Peminat Setia

Khamis, 31 Januari 2008

Payu Dara Tak Sama Besar Kesan Menyusu Anak

SOALAN:
Saya berusia 24 tahun dan mempunyai dua anak iaitu kembar yang kini berusia setahun enam bulan. Anak perempuan saya tidak gemar minum susu badan sebaliknya lebih gemar susu tepung.

Anak lelaki pula gemar susu badan.

Cuma, payu dara kiri saya lebih besar daripada sebelah kanan. Masalah ini timbul ketika anak berusia lima bulan.

Payu dara yang besar itu mempunyai susu yang banyak dan payu dara yang kecil itu sedikit pula susunya. Adakah keadaan ini normal? Apakah yang sebenarnya berlaku pada diri saya?

Insan Rungsing,
Baling, Kedah.


JAWAPAN:
Kebanyakan bayi sememangnya menyukai sebelah payu dara sama ada kanan atau kiri. Mungkin ia ada kaitan dengan posisi bayi sewaktu disusukan.

Mitos yang mengatakan payu dara kiri lebih berisi makanan manakala payu dara kanan lebih berisi air pula atau sebaliknya tidak benarnya.

Memandangkan anda lebih menyusukan bayi menggunakan payu dara kiri, payu dara yang aktif ini kekal pejal dan besar. Sebaliknya payu dara kanan yang kurang aktif pula lama kelamaan kurang menghasilkan susu akibat kurang rangsangan hisapan yang lebih bersifat refleks mekanikal. Ini menyebabkan payu dara kanan mengecil kembali.

Jika dibiarkan berterusan, perbezaan ini boleh menjadi lebih ketara walaupun dalam keadaan anda sudah memakai baju. Anda bolehlah menyamakannya semula secara merangsang payu dara kanan sama ada menggalakkan anak anda menyusuinya atau merangsangnya menggunakan tangan atau pam.

Memulakan anak anda menyusu payu dara kanan dulu atau menukar cara anda mendakap atau memangkunya juga boleh mengubah “payu dara kegemarannya”.

Lama kelamaan, susu payu dara kanan boleh menjadi banyak kembali dan payu dara anda tidak jauh berbeza saiznya. Sedikit perbezaan pada payu dara kanan dan kiri adalah suatu keadaan yang biasa dialami ramai wanita.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Khasiat Minyak Kelapa Dara

Khasiat Minyak Kelapa Dara

1 - Melegakan pernafasan – mencairkan kahak dan membersihkan laluan pernafasan dan kerongkong

2 - Melawaskan pembuangan air besar dan kecil – menyelesaikan masalah sembelit dan kencing tidak lawas serta membuang toksn melalui najis.

3 - Meningkatkan kadar metabolisma pada seluruh sel tubuh – Minyak kelapa dara akan diserap terus sebagai komponen tenaga dalam badan – badan anda akan terasa lebih bertenaga

4 - Di dalam usus kecil dan besar ia memusnah organisma perosak, seperti virus, bakteria, kulat dan protozoa (cacing). Dengan nya penghadaman mencapai tahap maksimum.

5 - Mengurangkan keadaan mudah lapar – bila penghadaman mencapai tahap maksima tubuh mendapat lebih khasiat dan tenaga.

6 - Oleh itu berat badan terkawal – tidak perlu makan banyak dan kerap

7 - Mengurangkan kandungan lemak badan – berat badan turun mengikut kesesuaian tubuh badan seseorang.

8 - Tidak mudah mendapat jangkitan penyakit – dengan bertambah kuatnya sistem kekebalan tubuh.

9 - Mengurangkan kelekitan platelet darah – kelekitan platelet adalah faktor penyumbang kepada pembentukan plak pada saluran darah.

10- Mengurangkan risiko serangan sakit jantung dan darah tinggi – mengelakkan terbentuknya plak pada saluran darah terutama saluran yang berhubungan dengan jantung.

11- Mempercepat pengantian sel-sel mati dengan yang baru – mengembalikan keanjalan, kelembutan dan kehalusan kulit.

Kesan Jangka Panjang Pengambilan Minyak Kelapa Dara Pada Tubuh.

1 - Mengurangkan kadar kolestrol – ia sendiri tidak mengandungi kolesterol. Oleh itu ia adalah alternatif terbaik bagi minyak-minyak lain yang mengandungi kandungan kolesterol yang tinggi

2 - Mengawal kencing manis - pankrease lebih efisien mengeluarkan insulin sementara sel bekerja lebih cekap mengambil gula darah keperluannya.

3 - Mengatasi masalah penyakit degeneratif dan masalah usia umur lanjut - anti oksida semulajadi dalam minyak kelapa dara adalah penghambat pembentukan radikal bebas.

4 - Tidak meningkatkan paras kelekitan platelet dalam darah – mengatasi pembentukan plak pada pembuluh darah yang menjadi anatara faktor punca serangan jantung.

5 - Tubuh lebih tahan serangan penyakit kerana memiliki agen anti virus, anti bakteria, anti fungus dan anti protozoa.

6 - Mendapatkan kembali keanjalan, kelembutan kulit – ia mempercepat pergantian sel-sel kulit yang mati dengan sel yang baru, selain melindungi dari sinaran ultra violet.

7 - Pertumbuhan rambut lebih baik dan kelemumur akan hilang – sel rambut akan mendapat tenaga dan zat yang mencukupi untuk pertumbuhan maksima.

8 - Terhindar dari gejala alahan – minyak kelapa dara bertindak sebagai agen anti histamine.

9 - Mengelakkan risiko sakit kanser – minyak kelapa dara memusnahkan sebarang kehadiran organisma pathogen. Dengan itu sel darah putih mampu bertindak secara maksima memusnahkan sel kanser, kerana ia tidak terbeban menghadapi organisma pathogen.

10- Keadaan berdengkur akan hilang – kerana saluran pernafasan dan anak tekak akan kembali anjal dan elastik hasil kewujudan sel-sel baru padanya.

Minyak Kelapa Dara

"Oleh itu bagi kaum muslimin yang berpuasa, sedangkan mereka perlu aktif bekerja pada siangnya dan inginkan masa lebih untuk beribadat pada malam harinya, sangat digalakkan untuk menjadikan Minyak Kelapa Dara sebagai sebahagian dari menu berbuka puasa dan juga menu bersahur mereka agar mereka cukup tenaga dan punya daya tahan serta mampu sentiasa aktif."

Nota : Minyak Kelapa Dara adalah tergolong dalama Medium Change Fatty Asid (MCFA=Asid Lemak Rantai Sedang)

Minum Minyak Kelapa Dara Menambah Tenaga dan Menyimpannya Lebih Lama.


Makan makanan yang mengandungi MCFA seperti menggunakan bahan bakar oktan tinggi sebagai bahan bakar kenderaan. Kenderaan akan lebih laju dan lancar serta mampu mencapai jarak kilometer yang lebih jauh. Begitulah, dengan MCFA, tubuh dapat bergerak lebih baik kerana mempunyai lebih banyak tenaga dan daya tahan yang lebih besar. Ini kerana MCFA disalurkan secara lansung ke dalam hati dan diubah menjadi tenaga, tubuh mendapatkan tambahan tenaga. Oleh kerana MCFA dengan mudah dapat diserap oleh organ sel penghasil tenaga, maka metabolisme akan meningkat. Peningkatan energi ini mempunyai pengaruh perangsangan pada seluruh tubuh.

Fakta bahawa MCFA dicerna secara lansung untuk menghasilkan tenaga dan merangsang metabolisme telah mendorong para atlit untuk menggunakannya sebagai bahan untuk meningkatkan ketahanan tenaga semasa latihan. Hal ini dapat dibuktikan melalui kajian terhadap daya tahan fizikal tikus yang di beri MCFA pada makanan harian dibanding dengan tikus yang tidak di beri MCFA. Kajian ini dilanjutkan sehingga lebih dari enam minggu. Tikus didorongkan pada ujian daya tahan renang setiap dua hari. Ditempatkan pada satu takungan air dengan arus yang tetap. Waktu berenang sebenar sehingga ia keletihan diukur. Didapati pada pertama kalinya hanya ada sedikit perbedaan diantara tikus yang diberi makan MCFA dengan yang tidak diberi MCFA. Hari-hari berikutnya mendapati bahawa tikus yang diberi MCFA mulai mengungguli tikus lainnya dan semakin lebih baik di sepanjang waktu ujian.

Ujian ini seperti mendemontrasikan bahawa MCFA mempunyai kemampuan meningkatkan daya tahan dan penampilan latihan, setidak-tidaknya pada tikus.

Satu kajian (analisa) lainnya dengan menggunakan subjek penelitian manusia mengikut asas penelitian pada haiwan di atas. Dalam penelitian ini di libatkan atlit berbasikal. Para atlit tersebut dikehendaki minum salah satu dan tiga minuman iaitu (1) larutan MCFA, (2) minuman olah raga atau (3) kombinasi minuman olah raga dengan MCFA. Mereka diminta mengayuh basikal mereka pada 70% kepantasan maksimalnya selama dua jam. Pada akhir ujian mereka mendapati bahwa atlit berbasikal yang meminum campuran minuman olah raga dengan MCFA berpenampilan paling baik dalam ujian masa.

MCFA Minyak Kelapa Dara Mampu Mengawal dan Menyimpan Glikogen

Para pengkaji berpendapat bahawa MCFA memberi sumber tenaga tambahan kepada atlit, jadi mengeluarkan simpanan glikogen iaitu tenaga yang disimpan di dalam jaringan otot, akan habis digunakan selama pengendaraan tiga jam. Semakin banyak glikogen ada di dalam otot semakin besar daya tahan atlit. Maka zat apa saja yang boleh menyimpan glikogen pada saat memberikan tenaga akan bermanfaat untuk daya tahan atlit. Dalam satu kajian lanjutan untuk menguji teori pengeluaran glikogen, para peserta berbasikal pada 60 kekuatan maksimalnya selama 3 jam dengan meminum salah satu minuman yang diberikan pada kajian sebelumnya. Dengan mengikuti latihan, kadar glikogen otot diukur dan terbukti sama untuk ketiga atlitnya. Kesimpulannya adalah MCFA tidak mengeluarkan simpanan glikogen, namun benar-benar memperbaiki prestasi. Perbaikan dalam penggunaan tidak berhubungan dengan pengeluaran glikogen dan harus dihubungkan denagn satu mekanisme lainnya.

Hasil dari kajian ini dan lain-lain kajian mendapati miuman olah raga dan minuman tenaga yang di jual dipasaran juga diperkaya dengan MCFA untuk memberikan sumber tenaga yang cepat. MCFA yang paling sering digunakan pada minuman olah raga dan minuman tenaga berada dalam bentuk minyak medium-chain triglycerides (minyak MCT). Ia biasanya diindikasikan sebagai “MCT” pada label pembungkusannya. Sehingga kini para atlit dan orang yang sentiasa aktif mencari kaedah nutrisi, bukan ubat untuk menigkatkan prestasi para atalit mulai mencari dan menggunakan MCFA yang mudah didapati dari Minyak Kelapa Dara.

Mudah difahami kenapa para atlit tertarik untuk mendapatkan daya tahan dan tenaga yang lebih besar, namun bagaimaan dengan golongan bukan atlit ?. Sebenarnya MCFA boleh melakukan hal yang sama. Kalau dimakan secara teratur, MCFA mampu memberikan peningkatan pada tenaga dan daya aktiviti sehari-hari.

Selain itu disamping menambah kadar tenaga, ada manfaat lain yang sangat penting bagi yang sentiasa mengambil Minyak Kelapa Dara dalam pemakanan mereka, iaitu peningkatan angka metabolik yang konsekuensinya akan membantu melindungi dari penyakit dan mempercepat penyembuhan. Hal ini kerana pada saat metabolisma ditingkatkan, sel akan berfungsi lebih efisien. Dalam hal mereka yang terluka, keadaan ini membantu menyembuhkan luka mereka lebih cepat, sel lama dan sel yang kena penyakit diganti lebih cepat dan sel muda di kembangkan dengan cepat untuk menggantikan sel yang usang. Hasilnya sistem kekebalan tubuh akan berfungsi lebih baik.

Beberapa gangguan kesihatan seperti kegemukan, sakit jantung dan osterosklerosis lebih mudah terjadi pada orang yang mempunyai metabolisma rendah. Kondisi kesihatan akan lebih buruk kalau angka metabolisma lebih rendah dibanding metabolisma normal, kerana sel tidak mampu menyembuhkan dan memperbaiki dirinya secara cepat. Maka peningkatan angka metabolisma, memberikan peningkatan perlindungan dari penyakit degeneratif dan penyakit menular.

Rabu, 30 Januari 2008

Betulkan Rahim Cara Pembedahan Tidak Tingkat Peluang Hamil

SOALAN:
Saya berusia 29 tahun dan sudah empat tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak. Doktor pernah mengesahkan kedudukan rahim saya terbalik.

Adakah ini menyebabkan saya tidak boleh hamil? Bolehkah saya membuat pembedahan untuk membetulkan kedudukan rahim saya?

Bella,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Kedudukan rahim (uterus) terbalik lazimnya merujuk kepada rahim yang melentik ke arah tulang vetebra pelvis di belakang. Keadaan ini dinamakan retroverted uterus.

Dalam kebanyakan wanita, rahim berada dalam kedudukan tunduk ke hadapan (anteverted) ke arah pundi kencing. Dalam kedua-dua jenis kedudukan, pangkalnya (serviks) masih berada di tengah-tengah faraj.

Kajian masa kini menunjukkan membetulkan kedudukan rahim secara pembedahan tidak meningkatkan peluang kehamilan secara ketara. Malah, uterus retroverted tidak termasuk dalam punca masalah kesuburan wanita.

Perkara lebih penting adalah merawat penyakit yang (jika ada) menyebabkan rahim melekat ke belakang misalnya, endometriosis dan peradangan pelvis (PID). Lazimnya, ini diketahui atau disahkan melalui pembedahan laparoskopi diagnostik malah rawatannya boleh dilakukan pada masa yang sama.

Anda bolehlah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesuburan. Empat tahun mencuba sudah lebih daripada mencukupi untuk mendapatkan rawatan. Suami juga diminta menjalani ujian air mani.

Pemeriksaan dan rawatan awal termasuk pengambilan sejarah berkaitan, pemeriksaan fi zikal, ultrabunyi pelvis (lazimnya melalui faraj), ujian darah dan rawatan mudah secara pemberian pil kesuburan.

Ini disusuli dengan pemantauan ke atas pembesaran folikel telur menggunakan ultrabunyi disusuli pengesahan ovulasi menggunakan ultrabunyi atau ujian darah hormon. Kemudian, ujian ke atas tiub falopio lebih sesuai dilakukan menggunakan pembedahan laparoskopi lebih-lebih lagi jika keadaan anda (uterus retroverted) juga berkait dengan masalah senggugut (dismenorea) atau dispareunia (sakit ketika hubungan seks).

Ramai yang menyangka berurut dapat membetulkan kedudukan rahim. Berurut pula langsung tidak dapat menjangkau rahim yang terletak jauh terlindung di dalam rangka pelvis, lebih-lebih lagi jika rahim retroverted.

Sungguhpun begitu, tiada halangan berurut bagi mana-mana wanita kerana ia dapat melegakan fi zikal dan tekanan minda, asalkan tidak keterlaluan tekanannya kerana ia boleh menyebabkan komplikasi contohnya, pundi kencing pecah dan seumpamanya. Seeloknya wanita membuang air kencing terlebih dulu.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Selasa, 29 Januari 2008

Alat Kelamin Gatal Sejak Hidap Diabetis

SOALAN:
Saya ibu tiga anak yang menghidap kencing manis. Sejak menghidap penyakit berkenaan, kemaluan saya sering mengeluarkan sejenis cecair yang membuatkannya gatal dan melekit.

Saya sering menggaru kemaluan kerana ia terlalu gatal. Sejak itu, saya juga tidak selesa dan tidur sering terganggu. Apakah yang harus saya lakukan?

Fara,
Selangor


JAWAPAN:
Pesakit kencing manis (diabetes mellitus) perlu memastikan paras gula di dalam darah berada pada tahap terkawal. Paras gula berlebihan ini boleh mendedahkan risiko jangkitan berulang, jangkitan yang lazimnya didapati adalah jangkitan kulit dan faraj.

Dalam erti kata lain, lelehan faraj yang anda alami berulang kali mungkin satu petanda penyakit kencing manis anda tidak berada dalam paras kawalan yang baik.

Berjumpalah dengan doktor untuk mengenal pasti jenis kuman penyebab jangkitan itu serta ubat yang bersesuaian. Lazimnya, pemeriksaan dalaman menggunakan spekulum akan dilakukan untuk mengambil sampel lelehan dan dilakukan ujian kultur di makmal ini mengambil masa beberapa hari.

Buat sementara itu, doktor lazimnya memberikan ubat yang bersesuaian mengikut pengamatan ke atas lelehan terbabit. Jika kemudian didapati ubat ini tidak bersesuaian dengan keputusan makmal kelak, ia akan diganti dengan ubat lain.

Ujian ini kemudian boleh diulang untuk memastikan ia sudah dirawat sepenuhnya.

Di samping itu, ujian berkaitan kawalan penyakit kencing manis juga boleh dilakukan.

Ini termasuk ujian paras glukosa dalam darah pada hari terbabit serta ujian darah fruktosamin dan ujian darah HbA1c sebagai pengukur kawalan penyakit anda dalam tempoh kebelakangan ini (beberapa minggu hingga beberapa bulan sebelumnya).

Keperluan dos ubatan anda juga boleh dinilai semula.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Isnin, 28 Januari 2008

Ingin Tahu Tanda Bersalin

SOALAN:
Saya berusia 26 tahun dan kini hamil pertama kali. Saya ingin tahu mengenai tanda kelahiran bayi kerana saya kerap mengalami bisa sakit pinggang di awal 36 minggu.

Adakah ia hanya disebabkan bayi sudah membesar atau tanda bayi bakal lahir? Menerusi pembacaan saya sebelum ini, adakah benar wanita hendak bersalin akan berasa seperti hendak membuang air besar?

Adakah benar minggu terakhir bayi adalah 40 minggu? Apakah yang akan berlaku jika masih tidak rasa sakit bersalin selepas 40 minggu?

Ibu Ingin Tahu,
Shah Alam, Selangor.


JAWAPAN:

PENGALAMAN sakit bersalin berbeza-beza bagi setiap wanita. Ada yang merasakan seperti perut memulas hendak membuang air besar, sakit belakang, perut seperti akan pecah dan seumpamanya.

Bermula seawal 28 minggu usia kandungan, wanita akan mula mengalami pengecutan rahim yang normal secara fisiologi, ia dinamakan pengecutan rahim Braxton-Hicks.

Pengecutan rahim ini berlaku jarang-jarang, sekitar setiap 30 minit dan mengambil tempoh beberapa saat saja serta tidak menyakitkan. Ini berbeza dengan pengecutan rahim bersalin yang dialami setiap 15 minit namun kemudiannya menjadi lebih kerap (setiap lima atau tiga minit), setiap satu pula semakin panjang tempohnya (sehingga 45 saat) dan disertai dengan kesakitan.

Tempoh ini bolehlah dikira secara meletakkan tapak tangan pada puncak rahim untuk mengesan pengecutan rahim itu yang sentiasa datang dan menghilang.

Berjumpalah dengan doktor untuk mengesan punca kesakitan yang anda alami. Tanda hampir bersalin adalah seperti berikut:

* Perut menjadi ringan sekitar dua minggu sebelum kelahiran kerana kepala bayi sudah pun 'turun' ke dalam kawasan rangka tulang pelvis.

* Keluar lendir pekat seperti gam yang lekang dari laluan pintu rahim apabila pintu rahim mula menipis.

* Pengecutan otot rahim yang semakin kerap dan untuk tempoh yang lama.

* Keluar lendir bercampur darah apabila pintu rahim mula membuka.

Anda juga boleh mempelajari cara mengesan pengecutan otot rahim. Ia juga dapat dilihat dalam carta cardio-tocograph atau CTG yang mencatat pola aktiviti jantung bayi serta pengecutan otot rahim.

Ia dilakukan secara melekapkan dua alat berbentuk cakera tebal ke atas puncak rahim dan pada kawasan jantung bayi, alat ini dilekapkan dengan bantuan tali pinggang bergetah dan dibiarkan selama kira-kira 20 minit.

Ujian air kencing juga mungkin dilakukan untuk memastikan tiada jangkitan air kencing yang juga boleh mengakibatkan kesakitan yang sama walaupun lazimnya ia lebih kepada sakit bahagian ari-ari.

Selain tanda di atas, anda juga perlu ke hospital jika mengalami keluar air ketuban, pergerakan bayi menjadi kurang kerap, keluar darah atau apa saja masalah yang dialami untuk kepastian doktor.

Waktu 40 minggu adalah dikira bermula hari pertama haid terakhir sehingga tarikh jangkaan bersalin.

Namun, 90 peratus wanita didapati sudah selamat bersalin sebelum tiba tarikh terbabit, sekitar 10 hari sebelum tarikh itu.

Bayi dikatakan cukup bulan apabila mencecah usia 38 minggu kandungan. Bayi pula dikatakan lebih hari jika masih belum dilahirkan selepas tarikh 40 minggu, jika melebihi 42 minggu pula dikatakan lebih masa.

Lazimnya bayi selamat jika lahir dalam tempoh 38 hingga 41 minggu, sebaliknya melebihi usia 42 minggu pula dikaitkan dengan risiko kepada bayi.

Membenarkan bayi di dalam kandungan melebihi usia 40 minggu memerlukan pengawasan pergerakan bayi, kandungan air ketuban, keadaan uri, aktiviti jantung dan seumpamanya bagi wanita yang tidak mempunyai masalah seperti darah tinggi, kencing manis atau rhesus negatif.

Pada masa sama, jika keadaan terbabit masih memuaskan, kandungan mungkin dibenarkan selama sekitar seminggu bagi memberi peluang jika anda didatangi sakit bersalin sendirinya tanpa perlu dipaksa bersalin (induksi).

Namun, ia lebih bergantung kepada keputusan anda setelah mendapat pandangan doktor anda.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Dingin Selepas Buang Tiroid

SOALAN:
Sejak isteri saya melakukan pembedahan tiroid pada awal 2007, dia kini amat dingin untuk melakukan hubungan kelamin dengan saya. Bagaimana cara untuk mengatasinya?

Mazlan,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN:
Anda tidak menyatakan sama ada isteri menjalani pembuangan semua kedua-dua belah kelenjar tiroid atau sebahagian saja.

Lazimnya dengan pembuangan kedua-dua belah kelenjar tiroid, rawatan pil hormon tiroksin diberikan untuk membekal kan gantian hormon tiroid kepada tubuh, ia diambil sepanjang hayat.

Jika tidak, seseorang akan mengalami kekurangan hormon tiroid (hipotiroid) serta kesan atau komplikasi akibat kekurangannya.

Ini boleh diketahui melalui tanda tambahan selain kurang nafsu seperti kurang bertenaga, gangguan haid (lazimnya semakin banyak dan berpanjangan) dan seumpamanya serta melalui ujian darah mengesan profi l hormon tiroid (hormon tiroksin empat bebas, hormon tiroksin tiga bebas dan hormon perangsang tiroksin).

Jika hanya sebahagian saja kelenjar tiroid dibuang, rawatan hormon tiroid gantian lazimnya tidak perlu jika paras hormon tiroidnya normal. Sekiranya kekurangan nafsu seks disebabkan oleh kekurangan hormon tiroid, rawatan hormon tiroid gantian dijangka dapat memulihkannya.

Jika tidak, ia mungkin akan berterusan, malah kesan lain akibat kekurangan hormon tiroid juga boleh dialami seperti keletihan, kenaikan berat badan, gangguan haid, kerosakan rambut, kekeri ngan kulit, gangguan tumpuan serta kurang minat berhubung atau berinteraksi.

Ini mungkin turut dialami isteri anda.

Pengambilan rawatan ini memerlukan pengawasan supaya ia dapat mencapai dan mengekalkan paras hormon tiroid yang normal, bukannya tidak mencukupi atau sebaliknya berlebihan pula.

Isteri anda perlu memahami keperluan pengambilan pil gantian ini bukan saja bertujuan memulihkan nafsunya, malah untuk tujuan kesihatan lain. Dengan ini, dia lebih bermotivasi tidak mengabaikan rawatan.

Selain itu, masalah kurang nafsu boleh berpunca daripada pelbagai penyebab fi zikal dan psikologi. Seeloknya anda berbincang terus dengan isteri dan mendapatkan pemeriksaan doktor pakar perubatan endokrinologi atau pakar terapi seks untuk mencari puncanya.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Ahad, 27 Januari 2008

Kitaran Haid 3 Bulan Sekali

SOALAN:
SAYA berusia 28 tahun dan sudah tujuh bulan mendirikan rumah tang ga. Saya mempunyai masalah kitaran haid yang panjang dan berlebihan sejak pada awal usia baligh hingga kini.

Kitaran haid saya tiga bulan sekali dan darah haid yang keluar pula sangat banyak, tanpa henti. Saya terpaksa mengambil ubat untuk menghentikan aliran haid terbabit.

Doktor memaklumkan paras hormon saya tidak stabil dan mengakibatkan berlakunya ovari polisistik. Adakah saya berpeluang untuk hamil dalam keadaan demikian?

Sham,
Jalan Segambut, Kuala Lumpur


JAWAPAN:
SESEORANG yang mengalami penyakit ovari polisistik (PCOS) boleh mengalami satu atau lebih atau semua tanda berikut: l Gangguan haid. Kitaran haid menjadi tidak teratur, jarang-jarang misalnya dua hingga tiga bulan sekali atau tiada haid langsung.

Ini diikuti dengan haid yang sedikit-sedikit tetapi berpanjangan.

Kadangkala haid menjadi sangat banyak selepas ketiadaan haid untuk beberapa bulan.

* Masalah kesuburan akibat ketiadaan pengeluaran telur (ovulasi) yang teratur.

* Berlebihan hormon lelaki (testosteron) mengakibatkan kulit berminyak atau berjerawat, bulu roma kawasan misai semakin nyata serta bulu roma berlebihan pada betis.

* Berlebihan berat badan atau sukar menurunkan berat badan.

* Paras kolesterol darah yang tinggi.

Tanda di atas dialami oleh hanya 30 peratus wanita yang mempunyai PCOS.

Sebahagian besar wanita dengan PCOS (70 peratus) tidak mempunyai tanda berkenaan.

Selain itu, kesan berikut boleh dialami kelak (lazimnya pada usia lanjut): l Peningkatan risiko penyakit diabetes mellitus (kencing manis).

* Peningkatan risiko paras kolesterol berlebihan.

* Peningkatan risiko penyakit jantung.

Ada juga wanita dengan penyakit PCOS tidak mengalami sebarang masalah berkaitan. Anda dinasihatkan berjumpa pakar sakit puan, seelok-eloknya yang khusus dalam kesuburan (jika berkaitan).

Ubat mengandungi hormon proestin lazimnya diberi untuk mengatur kembali kitaran haid, disusuli pil hormon untuk merangsang pembesaran telur baru bagi membolehkan pengeluaran telur (ovulasi) berlaku. Ini dapat menjadikan kitaran haid anda teratur.

Lazimnya rawatan semudah pemberian pil kesuburan diberikan dulu disusuli dengan pemantauan pembesaran (jika ada) telur pada ovari anda menerusi ultrabunyi. Ini kerana, dengan mengatur pembesaran telur ini dan seterusnya ovulasi, ia dijangka dapat membetulkan masalah haid anda.

Jika tidak berjaya, anda mungkin memerlukan rawatan lain termasuk pembedahan laparoskopi untuk merawat kedua-dua belah ovari anda, teknik ini dinamakan ‘drilling’.

Di samping itu, ujian darah lanjutan juga mungkin dilakukan misalnya paras hormon insulin, testosteron, kolesterol dan seumpamanya.

Ia lazimnya tidak dilakukan serentak dengan ujian asas memandangkan kosnya yang tinggi.

Anda juga dinasihatkan mengubahsuai pemakanan anda kepada kurang manis dan kurang kolesterol. Ini sangat penting untuk jangkamasa panjang.

Peluang hamil dengan rawatan mudah seperti pil kesuburan masih ada walaupun kurang jika dibandingkan dengan rawatan secara pembedahan, namun begitu rawatan mudah masih didahulukan memandangkan ia mudah dan murah.

Ada kajian yang melaporkan peluang hamil dengan ubat kesuburan adalah sekitar 20 peratus dalam masa enam bulan rawatan berbanding kepada 80 peratus jika didahului de-ngan pembedahan terbabit.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Khamis, 24 Januari 2008

Hamil 5 Bulan Dengan Uri Di Bawah

SOALAN:
SAYA berusia 27 tahun dan kini hamil lima bulan. Sejak di awal kehamilan, saya menghadapi masalah kedudukan uri yang berada di bahagian bawah.


Disebabkan kedudukan itu, saya mengalami pendarahan selama lima hari pada usia kandungan 17 minggu. Saya menempuh pengalaman pahit ketika melahirkan anak kedua.

Oleh itu, saya mengamalkan perancang keluarga sejak dua tahun lalu.

Adakah masalah yang saya hadapi kini kesan daripada amalan perancang keluarga itu?

Siti,
Taman Cheras Prima, Kajang


JAWAPAN:
URI bawah (plasenta previa) adalah merujuk kepada tempat perlekatan uri pada dinding rahim. Uri berbentuk seperti piring berurat setebal kira-kira tiga hingga lima sentimeter dan selebar kira-kira 20 sentimeter diameternya.

Ia melekap kuat pada dinding rahim untuk menjadi perantara pembekalan nutrisi daripada ibu kepada janin dan pembuangan bahan kumuhan kembali kepada ibu melalui tali pusat. Tempat perlekatan ini bergantung kepada kedudukan embrio kecil pada awal kehamilan melekat pada bahagian rahim yang lebih besar.

Memandangkan dinding rahim akan terus mengembang terutama bahagian segmen atas, uri yang melekat padanya juga akan turut mengikut dan kelihatan seolah-olah menaik ke atas.

Tidak ada sebab khusus untuk plasenta previa berlaku namun ia sering dikaitkan dengan keadaan berikut: l Usia ibu (tiga kali ganda lebih kerap bagi ibu berusia 30 tahun ke atas berbanding usia 20 tahun ke bawah).

l Bilangan anak (lima peratus risiko bagi ibu yang sudah mempunyai lima anak berbanding hanya 0.5 peratus secara amnya).

l Pernah mengalami plasenta previa sewaktu kehamilan terdahulu.

l Pernah menjalani pembedahan Caesarean.

l Kehamilan kembar (memandangkan saiz uri lebih lebar).

l Pernah menjalani prosedur ‘cuci’ dilation & curettage (D&C).

l Merokok.

l Kehamilan dengan kedudukan janin tidak normal.

Belum ada kaitan dibuat antara plasenta previa dengan pengambilan pil perancang.

Berkemungkinan ia ada kaitan dengan trauma yang dialami sewaktu kelahiran dahulu (anda cuma menyatakan pengalaman pahit tetapi tidak menjelaskannya).

Anda perlu meneruskan rawatan antenatal dengan doktor serta memilih untuk bersalin di hospital yang lengkap dengan kemudahan pembedahan, bekalan darah dan unit rawatan intensif.

Jika uri berada pada bahagian dinding hadapan rahim, kemungkinan untuk ia 'menaik' ke atas adalah lebih tinggi berbanding jika uri terbabit berada pada bahagian dinding belakang.

Selain itu, ultrabunyi dop pler boleh dilakukan untuk mengesan kemungkinan uri ini turut melekat ke dalam otot rahim, ini dinamakan plasenta previa accreta.

Dengan placenta previa, risiko placenta accreta meningkat sehingga 10 peratus (satu dalam 10) berbanding risiko amnya hanyalah 0.04 peratus saja (satu dalam 2500).

Sabtu, 12 Januari 2008

Wanita Diabetis Boleh Hamil

SOALAN:
Saya sudah berumah tangga selama tiga tahun dan masih tidak mempunyai anak. Saya begitu tertekan apabila sanak saudara asyik bertanyakan keadaan saya. Saya ingin tahu, jika salah seorang suami atau isteri mempunyai kencing manis, adakah sukar bagi mereka mendapatkan zuriat? Bagaimana pula jika kedua-dua suami dan isteri mengalami kencing manis?

Ada yang memberitahu saya penghidap kencing manis sukar mendapatkan zuriat. Untuk pengetahuan puan, saya baru saja menjalani pembedahan di bahagian rahim kerana haid terhadang.


Junn,
Yuan Ching Road, Singapura

JAWAPAN:
Anda perlu menyatakan usia anda terlebih dulu kerana usia wanita memainkan peranan penting dalam menentukan kesuburan dan kejayaan dalam rawatan kesuburannya. Wanita yang mengalami penyakit kencing manis lazimnya tidak mempunyai masalah untuk hamil namun berisiko untuk mengalami keguguran dan kecacatan janin jika kencing manis itu tidak terkawal.

Namun, penyakit kencing manis mungkin turut dihidapi oleh wanita yang mengalami penyakit yang mengganggu kesuburan seperti sindrom ovari polisistik (PCOS). Lelaki yang berpenyakit kencing manis pula boleh mengalami mati pucuk dan tidak berupaya mencapai ereksi zakar untuk dimasukkan ke dalam faraj. Secara amnya, bilangan sperma dan kualiti asasnya (pergerakan dan bentuk) sama dengan lelaki tanpa kencing manis namun kajian lanjut menunjukkan ada kerosakan DNA (struktur genetik) pada sperma lelaki penghidap kencing manis yang boleh mengurangkan kesuburannya. Perkara ini tidak diuji dalam ujian air mani biasa.

Puan tidak nyatakan jenis penyakit yang puan alami serta jenis pembedahan dijalani. Berkemungkinan puan tidak didatangi haid untuk beberapa bulan dan didapati lapisan haid (endometrium rahim) sudah menebal lalu puan dinasihati menjalani prosedur D&C untuk memeriksa lapisan haid (endometrium dalam rahim) dengan lebih lanjut sama ada berpenyakit ataupun sebaliknya.

Puan dinasihatkan meneruskan rawatan kesuburan. Suami juga dinasihatkan menjalani ujian air mani. Penyakit kencing manis (jika dialami) juga perlu dikawal sebelum memulakan kehamilan. Mulakan pengambilan pil asid folik sebanyak lima miligram setiap malam.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Rabu, 9 Januari 2008

Amal Senaman Kegel (Senaman Kemutan)

Senaman adalah untuk kecergasan tubuh badan, baik lelaki mahu pun perempuan. Apabila kita melakukan senaman, otot kita bergerak cergas dan membina protin dalam otot berkenaan.Gerakkan otot melancarkan darah dan meningkatkan degupan jantung serta pernafasan selain membebaskan kimia seperti beta endorfin untuk memberi kesegaran.

Senaman juga dapat membantu memantapkan otot yang menjadi benteng anggota sulit lelaki dan perempuan seperti senaman Kegel atau senaman kemutan.Senaman kemutan membabitkan gerakan mencengkam otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing atau mencengkam otot lantai pelvis, seolah-olah mahu menahan kencing atau tahan membuang air besar dan ia dilakukan secara serentak.

Senaman ini jarang dilakukan secara sengaja dan jika dilakukan, biasanya dalam keadaan tertentu seperti menahan kencing apabila tandas penuh.Jadi jika senaman kemutan ini dilakukan oleh mana-mana individu, baik lelaki atau perempuan, perasaan kurang selesa akan berlaku.Lelaki akan terasa lubang najis tersempal dan jika buang air besar rasa sembelit. Jika ada buasir, akan jadi ketara dan menyakitkan!

Untuk wanita pula jika senaman kemutan itu dilakukan, dia akan rasa terangsang, lebih lagi jika kedua-dua paha itu dirapatkan. Jika paha direnggangkan sedikit mungkin perasaan terangsang itu kurang.

Cara melakukan senaman kemut ini untuk lelaki ialah seperti berikut, rapatkan kedua-dua paha dan mencengkam lubang najis dan lubang kencing sekali gus dengan padat dan tahan nafas seketika antara tiga hingga lima saat, legakan kemutan dan ulangi sehingga 10 kali.Lakukannya lima kali sehari dan setiap kali cengkam 10 kali. Ketika melakukan senaman kemut, lelaki itu perlu dalam keadaan selesa iaitu sudah buang air besar dan kecil, baru lakukannya.Amalan mengemut ini mempunyai khasiatnya tersendiri.

Bagi lelaki, kemutan dapat membina otot benteng pangkal zakar yang mana jika zakar erek, mengemut dapat memadatkan pangkal zakar dan menolak serta memerah darah hala ke depan dan menjadikan penghujung zakar lebih padat dan kembang, seolah-olah zakar kelihatan besar bahagian depan!Untuk wanita, amalan kemutan dapat melangsingkan corong faraj yang lega dan menyempitkan pembukaan faraj yang renggang itu.

Dengan corong faraj yang sempit dan kemas, angin tidak mudah masuk ketika wanita bergerak dan hubungan kelamin tidak akan berbunyi seperti angin keluar-masuk!Amalan mengemut dapat membantu melangsingkan otot kemutan dan membantu mengintimkan hubungan silaturrahim dengan pasangan. Hubungan seksual menjadi lebih seronok dan lebih memberangsangkan.

Senaman kemutan tidak akan dapat membina zakar menjadi panjang atau besar seperti mana yang dipaparkan oleh maklumat dalam internet yang menjual kaedah membesarkan zakar dengan cara senaman kemutan yang kononnya amalan orang Arab.Bagaimanapun, senaman kemut dapat memberi tenaga dan kekuatan kepada ereksi dan ketika zakar yang erek itu dikemutkan ketika melakukan penetrasi faraj, maka mudah untuk menyalurkan ereksi dalam faraj dan mudah untuk bergerak lancar jika gerakkan zakar dilakukan dalam keadaan kemut.

Malahan mengemut ketika erek dapat mengekalkan ereksi dan dapat bergerak dan mengubah posisi dan merendahkan kemungkinan darah tercicir keluar daripada otot zakar.Jika gerakkan zakar dilakukan dalam faraj dengan lelaki itu mengemut, pasangan akan dapat rasa nikmat yang lebih dan mudah mencapai klimaks.

Gerakkan zakar dapat dikawal apabila gerakkan zakar dilakukan dalam keadaan berkemut. Jadi amalan kemut dan melakukan senaman kemut dapat menjaga kekuatan ereksi.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Selasa, 8 Januari 2008

Tiada Haid Sejak Bersalin

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun, sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun dan mempunyai tiga cahaya mata. Anak saya yang kecil berusia setahun tiga bulan dan masih menyusu badan.
Masalahnya, sejak melahirkan anak bongsu hingga kini, saya tidak didatangi haid.
Doktor menasihatkan saya menggunakan alat dalam rahim untuk mengelakkan kehamilan tetapi saya tidak melakukannya. Cuma kini, saya musykil sama ada saya hamil atau tidak. Adakah saya menghadapi sebarang penyakit?


HAZRINA,
Taman Johor Jaya, Johor Bahru.

JAWAPAN:
Keadaan anda dinamakan amenorrhoea (ketiadaan haid selama enam bulan berturut-turut atau lebih). Penyusuan badan boleh menyebabkan keadaan ini.
Namun, seeloknya anda menjalani pemeriksaan doktor, mungkin anda mempunyai penyebab lain. Salah satu penyebab utama yang perlu dipastikan adalah kehamilan.

Ini kerana, penyusuan badan hanya mampu mengelakkan kehamilan dalam masa empat hingga enam bulan selepas kelahiran saja, itupun jika seseorang ibu mengamalkan penyusuan badan sepenuhnya (atau hampir sepenuhnya).

Selepas tempoh ini, seseorang terdedah kepada kemungkinan kehamilan, terutama jika tidak mengamalkan kaedah pencegah kehamilan yang berkesan.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/