SOALAN:
SAYA sedang mengandung 21 minggu anak kedua. Semasa awal kehamilan, saya mengalami alahan yang teruk sehingga menyebabkan saya selalu sesak nafas dan pengsan tetapi kini alahan itu tidak lagi berlaku cuma sekarang saya mengalami keletihan.
Bagaimanapun, waktu menjalani imbasan baru-baru ini, doktor mengatakan kedudukan plasenta saya terlalu rendah.
Apakah kesannya apabila kandungan saya makin membesar nanti? Adakah kedudukannya akan berubah?
Ifah,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
KEDUDUKAN plasenta (uri) dinyatakan berlandaskan jarak kedudukannya dengan servik (pintu rahim). Pada usia 21 minggu ia boleh dikatakan masih awal, kedudukan ini tidak semestinya kekal di bawah.
Menjelang usia kandungan 28 minggu (enam setengah bulan), bahagian bawah dinding rahim lebih menjarak akibat pembentukan kawasan ‘segmen bawah’. Kawasan ini menjadikan dinding rahim mengembang ke atas (bersama-sama uri yang melekat padanya) lebih jauh daripada pintu rahim.
Ini bermakna uri bukanlah benar-benar bergerak naik ke atas, ia hanya mengikuti dinding rahim yang menjarak ke atas.
Kemungkinan uri ini tidak lagi berada di bahagian bawah lebih bergantung kepada lokasinya. Uri yang berada pada bahagian hadapan dinding rahim lebih cenderung untuk ‘menaik’ ke atas berbanding jika ia berada pada dinding belakang rahim.
Begitu juga jika uri ini hanya berhampiran pintu rahim, ia lebih cenderung untuk lebih jauh ke atas berbanding jika uri ini terus melitupi pintu rahim atau menjangkaunya. Kebanyakan uri akan bergerak naik menjelang usia 28 minggu ini.
Jika kekal di bawah selepas 28 minggu, anda dikatakan mengalami plasenta previa. Tahap yang kecil masih membolehkan anda mencuba bersalin normal namun tahap yang lebih besar memerlukan pembedahan Caesarean memandangkan ia menutupi pintu rahim dan menghalang bayi dilahirkan dahulu.
Lebih penting lagi, ia boleh menyebabkan pendarahan yang banyak secara tiba-tiba walaupun belum didatangi sakit bersalin. Jika mempunyai tahap plasenta previa yang lebih besar, anda juga mungkin terpaksa berehat di hospital untuk jangka masa yang lama (mungkin sehingga bersalin) bagi membolehkan rawatan segera dimulakan sebaik saja anda mengalami episod pendarahan yang tidak dijangka ini.
Corak pendarahan sukar dijangka, ia boleh berhenti sendirinya atau menjadi terlalu banyak secara tiba-tiba sehingga membahayakan anda dan janin.
Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan