Peminat Setia

Ahad, 16 Disember 2007

Bolehkah Saya Mengandung?

SOALAN:
SAYA berumur 31 tahun dan ingin mengandung. Hampir setahun saya mencuba tetapi belum berhasil. Haid saya setiap bulan tiada masalah dan sentiasa tepat pada masa. Tidak pernah terlewat atau terawal.

Untuk pengetahuan doktor, saya pernah melakukan D&C 3 tahun lepas. Apakah yang patut saya lakukan untuk membolehkan saya hamil semula? Adakah kerana D&C menyebabkan saya sukar untuk hamil?

Ieda,
Sungai Petani, Kedah

JAWAPAN:
Masalah seseorang itu susah untuk hamil boleh berpunca daripada masalah wanita yang biasanya berkaitan dengan masalah ovulasi dan masalah saluran falopian/ peranakan. Bagi lelaki pula ialah masalah sperma. Mengikut cerita puan yang tidak mempunyai masalah haid maka saya beranggapan ovulasi berlaku setiap bulan.

Bagi seseorang yang mempunyai pusingan haid yang tetap setiap 28 hari, maka waktu ovulasi atau telur keluar adalah pada hari ke 14 haid. Saluran falopian boleh tersumbat bila jangkitan kuman terjadi akibat daripada D & C. Oleh itu saya syorkan elok dilakukan ujian menentukan sama ada saluran falopian puan tersumbat atau tidak.

Ujian ini memerlukan puan berjumpa doktor pakar. Lagipun sudah setahun puan berumah tangga dan umur sudah mencecah 30-an, maka puan tidak perlu membuang masa kerana kesuburan puan akan menurun setiap tahun. Saya berpendapat masih ada masa dan harapan untuk puan beroleh cahaya mata. Semoga berjaya.

Oleh:
Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: