SOALAN:
SAYA seorang ibu berusia 28 tahun mempunyai dua anak berusia empat tahun dan setahun. Saya mempunyai masalah kekeringan faraj apabila melakukan hubungan intim dengan suami walaupun keinginan untuk bersama meluap-luap.
Saya juga sering mengalami masalah keputihan agak teruk yang memerlukan saya mengambil antibiotik. Sejak berkahwin dengan suami lima tahun lalu, saya hampir tidak pernah mencapai kepuasan.
Saya pernah menyuarakan perkara ini kepada suami dan dia berusaha mempelbagaikan cara namun masih tidak mendatangkan hasil. Sehinggakan ada ketikanya saya perlu beronani untuk mendapatkan kepuasan.
Persoalannya:
1. Adakah keputihan boleh menyebabkan kekeringan kepada faraj saya ?
2. Adakah antibiotik yang diambil (contohnya setiap lima bulan) untuk mengurangkan keputihan itu boleh memberi kesan kepada organ dalam badan saya ?
3. Walaupun rangsangan yang diberikan suami agak lama, mengapa saya masih mengalami masalah kekeringan dan sukar mencapai kepuasan meskipun sudah menggunakan pelbagai teknik?
4. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah kekeringan ini selain menggunakan pelincir yang ada di pasaran?
5. Adakah onani juga boleh menyebabkan masalah ini?
Nur,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
KEKERINGAN boleh menyebabkan keputihan lazimnya akibat perubahan pH persekitaran dalam faraj sehingga kuman lain berupaya menakluki kawasan faraj dan terus membiak.
Bagaimanapun, dalam keadaan anda, mungkin kekeringan yang dimaksudkan ialah kekeringan akibat ketiadaan rangsangan seksual. Dalam keadaan ini, kekeringan yang dimaksudkan biasanya tidak menyebabkan anda lebih berisiko mengalami jangkitan faraj. Apapun, jangkitan faraj itu perlu dirawat.
Lazimnya, keputihan disebabkan jangkitan kulat (candidiasis). Ia memerlukan rawatan antikulat, kebiasaannya diberikan melalui pil suppositori yang dimasukkan ke dalam faraj.
Seeloknya anda menjalani pemeriksaan dalaman di mana sedikit sampel keputihan itu akan dihantar untuk ujian makmal bagi mengetahui jenis kuman (kulat, bakteria dan seumpamanya) serta ubat bersesuaian. Ubat yang diambil pula perlu mengikut sukatan dinasihatkan. Jangkitan berulang juga memerlukan pemeriksaan lanjut misalnya ujian kencing manis.
Anda berdua mungkin memerlukan bantuan doktor, sama ada pakar perubatan dalaman ataupun pakar psikiatri. Teknik yang anda lakukan mungkin tidak sama dengan teknik disarankan doktor.
Lazimnya ia lebih berkait dengan kesediaan anda, faktor tekanan juga memainkan peranan penting. Semakin anda berasa tertekan untuk mengalami rangsangan, semakin sukar rangsangan itu diperoleh.
Masalah kekeringan lebih berkait dengan ketiadaan cecair pelincir akibat ketiadaan rangsangan seksual dialami. Pelincir yang ada di pasaran hanya menggantikan pelincir semula jadi, ia tidak merawat masalah anda.
Onani juga memainkan peranan dalam masalah ini kerana amalan onani boleh menyukarkan orgasma faraj.
Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/
1 ulasan:
Kenapa ada sampai 4 post yang sama?
Catat Ulasan