terutama jika anda sedang stres, runsing atau marah. Sediakan bilik dengan suasana yang romantik, muzik yang lembut dan mulakan mengurut pasangan. Setelah siap mintalah pasangan mengurut anda pula.

3. Makan dengan betul
Jika tubuh lemah akibat tahap ke sihatan yang buruk, tidak mustahil hubu ngan seksual juga akan terkena tempiasnya. Bukan saja masalah nafsu makin menurun tapi anda juga mungkin menghadapi masalah yang berkaitan dengan organ seksual anda. Bagi mengelakkan masalah ini dari berlaku amalkan pemakanan yang sihat. Makanlah lima sehingga sembilan jenis buah-buahan dan sayuran sehari untuk menjaga kesihatan. Vitamin dan antioksidan yang terkandung pada makanan akan membantu menjaga a liran darah pada organ seksual dan mencegah penyakit kronik tertentu.

4. Kurangi berat badan
Memiliki berat badan yang berlebihan mampu mempengaruhi kualiti kehidupan intim. Obesiti dapat menimbulkan penyakit pembuluh darah yang mengurangi aliran darah ke organ genital. Akibatnya ereksi sukar terjadi. 

5. Senaman
Senaman teratur akan membantu meningkatkan aliran darah ke organ seksual, Selain itu, ia juga dapat membantu anda merasa lebih yakin pada diri sendiri. Sesuatu yang dapat meningkatkan keyakinan diri akan meningkatkan nafsu seks.

6. Berhenti merokok
Jika anda memang seorang perokok, fi kirkanlah akan kemungkinan anda menghadapi masalah seks. Memang telah lama dikenal pasti bahawa rokok memiliki pengaruh yang buruk terhadap aliran darah ke organ seksual. Ia mampu menyebabkan penyempitan pembuluh darah di bahagian sulit. Di samping itu merokok juga melemahkan stamina baik untuk melakukan kegiatan harian mahupun aktiviti seks.

7. Hilangkan stres
Salah satu punca nafsu semakin menghilang adalah kerana stres. Tekanan di tempat kerja, masalah dengan pasangan atau pun anak-anak menyebabkan otak penat hingga tiada lagi memikirkan tentang aspek seks. Oleh itu belajarlah menguruskan stres jika tidak mahu kehidupan seks anda terus merudum.

Herba Berguna Untuk Tenaga Batin

• Ginko biloba
Herba yang memiliki khasiat penyembuhan ini berasal dari daun-daun tumbuhan ginko biloba. Ia dikatakan dapat memperbaiki aliran darah ke otak dan organ seksual. Ginko biloba juga diyakini memiliki kesan meningkatkan hasrat, kesenangan seksual dan orgasma. 

• Yohimbine Ia mungkin agak asing bagi masyarakat kita namun Yohimbine telah lama digunakan di Afrika sebagai ubat perangsang nafsu berahi dan sering di sebut Viagra semula jadi. Yohimbine diyakini dapat memperbaiki impotensi pada lelaki walaupun percubaan secara klinikal belum lagi terbukti.

• Tongkat Ali
Sejak berzaman masyarakat Melayu mengaitkan herba ini dengan keperkasaan lelaki. Justeru tidak hairanlah banyak minuman dan juga ubat tradisi bagi memulihkan tenaga batin yang menggunakan herba ini. Tak salah juga jika anda mahu mencubanya.

Dipetik dari: http://www.mingguanwanita.com.my

Selasa, 8 Mac 2011

Ingin Tahu Proses Lakukan IVF

SOALAN:
Saya berusia 31 tahun dan pada Oktober 2010, saya menjalani laparoskopi kerana mengandung luar rahim. 

Doktor sudah membuang tiub fallopio di sebelah kiri, sebelum itu saya sudah menjalani HSG dan doktor mengesahkan tiup fallopio sebelah kanan saya tersumbat. 


Jalan terakhir untuk saya mendapatkan zuriat adalah dengan melakukan rawatan tabung uji (IVF). Bolehkah doktor terangkan proses yang harus saya lalui jika ingin melakukan IVF? Berapakah kos untuk melakukan IVF??


Shima,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN:
Gabungan penilaian sewaktu pembedahan laparoskopi dan maklumat HSG terdahulu dapat memberikan maklumat ke atas beberapa perkara berikut:

- Punca anda mengalami kehamilan ektopik contohnya endometriosis dan PID melalui pengamatan ke atas seluruh kandungan ruang pelvis anda.

- Keadaan tiub fallopio kanan anda sewaktu pembedahan laparoskopi.

- Prosedur 'salpingotomy' (jika ada dilakukan) bagi membuka tiub fallopio kanan yang dikatakan tersumbat.

- Rawatan perubatan susulan pembedahan terbabit.

IVF adalah proses rumit yang lazimnya hanya dilakukan oleh pakar sakit puan yang setelah itu menjalani latihan lanjut dalam bidang IVF.

Secara amnya terdapat tiga protokol rawatan IVF yang berbeza mengikut jenis ubat dan tempoh rawatan. Ia membabitkan beberapa proses:

1. Merangsang pembesaran sekumpulan telur di dalam ovari kanan dan kiri (lazimnya menggunakan sejenis suntikan yang diambil setiap hari sebelum ditambah suntikan kedua sehingga pada hari terakhir suntikan di mana suntikan ketiga akan diberi).

Pemantauan berterusan amat penting (termasuk pemerhatian anda terhadap perubahan yang dirasai) untuk mengelakkan komplikasi terlebih rangsangan, ini dinamakan sindrom hiper-stimulasi ovari atau OHSS.

2. 'Menyedut' kantung telur berpandukan imbasan ultrabunyi faraj (lazimnya menggunakan pembiusan atau ubat tidur). Anda lazimnya dibenarkan pulang pada hari yang sama tetapi diberikan cuti rehat.

3. Suami mengeluarkan air mani pada hari terbabit.

4. Di makmal IVF - sperma dan telur akan dieramkan bersama di dalam bahan cecair khas dan inkubator. Keesokannya pakar embriologi akan menilai sama ada sudah berlaku persenyawaan membentuk embrio.

5. Embrio yang terbentuk akan dieramkan untuk beberapa hari lagi. Anda juga diberikan ubat tertentu untuk membantu persediaan rahim menerima embrio kelak.

6. Embrio kemudiannya akan dimasukkan ke dalam rahim anda menggunakan bantuan imbasan ultrabunyi. Tidak perlu berpuasa dan anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.

7. Ujian darah pengesahan kehamilan akan diaturkan pada kira-kira dua minggu selepas prosedur 'menyedut' telur.

Kos IVF adalah mahal, kebanyakannya sekitar RM12,000 hingga RM16,000 mengikut usia anda (keperluan dos ubat sederhana sahaja).

Sekiranya layak, anda boleh memohon bantuan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang menanggung kos IVF di pusat IVF terpilih. Peluang kejayaan sekali rawatan adalah sekitar 25 hingga 35 peratus, bagaimanapun ia bergantung kepada penyakit yang anda alami.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Ahad, 6 Mac 2011

Cerai Setiap 15 Minit

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan perceraian berlaku dalam kalangan umat Islam dicatatkan setiap 15 minit pada tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama dalam kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia yang disertai 1,200 penjawat awam.

Anggota panel pada seminar itu terdiri daripada pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah, Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan.

Mashitah berkata, Jakim akan memperbanyakkan lagi program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.

Setakat ini katanya, Jakim menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga.

Dalam perkembangan lain Mashitah berkata, Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ‘Sidang Parlimen Roh’ selepas kematian pengasasnya, Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lalu.

“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” katanya.


Dipetik dari: http://www.bernama.com.my

Rabu, 2 Mac 2011

Petua istimewa Untuk Wanita

Payudara Montok
Elakkan dari meniarap di atas lantai samada di waktu siang atau malam, kerana meniarap di lantai akan mengendurkan payudara anda.

Menyegarkan Payudara
Apabila mandi, terutamanya di awal pagi, cucurkan air pancuran atau ait paip ke atas kedua-dua belah payudara agar payudara sentiasa subur dan segar, tidak mudah jatuh.

Lubang Jarum
Latih otot penahan kencing, seolah-olah menahan dari hendak buang air kecil, kemutkan berulang-ulang.
Kemudian kemutkan pula otot dubur seolah-olah menahan dari buang air besar, berulang-ulang juga. Jika boleh jadikan ia amalan setiap hari.

Mengurut Pangkal Bunting Padi
Biasakan mengurut di pangkal betis, iaitu dengan cara menekan dan memicit di kawasan antara urat keting dan buah betis. Lakukan selalu, kerana ini baik untuk mempertingkatkan prestasi kepekaan rasa apabila jinak setelah berkahwin nanti.


Dipetik dari: http://www.bharian.com.my