Peminat Setia

Jumaat, 3 Jun 2011

Laser Singkirkan Pigmen

Rosnah gelisah apabila mendapati kulit wajahnya kusam tidak berseri. Seorang sahabat mencadangkan agar dia menggunakan sejenis krim pencerah. Di peringkat awal kulitnya kelihatan cerah dan semakin cantik. Namun setelah hampir enam minggu menggunakan krim itu wajahnya mula kusam dan bertompok hitam. Hal itu menjadikan Rosnah semakin risau. Tompokan hitam yang pada asalnya sedikit menjadi ketara malahan semakin banyak pula. Ternyata tompokan hitam menjadi kekal dan tidak berkurang walaupun dia menukar jenis krim yang baru. Dengan perasaan cemas Rosnah bertemu saya bagi mendapatkan bantuan.

Hasil pemeriksaan mendapati kulit Rosnah terbakar dan menjadi gelap. Saya menjelaskan kepada beliau bahawa masalah itu dinamakan PIH (Post inflammatory hyperpigmentation). PIH merupakan masalah akibat peningkatan aktiviti sel meanosit. Tidak dapat dinafikan faktor Kecantikan kulit dan tubuh badan amat penting bagi wanita. Seseorang wanita yang memiliki kulit halus dan susuk tubuh menarik kelihatan yakin meningkatkan keterampilan sekali gus menjadikan seorang wanita tampak anggun dan berpersonaliti.

Kesan pigmentasi disebabkan pengumpulan melanin iaitu sejenis pigmen pada kulit. Ia juga boleh dirawat dengan laser yang akan membuatkan melanin yang berkumpul berpecah menjadi partikel. Pigmentasi bukan saja kerana usia tapi akibat kesan sampingan radang pada kulit seperti bekas jerawat, kecederaan seperti luka atau terbakar, pengunaan bahan kosmetik yang salah dan sebagainya. Dalam kes di Rosnah kecederaan kulit disebabkan pengunaan kosmetik. Oleh kerana kosmetik disapu seluruh wajah, maka kesan terbakar yang dialami adalah pada keseluruhan muka. Bukan sahaja wajahnya jadi gelap dan lebam tetapi tekstur kulit muka kasar dan pori-pori juga luas.

Saya mencadangkan rawatan menggunakan laser dan Rosnah bersetuju. Rawatan menggunakan laser mestilah dibuat antara enam sehingga sepuluh kali untuk mendapat hasil yang memuaskan. Saya juga mencadangkan rawatan PRP (platlet rich plasma). Uniknya rawatan ini kita menggunakan sel-sel dalam darah pesakit sendiri. Darah diambil dan diproses bagi mendapatkan PRP. Faktor hormon juga perlu dititikberatkan.

Hormon adrenal sangat mustahak bagi kecantikan kulit seseorang. Hormon adrenal dikeluarkan oleh kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang kita. Kelenjar adrenal adalah kelenjar kecil yang terdiri daripada dua bahagian iaitu kortex dan medulla. Kedua-duanya menghasilkan hormon yang berbeza. Kortisol iaitu hormon dari adrenal merupakan elemen penting dalam kecantikan. Ia juga mustahak bagi pembentukan badan yang cantik dan seimbang. Seseorang yang kurang hormon kortisol akan mempunyai masalah jerawat, pigmentasi, resdung, gatal-gatal dan juga bintik-bintik putih yang sukar dirawat meskipun dengan pelbagai kaedah.

Rawatan yang hanya memfokuskan kepada kulit sahaja tanpa mengambil kira hormon dalam tubuh tidak mungkin memberikan hasil yang kekal pada jangkamasa panjang. Ini kerana kelenjar hormon yang tidak dirawat akan menghasilkan hormon pada tahap rendah menyebabkan masalah yang dihadapi berulang. Jadi demi mendapatkan hasil yang terbaik kita perlu meningkatkan paras kortisol juga.

Lelaki juga tidak dapat lari daripada melasma. Saya sering merawat beberapa pesakit lelaki yang mempunyai masalah tersebut. Melasma lebih aktif apabila seseorang berada di bawah pancaran matahari. Sel sel aktif yang mengeluarkan pigmen hitam dinamakan melanocytes. Fungsi utamanya mengeluarkan pigmen yang dinamakan melanin. Kehadiran melanin memberi warna kulit selain bertindak sebagai penapis yang menghalang cahaya terlalu kuat dan boleh merosakkan kulit daripada menembusi kulit. Oleh itu bagi mereka yang mempunyai banyak melanin warna kulitnya akan menjadi gelap apabila terdedah di pancaran matahari atau pergi ke tempat beriklim panas. Apabila dia berhijrah ke tempat beriklim sejuk atau menutupi kulitnya daripada matahari maka kulitnya kembali cerah. Dewasa ini terdapat krim pelindung matahari dan pil bagi melindungi kulit daripada matahari. Apabila kulit disapu pelindung matahari ia akan menebat atau menghalang kemasukan cahaya yang mengaktifkan melanocytes. Justeru itu bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti yang sering terdedah kepada pancaran matahari, perkara ini tidak boleh di pandang remeh. Pemakaian pelindung matahari haruslah diamalkan setiap masa.

Rawatan yang sesuai bagi melasma adalah penggunaan krim mengandungi anti melanin. Suntikan transeminik dan pil mengandungi transeminik turut juga menghilangkan salur darah yang berada di bawah kulit. Apabila salur darah itu mengecut maka sel-sel melasma akan turut mengecut. Lama kelamaan melasma akan berkurangan. Penggunaan krim yang salah hanya menyebabkan melasma semakin ketara kerana sesetengah krim akan merangsang salur darah menjadi lebih aktif dan kulit menjadi lebih nipis. Tempoh rawatan bagi melasma sangat lama dan ada kalanya memakan masa berbulan bagi mendapat kesan yang baik. Setelah itu penggunaan krim anti melanocyte secara berkala adalah sangat penting bagi mengekangnya. Boleh dikatakan perjuangan menentang melasma sehingga ke satu peringkat seumur hidup juga. Ia menuntut disiplin dan kesabaran yang sangat tinggi.

Melasma berbeza dengan pigmentasi epidermis yang mudah saja cara rawatannya. Saya menggunakan laser jenis pixel bagi memulihkannya dan mendapat hasil yang sangat menakjubkan. Pigmentasi pada epidermis adalah disebabkan oleh pengumpulan melanin pada kulit kita. Laser bertindak memecahkan melanin yang kemudian dibuang sebagai bahan buangan dan dikeluarkan dari kulit kita. Justeru hasil yang baik dapat diperolehi apabila kita merawat PIH dengan laser kerana sifat pigmen melanin yang memecah dan boleh dikeluarkan dari kulit.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: