SOALAN:
SAYA berusia 24 tahun dan berkahwin sembilan bulan. Sebelum ini saya pernah mengandung tetapi pada usia kandungan tujuh minggu, kandungan itu gugur.
Sebulan selepas gugur, saya sakit belakang dan berurut. Tukang urut mengatakan rahim saya jatuh. Adakah berurut boleh memulihkan keadaan rahim jatuh atau lemah, sekali gus mengandung seperti wanita biasa?
Jesnita,
Kuala Terengganu
JAWAPAN:
KEBANYAKAN keguguran berpunca daripada sifat janin yang kurang sempurna. Rahim jatuh juga tidak menyebabkan masalah kesuburan tetapi ia boleh menjadikannya lebih teruk terutama selepas kelahiran.
Ramai beranggapan salah mengenai rahim jatuh. Istilah perubatan baginya adalah prolaps uterus.
Ia membabitkan beberapa perkara:
- Trauma pada otot sokongan lantai pelvis akibat trauma bersalin, terutama jika bermasalah (meneran waktu yang lama, penggunaan alat forseps atau vakum, bayi besar dan seumpamanya)
- Masalah kongenital (gangguan saraf) yang menyebabkan otot pelvis sedia lemah. Ini jarang berlaku.
- Faktor usia apabila ia banyak berlaku pada wanita menopaus akibat kekurangan hormon estrogen menyebabkan otot pelvis menjadi lemah.
- Bilangan anak (bukannya bilangan kehamilan), misalnya kekerapan bersalin.
- Peningkatan tekanan dalam abdomen seperti kegemukan, batuk berpanjangan, sembelit dan kerap meneran, aktiviti mengangkat berat (baldi berisi air, barangan dapur, membeli-belah dan seumpamanya)
Agak mustahil untuk memegang rahim dari luar tubuh, kecuali jika rahim membesar seperti fibroid atau kehamilan tiga bulan ke atas. Ia terletak jauh di bahagian bawah dalam rangka tulang pelvis. Pemeriksaan dalaman boleh merasai pintu rahim pada hujung jari, inilah yang digunakan sebagai ukuran.
Sekiranya ia berada di bawah daripada paras tulang spina iskium, maka dikatakan seseorang mengalami rahim jatuh. Selain itu, otot lantai pelvis yang lemah tidak dikuatkan dengan berurut.
Senaman Kegel dapat membantu menegangkan otot pelvis dan boleh diamalkan seperti berikut:
- Cuba seolah-olah menahan kencing. Kemutan faraj dilakukan selama mungkin dan sekerap mungkin setiap hari (ada yang mengatakan sekerap 50 kali dan selama 10 saat setiap kali). Jika kurang pasti, masukkan dua jari anda ke dalam faraj dan cuba kemutkan faraj pada jari itu.
- Hanya kemutan otot dalaman sahaja dilakukan, bukannya otot punggung (gluteus) anda.
Di samping itu, seseorang hendaklah menggunakan teknik mengangkat barang yang betul (misalnya membengkokkan lutut sewaktu mengambil barang dari lantai dan bukannya membongkokkan badan, ia juga dapat menggalakkan sakit belakang), mengekalkan berat badan ideal, banyak minum air serta mengambil makanan berserat untuk mengelakkan sembelit.
Tidak salah berurut, ia sepatutnya membantu menenangkan fikiran serta menyegarkan tubuh anda.
Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan