SOALAN:
Saya berusia 28 tahun dan baru mendirikan rumah tangga pada Jun 2010. Ketinggian saya ialah 160 sentimeter dengan berat 70 kilogram.
Saya teringin menimang cahaya mata secepat mungkin, tetapi mempunyai masalah haid tidak teratur sejak anak dara lagi. Pada mulanya haid teratur, tetapi setelah berjumpa doktor pakar untuk masalah jerawat pada muka dua tahun lalu, haid saya tidak teratur.
Saya mungkin mengambil ubat yang agak kuat menyebabkan tidak boleh hamil ketika pengambilan ubat jerawat itu.
Kemudian, saya berjumpa pakar sakit puan untuk mengatasi masalah haid. Hampir setengah tahun membuat susulan sehingga April 2010 dan haid saya kembali seperti biasa seperti sebelum berkahwin.
Bagaimanapun, apabila berkahwin, haid saya tidak teratur semula. Saya datang haid pada Jun, Julai kemudian September dan terkini pada 20 Disember lalu.
Adakah ubat untuk mengawal jerawat menjadi punca haid tidak teratur? Adakah saya berpeluang untuk hamil secara semula jadi atau perlu pengambilan ubat kesuburan?
Shim,
Shah Alam, Selangor.
JAWAPAN:
Saya keliru dengan kenyataan anda sama ada mengalami haid tidak teratur sejak penggunaan ubat jerawat dua tahun lalu pada usia 26 tahun atau lama sebelum itu.
Anda tidak menyatakan tempoh penggunaan ubat jerawat terbabit. Saya andaikan ubat ini mungkin mengandungi bahan isotretinoin atau asid retinoik yang boleh menyebabkan kecacatan janin jika hamil dalam waktu berkenaan.
Apabila berjumpa pakar sakit puan, anda tentu sudah diberi penjelasan mengenai penyebab haid tidak teratur pada diri anda. Lazimnya ia disebabkan gangguan pengeluaran telur, sama ada jarang-jarang (oligo-ovulasi) atau tiada langsung (anovulasi).
Pada masa sama, doktor akan membuat pemeriksaan atau ujian pengecualian terhadap penyakit lain yang juga boleh menyebabkan gangguan haid contohnya hormon tiroid dan prolaktin.
Saya jangkakan mungkin penyakit anda ada kaitan dengan sindrom tertentu yang menyebabkan:
- Gangguan haid akibat gangguan pengeluaran telur
- Berlebihan hormon kelelakian (jerawat, kulit kasar dan berminyak serta rerambut tubuh berlebihan)
- Berlebihan berat badan (berat yang sesuai untuk ketinggian anda adalah di antara 49 hingga 63.7 kilogram)
Ubat mendatangkan haid lazimnya hanya bertindak pada lapisan endometrium sahaja, sama ada menebalkannya dahulu (menggunakan bahan estrogenik) atau mematangkannya (menggunakan bahan progestin).
Penyiasatan lanjut ke atas keupayaan ovari anda untuk menghasilkan telur matang serta ovulasi boleh dilakukan.
Jika ada, peluang anda hamil semula jadi memang ada, tetapi jika tiada, anda mungkin memerlukan rawatan kesuburan. Bahan isotretinoin atau asid retinoik juga boleh menyebabkan gangguan haid, tetapi dijangka pulih dalam masa tiga hingga enam bulan penggunaannya dihentikan.
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan