Peminat Setia

Selasa, 19 Jun 2007

Elak Hamil Tiga (3) Bulan Pertama Selepas Keguguran

SOALAN:
SELEPAS keguguran, berapa lama tempoh yang disarankan dalam perubatan untuk hamil semula?

Adakah saya mempunyai risiko untuk mengalami keguguran selepas ini? Apakah punca keguguran dan bagaimana untuk mengelakkannya daripada berlaku?

Zana,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
PEMBENTUKAN embrio memerlukan satu telur (ovum) dan satu sperma yang sihat. Satu kajian melaporkan dalam setiap empat telur, hanya satu saja yang mempunyai struktur kromosom yang normal maka tidak menghairankan apabila diketahui peluang pasangan untuk hamil dalam mana-mana satu kitaran haid wanita hanya sekitar 25 peratus saja.

Malah dinyatakan juga keguguran ini berlaku sangat awal sebelum wanita ini sedar dia hamil dan menyangka ia haid saja.

Kejayaan kehamilan juga memerlukan embrio yang sihat di samping faktor lain seperti kesesuaian lapisan endometrium rahim yang merupakan kawasan perlekatan janin dan pembesaran seterusnya.

Lazimnya keguguran yang berlaku dalam masa tiga bulan pertama kehamilan (trimester pertama) berpunca daripada sifat janin yang tidak sihat iaitu mempunyai ketidaknormalan kromosom yang menyebabkan gangguan pembentukan organ penting.

Namun, ujian pengesahan (ujian kromosom) ke atas janin yang keguguran ini jarang dilakukan atas sebab kos dan praktikal (ini kerana ia tidak semestinya berulang atau berkaitan dengan kehamilan seterusnya).

Hanya dalam kes keguguran tiga kali berturut-turut (juga disebut recurrent atau habitual miscarriage) sahaja, satu siri ujian dilakukan termasuk:

- Ujian darah (jangkitan kuman toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes simples).

- Ujian darah lain (profil arthritis, profil tiroid dan kencing manis)

- Sampel lelehan faraj.

- Ujian sinaran-x histerosalpingogram

- Ujian kromosom.

Ada beberapa penyakit yang menyebabkan keguguran berulang, ada penyakit yang boleh dirawat malah perlu dirawat, jika tidak risiko keguguran meningkat kepada 60 peratus.

Semua ujian di atas mungkin tidak dilakukan ke atas anda memandangkan ia baru keguguran pertama. Lazimnya selepas keguguran, wanita dinasihatkan supaya tidak hamil dalam masa dua atau tiga bulan atas beberapa sebab, antaranya untuk mengembalikan kesihatan fizikal dan ketenangan fikirannya (keguguran boleh memberi kesan tekanan) sebelum dia bersedia hamil kembali.

Setelah prosedur D&C pula, waktu terbabit perlu untuk lapisan dalam rahim kembali sihat. Seeloknya berjumpa kembali doktor anda sebelum memulakan kehamilan seterusnya.

Selain itu, mulakan pengambilan pil asid folik sebanyak 5 miligram setiap hari dari sekarang, ini banyak membantu mengurangkan risiko kecacatan otak dan sistem saraf tunjang bayi anda kelak.


Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: