Peminat Setia

Rabu, 30 Januari 2008

Betulkan Rahim Cara Pembedahan Tidak Tingkat Peluang Hamil

SOALAN:
Saya berusia 29 tahun dan sudah empat tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak. Doktor pernah mengesahkan kedudukan rahim saya terbalik.

Adakah ini menyebabkan saya tidak boleh hamil? Bolehkah saya membuat pembedahan untuk membetulkan kedudukan rahim saya?

Bella,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Kedudukan rahim (uterus) terbalik lazimnya merujuk kepada rahim yang melentik ke arah tulang vetebra pelvis di belakang. Keadaan ini dinamakan retroverted uterus.

Dalam kebanyakan wanita, rahim berada dalam kedudukan tunduk ke hadapan (anteverted) ke arah pundi kencing. Dalam kedua-dua jenis kedudukan, pangkalnya (serviks) masih berada di tengah-tengah faraj.

Kajian masa kini menunjukkan membetulkan kedudukan rahim secara pembedahan tidak meningkatkan peluang kehamilan secara ketara. Malah, uterus retroverted tidak termasuk dalam punca masalah kesuburan wanita.

Perkara lebih penting adalah merawat penyakit yang (jika ada) menyebabkan rahim melekat ke belakang misalnya, endometriosis dan peradangan pelvis (PID). Lazimnya, ini diketahui atau disahkan melalui pembedahan laparoskopi diagnostik malah rawatannya boleh dilakukan pada masa yang sama.

Anda bolehlah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesuburan. Empat tahun mencuba sudah lebih daripada mencukupi untuk mendapatkan rawatan. Suami juga diminta menjalani ujian air mani.

Pemeriksaan dan rawatan awal termasuk pengambilan sejarah berkaitan, pemeriksaan fi zikal, ultrabunyi pelvis (lazimnya melalui faraj), ujian darah dan rawatan mudah secara pemberian pil kesuburan.

Ini disusuli dengan pemantauan ke atas pembesaran folikel telur menggunakan ultrabunyi disusuli pengesahan ovulasi menggunakan ultrabunyi atau ujian darah hormon. Kemudian, ujian ke atas tiub falopio lebih sesuai dilakukan menggunakan pembedahan laparoskopi lebih-lebih lagi jika keadaan anda (uterus retroverted) juga berkait dengan masalah senggugut (dismenorea) atau dispareunia (sakit ketika hubungan seks).

Ramai yang menyangka berurut dapat membetulkan kedudukan rahim. Berurut pula langsung tidak dapat menjangkau rahim yang terletak jauh terlindung di dalam rangka pelvis, lebih-lebih lagi jika rahim retroverted.

Sungguhpun begitu, tiada halangan berurut bagi mana-mana wanita kerana ia dapat melegakan fi zikal dan tekanan minda, asalkan tidak keterlaluan tekanannya kerana ia boleh menyebabkan komplikasi contohnya, pundi kencing pecah dan seumpamanya. Seeloknya wanita membuang air kencing terlebih dulu.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: