Peminat Setia

Khamis, 7 Jun 2007

Tiada Rangsangan Dari Suami

SOALAN:
SAYA mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lalu. Masalahnya hingga kini saya tidak mempunyai sebarang rasa ketika melakukan hubungan seksual dengan suami.

Untuk pengetahuan puan, selaput dara saya pecah hanya selepas kira-kira sebulan selepas kami berkahwin. Adakah ia normal?

Saya juga tidak pernah terangsang bila bersama suami walaupun saya mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim dengannya.

Ada masa ketika bersama, saya berasa sakit dan biasanya tidak berasa apa-apa. Adakah ini normal?

Hingga kini saya belum hamil. Adakah saya berpotensi untuk hamil?

Wanita Rungsing,
Terengganu

JAWAPAN:
Selaput dara mempunyai beberapa bentuk, lazimnya seperti gegelang nipis yang berlubang di tengahnya bagi membolehkan haid keluar. Lazimnya selaput dara koyak apabila berlaku tusukan/ kemasukan zakar ke dalam faraj. Koyakan boleh berlaku pada satu atau beberapa tempat.

Hubungan seks yang diingini kebiasaannya menyebabkan koyakan pada kawasan kanan atau kiri selaput, manakala seks paksaan (rogol) lazimnya menyebabkan koyakan pada kawasan bawah (pukul 6) selaput. Carikan-carikan selaput dara yang terkoyak ini pula akan kekal dan hilang atau tingal sedikit sahaja selepas bersalin normal.

Kurang pasti sama ada kemasukan/ penetrasi zakar hanya berlaku sebulan selepas anda berkahwin ataupun ia sebenarnya berlaku lebih awal cuma anda tidak menyedari selaput dara sudah koyak.

Koyakan selaput dara tidak semestinya menyebabkan pendarahan. Berkemungkinan, hubungan seks yang berlaku sebulan selepas berkahwin menyebabkan koyakan tambahan.

Mempunyai keinginan seks adalah petanda baik, ini sendirinya satu bentuk rangsangan yang anda tidak sedari.

Rangsangan seksual menyebabkan penghasilan cecair pelincir oleh kelenjar Bartholin yang terdapat berhampiran bukaan faraj.

Wanita lazimnya sukar atau lambat mengalami rangsangan seksual berbanding lelaki. Juga, kepuasan seks wanita berbeza-beza, ada yang memerlukan orgasm manakala yang lain merasa cukup puas dengan hubungan intim sahaja.

Suami memainkan peranan penting agar sabar melayani isteri agar isteri dapat mengalami rangsangan seksual dahulu sebelum kemasukan zakar. Jika tidak, kekeringan faraj boleh menyebabkan rasa sakit dan ini selanjutnya akan menyukarkan isteri untuk terangsang.

Anda sepatutnya berbincang secara terbuka dengan suami mengenai perkara ini agar beliau lebih memahami.

Perasaan kebimbangan terhadap perkara negatif berkait hubungan seks yang anda pernah dengari juga perlu diketepikan. Kelak, anda akan mula mengenali keseronokan hubungan intim suami isteri.

Kehamilan boleh berlaku dengan hubungan seks sama ada secara sukarela ataupun dipaksa. Walaupun wanita tidak merasai keseronokan hubungan seks, ia masih berpotensi untuk hamil. Namun, kemesraan dan kepuasan hubungan seks sewajarnya dinikmati kedua-dua belah pihak.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: