Peminat Setia

Ahad, 27 Januari 2008

Kitaran Haid 3 Bulan Sekali

SOALAN:
SAYA berusia 28 tahun dan sudah tujuh bulan mendirikan rumah tang ga. Saya mempunyai masalah kitaran haid yang panjang dan berlebihan sejak pada awal usia baligh hingga kini.

Kitaran haid saya tiga bulan sekali dan darah haid yang keluar pula sangat banyak, tanpa henti. Saya terpaksa mengambil ubat untuk menghentikan aliran haid terbabit.

Doktor memaklumkan paras hormon saya tidak stabil dan mengakibatkan berlakunya ovari polisistik. Adakah saya berpeluang untuk hamil dalam keadaan demikian?

Sham,
Jalan Segambut, Kuala Lumpur


JAWAPAN:
SESEORANG yang mengalami penyakit ovari polisistik (PCOS) boleh mengalami satu atau lebih atau semua tanda berikut: l Gangguan haid. Kitaran haid menjadi tidak teratur, jarang-jarang misalnya dua hingga tiga bulan sekali atau tiada haid langsung.

Ini diikuti dengan haid yang sedikit-sedikit tetapi berpanjangan.

Kadangkala haid menjadi sangat banyak selepas ketiadaan haid untuk beberapa bulan.

* Masalah kesuburan akibat ketiadaan pengeluaran telur (ovulasi) yang teratur.

* Berlebihan hormon lelaki (testosteron) mengakibatkan kulit berminyak atau berjerawat, bulu roma kawasan misai semakin nyata serta bulu roma berlebihan pada betis.

* Berlebihan berat badan atau sukar menurunkan berat badan.

* Paras kolesterol darah yang tinggi.

Tanda di atas dialami oleh hanya 30 peratus wanita yang mempunyai PCOS.

Sebahagian besar wanita dengan PCOS (70 peratus) tidak mempunyai tanda berkenaan.

Selain itu, kesan berikut boleh dialami kelak (lazimnya pada usia lanjut): l Peningkatan risiko penyakit diabetes mellitus (kencing manis).

* Peningkatan risiko paras kolesterol berlebihan.

* Peningkatan risiko penyakit jantung.

Ada juga wanita dengan penyakit PCOS tidak mengalami sebarang masalah berkaitan. Anda dinasihatkan berjumpa pakar sakit puan, seelok-eloknya yang khusus dalam kesuburan (jika berkaitan).

Ubat mengandungi hormon proestin lazimnya diberi untuk mengatur kembali kitaran haid, disusuli pil hormon untuk merangsang pembesaran telur baru bagi membolehkan pengeluaran telur (ovulasi) berlaku. Ini dapat menjadikan kitaran haid anda teratur.

Lazimnya rawatan semudah pemberian pil kesuburan diberikan dulu disusuli dengan pemantauan pembesaran (jika ada) telur pada ovari anda menerusi ultrabunyi. Ini kerana, dengan mengatur pembesaran telur ini dan seterusnya ovulasi, ia dijangka dapat membetulkan masalah haid anda.

Jika tidak berjaya, anda mungkin memerlukan rawatan lain termasuk pembedahan laparoskopi untuk merawat kedua-dua belah ovari anda, teknik ini dinamakan ‘drilling’.

Di samping itu, ujian darah lanjutan juga mungkin dilakukan misalnya paras hormon insulin, testosteron, kolesterol dan seumpamanya.

Ia lazimnya tidak dilakukan serentak dengan ujian asas memandangkan kosnya yang tinggi.

Anda juga dinasihatkan mengubahsuai pemakanan anda kepada kurang manis dan kurang kolesterol. Ini sangat penting untuk jangkamasa panjang.

Peluang hamil dengan rawatan mudah seperti pil kesuburan masih ada walaupun kurang jika dibandingkan dengan rawatan secara pembedahan, namun begitu rawatan mudah masih didahulukan memandangkan ia mudah dan murah.

Ada kajian yang melaporkan peluang hamil dengan ubat kesuburan adalah sekitar 20 peratus dalam masa enam bulan rawatan berbanding kepada 80 peratus jika didahului de-ngan pembedahan terbabit.

Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: