Peminat Setia

Isnin, 25 Jun 2007

Pasangan Mahu Anak Kembar

SOALAN:
SAYA pernah mengalami keguguran (kali pertama mengandung) dan menjalani proses D&C. Selepas tiga bulan menjalani proses itu, saya tidak datang haid dan dirujuk ke hospital sakit puan.

Saya disahkan tidak mengandung tetapi doktor mengatakan saya mengalami kemurungan dan keadaan itu menyebabkan kitaran haid saya tidak menentu. Saya diberikan ubat dhupaston dan mula memakannya pada 24 Mac 2006 dan akan berakhir tiga bulan lagi iaitu pada Jun ini.

Saya ingin tahu, apakah kemungkinan saya mengandung selepas selesai mengambil duphaston? Saya dan suami inginkan anak kembar, adakah saya boleh hamil anak kembar?

Zura,
Melaka

JAWAPAN:
KEMURUNGAN boleh mengganggu ovulasi (pengeluaran telur) yang sepatutnya berlaku sekali dalam setiap putaran haid wanita. Ketiadaan ovulasi pada bulan tertentu ini boleh mengganggu keseimbangan hormon yang mengawal perjalanan haid. Lazimnya ketiadaan ovulasi menyebabkan ketiadaan pembentukan corpus luteum di dalam ovari yang sepatutnya mengeluarkan hormon progesterone.

Pada wanita yang tidak subur akibat ketiadaan ovulasi, paras hormon progesteronnya tidak meningkat. Pemberian ubat duphaston (dan ubat-ubatan lain yang mengandungi hormon menyamai progesteron) mengembalikan paras hormon progesteron di dalam badan seseorang, ini menjadikan kitaran haidnya teratur semula.

Selepas kemurungan diatasi dan ovulasi berlaku dengan sendirinya, seseorang tidak perlu bergantung lagi kepada ubatan terbabit. Duphaston bukanlah ubat kesuburan mahupun ubat perangsang kesuburan.

Kehamilan kembar lebih berlaku dengan sendirinya pada wanita yang lebih berusia. Keturunan juga memainkan peranan dalam kejadian kembar. Kebanyakan doktor tidak menggalakkan rawatan untuk mendapatkan kembar, ia mempunyai risiko kepada ibu dan janinnya, bilangan janin juga kadangkala melebihi daripada yang diharapkan dan ini menambahkan risiko.

Berbincanglah kembali dengan doktor anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: