Peminat Setia

Khamis, 12 Ogos 2010

Laser Atasi Masalah Jerawat

JERAWAT? Bukankah topik itu sering ditulis. Itu antara reaksi apabila dimaklumkan topik Kesihatan minggu ini.

Memang perihal jerawat terlalu kerap diperkatakan. Namun dunia perubatan masih gagal mencari penyelesaian sebenar kepada masalah jerawat.

Pelbagai teknik dan kaedah rawatan digunakan termasuk pendekatan tradisional namun jerawat terus menghantui bukan saja golongan remaja, malah orang dewasa tidak terlepas daripada masalah tersebut.

Pertemuan dengan Sabihah Sharifuddin melonjakkan lagi keinginan untuk mencari jawapan penemuan terbaru untuk mengatasi masalah tersebut.

Gadis berusia 25 tahun itu mengalami masalah jerawat teruk. Kulit wajahnya dipenuhi jerawat bersaiz besar dan berwarna kemerahan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada gadis itu.

Ketika ditemui Sabihah ditemani ibu dan kakaknya. Menurut ibunya, kulit anak gadisnya dahulunya mulus dan cantik. Namun segala-galanya berubah apabila Sabihah melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di pantai timur.

Kulit wajahnya mula ditumbuhi jerawat. Bukan jerawat kecil atau jerawat pasir tetapi jerawat bersaiz besar yang melarat ke seluruh muka. Kulit Sabihah menjadi kemerah-merahan. Masalah tersebut mengganggu kehidupan gadis itu selama tiga tahun.

Dia pernah berjumpa doktor untuk merawat jerawat yang tidak pernah ‘penat’ menata wajahnya. Pelbagai krim diberi, tetapi masalah tersebut reda seketika dan tumbuh balik selepas beberapa hari.

Pendedahan mengenai kaedah laser untuk merawat jerawat menarik perhatian ibu kepada gadis tersebut. Dia membawa anaknya bertemu dengan Dr. Shaharom Sulaiman di Thalia Clinic, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Inisiatif tersebut bertolak daripada rasa simpati terhadap masalah jerawat anaknya yang tidak pernah surut sementelah Sabihah kini mula bekerja. Kerjayanya pula menuntut bertemu dan berurusan dengan orang ramai.

Kunjungannya ke klinik tersebut pada mulanya sekadar mendapat khidmat nasihat daripada perunding di situ, Vivi Sumanti Ab. Rahim.

Langkah

Ibu Sabihah mengakui hanya mengetahui mengenai kaedah laser menerusi sisipan Kesihatan Mingguan Malaysia dan terus mengambil langkah segera berkunjung ke klinik berkenaan.

Vivi memberi penjelasan satu persatu berkaitan penggunaan laser untuk merawat masalah Sabihah. Dia mencadangkan supaya gadis yang mula berkecimpung dalam bidang pemasaran di ibu kota itu supaya mencuba dahulu rawatan di klinik tersebut.

Sebagai perunding, Vivi menunjukkan kes-kes yang pernah dirawat di klinik tersebut dan berjaya mendapatkan hasil terbaik. Beliau turut menasihatkan Sabihah supaya mematuhi ‘pantang-larang’ selepas menjalani rawatan kelak.

Ketika ditemui, Vivi menjelaskan maksud pantang-larang.

"Sapu sunblock, gunakan payung, jangan terlalu terdedah kepada panas (terutama mereka yang selalu memasak) dan paling penting jangan gunakan kosmetik atau produk kecantikan sembarangan,’’ katanya.

Nasihat beliau lagi, kesemua ‘pantang-larang’ itu sebenarnya harus menjadi amalan berpanjangan dalam keadaan cuaca semakin panas terutama di pantai timur.

Dr. Shaharom ketika diminta mengulas lanjut masalah kulit muka Sabihah tidak menolak ia berpunca daripada masalah cuaca panas dan sedikit tekanan selain faktor pemakanan.

Lebih daripada itu, masalah jerawat juga disebabkan ketidakseimbangan hormon selain tidak meminggirkan faktor genetik.

Beliau menarik perhatian betapa masalah jerawat amat berkait-rapat dengan kecantikan paras wajah. Ia bukan saja membelenggu golongan remaja malah ramai orang dewasa yang mempunyai masalah jerawat.

‘‘Jerawat bukan sahaja menyebabkan kulit kelihatan tidak cantik, malah jika sudah sembuh , bekas parut jerawat juga menjadikan kulit tidak halus dan berlekuk-lekuk,’’ katanya ketika ditemui di Kuantan baru-baru ini.

Selain kulit muka, Dr. Shahrom menambah, masalah jerawat turut berlaku pada bahagian belakang badan dan dada.Bagi kes Sabihah, beliau yang terkenal dengan kaedah rawatan menggunakan laser mencadangkan SP Dynamis (Fatona). Kesan awal rawatan tersebut adalah menghalang jerawat baru tumbuh dan ia boleh dilihat seminggu selepas rawatan. Bagi tempoh seterusnya, jerawat sedia ada akan dirawat untuk memastikan ia pulih sepenuhnya termasuk menghilangkan kesan lekuk pada bahagian muka.

Dr, Shaharom pernah mengikuti kursus dan program perubatan estetik di Dubai dan Hong Kong selain menduduki peperiksaan anjuran American Laser Association.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: