SOALAN:
Saya mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun dan hamil selepas empat bulan berkahwin tetapi keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.
Saya mengalami demam panas setiap malam selepas keguguran sehingga kini iaitu hampir tiga bulan saya demam. Saya sudah berjumpa dengan doktor pakar sakit puan tetapi katanya itu masalah biasa seperti orang bersalin.
Saya juga mengalami kegatalan yang serius pada bahagian alat sulit saya.
Apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi?
Meera,
Kedah
JAWAPAN:
Demam lazimnya adalah satu petanda jangkitan kuman. Walaupun begitu, ia jarang bertahan selama tiga bulan tanpa mengakibatkan kesan teruk kepada penghidapnya. Ia juga tidak memilih pada waktu tertentu sahaja misalnya malam.
Dalam keadaan anda yang baru lepas keguguran, pemeriksaan doktor dilakukan untuk memastikan demam itu tiada kaitan dengan komplikasi keguguran dahulu contohnya jangkitan kepada rahim (endometritis), ataupun sebab keadaan lain yang tiada kaitan dengan keguguran.
Demam juga mungkin bukan petanda jangkitan kuman tetapi masalah lain. Mungkin terdapat salah faham mengenai alasan demam panas selama tiga bulan adalah perkara biasa bagi orang bersalin, saya belum pernah membaca mengenai perkara ini.
Bagi wanita yang sedang hamil, panas tubuh badan (bukannya demam) adalah suatu kemungkinan akibat perubahan hormon.
Tidak salah untuk anda berjumpa semula doktor anda atau mendapatkan pemeriksaan doktor kedua untuk kepastian. Anda juga mungkin boleh membuat pemantauan sendiri menggunakan alat termometer yang mudah dibeli di farmasi dan mengambil suhu badan anda pada waktu malam dan pagi.
Ujian lanjutan seperti ujian darah boleh dilakukan tetapi rumusan bukan boleh dibuat berdasarkan satu jenis ujian sahaja.
Anda juga dinasihatkan mengutarakan semula masalah kegatalan pada bahagian kemaluan anda, lebih-lebih lagi jika ia berada pada tahap serius seperti yang anda nyatakan.
Kegatalan sebegini lazimnya sudah pun memberi perubahan kepada bahagian terbabit. Pemeriksaan doktor dapat membantunya membuat diagnosa berdasarkan ciri-ciri perubahan yang berlaku.
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan