Peminat Setia

Rabu, 25 Februari 2009

Gagal Hamil Cara IVF

SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan sudah berkahwin selama tiga tahun. Saya sudah menjalani rawatan kesuburan sehingga ke peringkat persenyawaan tabung uji (IVF) tetapi masih tidak berjaya.

Saya kecewa kerana pusat IVF itu dikatakan mempunyai peratus kejayaan IVF yang tinggi, namun setelah menjalani rawatan di sana, saya masih gagal hamil. Doktor mengatakan embrio saya berkualiti rendah, ini menambahkan tekanan seolah-olah saya punca kegagalan terbabit.

Untuk pengetahuan doktor, sebelum itu saya mencuba pil Clomid selama tiga bulan tetapi tidak hamil. Doktor pertama menasihatkan saya mencuba kaedah permanian berhadas IUI, namun saya beralih pula ke doktor lain kerana tertarik dengan peratus kejayaan yang dilaporkan.

Saya disahkan mengalami penyakit endometriosis dan dinasihatkan menjalani pembedahan laparoskopi di hospital terbabit sebelum rawatan IVF. Selepas pembedahan, saya mengambil suntikan hormon gonal sebanyak 225 unit setiap hari, kemudian ditambah menjadi 300 unit.

Doktor mengatakan telur saya banyak melebihi 20 sehingga saya merasakan perut saya tegang dan sering mengah. Tetapi sewaktu pembedahan menyedut telur, saya diberitahu hanya mempunyai enam telur saja dan hanya tiga saja embrio yang terbentuk selepas persenyawaan, namun tiada satu pun yang membuahkan kehamilan walaupun ketiga-tiga embrio dimasukkan.

Kini saya buntu, adakah saya mempunyai peluang untuk hamil sebenarnya? Apakah maknanya peratus kejayaan IVF sebenarnya?

Nisah,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Anda tidak menyatakan peringkat penyakit endometriosis yang dihidapi. Tidak semestinya endometriosis peringkat lanjut (termasuk jika ia membabitkan pembentukan cyst ovari endometrioma) tidak dapat dibedah melalui laparoskopi.

Sewaktu pembedahan ini, penilaian secara langsung akan dibuat ke atas organ pelvis dan peritoneum. Terdapat sistem pemarkahan khusus yang dibuat untuk mengkategorikan penyakit anda kepada peringkat I, II, III atau IV (peringkat I dan II adalah peringkat ringan).

Selain itu, pembedahan laparoskopi juga kini direkod ke dalam cakera padat video (VCD) untuk tontonan kemudian hari dan pesakit akan diberikan VCD ini untuk simpanan atau rujukan.

Status tiub falopio juga penting diketahui, jika tersumbat atau mengalami kerosakan, IVF adalah pilihan yang lebih sesuai. Lazimnya dalam endometriosis peringkat lanjut, peluang kejayaan IVF dilaporkan meningkat apabila pembedahan disusuli dengan suntikan hormon analog-GnRH setiap bulan selama tiga bulan dan juga apabila paras ujian darah Ca-125 kembali normal.

Jika tidak, rawatan IVF dilaporkan kurang berjaya dan jika berjaya, risiko keguguran pula meningkat.

Pada usia anda, lazimnya dos 150-225 IU suntikan mengandungi hormon FSH (seperti Gonal F dan jenama lain) adalah dos permulaan dan akan diubah suai mengikut tindak balas ovari selepas beberapa hari.

Suntikan ini sama ada didahului suntikan hormon analog-GnRH atau disusuli suntikan hormon antagonis-GnRH, bergantung kepada mengikut jenis protokol rawatan.

Sekumpulan lapan hingga 15 kantung telur lazimnya sudah memadai. Malah di negara Eropah, mereka sudah mula mengamalkan stimulasi ringan saja untuk mendapatkan sejumlah kecil saja telur.

Secara amnya, pada usia 28 tahun, peluang kejayaan IVF adalah sekitar 25 hingga 40 peratus. Peratus ini lebih tinggi jika embrio blastosis yang dimasukkan berbanding embrio berusia dua hingga tiga hari. Dengan kehadiran penyakit endometriosis, peluang ini mungkin menurun.

Saya menjangkakan anda memperoleh bilangan telur yang lebih banyak memandangkan sebelum prosedur, kantung telur dinyatakan sebanyak melebihi 20.

Tidak semua pusat IVF melaporkan peratus kejayaan IVF. Anda boleh menjadikan perkara berikut sebagai panduan atau maklumat tambahan:

1. Di Malaysia, belum ada badan atau organisasi yang mengawal semua data atau rekod IVF. Kesahihan rekod kejayaan rawatan yang dipaparkan adalah dikawal pusat IVF terbabit, tanpa ada badan, peraturan atau undang-undang yang menyelia kesahihannya.

Untuk perbandingan, di Jerman, terdapat satu sistem perisian kebangsaan (Rec-Date) yang mewajibkan setiap wanita yang menjalani IVF didaftarkan dan dipantau hasilnya.

Di United Kingdom pula, terdapat jawatankuasa kebangsaan (HFEA) yang menyelia pusat IVF yang berdaftar dengannya. Di Amerika Syarikat pula, hanya beberapa negeri saja yang mempunyai panduan atau peraturan sendiri.

2. Peluang kehamilan juga bergantung kepada bilangan embrio yang dimasukkan pada sesuatu masa. Memandangkan di negara kita, kos IVF ditanggung sepenuhnya oleh pasangan, keghairahan mendapatkan kehamilan (yang bersifat kos efektif dalam masa singkat) menyebabkan doktor mahupun pasangan sendiri cenderung memasukkan embrio dalam bilangan yang lebih.

Pada masa sama, ia dapat meningkatkan populariti mereka dalam menghasilkan kejayaan kehamilan mahupun kehamilan kembar, tanpa mengambil kira kesan jangka panjang (risiko kehamilan kembar, risiko kelahiran kembar, kembar berganda melebihi dua, kos menampung atau membesarkan anak-anak kembar sehingga ke peringkat universiti dan seumpamanya).

Sebagai perbandingan, di Sweden, diwujudkan undang-undang memasukkan hanya satu embrio pada IVF kali pertama dalam wanita yang berusia 35 tahun atau lebih muda dan tidak mempunyai penyakit berkaitan.

Amalan memasukkan hanya satu embrio saja semakin menjadi rutin di kebanyakan negara Eropah kini. Di Amerika Syarikat pula, tiada undang-undang menetapkan bilangan maksimum embrio dimasukkan, sesetengah negeri pula mencadangkan kemasukan maksimum lima hingga enam embrio pada satu masa.

3. Pengalaman lazimnya mempengaruhi kejayaan. Lebih banyak IVF dilakukan oleh sesuatu pusat atau seseorang doktor, sepatutnya kejayaan kehamilan lebih meningkat. Pusat IVF luar negara yang berprestij melakukan antara 1,500 hingga 2,500 kes IVF setahun.

Di Pusat Kesuburan Hamburg (FCH), Jerman, contohnya sebanyak 2,000 kes IVF dilakukan setiap tahun oleh sekumpulan tiga doktor. Di Malaysia, bilangan ini jauh lebih rendah, hanya 100 hingga 300 kes saja setahun, bilangan ini mungkin tidak mencerminkan aliran kejayaan sebenar sesebuah pusat.

4. Peratus kejayaan IVF ditafsirkan dalam beberapa cara. Kaedah terbaik adalah menyatakan peratus kejayaan kehamilan klinikal secara nisbah terhadap bilangan IVF yang dilakukan.

Untuk makluman, kehamilan klinikal bermakna kehamilan yang disahkan secara pemeriksaan ultrabunyi. Anda juga boleh melihat peratus kehamilan kembar bagi menilai secara tidak langsung kecenderungan memasukkan lebih embrio sesuatu pusat IVF, peratus kejayaan mereka secara amnya akan nampak lebih tinggi.

Bagi doktor atau pusat IVF yang tidak mengamalkan kaedah sperma penderma, ovum penderma dan ibu tumpang pula, tidak mustahil jika peratus kejayaan mereka nampak lebih rendah.

Begitu juga pusat IVF kerajaan yang mungkin terpaksa mengehadkan keperluan IVF kepada kuota tertentu memandangkan sebahagian kos rawatan ditanggung kerajaan, tidak mustahil jika peratus kejayaan mereka juga menjadi rendah, ini tidak bermakna mereka kurang bagus.

Beberapa perkara di atas adalah kemungkinan saja, ia tidak semestinya begitu. Asalkan anda mendapatkan rawatan kesuburan daripada pakar sakit puan yang terlatih sehingga ke tahap rawatan IVF (secara latihan formal ataupun melalui pengalaman bekerja), anda sepatutnya mendapat rawatan dan peluang optimum.

5. Kejayaan IVF lebih bergantung kepada usia wanita kerana kualiti telur yang dikeluarkan juga menurun. Seeloknya anda meneruskan rawatan kesuburan kerana lebih lama anda menunggu, lebih banyak ubat kesuburan yang perlu diambil, namun peluang kejayaan sebaliknya menurun.

Anda dinasihatkan tidak berputus asa, meneruskan rawatan di pusat IVF anda sekarang, semoga anda akan memperoleh kejayaan kehamilan dalam percubaan kedua.

Ia lebih baik daripada bertukar doktor yang mungkin akan mengulangi ujian serta menambah perbelanjaan anda. Sebagai permulaan kembali, eloklah anda bertanya peratus kejayaan kehamilan klinikal IVF bagi kumpulan wanita berpenyakit endometriosis seusia anda, angka ini sebenarnya adalah lebih tepat.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: