Peminat Setia

Khamis, 14 Jun 2007

Risau Tidak Boleh Hamil Akibat Prolaktin

SOALAN:
USIA saya lewat 20-an dan berkahwin kira-kira dua tahun. Saya mengalami masalah prolaktin yang serius.

Adakah masalah prolaktin itu menyukarkan peluang saya untuk hamil?

Ina,
Alor Setar, Kedah

JAWAPAN:
PROLAKTIN adalah sejenis hormon merangsang penghasilan susu. Hormon ini dihasilkan oleh suatu kelenjar di bahagian otak (kelenjar pituitari). Dalam keadaan biasa, hormon prolaktin ada di paras yang rendah sahaja dan sewaktu kehamilan ia meningkat sehingga sepuluh kali ganda untuk menghasilkan susu.

Ia juga boleh disebabkan oleh penyakit ketumbuhan pada kelenjar pituitari, seseorang turut mengalami petanda ketumbuhan pituitari (pening kepala, gangguan penglihatan, loya, muntah dan seumpamanya). Dalam keadaan ini, ia juga boleh mengeluarkan susu.

Hiperprolaktinemia boleh mengganggu kesuburan seseorang. Ia menyebabkan kekurangan penghasilan hormon progesteron (hormon wanita), gangguan pengeluaran telur (masalah ovulasi) dan gangguan haid (tidak teratur atau tiada langsung).

Penting untuk mengenal pasti punca peningkatan hormon prolaktin pada anda terlebih dahulu. Prolaktin juga boleh meningkat sedikit sewaktu dalam keadaan tidur, tekanan, hubungan seks, senaman, rangsangan puting payudara dan ubat-ubatan tertentu.

Mempunyai kekurangan hormon tiroid juga boleh menyebabkan peningkatan prolaktin. Dalam 30 peratus kes, tiada penyebab peningkatan hormon prolaktin yang dikenal pasti.

Rawatan berbentuk ubat pil lazimnya diberikan untuk mengurangkan hormon prolaktin, keperluannya bergantung kepada penilaian doktor.

Di samping itu, paras hormon lain (yang turut dihasilkan oleh kelenjar pituitari) juga diuji bersama ujian sinaran x dan selanjutnya (seperti MRI).

Tidak semestinya semua kes berlebihan hormon prolaktin memerlukan ubatan. Amnya, haid dan pengeluaran telur dijangka kembali pulih dalam masa enam minggu selepas paras hormon menjadi normal. Jika tidak, ubat kesuburan mungkin turut perlu digunakan.

Dalam penilaian masalah kesuburan, anda dan suami perlu menjalani pemeriksaan doktor. Anda mungkin mempunyai masalah lain, suami juga begitu.

Lelaki yang mempunyai kurang bilangan sperma juga mungkin mempunyai masalah prolaktin.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: