Peminat Setia

Jumaat, 30 November 2012

Atasi Parut Jerawat


Meningkat usia remaja, imej di kalangan rakan-rakan terutama dari segi penampilan diri menjadi semakin penting.

Namun usaha tersebut sering digagalkan dengan 'kemunculan' jerawat pada wajah akibat daripada beberapa faktor termasuk perubahan hormon.

Memburukkan keadaan apabila jerawat yang muncul meninggalkan kesan parut yang sudah tentunya menjejaskan penampilan.

Kerisauan tersebut mungkin reda dengan kehadiran gel Hiruscar Post Acne, yang merupakan produk rawatan parut jerawat pertama diperkenalkan di Malaysia.

Pengarah Pemasaran Medinova AG Regional OTC, Pamela Tan, berkata, rumusan tiga dalam satu Hiruscar Post Acne telah diuji secara klinikal untuk menghilangkan parut jerawat dalam tiga langkah mudah.

"Tiga langkah tersebut ialah pertama, memulihkan dan melicinkan kulit parut jerawat yang dalam, kedua, mencerahkan bintik hitam dan mengurangkan kemerahan selepas jerawat pulih dan ketiga, mengelakkan jerawat daripada kembali semula melalui ciri anti bakterianya," katanya.

Menurut Tan, produk berbentuk gel itu mudah disapu, cepat meresap, tidak berminyak dan berbau harum.

Rumusan Hiruscar Post acne juga tidak menimbulkan alahan dan tidak mengakibatkan masalah kulit kerana ia tanpa alkohol bagi memastikan kulit tidak akan terasa hangat.

"Produk ini dirumus bagi kegunaan harian dan disarankan bagi kegunaan selepas serangan jerawat sahaja.

"Caranya mudah iaitu dengan pada bahagian yang perlu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setiap hari.

" Dengan cirinya yang mudah meresap, gel ini boleh digunakan bersama solekan harian dan boleh dijadikan amalan harian penjagaan kulit.

"Dengan penggunaan yang mematuhi saranan dan berpanjangan, parut jerawat akan kurang kelihatan dalam masa empat minggu," kata Tan lagi.

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan sorak dari pasukan Vulcanz All-Girls, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor. Esther Erin Wong, 16, mengakui rutin harian sebagai pelajar dan ahli pasukan sorak yang terpaksa berlatih enam kali seminggu menyukarkannya untuk mengekalkan rutin penjagaan wajah.

"Jadual saya begitu padat dan saya biasanya mendapat hanya enam jam tidur setiap malam.

" Ini mengakibatkan kulit saya mudah berjerawat terutamanya. Saya tidak dapat mengelak daripada mendapat parut jerawat sebaik sahaja jerawat saya pulih," katanya yang ternyata lega kerana berjaya mengatasi masalah tersebut dengan Hiruscar Post Acne.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 23 November 2012

Rosni Derita Kerana Buasir


Pada pengamatan penulis wanita ini seperti tidak menghidap apa-apa penyakit. Wajahnya segar dan bentuk badannya boleh dikatakan masih kekal cantik.

"Saya sudah lama menghidap buasir tahap tiga dan tahun lepas saya disahkan menghidap batu karang kerana kencing tidak lawas.

"Bayangkan anda terpaksa menanggung derita dua penyakit dalam masa yang sama," kata Rosni Saad, 45 yang bertugas sebagai Eksekutif Kanan Goldium Property Sdn. Bhd.

Mendengar perkataan buasir, pasti ramai yang gerun. Sakit akibat buasir hanya boleh dibayangkan tetapi bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bercerita lanjut tentang penyakit buasir, Rosni memberitahu, doktor pernah menyarankan dia melakukan pembedahan tetapi dia tidak mahu.

Justeru, dia sendiri perlu bijak mengawal pemakanan mahupun mengawal sakit jika buasir kembali menyerang.

Katanya, dia akan memasukkan sendiri menggunakan tangan cebisan daging berbentuk kelopak bunga ke dalam lubang dubur.

"Masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu sakitnya.

Jika daging itu keluar, hidup saya memang menderita.

Tiga hingga empat hari kena duduk dalam bekas bulat yang mempunyai lubang di bahagian tengah. Kemudian, saya tidur mengiring. Lebih perit saya mengalami sembelit ketika membuang air besar dan ada pendarahan. Bertahun-tahun lamanya saya menderita, saya seperti ingin menangis masa itu," kata ibu kepada tiga anak ini.

Murung

Menurut Rosni, buasir boleh menyebabkan pesakit menjadi murung dan tahap keyakinan yang rendah.

Ini kerana pesakit keletihan dan tertekan memikirkan sakit yang ditanggung.

"Kerja anda di pejabat dan di rumah terganggu hanya kerana buasir. Walaupun penyakit ini boleh hilang dan tiba-tiba kembali semula, ia sebenarnya mengganggu emosi kita. Nak duduk pun tidak selesa.

"Namun saya bersyukur kerana buasir dan batu karang yang saya alami semakin pulih selepas saya mencuba suplemen, Redianze dan Reverse keluaran Eskayvie. Pada awalnya, saya tidak percaya seratus peratus tetapi saya mencubanya kerana saya perlu berusaha. Alhamdulillah, suplemen ini serasi dengan saya. Selepas enam bulan mencuba, kesihatan saya beransur baik," katanya.

Dalam pada itu, Rosni masih meneruskan pemeriksaan doktor dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk menjaga kesihatannya.

Bagi mengelak buasirnya berulang, Rosni menukar corak pemakanan dengan mengurangkan makanan pedas dan lebih kepada sayuran-sayuran hijau.

"Saya mahu berkongsi pengalaman ini bersama pembaca untuk mereka memahami bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan mereka tidak boleh berputus asa. Pencegahan sebenarnya lebih baik dan ia bermula daripada gaya hidup kita sendiri," katanya yang turut terpilih peserta akhir Ratu Eskayvie kategori Anggun.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 16 November 2012

Hargai Setiap Kandungan


Di Malaysia pula, data daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2004, menunjukkan hanya 50 peratus daripada remaja Malaysia mempunyai pengetahuan yang cukup dan betul tentang organ reproduktif lelaki dan wanita, selain hanya 47 peratus tahu bagaimana cara bayi dihasil dan dilahirkan.

Dalam pada itu, hanya 52 peratus wanita berusia 15 hingga 49 tahun yang menggunakan kaedah merancang kehamilan.

Jumlah ini merupakan paling terendah di rantau ini yang sekali gus menggambarkan beberapa persepsi iaitu sama ada wanita di negara ini sememangnya tidak memerlukan sebarang kaedah merancang kehamilan atau pun mungkin juga kerana kurang kesedaran mengenainya.

Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr. Suresh Kumarasamy, berpendapat rakyat negara ini amat kurang kesedaran dan lemah pengetahuan bahawa kaedah kontraseptif adalah efektif dan selamat.

"Isu seperti perancangan kehamilan memang tidak dibicarakan secara terbuka terutama di sekolah dan kalangan ibu bapa.

"Ibu bapa berpendapat ia terlalu sensitif untuk dibicarakan. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka tidak akan mengandung dengan mudah dan berpegang hanya dengan kepercayaan tuah menyebelahi mereka semata-mata," jelasnya sempena sambutan Hari Kontraseptif Sedunia 26 September lalu.

Dr. Suresh menambah, isu ini bukanlah hanya tertumpu di luar bandar malah di bandar pesat membangun keadaannya tidak jauh berbeza.

Sebagai pengamal perubatan, beliau menyarankan setiap lelaki dan perempuan terutama yang telah berumah tangga patut mengambil tahu tentang kaedah-kaedah perancang kehamilan dan mempunyai ilmu tentangnya.

"Cara moden yang kita ada pada hari ini ialah kombinasi antara pil kontraseptif dan progesterone yang dimakan pada hari pertama haid datang.

"Jika tidak yakin boleh berdisiplin dengan cara pil terdapat cara suntikan yang diambil sekali setiap tiga bulan. Kalau tidak mahu disuntik boleh memilih teknik implan di mana cara ini memerlukan bantuan para doktor bertauliah yang dilakukan sekali untuk tempoh tiga tahun.

"Selain cara di atas terdapat juga cara di mana wanita boleh menggunakan cincin vagina yang dimasukkan ke dalam vagina sebelum memulakan hubungan seks.

"Alat intrauterine yang akan dimasukkan oleh pakar juga salah satu cara yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan selain kondom yang digunakan oleh lelaki.

"Satu lagi cara ialah pensterilan lelaki dan wanita yang mana operasi tersebut dilakukan oleh doktor dan cara ini adalah cara yang kekal iaitu tidak akan memperolehi anak sampai bila-bila," ujar beliau.

Kaedah kontraseptif

Kaedah perancangan keluarga perlu diambil tahu sebaik sahaja kali pertama berhubungan.

Cara yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia ialah Intrauterine device (IUD) sebab ia mudah diaplikasikan.

"Dengan hanya satu cara dilakukan oleh pakar, wanita tidak perlu susah mengingati bila waktu untuk makan pil atau menggunakan kondom setiap kali mengadakan hubungan seks. Ia juga satu kaedah yang murah," jelasnya.

Dr. Suresh berkata, memang ada pasangan yang selesa mengawal kehamilan dengan cara pancutan luar bagaimanapun ia tidak begitu efektif berbanding kaedah kontraseptif.

"Ada juga yang mengira waktu subur dan tidak subur untuk mengawal kehamilan tapi cara tersebut mungkin tidak sesuai bagi wanita yang menghadapi kitaran haid tidak tetap."

Kebaikan kontraseptif

Selain merancang kehamilan, perlu diketahui juga kaedah kontraseptif yang digunakan seperti pil merupakan salah satu cara untuk mengawal haid yang banyak.

"Pil kontraseptif ini juga mampu membuatkan kitaran haid lebih ringan dan tetap. Ia sekali gus mengurangkan kes anemia di kalangan wanita yang menghadapinya setelah makan pil tersebut.

"Ada juga wanita yang tidak lagi mengalami senggugut setelah makan pil kontraseptif malah jerawat juga boleh dikawal dengan pil ini.

"Ada juga pil yang direka untuk merawat sindrom pra haid (PMS) dan kecelaruan pra haid dystrophic (sindrom yang lebih teruk dari PMS) di mana ia memberi kesan buruk kepada kualiti hidup wanita yang mengalaminya.

"Ada yang mengalami radang pelvik menerusi jangkitan uterus dan tiub fallopio juga semakin kurang sakit sebanyak 50 peratus dengan pengambilan pil kontraseptif.

"Saya amat berharap agar kempen Hari Kontraseptif Sedunia ini memberikan impak buat rakyat Malaysia. Rakyat perlu tahu bahawa terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk merancang kehamilan dan pastinya ada satu cara yang sesuai dengan keadaan tubuh mereka," katanya.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 9 November 2012

Ujian Mamogram Bergerak


Wanita di luar sana berpeluang melakukan rawatan pengesanan awal kanser payu dara dengan kemudahan treler berukuran 30 kaki, selain dibantu seramai 16 orang petugas.

Treler yang telah diubahsuai untuk dijadikan unit pemeriksaan mamogram bergerak turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pemeriksaan mamogram.

Treler ini akan menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi memberikan khidmat saringan kanser payu dara pada harga berpatutan atau percuma kepada mereka yang tidak bekerja.

Unit itu yang pertama dan terbesar di negara ini dilengkapi tiga bilik iaitu dua untuk pemeriksaan klinikal payu dara (CBE) dan satu bagi ujian mamografi.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Sekolah Cempaka Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Presiden Majlis Kanser Nasional (Makna), Datuk Mohd. Farid Ariffin berkata, unit pengesanan tersebut yang akan beroperasi mengelilingi Malaysia berperanan memberi galakan dan sokongan kepada wanita untuk membuat pemeriksaan payu dara pada peringkat awal.

"Pengesanan yang dibuat pada peringkat awal dapat menyelamatkan nyawa seorang wanita daripada menjadi mangsa kanser payu dara.

"Program saringan bergerak ini disasar di kawasan bandar dan luar bandar terutamanya bagi meningkatkan pengetahuan dan kemampuan wanita menerima ujian saringan pengesanan awal kanser payu dara," katanya.

Mohd. Farid berkata, kos setiap ujian mamogafi adalah RM150 dan tiada bayaran akan dikenakan bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,500 serta tidak bekerja seperti suri rumah dan sebagainya.

Katanya, projek perintis telah bermula pada 30 Mac tahun lepas di beberapa lokasi dan sejak itu kira-kira 4,119 orang termasuk lelaki telah menjalani ujian saringan tersebut.

"Satu daripada empat orang rakyat Malaysia berisiko untuk mendapat kanser payu dara.

"Jumlah tersebut menunjukkan kepentingan membuat pengesanan pada peringkat awal melalui ujian saringan yang terdapat di klinik swasta mahupun kerajaan," katanya.

Treler yang mencecah harga RM 2.45 juta turut mendapat sumbangan pembiayaan daripada Yayasan Tenaga Nasional sebanyak RM1 juta dan RM600,000 oleh MNRB Holdings Bhd (MNRB) serta beberapa penderma lain.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 2 November 2012

Cara Merawat Penyakit Tiroid


SOALAN:

Saya pernah mendengar tentang penyakit tiroid lebih kerap menyerang wanita berbanding lelaki. Baru-baru ini kakak ipar saya disahkan menghidap penyakit ini semasa hamil. Dr, apakah yang menyebabkan ibu hamil berisiko menghidap penyakit ini dan apakah rawatannya. Mohon Dr menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

Su,
Johor

JAWAPAN:

Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan rawatan pada peringkat awal dilakukan.

Kelenjar tiroidSecara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.

Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh menganggu pengeluaran hormon tiroid.

Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga simptom tertentu yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Ada dua jenis penyakit tiroid iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki. Empat nisbah satu penyakit tiroid menyerang wanita berusia 20 tahun ke atas kerana sebab dan alasan yang tidak diketahui hingga kini.

Penyakit hipotiroidismePenyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehingga hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisme.

Lazimnya, penyakit hipotiroidisme disebabkan keradangan pada kelenjar tersebut, yang dipanggil tiroiditis. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun yang merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid. Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil goiter. Akhirnya, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Simptom hipotiroidisme adalah bengkak kaki, ingatan terganggu, lembap, malas, kuat tidur, badan sering terasa sejuk dan boleh mengakibatkan masalah jantung jika tidak segera dirawat. Pesakit yang mengalami penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil hormon tiroksin seumur hidup. Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala bergantung kepada aras hormon tiroid.

HipertiroidismePenyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon berlebihan. Biasanya ia disebabkan penyakit autoimun manakala badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar tiroid. Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin. Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar. Selain itu, ubat yang diambil untuk hipotiroidisme mungkin menyebabkan hipertiroidisme, jadi pengawasan doktor amat penting. Simptom hipertiroidisme adalah hilang berat badan, kerap buang air besar, berpeluh, berdebar-debar, menggeletar, penglihatan terjejas dan bertambah selera makan.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan debaran jantung mungkin perlu diberikan. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan.

Penyakit tiroid semasa hamil Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.

Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubat secara berkala di samping ujian darah dan ujian lain yang difikirkan perlu akan dilakukan.

Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit hamil. Ada sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil postpartum tiroiditis. Lazimnya aras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke normal dengan pantas. Namun, ada segelintir ibu mungkin mengalami hipotiroidisme pada masa hadapan. Perlu ditegaskan ujian pengesanan atau ujian darah hormon tiroid bukan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.

Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera, apatah lagi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan yang menyebabkan keguguran, kelahiran pra matang, janin kecil dan kecacatan mental. Kes ini biasanya di bawah pengawasan doktor pakar yang biasanya akan dipantau di 'combine clinic' iaitu doktor pakar perbidanan dan doktor pakar endokrin. Usah gusar, ia selamat dan mudah dirawat. Sama-sama juga saya doakan agar kakak ipar anda dan bayi yang dikandung selamat dilahirkan.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/