Peminat Setia

Isnin, 2 Mei 2011

Kurus Dengan Senaman Otot

Terdapat dua jenis karbohidrat yang tidak menyihatkan di dalam hidangan kita seharian. Yang pertama adalah makanan manis dan bergula manakala kedua bijirin yang tidak bercambah seperti roti, nasi dan pasta.
Karbohidrat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan jauh lebih baik kerana ia semulajadi tanpa melalui proses pengubahan sebagaimana roti dan gula. Karbohidrat jenis roti dan gula meningkatkan paras gula dengan mendadak sehingga merosakkan kesihatan manakala jenis sayur-sayuran pula mengurai dengan perlahan memberikan tenaga tanpa merosakkan tubuh.

Gula merupakan keperluan sel dalam tubuh kita. Tanpa gula kita menjadi lemah tidak bermaya. Yang merosakkan tubuh adalah kenaikan paras gula melampau secara tiba- tiba. Apabila kita minum segelas minuman manis, paras gula meningkat dengan tiba-tiba menyebabkan paras hormon, enzim dan transmitter tubuh berada dalam keadaan yang tidak menentu. Lama kelamaan akibat aktiviti tidak menentu ia mudah rosak. Keadaan ini boleh disamakan dengan suis lampu atau peralatan elektrik yang dipetik beribu kali tanpa henti. Sudah tentu ia mudah rosak kerana penggunaannya yang tidak berkala.

Apabila mengambil minuman yang sangat manis atau makan makanan berkarbohidrat tinggi seperti roti atau pasta jumlah gula akan meningkat secara drastik di dalam darah. Kita akan berasa bertenaga selama 20 minit. Kelenjar insulin mengesan kehadiran gula dan mula bekerja keras menurunkan kadar gula. Insulin yang banyak akan berkitar di dalam tubuh kita melebih sejam. Pada masa ini paras gula sudah terlalu rendah manakala paras insulin pula sangat tinggi. Ketidakseimbangan membuatkan seseorang menjadi lemah dan lesu. Ini adalah faktor mengapa tubuh kita menjadi letih dan mengantuk setelah beberapa jam makanan makanan manis atau tinggi karbohidrat diproses.

Apabila proses ini berulang setiap hari tubuh kita bagaikan kehilangan signalnya yang semula jadi. Paras hormon metabolik turut terjejas dan akhirnya kita akan menjadi obes yang tidak mudah dipulihkan dengan diet biasa.

Seseorang yang mahu kurus harus mangambil berat fakta sebegini. Metabolik tubuh harus ditingkatkan. Pemilihan makanan yang tidak meningkatkan paras gula dalam darah adalah faktor terpenting bagi membantu meningkatkan hormon metabolik.

Indeks Glycemic merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan meningkatkan paras gula dalam darah. Ia sebenarnya merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan dipecahkan menjadi gula dalam darah kita. Lebih tinggi indeks glycemic bermakna lebih cepat makanan ditukar menjadi gula dan memberi kesan buruk kepada tubuh kita.

Senaman adalah satu lagi faktor utama yang mampu meningkatkan kadar metabolisma. Kita perlu ingat bahawa senaman bertujuan meningkatkan kadar pemanasan tubuh dan bukannya membentuk otot semata mata. Oleh kerana lemak lebih cenderung terbentuk pada perut, paha dan belakang maka senaman yang baik adalah senaman yang menggunakan otot ini.

Saya mencadangkan senaman otot-otot utama atau Core Muscle Excersize yang mudah dan sangat berkesan. Otot utama kaya dengan bahan pembakar lemak. Pergerakan otot utama membuatkan seluruh tubuh kita berfungsi. Apabila kita melakukannya kita dapat rasai kesan yang pantas dan hebat.

Senaman jenis ini tidak memerlukan ruang yang luas. Memadai dilakukan di atas tilam atau lantai sahaja. Lagipun ia tidak mengambil masa yang panjang hanya sekitar 20 minit sahaja. Ia juga tidak menjemukan kerana tanpa disedari kita menggunakan tenaga seluruh tubuh bagi melakukannya. Pada waktu ini otot-otot akan distimulasi dan mengeluarkan hormon serta enzim yang baik bagi mengunakan lemak secara efektif.
Seorang sahabat saya yang juga doktor pakar memberitahu sejak berat badannya meningkat dia berasa sangat tertekan. Senaman dan pengurangan makanan sahaja tidak dapat membantu. Selepas meningkatkan paras hormon dan enzim kehidupannya kembali ceria. ''Dulu senaman pun tak berpeluh namun sekarang berpeluh-peluh,'' katanya.

Saya teringat seorang jiran berbangsa Tionghua yang memberitahu bahawa dalam masyarakatnya tubuh yang sihat adalah tubuh yang berpeluh dan panas. Teknik perubatan Cina mementingkan peningkatan metabolisma.
Kepada pembaca semua, saya akan menemui anda di Bengkel Personaliti Cantik Sihat siri ketiga bersama Dr. Shaharom Sulaiman di Kuantan, Pahang. Bengkel kali ini akan memperkatakan tajuk khusus iaitu Kecantikan dan Anti-Penuaan. Bengkel ketiga ini sememangnya amat bermanfaat kerana saya dan Dr. Shaharom dari Klinik Thalia akan memperkatakan topik-topik berkaitan hormon serta penjagaan kecantikan. Lebih menarik lagi kira-kira satu pameran teknologi kecantikan seperti laser untuk kulit cantik akan diadakan serta dibuka kepada orang ramai.

Tentu para pembaca berminat untuk bersama saya menyelongkar pelbagai ilmu dan tip untuk tampil sebagai individu yang mempunyai personaliti cantik dan sihat.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: