Peminat Setia

Jumaat, 20 Mei 2011

Impak Minyak Kelapa Dara

SOALAN:
Saya mempunyai masalah tiroid yang timbul selepas kelahiran anak pertama, sekarang saya bakal melahirkan anak kedua.

Saya ingin bertanya mengenai pengambilan kapsul minyak kelapa dara dalam tempoh kehamilan.


Saya dapati ia dapat mengubati masalah tiroid yang saya hadapi, memudahkan ibu bersalin dan seumpamanya.


Jika saya mengambil kapsul minyak kelapa dara, adakah ia akan membawa kesan sampingan pada anak yang bakal dilahirkan nanti? 

Nik,
Shah Alam.

JAWAPAN:

Saya khuatir tidak dapat menjawab soalan anda sepenuhnya.

Penyakit tiroid ada beberapa jenis berlainan, anda tidak jelaskan sama ada hormon tiroid anda meningkat atau rendah atau berada pada paras normal.

Anda juga tidak nyatakan bagaimana penyakit tiroid dikesan pada diri anda.

Lazimnya kelenjar tiroid kita (yang terletak pada bahagian hadapan dan bawah leher) tidak menonjol atau dilihat kecuali jika kelenjar terbabit membengkak sama ada sebelah bahagian sahaja atau kedua-dua bahagiannya.

Pembengkakan kelenjar tiroid ini dapat dilihat dengan mudah jika seseorang melakukan perbuatan menelan kerana ia akan kelihatan bergerak sama ke atas sebelum ke bawah semula.

Pun begitu, tidak semestinya kelenjar tiroid yang membengkak (goiter) bermakna paras hormonnya juga tidak normal.

Berlebihan atau kekurangan hormon tiroid inilah yang boleh memberi kesan kepada kandungan, kedua-duanya memerlukan rawatan ubatan.

Terdapat beberapa jenis ubatan tiroid yang tidak sesuai digunakan oleh wanita hamil dan perlu digantikan dengan ubatan lain.

Semua ubatan ini sudah dijalankan kajian keberkesanannya, malah terdapat penjelasan berteori mengenai cara tindak bahan kimia ubatan terbabit.

Saya kurang pasti mengenai jenis kajian yang ada dijalankan terhadap minyak kelapa dara.

Selain itu, saya kurang jelas mengenai apa yang dimaksudkan dengan kelapa dara berbanding kelapa lain, malah terdapat juga istilah minyak kelapa ekstra dara serta minyak kelapa mentah.

Minyak kelapa dara dikatakan dihasilkan seperti minyak masak buatan sendiri iaitu menggunakan santan kelapa manakala minyak masakan (kelapa) yang dijual pula dihasilkan secara komersial menggunakan kelapa kering atau bakar (kopra).

Kita maklum mengenai kegunaan minyak kelapa sebagai bahan pelembap kerana ia mengandungi sifat antioksidan di samping bahan lain.

Namun seperti bahan lain, penggunaannya juga haruslah sederhana bagi mengurangkan kemungkinan kesan sampingan, terutamanya bagi wanita hamil.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: