Peminat Setia

Khamis, 4 Oktober 2007

Musykil Payudara Mengunjur Ke Bawah

SOALAN:
SAYA ingin tahu mengenai ciri payudara. Adakah ia sesuatu yang normal apabila payudara mengunjur ke bawah?

Apakah perbezaannya payudara wanita yang sudah berkahwin dan belum berkahwin? Adakah sebarang perbezaan? Selain ketulan yang lazimnya dikaitkan dengan penyakit barah, adakah bentuk tertentu pada payudara menunjukkan ia mengalami masalah?

Amin,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
CIRI payudara tidak semestinya sama untuk semua orang. Lazimnya, payudara mengunjur ke atas. Namun penambahan berat badan (termasuk sewaktu hamil) menyebabkan payudara turut membesar dan menegangkan kulit yang memegangnya.

Penurunan berat badan berikutnya (dan selepas wanita kembali pulih selepas bersalin) pula akan menyebabkan payudara kelihatan mengunjur ke bawah. Keadaan yang sama juga berlaku dengan peningkatan usia akibat kurang keanjalan kulit, terutama selepas menopaus.

Tidak ada perbezaan payudara wanita yang belum atau sudah berkahwin. Bentuk dan saiz payudara (sama ada kecil atau besar) lebih bergantung kepada saiz badan serta keturunannya.

Hanya sewaktu hamil, payudara mengalami beberapa perubahan iaitu saiz semakin membesar, menegang, sensitif, kawasan areolar dan puting menjadi lebih kehitaman serta timbul biji hitam pada areolar (kelenjar Montgomery).

Selain itu, puting payudara yang kerap ‘diusik’ boleh menyebabkan pengeluaran susu (melalui rangsangan hormon oksitosin).

Selain ketulan, perubahan bentuk payudara perlu diperhati dan dilakukan pemeriksaan lanjut. Perlu difahami, payudara kanan dan kiri lazimnya tidak sekata saiznya.

Sebelah payudara lazimnya kelihatan lebih menurun berbanding sebelah lagi. Hanya pemilik payudara saja yang lebih mengetahui perubahan bentuk payudaranya.

Perhatikan jika ada lekuk (seperti kulit tertarik ke dalam), pengumpulan air (kulit membengkak menyerupai kulit buah oren yang juga disebut peau de orange), kulit seolah-olah ada ketulan di bawahnya, jaluran salur darah yang nyata (sedangkan tiada sebelumnya), bulatan areolar yang tidak seragam, ulser pada payudara atau puting serta keluar cecair bercampur darah dari puting.

Teknik pemeriksaan payudara senang difahami, sama ada melalui demonstrasi atau risalah dan poster kesihatan bergambar. Seeloknya lakukan pemeriksaan payudara sekali setiap bulan berserta pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan sekali setiap tahun.

Saiz payudara tidak mempunyai kaitan dengan risiko kanser payudara. Lelaki juga dinasihatkan prihatin terhadap payudara mereka. Ini kerana dalam setiap 100 penghidap kanser payudara, seorang daripadanya adalah lelaki.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: