Peminat Setia

Selasa, 28 Ogos 2012

Penjana Kesihatan Bukan Penawar Kecantikan


Beberapa tahun dahulu, aktor dan pengarah tempatan, Rosyam Noor, 45, mula menggunakan suplemen (makanan tambahan) dalam rutin hariannya.

Menyedari peningkatan usia menjurus kepada keletihan akibat lambakan kerja, Rosyam mengambil minyak ikan sebagai alternatif pemulihan tenaga diri.

Selepas sejenak membiasakan diri dengan suplemen tersebut, beliau lantas bertukar kebiasaan kepada produk kesihatan baharu. Zell-V menjadi pendamping setia pelakon filem KL Menjerit itu saban hari.

Mungkin ramai beranggapan, tujuan Rosyam menggunakan suplemen jenama tempatan itu adalah atas dasar pelantikan beliau sebagai duta. Kenyataannya, penerbit rancangan realiti Pilih Kasih itu telah menjadi pelanggan Zell-V dua tahun sebelum beliau dilantik secara rasmi pada 2010.

"Tujuan utama saya mengambil suplemen ini adalah bagi mengembalikan tenaga yang semakin menurun sejak kebelakangan ini. Maklumlah, usia bertambah, tetapi kerja semakin banyak.

"Jadi, selepas mencuba ekstrak plasenta biri-biri keluaran Zell-V ini, tingkat tenaga saya pulih secara berperingkat. Kalau dahulu, saya cepat berasa lesu selepas seharian bekerja, tetapi kini, kudrat dan stamina dapat dikekalkan dengan berpanjangan," cerita Rosyam yang mengaku dahulu beliau tidak pernah konsisten mengambil suplemen.

Cerminan yang ditonjolkan kebanyakan produk suplemen tentang kecantikan, mengundang sedikit kekeliruan kepada masyarakat berhubung peranan pertama makanan tambahan itu. Adakah ia khusus untuk kecantikan atau semata-mata bagi memulihkan kesihatan?

Menurut Rosyam, apa jua suplemen yang berada di pasaran bertujuan menawarkan peningkatan kesihatan kepada pengguna. Tetapi, lumrah manusia yang lebih tertarik pada tawaran kecantikan membuatkan perspektif terhadap suplemen itu berubah.

"Suplemen Zell-V yang saya gunakan sekarang memang 100 peratus dicipta untuk kesihatan. Tiada jaminan bahawa pengguna akan kekal muda atau pun keremajaan dapat dikembalikan.

"Kita mesti mengerti, waktu tua itu mesti dilalui semua orang tidak kira kaedah rawatan apa yang digunakan. Jangan samakan suplemen dengan suntikan kecantikan kerana ia dua benda berbeza.

"Setiap suplemen memiliki keberkesanan tersendiri dan Zell-V pula menumpukan pada pemulihan sel darah merah. Setiap pelanggan yang datang ke pusat pemeriksaan dan jualan Zell-V perlu menjalani pemeriksaan darah terlebih dahulu.

"Berdasarkan keputusan darah itu, pelanggan akan berbincang dengan doktor pakar yang dilantik sendiri Zell-V berkenaan cara yang betul mengambil suplemen.

"Di sini, apa yang cuba saya tekankan ialah, kecantikan yang dimaksudkan itu bermula daripada pemulihan sel darah merah dalam badan. Percantuman sel lama dan baharu mengukuhkan imunisasi badan sekali gus menyalurkan tenaga yang lebih tinggi.

"Hanya dengan tubuh badan yang sihat, kita dapat melewatkan penuaan dan secara tidak langsung membuatkan kita kelihatan lebih muda berbanding usia sebenar," ujar Rosyam yang memberitahu satu pek Zell-V dengan 30 kapsul dijual pada harga RM750.

Suplemen herba

Pengeluar produk suplemen berasaskan herba dan tumbuh-tumbuhan, Himalaya Herbal Healthcare pula menyatakan, tujuan sebenar orang mengambil suplemen adalah disebabkan faktor pemakanan harian yang tidak seimbang. Kekurangan aktiviti fizikal juga mendorong kepada pemilihan makanan tambahan itu bagi menjana kecergasan.

Pakar Nutrisi Himalaya, Noor Aishah Abdullah, 25, memberitahu, antara fungsi lain suplemen adalah sebagai penambah zat yang tidak dapat diserap menerusi makanan. Selain itu, ia juga mampu memaksimumkan fungsi sel dalam badan.

"Banyak suplemen bercirikan antioksidan, jadi secara tidak langsung ia mampu menyingkirkan toksin dalam badan.

"Variasi suplemen Himalaya sesuai untuk mereka berusia 14 tahun ke atas dan setiap jenis suplemen yang kami jual disesuaikan mengikut tahap kesihatan pengguna.

"Individu yang mempunyai masalah kolesterol yang tinggi disarankan mengambil suplemen yang mampu untuk merendahkan paras kolesterol dalam darah sekali gus mengurangkan risiko masalah jantung dan tekanan darah tinggi," jelas Aishah yang mengusulkan kepada semua agar tidak mengambil lebih daripada tiga jenis suplemen dalam satu-satu masa kerana ia akan merendahkan keberkesanan yang sepatutnya dicapai.

Jenis-jenis suplemen yang diambil setiap individu itu juga bergantung pada usia mereka. Berdasarkan pola jual beli di Himalaya, golongan berumur 14 sehingga 30 tahun cenderung mengambil suplemen yang tidak ditumpu pada pengawalan penyakit.

Kata Aishah, individu dalam kelompok usia tersebut kerap memilih suplemen seperti Neem yang bertujuan mengatasi masalah kulit, Brahmi untuk meningkatkan kepekaan dan fokus ketika belajar dan Ashvaganda bagi mengatasi masalah tekanan.

"Mereka yang berusia 30 tahun ke atas pula lebih gemar mengambil suplemen Himalaya jenis Arjuna untuk masalah darah tinggi dan Meshashringi yang berfungsi mengawal paras gula dalam darah.

"Himalaya bebas bahan pengawet dan menggunakan 100 peratus ramuan aktif semula jadi. Pelanggan perlu mengambil suplemen secara berterusan selama tiga bulan berturut-turut bagi mendapatkan kesan terbaik," dedah Aishah yang menyatakan ia syarat asas untuk semua suplemen kesihatan.

Promosi dan bahan terlarang

Berdasarkan data yang diperoleh Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tahun 2011, sebanyak 168 produk kesihatan tambahan dalam bentuk sediaan farmaseutikal telah didaftarkan dengan KKM.

Bagaimanapun, ratusan produk lagi tidak diluluskan oleh KKM kerana didapati gagal melepasi syarat-syarat di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Kebanjiran pelbagai produk suplemen dalam pasaran membuatkan masyarakat 'rambang mata' dengan pilihan yang ada, lebih-lebih lagi apabila disokong testimonial beberapa pelanggan yang sungguh meyakinkan.

Penolong Pengarah Unit Pembangunan Penguat Kuasa, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Aimi Zulkifli mengingatkan kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan promosi dan iklan yang ditawarkan kebanyakan produk suplemen.

"Banyak produk mengeluarkan kenyataan bahawa produk mereka berfungsi sebagai makanan kesihatan dan mempunyai kesan terapeutik walaupun tiada kajian khusus dijalankan ke atas produk berkenaan.

"Tuntutan yang dibuat biasanya berpaksikan kajian-kajian yang pernah dibuat penyelidik tempatan atau antarabangsa ke atas tumbuhan atau ekstrak yang telah dikenal pasti mempunyai nilai perubatan," jelas Aimi yang berharap agar pengguna terlebih dulu menyelidik latar belakang produk suplemen yang diambil.

Kedangkalan masyarakat mengenal pasti suplemen yang selamat mengakibatkan kes-kes yang tidak diingini terjadi.

Mengikut laporan yang didedahkan KKM, tahun lalu sahaja mencatatkan 903 makanan dan minuman kesihatan yang dicampur dengan bahan terkawal dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM1.5 juta.

Antara bahan terlarang popular ialah sibutramine yang merupakan agen pelangsing badan dan sildenafil berfungsi sebagai agen perangsang seks lelaki. Tambah mengejutkan apabila mengetahui produk yang mengandungi kedua-dua bahan itu amat laris berikutan permintaan tinggi dalam kalangan orang dewasa.

"Terdapat satu kes pada tahun 2007 melibatkan seorang suri rumah berusia 33 tahun yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang kerana mengambil suplemen menurunkan berat badan.

"Suplemen bernama Kintop itu mengandungi sibutramine dan kini telah diharamkan KKM. Kami percaya masih banyak produk mencampurkan bahan ini di pasaran dan diharapkan orang ramai dapat melaporkan terus kepada KKM sekiranya mereka mempunyai bukti sahih," ujar Aimi lagi yang juga mengatakan pengambilan suplemen bagi menampung vitamin dan mineral dalam badan tidak boleh menggantikan pengambilan diet yang seimbang seseorang.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 20 Ogos 2012

Penggunaan Antibiotik Perlu Diperkemas


Penggunaan antibiotik perlu diperkemas berikutan peningkatan kes bakteria mangli antibiotik yang semakin membimbangkan, kata Ketua Jabatan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Christopher Lee.
Pakar perunding kanan penyakit berjangkit itu berkata, peningkatan bakteria seperti ”Enterobacteriaceae” yang berupaya melawan antibiotik ”Carbapenem” serta ”Acinetobacter” yang turut dikenali “superbug”, mengancam kesihatan manusia secara global dan mewujudkan ”Antimicrobial Resistance” (AMR).
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia akan menganjurkan kempen AMR selama sebulan bermula 16 Okt ini bagi menangani isu tersebut.
Christopher berkata, fasa pertama kempen akan membabitkan syarahan di hospital kerajaan bagi mendidik pengamal perubatan mengenai pentingnya mempreskripsikan antibiotik secara berhemat.
"Fasa kedua ialah mendidik masyarakat dan menimbulkan kesedaran mengenai AMR. Kami akan menaikkan poster dan mengedarkan risalah kepada umum,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Christopher berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia turut menekankan mangli antibiotik sebagai ancaman besar kepada kesihatan awam pada abad ke-21.
Maklumat lanjut mengenai AMR boleh didapati menerusi laman sesawang www.infosihat.gov.my atau orang ramai boleh menghubungi talian 1-800-88-6722. 

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 9 Ogos 2012

Khasiat Cuka Untuk Tubuh

Cuka sering dijadikan bahan tambahan dalam masakan seperti garam dan gula. Rasanya yang masam sesuai digunakan untuk membuat acar buah ataupun sebagai bahan melembutkan mi.

Namun, ia sebenarnya telah wujud sejak berkurun lamanya. Masyarakat Greek dan Mesir misalnya, menjadikan cuka sebagai tonik kesihatan.

Walaupun baunya yang kurang menyenangkan, khasiat cuka boleh mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit seperti gangguan pencernaan, pemecahan molekul lemak sekali gus membantu proses pengurangan berat badan.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengeluar barangan kesihatan, Nu Lifestyle mencipta inovasi terbaharu dengan memperkenalkan cuka sebagai bahan minuman seharian iaitu Natural Vinegar.

Produk ini diproses daripada beras berkualiti tinggi dan diadun bersama ekstrak buah-buahan serta herba-herba terpilih.

Hadir dengan pelbagai perisa, ia mampu meningkatkan sistem imun dalam tubuh badan, meningkatkan metabolisme, pencegah antioksida dan mengawal paras pH.


Natural Vinegar menggunakan bahan-bahan berkualiti ketika proses penapaian selain tidak mengandungi perasa tiruan, warna atau perasa tambahan.


Minuman kesihatan ini turut mendapat pengiktirafan daripada Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Sijil Halal dan pengiktirafan International Organization for Standarzation (ISO).

Bagi membolehkan orang ramai merasai kelazatan minuman ini, Nu Lifestyle telah membuka kedai konsep minuman, Vinegplus. Pengunjung boleh memilih perisa cuka bersama buah-buahan segar yang diadun menjadi smoothie. Pelbagai menu sandwic juga dihidangkan.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my