Peminat Setia

Ahad, 20 Februari 2011

Punya Lebih Hormon Lelaki

SOALAN:
Saya berumur 30 tahun dengan berat 63 kilogram dan ketinggian 160 sentimeter, baru memasuki alam perkahwinan. Saiz payudara saya 36B.


Sehingga kini saya tidak pernah didatangi haid. Perut saya tidak buncit dan tidak pernah mengalami sakit di perut. Untuk pengetahuan doktor, pada awal 2008 saya berjumpa doktor pakar sakit puan di sebuah hospital swasta.


Hasil pemeriksaan doktor pakar, dia mendapati saya mempunyai hormon yang lebih kepada hormon lelaki. Tiada sebarang ubat diberikan kepada saya.


Bagaimanakah caranya untuk saya mengembalikan hormon perempuan? Adakah saya boleh hamil dan berkeadaan normal seperti perempuan biasa? 

Iza,
Wangsa Maju, Kuala Lumpur

JAWAPAN:
Tidak pernah didatangi dinamakan amenorea primer. Mereka yang belum didatangi haid setelah menjangkau usia 16 tahun disarankan menjalani pemeriksaan doktor tanpa menunggu lebih lewat lagi kerana beberapa puncanya boleh memberi impak terhadap kehidupan atau potensinya untuk hamil kelak.

Saya andaikan, apabila memberikan jawapan permasalahan puan, doktor puan sudah pun melakukan beberapa ujian di samping pemeriksaan fizikal, antaranya:

- Pemeriksaan ciri-ciri fizikal sindrom tertentu yang menandakan kemungkinan keabnormalan kromosom contohnya sindrom Turner (terdapat kromosom Y iaitu kromosom lelaki). Deria bau anda juga mungkin sudah diperiksa.
- Memastikan tubuh anda menunjukkan perkembangan seksual sekunder contohnya kewujudan dan taburan rerambut kemaluan, bulu ketiak. Kadangkala pengambilan ubat berhormon yang boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan ciri seksual sekunder ini dalam jangkamasa lama boleh mengaburi penilaian ini.
- Mengesahkan kewujudan rahim. Memandangkan anda sudah pun berkahwin, ujian ultrabunyi secara trans-vaginal (melalui faraj) dapat memberikan imej yang lebih terperinci contohnya ketebalan lapisan haid (endometrium) pada bahagian terdalam dinding rahim dan seumpamanya.
- Melalui ultrabunyi juga, doktor akan mengimbas kedua-dua ovari. Ultrabunyi trans-abdomen juga boleh dilakukan untuk melihat kelenjar edrenal yang terdapat di bahagian atas buah pinggang.
- Memastikan tiada masalah berkaitan keabnormalan hormon contohnya berlebihan hormon kelelakian walaupun ini lazimnya menyebabkan haid yang tidak teratur atau jarang-jarang dan bukannya tidak pernah didatangi haid langsung.
- Selain ultrabunyi, ujian darah juga dilakukan termasuk ujian hormon tertentu dan analisis kromosom.

Anda mungkin ingin bertanya sekali lagi dengan doktor anda untuk kepastian, sama ada anda mempunyai berlebihan hormon lelaki ataupun sebenarnya mempunyai kromosom lelaki lebih-lebih lagi memandangkan anda tidak ditawarkan sebarang ubat.

Lebih elok jika anda meminta doktor menulis nama penyakit anda. Kadangkala penerangan perubatan mengenai istilah penyakit yang diterangkan doktor boleh disalah faham. Doktor juga boleh menerangkan mengapa anda tidak diberikan rawatan serta peluang untuk hamil.

Lazimnya pada usia begini, bagi mereka yang menunjukkan ciri-ciri fizikal atau sifat keperempuanan, punca yang paling kerap adalah masalah kongenital (gangguan pembentukan sistem peranakan yang sepatutnya berlaku sewaktu peringkat janin) yang menyebabkan rahim dan faraj tidak terbentuk.

Mereka boleh mempunyai ovari malah ujian kromosom menunjukkan mereka perempuan. Memandangkan mereka mempunyai ovari (mempunyai genetik kromosom perempuan), mereka menunjukkan ciri-ciri keperempuanan tetapi oleh kerana ketiadaan rahim (dan faraj), haid tidak terbentuk.

Mereka juga boleh mempunyai keabnormalan sistem buah pinggang. Keadaan ini dinamakan agenesia Mullerian (atau sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser).

Selain agenesis Mullerian, satu lagi punca lain yang juga mungkin adalah sejenis penyakit kromosom yang dinamakan sindrom testicular feminine yang mereka mempunyai kromosom lelaki, testis yang tersembunyi di bahagian inguinal atau abdomen, faraj yang pendek dan buntu di penghujungnya.

Lebih jarang lagi, ia disebabkan oleh ketumbuhan kelenjar adrenal.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: