ADAT HIDUP BERUMAH TANGGA, PASTI AKAN DILANDA BADAI DAN GELORA. MASALAH YANG BERLAKU INI PULA TENTUNYA PELBAGAI PUNCA. TAPI SATU PERKARA YANG SELALU TERJADI MESKIPUN KONFLIK YANG DIHADAPI SUAMI ISTERI ITU TIADA KAITAN DENGAN SEKS NAMUN KEHIDUPAN SEKS AKAN TURUT MENERIMA TEMPIASNYA.
Suami balik lewat, lupa tarikh hari jadi, isteri merajuk dan sebagainya akan menyebabkan rasa tidak puas hati hingga membuatkan ada pasangan enggan mahupun menolak untuk melakukan seks.
Keadaan sebegini jika dibiarkan sudah tentu akan menggugat keharmonian rumah tangga. Selain itu ada beberapa lagi masalah suami isteri yang dikenal pasti boleh menjejaskan kehidupan seks dan menghasilkan situasi yang tidak menyenangkan.
1. Pasangan curang
Kecurangan adalah penyakit paling sukar untuk disembuhkan dalam hubungan suami isteri. Bila suami yang melakukan kecurangan, isteri akan merasakan diri telah dikhianati dan dibohongi. Sukar untuk memaafkan suaminya. Isteri akan menjadi seorang yang selalu curiga akan gerak-geri suaminya dan semua ini akan memberi kesan pada aktiviti seksual. Kecurangan yang dilakukan akan menjadi penghalang bagi hubungan seks suami isteri itu sendiri.
Baik buat suami atau isteri, imaginasi keduanya akan beralih kepada orang ketiga ketika hubungan intim hingga menjejaskan kenikmatan hubungan seks. Ubat paling mujarab untuk menyembuhkan keadaan sebegini adalah memaaf dan melupakan semua kecurangan yang berlaku setelah pasangan
menyedari kesilapan yang dilakukan. Namun ia tidak semudah mengucapkannya. Buat yang berlaku curang sisihkan waktu untuk pasangan bagi memenangi kembali hatinya.
Berterus terang tentang segala-galanya supaya tidak timbul lagi perasaan curiga. Proses pemulihan akan memakan masa jadi bersabarlah.
2. Tertekan
Jika dibiarkan tekanan sama ada akibat pekerjaan atau masalah peribadi akan menjejaskan emosi, sistem kekebalan tubuh dan juga kehidupan seks suami isteri. Jadi bawa bertenang dan larikan diri anda dari situasi yang boleh menyebabkan anda tertekan.
Cara yang paling baik adalah dengan bercuti. Bawa pasangan anda ke tempat percutian yang indah namun jangan sesekali membawa bersama kerja-kerja anda.
Tinggalkan segala-galanya dan nikmati masa bersama dengan pasangan sepenuhnya. Sekiranya anda punya masalah, inilah masanya untuk anda meluahkan segala-galanya. Apabila anda mampu menangani tekanan yang dihadapi, bukan hanya diri anda yang merasa kesan bahagia malah pasangan anda juga. Seks juga akan menjadi satu perkara yang menyenangkan.
3. Tiada Mood
Kalau dulu hasrat untuk hubungan intim menggebu-gebu, kini segala-galanya sudah merudum. Ketika di tempat tidur anda membelakangkan suami dan menolak ajakan untuk seks dengan pelbagai alasan. Banyak penyebab hilangnya ghairah atau mood untuk seks. Antaranya mungkin kerana hal yang paling kecil seperti pasangan tidak mementingkan kebersihan, tiada kemesraan sebelum hubungan dan juga kerana hal yang besar seperti faktor orang ketiga.
Selain itu faktor kesihatan juga boleh menjadi penyebabnya. Pada pasangan jangan cepat berkecil hati bila isteri atau suami hilang mood untuk seks. Cari penyebabnya terlebih dahulu dan usahakan untuk mengembalikan keghairahannya dengan pendekatan sabar dan tidak terlalu memaksa.
4. Memperbesar-besarkan Perkara Remeh
Anda mementingkan kebersihan dan kesempurnaan, semua perkara harus dalam keadaan tersusun daripada almari pakaian hinggalah ke rak kasut. Pasangan anda pula punya sikap bertentangan.
Baju kotor diletakkan merata-rata, pinggan dan cawan dibiarkan atas meja tanpa dibasuh serta surat khabar pula disepah-sepahkan tanpa dilipat. Walau berulang kali diingatkan namun suami tidak pernah berubah. Menyakitkan hati bukan?
Jangan dibiarkan keadaan sebegini kerana ia akan menjadi duri dalam daging. Berterusan membiarkan perasaan sakit hati bersarang di jiwa akan memberi kesan pada hubungan suami isteri.
Turut menerima padahnya adalah hubungan seks dengan pasangan. Tidak mustahil anda akan mengambil tindakan menarik diri dari hubungan seks kerana perasaan sakit hati terhadap suami.
Jadi jangan biarkan masalah kecil berlarutan. Bagi suami ambil peduli bila isteri mula bersungut tentang sikap pengotor atau malas anda. Bagi isteri pula jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan terhadap suami anda, setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangannya.
Dipetik dari: http://www.mingguanwanita.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan