Peminat Setia

Sabtu, 26 April 2008

Gangguan Haid Lepas Pembedahan

SOALAN:
Saya pernah membuat pembedahan pada 31 Mei 2007 disebabkan darah haid yang tidak keluar sepenuhnya menyebabkan ia melekat pada ovari sebelah kanan.

Doktor memberitahu ia sejenis penyakit endometriosis. Walaupun sudah masuk sembilan bulan selepas pembedahan, saya dapati darah banyak keluar dan selepas 14 hari masih ada darah yang keluar tetapi berwarna coklat dalam kuantiti sedikit. Kadangkala darah keluar, kadangkala tidak.

Saya risau, adakah penyakit ini berulang atau sebaliknya. Saya dapat rasakan perut saya berdenyut dengan tiba-tiba. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

Ana,
Kuala Lumpur


JAWAPAN:
Nama endometriosis diambil daripada perkataan endometrium (endometrium adalah lapisan terdalam dinding rahim, ia juga disebut lapisan haid). Ini kerana endometriosis mempunyai ciri yang sama dengan tisu endometrium.

Ada teori yang menyatakan endometriosis berpunca daripada tisu haid ini (endometrium) yang tidak keluar turun melalui faraj tetapi sebaliknya melalui tiub falopio dan tumpah ke dalam ruang pelvis. Ia kemudiannya 'hidup' sama seperti yang dialami oleh endometrium iaitu berkembang mengikut pusingan haid dan 'berlaku pendarahan' pada waktu haid.

Tisu endometriosis boleh didapati di mana-mana bahagian badan (ia turut mempunyai teori lain kewujudannya). Namun lazimnya, ia didapati pada kawasan berhampiran tumpahan darah haid ini iaitu pada ovari (membentuk cyst yang dinamakan endometrioma, endometriotic cyst atau chocolate cyst), jauh ke dalam otot dinding rahim (dinamakan adenomyosis), permukaan rahim terutama permukaan belakang, ligamen utero-sakrum, pouch of Douglas dan seumpamanya.

Endometriosis paling kerap berlaku pada ovari memandangkan bukaan tiub falopio paling hampir kepada ovari. Sewaktu ia melalui tiub falopio, ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem silia yang berfungsi menggerakkan sperma, telur atau embrio, lazimnya ia tidaklah sehingga menyebabkan penyumbatan tiub falopio ini.

Walaupun endometriosis boleh berpunca daripada darah haid yang tidak habis keluar melalui faraj, kuantiti darah haid yang keluar melalui faraj tidak melambangkan penyakit endometriosis seseorang.

Tidak semestinya haid yang sedikit bermakna banyak darah haid yang tumpah ke dalam ruang pelvis. Kuantiti haid lebih bergantung kepada ketebalan dan pematangan pembentukan lapisan haid yang dikawal oleh hormon kesuburan seseorang.

Dalam keadaan anda, seeloknya teruskan rawatan doktor. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor anda mengenai beberapa perkara seperti peringkat endometriosis yang anda alami dulu, pengulangan endometriosis, pilihan rawatan selanjutnya, pemeriksaan kesuburan (jika dikehendaki) serta ujian berkaitan (seperti ujian darah Ca125 boleh membantu memantau penyakit endometriosis dan seumpamanya).

Secara amnya, endometriosis boleh berlaku pada mana-mana wanita yang masih didatangi haid dan hanya tidak akan muncul selepas wanita putus haid (menopaus). Sesiapa saja wanita kumpulan usia reproduktif termasuk anda boleh mengalami endometriosis.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan: