Peminat Setia

Isnin, 25 Jun 2007

Haid Tidak Menentu

SOALAN:
SAYA berusia 21 tahun dan belum berkahwin. Saya mempunyai masalah haid tidak teratur sejak di bangku sekolah menengah. Kali pertama saya didatangi haid pada usia 12 tahun. Biasanya haid saya sekitar enam hingga 10 hari.

Adakalanya, jarak di antara haid saya sehingga 130 hari atau lebih. Saya sangat runsing dengan keadaan ini. Saya bertambah risau bila memikirkan risikonya apabila saya mendirikan rumah tangga kelak. Saya pernah diberitahu masalah ini akan selesai apabila sudah berumah tangga. Adakah ia benar?

Liza,
Temerloh, Pahang

JAWAPAN:
KERISAUAN yang makin berterusan juga boleh menyumbang kepada masalah anovulasi (pengeluaran telur) sehingga mengganggu perjalanan haid. Ada yang beranggapan masalah haid sebegini akan pulih selepas berkahwin.

Andaian ini dibuat berdasarkan anggapan bahawa hubungan seks akan membuka saluran yang tersumbat, maka haid akan datang dengan teratur. Ini tidak benar.

Aliran darah haid hanya berlaku dari tempat asalnya (lapisan endometrium pada permukaan dalam dinding rahim) dan terus keluar melalui pintu rahim (serviks) serta ke luar melalui faraj. Lambat atau banyak atau sedikit haid datang bergantung kepada ketebalan lapisan endometrium (melalui rangsangan hormon estrogen) dan pematangannya (melalui rangsangan hormon progesteron).

Hormon estrogen dihasilkan oleh kantung folikel telur yang membesar pada setiap pusingan haid manakala hormon progesteron pula dihasilkan setelah berlakunya ovulasi. Ini bermakna gangguan kepada pembesaran telur serta ovulasi juga akan mengganggu penebalan dan pematangan lapisan haid maka perjalanan haid juga terganggu.

Berjumpalah doktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian berkaitan. Ada pelbagai faktor penyebab ovulasi yang mengakibatkan pusingan haid yang panjang (jarang-jarang). Jika tiada punca dikenal pasti dan ia berkemungkinan akibat tekanan, maka penyelesaian terhadap tekanan terbabit boleh mengembalikan perjalanan haid anda.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: