Peminat Setia

Khamis, 15 Mei 2008

Gardasil Vaksin Pertama Cegah Kanser Serviks

Wanitakini mampu menarik nafas lega apabila buat pertama kalinya di dunia, vaksin mencegah kanser serviks (pangkal rahim) telah pun diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Khamis lalu.

Pendek kata, tiada lagi wanita yang sepatutnya menderita ataupun mati kerana penyakit kanser serviks.

Dilesenkan di bawah nama Gardasil, vaksin keluaran Merck & Co. Inc. itu menawarkan mereka yang berumur di antara sembilan hingga 26 tahun dengan perlindungan yang tidak pernah dinikmati oleh ibu-ibu mereka.

Pakar-pakar perubatan antarabangsa menyifatkannya sebagai kemajuan paling pesat dalam bidang kesihatan wanita yang dicapai beberapa tahun kebelakangan ini.

Justeru, tidak hairanlah Gardasil disebut-sebut bakal menempa tiket sebagai vaksin yang sangat popular kelak.

Masakan tidak. Ia merupakan vaksin yang julung kalinya dihasilkan dalam sejarah tamadun manusia, disasarkan khusus untuk mencegah daripada faktor risiko kanser yang paling digeruni sejak sekian lama.

Gardasil bukan sahaja terbukti menghalang kejadian kanser serviks dari peringkat akar umbinya lagi dan menghentikannya sebelum pun sempat membuka langkah pertamanya.

Tetapi, menariknya juga, ia melindungi daripada sejenis lagi penyakit yang ditularkan oleh hubungan kelamin (STD), iaitu ketuat alat kelamin dan lagi bonus, kanser faraj dan vulva (genitalia luar perempuan).

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, pusat perubatan swasta di Pulau Pinang, Dr. Suresh Kumarasamy berkata, vaksin berkenaan melindungi wanita daripada jangkitan empat jenis strain virus papiloma manusia (HPV) yang menjadi punca utama kanser serviks.

“Dua daripada strain berkenaan iaitu HPV-16 dan HPV-18 dipercayai bertanggungjawab terhadap 70 peratus kejadian kanser serviks di kalangan wanita.

“Sementara itu, dua lagi strain yang dilindungi oleh vaksin ini adalah HPV-6 dan HPV-11, yang menyebabkan 90 peratus penyakit ketuat alat kelamin,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Malah, ujian klinikal melaporkan keberkesanan Gardasil mencapai 100 peratus dalam perlindungan strain HPV-16 dan HPV-18 di kalangan wanita yang belum terdedah kepada jangkitannya.

Ia juga selamat digunakan kerana tidak menggunakan virus hidup sebaliknya menggunakan virus persis partikel (sarung kosong yang diletakkan dengan partikel-partikel yang telah dirangsang imunitinya pada bahagian luaran.)

Seks Pertama

Adalah penting untuk memberikan suntikan vaksin ini sebelum wanita melakukan hubungan seks buat kali pertama bagi menjamin keberkesanannya.

FDA telah meluluskan Gardasil untuk kegunaan wanita berusia di antara sembilan hingga 26 tahun kerana pada peringkat umur ini, sistem imun mereka diaktifkan sebelum terdedah dengan kemungkinan dijangkiti HPV.

Peringkat umur tersebut juga berada pada tahap antibodi tertinggi berbanding jika mereka menerima suntikan berkenaan ketika telah melepasi usia 15 tahun.

Ia diberikan melalui tiga dos suntikan dalam tempoh enam bulan. Dos kedua hendaklah diambil selepas dua bulan menerima dos yang pertama, disusuli dos ketiga selepas enam bulan menerima dos pertama.

Sehingga kini, kata Dr. Suresh, vaksin berkenaan didapati berkesan sekurang-kurangnya bagi tempoh empat tahun tanpa dos penggalak.

Penyelidikan berterusan sedang dijalankan bagi menentukan dengan tepat jangka panjang perlindungannya menentang jangkitan HPV dengan hanya vaksinasi awal, selain sama ada dos penggalak masih diperlukan selepas itu.

Gardasil bagaimanapun tidak melindungi daripada kesemua penyebab kanser serviks. Terdapat kira-kira 100 strain HPV di luar sana dan Gardasil melindungi wanita daripada virus yang paling jahat, dan bukan satu-satunya virus.

Selain sejumlah besar HPV yang ada, vaksin itu tidak dicipta untuk merawat penyakit tetapi untuk melindungi daripada jangkitan dan bukannya yang telah pun terdedah kepada HPV.

Oleh itu, ujian penyaringan kanser serviks merangkumi pemeriksaan pelvis dan Pap Smear tidak boleh dipinggirkan sama sekali meskipun telah mendapat suntikan.

Ia membolehkan kanser dikesan di peringkat awal malah rawatan boleh diberikan sebelum pertumbuhan kanser tersebut. Ini telah terbukti dapat mengurangkan perebakan kanser sebanyak 90 peratus.

Vaksin tersebut tidak bertujuan menggantikan ujian saringan seperti Pap Smear dan pemeriksaan pelvis secara berkala bagi mengesan kanser dan lesi prakanser yang mungkin disebabkan oleh jenis-jenis lain HPV.

Walaupun HPV lebih sinonim dengan kaum wanita, namun tidak bermakna lelaki boleh tersenyum riang kerana ia boleh menular melalui hubungan seks dan menyebabkan penyakit ketuat alat kelamin di kalangan mereka.

Buat masa ini, Gardasil masih belum diluluskan untuk penggunaan jantina lawan namun usaha sedang dilakukan oleh pembuatnya ke arah itu.

Gardasil dijangka berada di klinik-klinik doktor Amerika Syarikat menjelang penghujung bulan ini juga, dan gergasi farmaseutikal berkenaan sedang memohon kelulusan yang sama di seluruh dunia.

Dr. Suresh berkata, saban tahun, hampir 500,000 wanita mendapat status ‘penghidap kanser serviks baru’ di seluruh dunia dan lebih separuh daripada mereka gagal diselamatkan.

“Berdasarkan laporan kedua Daftar Kanser Negara, sebanyak 1,557 kes baru kanser serviks dikesan di negara ini pada tahun 2003, kanser pembunuh kedua di kalangan wanita selepas payu dara.

“Di kalangan wanita tempatan, kebanyakan kes kanser serviks berlaku di kalangan mereka yang berumur di antara 40 hingga 50 tahun, umur yang sedang membesarkan anak-anak,” katanya.

Dianggarkan, kadar kejadian atau insiden penyakit kanser serviks ini di Malaysia adalah di antara 20.1 hingga 30.0 bagi setiap 100,000 wanita.

Ia boleh berlaku di kalangan semua bangsa tetapi wanita Cina mempunyai insiden yang lebih tinggi berbanding wanita Melayu dan juga India.

Sebab terjadinya demikian masih tidak dapat diketahui dan memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.

Tiada lagi wanita yang perlu menderita dan mati kerana penyakit kanser serviks.

Apa Itu Kanser Serviks?

Serviks dirujuk kepada apa sahaja struktur yang berbentuk seperti leher. Serviks uteri membawa maksud leher uterus. Ia merupakan sebahagian dari rahim yang membuka ke arah faraj.

Kanser pangkal rahim atau serviks adalah sejenis penyakit di mana terdapatnya sel-sel kanser di dalam pangkal rahim seseorang wanita.

Penyebab

Walaupun banyak penyelidikan telah dijalankan bagi menentukan penyebab bagi kanser pangkal rahim, namun sebab-sebab yang khusus masih belum ditemui.

HPV dianggap sebagai punca utama bagi kanser pangkal rahim setakat ini.

Jangkitan virus ini adalah merupakan faktor risiko yang utama bagi kanser pangkal rahim mengatasi faktor-faktor risiko yang lain yang telah diketahui.

Faktor Risiko

- Memiliki banyak pasangan seks

- Memulakan hubungan seks pada usia muda

- Tidak menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks

- Anda atau pasangan mendapat jangkitan ketuat alat kelamin

- Pernah dijangkiti virus papiloma manusia, terutamanya daripada jenis 16818

- Merokok

- Latar belakang sosioekonomi yang rendah.


Gejala

- Lelehan faraj yang tidak normal

- Pendarahan dari faraj yang tidak normal di antara waktu haid, selepas melakukan hubungan seks, kesakitan semasa haid dan juga selepas putus haid

- Sakit belakang

- Hilang selera makan dan berat badan menurun

- Mengalami masalah membuang air kecil dan air besar

- Sakit di bahagian pelvis biasanya merupakan gejala yang lewat.

Pencegahan

- Amalkan cara hidup yang lebih sihat; berhenti merokok dan amalkan pemakanan yang sihat

- Amalkan hubungan seks yang sihat

- Segera berjumpa doktor sekiranya anda mengalami sebarang pendarahan faraj yang tidak normal

- Jalanilah ujian saringan secara kerap.

Pap Smear boleh dilakukan di tempat-tempat berikut:

- Klinik kerajaan dan juga swasta

- Hospital kerajaan

- Klinik kesihatan keluarga

- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

- Institut Kebangsaan Persatuan Perancang Keluarga

- Klinik pakar perbidanan dan sakit puan

- Pusat Kanser Kebangsaan.

1 ulasan:

sepet a.k.a zack_u berkata...

thanks for the info, boleh saya ambil dan letak di blog saya, TQ :) kalau tak boleh beritahu ye, saya delete semula :)