Peminat Setia

Rabu, 9 November 2011

Bimbang Cyst Ganggu Bayi

SOALAN:
Isteri saya disahkan hamil 10 minggu dan ketika imbasan, doktor di klinik swasta menyatakan ada cyst berukuran 11 sentimeter x 8 sentimeter. Ini adalah kehamilan pertama isteri saya. 

Dia tidak menghidapi senggugut yang teruk, pedih atau sakit di perut sebelum ini. Keadaannya normal dan hanya mengalami alahan biasa seperti muntah.


Persoalannya, mengapa cyst sebesar ini tidak menunjukkan simptom atau tanda awal seperti sakit atau sebagainya? Adakah cyst ovari ini akan mengganggu dan menjejaskan kandungan serta tumbesaran bayi yang dikandung?

Apakah langkah dan jenis rawatan yang diperlukan untuk menyembuhkan penyakit cyst ini? Pandangan dan nasihat doktor amat diperlukan.



Khairul Azhar,


Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN:
Sebenarnya ramai wanita yang tidak menyedari kehadiran ketumbuhan pada ovari (misalnya cyst) ataupun pada rahim (misalnya fibroid), malah kebanyakannya hanya disedari atau dikesan oleh suami mereka.

Jika isteri anda bertubuh kecil, dia mungkin menganggapnya sebagai kembung perut atau dirinya gemuk. Pada usia kehamilan 10 minggu, tiada perubahan saiz perut iaitu sama seperti wanita yang tidak hamil kerana saiz rahim masih kecil dan tersorok di dalam rangka pelvis.

Kesakitan lazimnya dialami jika ovari yang mengandungi cyst terbabit terpintal pada tangkainya sehingga menyekat aliran darah ke seluruh ovari berkenaan. Keadaan ini dinamakan ‘torsion’ atau ovari ‘twisted’ dan ia memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan aliran darah.

Dengan saiz sebesar 11 sentimeter, cyst boleh mengganggu kehamilan yang semakin membesar. Ruang abdomen yang terhad de–ngan saiz kandungan boleh mengundang risiko kontraksi pramatang, kelahiran pramatang dan seumpama–nya.

Malah, pembedahan lewat lebih menyukarkan disebabkan ruang yang terhad ini. Bawalah isteri anda berjumpa pakar perbidanan untuk pengesahan. Jika benar ia cyst ovari, doktor lazimnya akan menunggu sehingga kandungan memasuki trimester kedua sebelum melakukan pembedahan untuk membuangnya.

Jika berlaku komplikasi contohnya terpintal atau jangkitan kuman atau pecah mengakibatkan pendarahan, pembedahan akan dilakukan segera.

Buat sementara ini, doktor akan memantau saiz cyst serta melakukan ujian darah petanda tumor serta ujian berkait dengan kehamilan. Berdasarkan ciri-ciri pada imbasan ultrabunyi, jenis cyst dapat diagak sama ada cyst fisioligi, cyst penyakit contohnya endometriosis, teratoma dan seumpamanya. Ada juga kemungkinan sewaktu pemantauan ini, cyst terbabit mengecil dan hilang dengan sendirinya.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: